TITAH
PERUTUSAN AIDILFITRI
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
1 SYAWAL 1442 / 13 MEI 2021 (KHAMIS)
ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!
ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.
Alhamdulillah, dengan izin Ilahi, kita berjaya menyempurnakan ibadah puasa dan sekali lagi berpeluang menyambut Aidilfitri. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala menerima amal kita dan mengurniakan kemenangan Syawal yang hakiki, hasil daripada takwa dan mujahadah yang kita lalui sepanjang Ramadan.
2. Islam mensyariatkan ummah menyambut Aidilfitri; Kalimat fitri bermaksud fitrah, ia itu kejayaan manusia kembali kepada fitrah yang asal; dilahirkan bersih daripada dosa dan noda; lalu ALLAH Subhanahu Wata’ala menganugerahkan satu hari istimewa yang dilimpahkan keriangan.
3. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menyeru, agar Aidilfitri dijadikan hari untuk mengeratkan perpaduan. Baginda mengisytiharkan Aidilfitri sebagai hari kedamaian – hari kegembiraan – hari keriangan. Sambutlah Aidilfitri dalam suasana damai, gembira dan riang, dengan mengeratkan silaturahim sesama anggota keluarga; sambutlah Aidilfitri dengan menyemaikan rasa kasih sayang sesama insan. Sinarkan sifat persaudaraan dan cahayakan sifat keinsanan bersama fajar Aidilfitri.
4. Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, wajib diambil ingatan bahawa dunia sedang bergelut menghadapi musibah berpunca daripada virus Covid-19. Sedarilah! lebih 160 juta jangkitan telah berlaku dan lebih 3.5 juta kematian telah diratapi. Oleh itu, Aidilfitri hendaklah dirayakan dengan norma baharu, mematuhi peraturan jarak fizikal yang ditetapkan, kunjungan mengunjungi antara rumah diminimumkan, perhimpunan dalam bilangan yang ramai tidak diadakan, agar jangkitan dapat dikawal daripada terus merebak.
5. Sejak wabak Covid-19 melanda dunia, ramai yang kehilangan ahli keluarga, ramai yang terputus sumber pendapatan, ramai yang hilang pekerjaan dan bertambah ramai yang menganggur. Ekonomi dunia terjejas teruk; setiap hari bertambah ramai orang yang jatuh ke lembah kemiskinan. Oleh itu, dalam kalangan kita yang bertuah, dilindungi ILAHI daripada jangkitan penyakit, dan dalam kalangan kita yang terus dilimpahi rezeki, pamerkan sifat kesyukuran dengan menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kita yang sedang dibelenggu kesusahan.
6. Dalam keriangan kita menyambut Aidilfitri, sama-sama kita hargai beban berat yang ditanggung oleh para petugas barisan hadapan menangani wabak Covid-19, terutamanya para doktor, jururawat dan kakitangan pembantu di hospital. Sudah lebih setahun mereka bertugas tanpa mengenal rehat, menghadapi keletihan – menghadapi risiko, berusaha mahu meringankan tanggungan pesakit – berusaha untuk menyelamatkan sebanyak nyawa.
7. Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan kepada khidmat yang mereka laksanakan secara komited. Demikian juga penghargaan Beta dan Raja Permaisuri kepada pelbagai pihak yang mengendalikan pelbagai khidmat, untuk membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah; anggota Pasukan Keselamatan, Polis dan Angkatan Tentera, anggota bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam; sektor pengangkutan dan sektor perkhidmatan, begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen. Semoga khidmat mereka diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala, sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh, dan diberatkan timbangan amal ketika di Padang Mahsyar.
8. Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, menurut yang diriwayatkan oleh Tabrani, Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam telah bersabda yang bermaksud:
“Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir”
Perbanyakan bertakbir dan bertahmid tanda kesyukuran kepada ALLAH YANG MAHA BESAR.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!
ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.