Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Kelima Belas

TITAH DIRAJA

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI

ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH

AL-MAGHFUR-LAH

ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI

TAHUN KEEMPAT

DEWAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

KELIMA BELAS

TARIKH:

25 SYAWAL 1447 / 14 APRIL 2026 (SELASA)

JAM:

9.30 PAGI

TEMPAT:

DEWAN NEGERI, ARAS 2

BANGUNAN PERAK DARUL RIDZUAN

JALAN PANGLIMA BUKIT GANTANG WAHAB, IPOH

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

Alhamdulillah, dengan limpah rahmat Allah Subhanahu Wata’ala, ekonomi Malaysia pada tahun 2025, mencatat prestasi yang memberangsangkan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.2 peratus. Walaupun negara berdepan persekitaran global yang tidak menentu, permintaan domestik kekal kukuh menerajui pertumbuhan ekonomi. Melalui disiplin fiskal yang ketat, Kerajaan Persekutuan untuk dua tahun berturut-turut, berjaya mengatasi defisit fiskal, mencatat pencapaian lebih baik, 3.7 peratus berbanding pencapaian 4.1 peratus pada tahun 2024. Indikator makroekonomi yang kukuh memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya menerusi pencapaian kadar pengangguran terendah, (2.9 peratus), dalam tempoh lebih sedekad, serta kadar inflasi yang rendah (1.4 peratus), di samping pengukuhan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia pada tahun 2025.

2. Bagi tahun 2026, ekonomi negara diunjurkan pada asalnya berkembang sekitar empat hingga lima peratus. Apa juga unjuran dan harapan cerah ekonomi Malaysia bertukar wajah setelah tercetusnya konflik baru di Asia Barat pada 28 Februari tahun ini. Konflik di Asia Barat berpotensi mencetuskan krisis ekonomi dunia dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang jika krisis tersebut berlanjutan. Antara impak paling ketara yang dihadapi oleh dunia ketika ini ialah peningkatan kos logistik dan pengangkutan susulan faktor keselamatan. Impak keseluruhan terhadap Malaysia akan bergantung pada tempoh konflik ini berlangsung. Oleh itu pertumbuhan ekonomi Malaysia perlu disemak semula jika konflik berlarutan dan menjadi semakin serius.

3. Dalam tahun 2025, Negeri Perak mencatat pelaburan berjumlah lima belas perpuluhan tujuh lima (15,755,348,465.00) bilion ringgit, melibatkan lima ratus enam puluh (560) projek; sepuluh perpuluhan lima (10,548,080,042.00) bilion ringgit pelaburan domestik, dan lima perpuluhan dua (5,207,268,423.00) bilion ringgit pelaburan asing. Hampir sembilan perpuluhan empat (9,388,661,212.00) bilion ringgit dilaburkan dalam sektor pembuatan, diikuti enam perpuluhan tiga (6,353,197,253.00) bilion ringgit dalam sektor perkhidmatan dan tiga belas perpuluhan lima (13,490,000.00) juta ringgit dalam sektor utama perladangan dan komoditi.

4. Kutipan hasil negeri pada tahun 2025, mencecah hampir satu perpuluhan lima (1.494) bilion ringgit, meningkat seratus enam puluh dua (162) juta ringgit berbanding kutipan hasil tahun 2024. Selama empat tahun berturut-turut, kerajaan Beta berjaya menutup akaun hasil disatukan dengan kedudukan surplus, mencatatkan lapan puluh lima juta ringgit surplus (sebelum diaudit) pada 31 Disember 2025.

5. Hasil yang meningkat telah membolehkan kerajaan Beta memperuntukkan satu perpuluhan enam (1.61) bilion ringgit perbelanjaan negeri bagi tahun 2026, merupakan peruntukan perbelanjaan tertinggi dalam sejarah negeri; seribu empat puluh lima perpuluhan lima (1,045.5) juta ringgit bagi maksud mengurus dan lima ratus enam puluh lapan (568) juta ringgit bagi maksud pembangunan.

6. Kerajaan Persekutuan, telah meluluskan 479 projek pembangunan di negeri Perak, di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), dengan nilai 29.38 bilion ringgit; 331 projek sambungan, dan 148 projek baharu bernilai 9.7 bilion ringgit. Satu perpuluhan lapan enam (1.86) bilion ringgit siling peruntukan, diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama Tahun 2026.

