Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan Pemerintah semesta alam, lalu memilih dari kalangan makhluk Nya untuk dikurniakan darjat dan di anugerahkan kemuliaan. Dengan kerendahan sifat – kelemahan kudrat, dengan hati yang bening – dengan ingatan yang hening, Hamba Mu melafazkan seikhlas kalimah dari denyut nadi – menzahirkan setulus tutur dari pancaran hati, akan kesyukuran yang setinggi-tingginya, atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya Allah, melanjutkan usia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, lalu dapat dilangsungkan, istiadat menyambut ulang tahun keputeraan Baginda kali kelapan puluh.
2. Selawat kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian; demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk yang mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga ke hari kebangkitan.
Ya Rafi’udd Darajat
Daulat Tuanku Syah Alam.
3. Dengan segala kekurangan dan ketidaksempurnaan diri, Paduka Anakanda merafak sembah, menghadap Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Di Pertuan dan Raja Pemerintah yang bersemayam di singgahsana takhta Kerajaan Perak Darul Ridzuan dengan penuh daulat – penuh darjat; dengan segala kebesaran dan kemuliaan. Dengan segala rasa kasih – rasa sayang, anakanda merafakkan sembah menghadap Paduka Bonda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.
4. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Karim, hamba Mu memohon ihsan dari kemuliaan nama-nama Mu, dari berkat kebesaran Asmaul Husna, semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa berada dalam perlindungan Mu, bersemayam di takhta kerajaan dalam keafiatan, berupaya menyempurnakan pemerintahan secara adil lagi saksama, arif lagi bijaksana, memenuhi amanah sebagai Amirulmukminin; memimpin negeri – menaungi warga, berpandukan petunjuk dari Mu jua, bersandarkan risalah ajaran yang dibawa oleh Rasul Junjungan. Semoga dengan rahmat Mu juga Ya Allah, negeri dan warga di bawah naungan pemerintahan Paduka Seri Ayahanda, menikmati kesejahteraan – menikmati kemakmuran. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa dikasihi rakyat dan turut pula melimpahkan kasih sayang kepada rakyat jelata. Amin, Ya Rabul Alamin.
Ampun Tuanku
5. Di istiadat ini, Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar, penuh taat – penuh setia, menjunjung titah – melaksanakan perintah Paduka Seri Ayahanda, bersandarkan hukum – berlandaskan adat. Paduka Anakanda bersama Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, semua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, berazam memelihara kemuliaan pemerintahan Paduka Seri Ayahanda, dan pada setiap masa memastikan bahawa tradisi negeri bersultan – rakyat beraja kekal subur sepanjang waktu. Sistem negeri bersultan – rakyat beraja telah diwarisi turun temurun di bumi Melayu ini; bahawa Raja yang adil lagi saksama, laksana payung tempat rakyat dapat bernaung; bahawa Raja yang arif lagi bijaksana adalah sumber inspirasi untuk memakmurkan negeri dan menyejahterakan rakyat.
Ampun Tuanku
6. Bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Paduka Seri Ayahanda, izinkan Paduka Anakanda memetik mutiara kata yang pernah Paduka Seri Ayahanda lafazkan, di Majlis Konvokesyen Universiti Malaya, pada 30hb. Jun 1979, ketika Paduka Seri Ayahanda di anugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan;
Petikan:
‘Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat dan resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu beringat, dan jika kita tidak ingat, maka kita seharusnya diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga Wilayah Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah oleh Portugis dalam tahun 1511. Perkataan “Negeri-negeri Melayu Bersekutu” dan “Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu” dan “Persekutuan Tanah Melayu” masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain-lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu.”
(Petikan dari ucapan Raja Tan Sri Azlan Shah, 30hb. Jun 1979)
7. Demikian ungkapan kata Paduka Seri Ayahanda; merupakan peringatan kepada warga yang dizahirkan dua puluh sembilan tahun lalu. Ungkapan kata Paduka Seri Ayahanda itu wajib dihalusi secara mendalam. Bahawa dari jumlah 194 negara bangsa di dunia ini, hanya tiga negara bangsa yang berteraskan Melayu. Ketiga-tiganya berada di rantau ini; sebuah Kesultanan di Brunei Darussalam, sebuah Republik di Indonesia dan sebuah Kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia. Oleh itu, amatlah difahami akan resah gelisah rakyat Paduka Seri Ayahanda apabila menghadapi senario yang merasakan bahawa kedudukan mereka sebagai peribumi bagaikan tergugat. Dalam merasakan diri bagaikan tergugat, Raja menjadi pilihan rakyat untuk bernaung. Demikian penghormatan – demikian keyakinan terhadap Raja, ketika rakyat cemas menghadapi krisis.
8. Sejak Durbar pertama yang berlangsung di Kuala Kangsar pada 13 Julai 1897, Raja-Raja Melayu, terbukti senantiasa memberi perhatian dan menyuarakan kepentingan orang-orang Melayu dan agama Islam. Agama Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu adalah antara perkara yang tidak pernah lepas dari perhatian Raja-Raja Melayu. Raja-Raja Melayu amat memahami bahawa kestabilan politik negara sangat bergantung kepada persediaan minda orang-orang Melayu menghadapi perubahan. Kestabilan minda orang-orang Melayu amat penting bagaikan satu pra-syarat kepada kestabilan negara. Oleh itu, dengan perkenan Paduka Seri Ayahanda, Paduka Anakanda akan berusaha dan berikhtiar sedaya mungkin, merintis langkah – merintis usaha, ke arah memastikan pemikiran dan persepsi orang-orang Melayu tidak akan membawa mereka berada dalam kegelisahan dan ketidak stabilan.
9. Dipercayai jika minda rakyat Paduka Seri Ayahanda berketurunan Melayu berada dalam keadaan stabil dan selesa, maka hubungan antara kaum akan terjalin secara harmoni dan sebarang pandangan prejudis antara kaum dapat dihilangkan. Perlu diterima realiti bahawa Malaysia mempunyai warga pelbagai kaum. Pada hemat Paduka Anakanda, usaha memupuk perpaduan dan usaha mengikis sebarang prasangka negatif antara kaum, adalah satu agenda penting, satu pra syarat kepada kestabilan politik; satu keperluan untuk menjamin ketenteraman awam. Bumi Malaysia haruslah mengamalkan satu kesaksamaan yang tidak membenarkan berlaku diskriminasi atau tindakan negatif berunsur rasis. Semangat berpijak di bumi sama, dan menjunjung langit yang sama perlu dipupuk dan dihayati supaya terbina kekuatan warga yang teguh berpadu – cekal bersatu – lalu sama-sama dapat membangunkan sebuah negara merdeka yang kekal berdaulat.
10. Bahawa Islam menyeru kepada perpaduan; ajaran Islam menekankan kepada perdamaian, ajaran Islam mengajak umat untuk membina semangat ukhuwah dan menjalinkan silaturahim. Menjunjung titah Paduka Seri Ayahanda, Paduka Anakanda akan memastikan bahawa institusi agama yang berada di bawah bidang kuasa Paduka Seri Ayahanda seperti masjid, surau dan institusi pendidikan Islam akan dijadikan alat penyatuan dan tidak akan dibenarkan menjadi pentas politik yang boleh membawa perpecahan. Dengan bimbingan dan panduan Paduka Seri Ayahanda, Paduka Anakanda akan berusaha untuk menyatupadukan rakyat Paduka Seri Ayahanda yang beragama Islam dan berketurunan Melayu. Pada hemat Anakanda, amatlah merugikan jika rakyat Paduka Seri Ayahanda terus bertelagah dan berselisih, hingga akhirnya yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu.
11. Umat Islam hari ini bukan umat yang kuat, baik di dunia begitu juga di negara ini. Umat Islam tidak boleh berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil hingga akhirnya menjadi umat yang lebih lemah. Umat Islam jangan terlalu taksub berselisih hingga ke peringkat berkerat rotan – berpatah arang. Umat Islam haruslah arif lagi bijaksana memastikan antara permata dan kaca. Umat Islam hendaklah berpegang kepada semangat kiambang yang akan kembali bertaut sebaik biduk telah berlalu. Umat Islam akan menjadi satu tenaga yang kuat, jika dapat mengamalkan semangat bermaaf-maafan, mengamalkan semangat memberi dan menerima, mengamalkan semangat musyawarah dan persaudaraan, lalu menemui titik pertemuan – lalu menemui kata sepakat. Demikianlah doa – demikianlah harapan Paduka Anakanda. Semoga niat dan hasrat Paduka Anakanda mendapat restu Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda.
12. Ya Allah, Ya Malik, Ya Jabar, Ya Latif, Hamba Mu sekali lagi memanjatkan doa, memohon limpah rahmat dari Mu juga, agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun berada dalam kerukunan, dikurniakan keafiatan, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah. Semoga di bawah naungan pemerintahan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, rakyat berbilang kaum – berbilang agama, berbilang budaya – berbilang bahasa, kukuh bersatu – cekal berpadu, hidup dalam harmoni – saling menghormati antara satu sama lain. Semoga negeri Perak Darul Ridzuan mencapai kesejahteraan dan kemakmuran serta dilindungi dari mala petaka dan sebarang bencana. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa mendapat lindungan ILAHI, bersemayam di atas takhta singgahsana dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.
Wabillahitaufik, walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Termaktub di Istana Iskandariah
Kuala Kangsar.
19. 4. 2008