7. Antara projek yang diluluskan melibatkan dua puluh tiga projek baharu di bawah Kementerian Pendidikan bernilai enam ratus dua puluh tiga (623.4) juta ringgit. Sektor kesihatan diluluskan enam projek baharu bernilai seratus lima puluh juta ringgit. Ekosistem industri halal turut diperkukuhkan dengan peruntukan seratus dua puluh empat perpuluhan tujuh (124.7) juta ringgit untuk Pembangunan Taman Industri Halal Perak di Lekir. Ekosistem pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) diperkukuhkan, melibatkan kos dua perpuluhan lima bilion ringgit untuk kemudahan infrastruktur jalan; membina persimpangan baharu Lebuh Raya Utara – Selatan di kilometer seratus tujuh puluh lapan (KM178.3), dan jalan baharu laluan negeri ke laluan persekutuan di Seksyen (710), Kerian.

8. Lebuh Raya Timur Barat (Jeli – Gerik) sepanjang 292 kilometer dibuka kepada orang ramai pada 1 Januari 1982 dan kini menjadi laluan strategik serta nadi penghubung utama Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Seratus lima belas (115) kilometer lebuh raya tersebut berada dalam negeri Perak. Keadaan fizikal lebuh raya yang mempunyai banyak selekoh merentasi kawasan bukit, ditambah faktor cuaca dan persekitaran, menyebabkan insiden kemalangan yang tinggi berlaku di lebuh raya ini. Sepanjang tahun 2025 sahaja, laluan ini mencatatkan 413 insiden kemalangan; mengakibatkan 26 nyawa terkorban, di samping 27 orang mangsa mengalami cedera parah. Kemalangan paling tragik berlaku pada pagi Isnin 9 Jun 2025, melibatkan 42 orang mahasiswa mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris, dalam perjalanan pulang ke kampus selepas berhari raya Aidiladha bersama keluarga. Lima belas (15) jiwa terkorban melalui kemalangan yang sangat ngeri lagi memilukan hati. Selain itu, dua puluh insiden kemalangan yang direkodkan turut melibatkan haiwan. Statistik ini memperlihatkan risiko tinggi laluan ini yang memerlukan usaha bersepadu segera dilaksanakan. Amatlah dihargai komitmen Kerajaan Persekutuan meluluskan tiga ratus lima puluh juta ringgit untuk projek menaik taraf Lebuh Raya Timur – Barat, di samping seratus juta ringgit sambungan projek pembaikan struktur turapan.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

9. Kaedah tradisional tidak lagi memadai untuk menyelesaikan rencam masalah rakyat mahupun memacu pertumbuhan ekonomi negeri. Inovasi kini bukan sekadar pilihan dasar, malah merupakan satu keperluan. Kerajaan yang gagal berinovasi bukan sahaja akan ketinggalan dalam memenuhi ekspektasi rakyat, malah bakal kehilangan daya saing dalam landskap global yang semakin mencabar. Negeri Pintar menuntut keperluan modal insan yang kompeten untuk memberikan perkhidmatan yang efektif. Justeru, transformasi perkhidmatan awam perlu digerakkan secara agresif bagi melahirkan penjawat awam yang mahir mengemudi teknologi automasi dan kecerdasan buatan. Majlis Bandaraya Ipoh sebagai contoh, menjadi peneraju utama, memanfaatkan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan trafik pintar menerusi Ipoh Integrated Operation Command Centre. Sistem Pengurusan Lalu Lintas Pintar (SPLiT) hasil inovasi Majlis Bandar Raya Ipoh telah diiktiraf sebagai Johan Kumpulan Inovasi Kreatif Negeri Perak (kategori sosial) dan Naib Johan Johor Smart City Award 2025.

10. Infrastruktur digital negeri, kini dipertingkatkan menerusi pengukuhan rangkaian 5G dengan pembinaan tiga ratus satu pemancar baharu dan pembangunan Pusat Data Negeri berkonsepkan Teknologi Hijau. Ketersediaan infrastruktur ini merupakan tulang belakang kepada ekosistem negeri pintar yang holistik demi melonjakkan kualiti hidup rakyat menerusi persekitaran yang lebih selamat, lestari dan sejahtera.

11. Kerajaan Beta menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah meluluskan peruntukan 350 juta ringgit untuk pembangunan bandar pintar dan membolehkan Pusat Kawalan dan Operasi Rangkaian Bersepadu Negeri Perak dibangunkan. Tujuh daripada lima belas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak telah diiktiraf sebagai Smart City Early Adopters oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; sementara enam PBT lagi akan menyusul pada tahun 2026. Pembangunan Pusat Kawalan dan Rangkaian Bersepadu akan berperanan sebagai pemangkin bagi mencapai visi negeri pintar, sekali gus memacu kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meraih pengiktirafan Smart City Early Adopters. Pusat kawalan yang akan dibangunkan ini akan menjadi nadi operasi negeri yang berhubung terus dengan setiap PBT. Pusat ini bukan sekadar pusat kawalan, tetapi wadah penyelarasan keselamatan awam, pengurusan bencana, pemantauan aset melalui analitik data serta teknologi kembaran digital, sekali gus menyokong kaedah membuat keputusan secara strategik, di samping berupaya memantau hasil kerajaan secara berpusat.

12. Teknologi tercanggih tidak memberi makna, sekiranya gagal menyentuh denyut nadi rakyat, malah dibimbangi berkemungkinan melebarkan lagi jurang kesenjangan sosial. Agenda pendigitalan yang bersifat inklusif kini telah menyantuni seratus tujuh puluh enam ribu (176,379) rakyat melalui rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI). Pencapaian Ahmad Salimie bin Baskani dari NADI Bukit Chandan, Kuala Kangsar, seorang OKU yang berjaya merangkul tempat ketiga di Malaysia Culinary World Cup 2025 di bawah kategori biskut; serta kejayaan anak-anak NADI Felda Gunung Besout Satu, meraih tiga pingat emas dalam pertandingan robotik, pengaturcaraan dan pemikiran pengiraan antarabangsa di Bangkok, menjadi contoh cerita kejayaan yang dapat dicapai jika peluang saksama disediakan kepada rakyat di semua peringkat merentasi kawasan. Inilah manifestasi sebenar transformasi digital yang dihasratkan, teknologi yang memanusiakan pembangunan, tidak menghakis nilai insani, serta memperkasa potensi setiap lapisan rakyat agar tiada yang tertinggal.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

13. Membangunkan generasi yang cakna terhadap kelestarian alam sekitar wajib diberikan perhatian. Amatlah bertepatan dengan tuntutan semasa, usaha yang dirintis oleh sekolah, melalui Program Sekolah Tunas Hijau, yang menjadi pemangkin kepada pembentukan jati diri melalui budaya lestari amalan hijau dalam kalangan murid. Di bawah fasa satu program ini, seratus dua puluh lima buah sekolah telah berjaya mengurangkan seratus lapan puluh enam (185.61) tan sisa plastik, sekali gus menyumbang kepada pengurangan lebih enam ratus ribu (629,973.55) kilogram jejak karbon dioksida setara (CO2e). Kanak-kanak perlu dididik memahami kepentingan kitar semula, fungsi hutan sebagai kawasan tadahan air serta peranan paya bakau sebagai benteng semula jadi daripada hakisan dan ribut.

14. Majlis Agama Islam bersama Jabatan Agama Islam turut memperlihatkan kepekaan membantu usaha-usaha kelestarian alam sekitar. Enam puluh satu buah masjid telah dilengkapi sistem tenaga solar. Masjid-masjid digalakkan untuk memperkenalkan, membimbing dan menyediakan kemudahan untuk program kitar semula. Sekolah-sekolah di bawah Jabatan Agama Islam mengamalkan dasar sifar penggunaan plastik sekali guna.

15. Ancaman sisa plastik tiada noktahnya. Dukacita kesedaran masyarakat akan bahaya sisa plastik tersangat rendah. Usaha intervensi yang dilaksanakan tidak membuahkan hasil menurut yang dihasratkan. Demi memelihara maslahat umum dan menjamin kelangsungan hidup generasi pewaris, berkuat kuasa 1 Mac 2026, kerajaan Beta menetapkan larangan penggunaan beg plastik jinjit sekali guna di semua premis perniagaan tetap, serta di kawasan sensitif alam sekitar. Kita tidak boleh lagi berlengah atau sekadar mengharapkan kesedaran timbul dengan sendirinya tatkala alam sekitar berada dalam keadaan yang semakin tenat.

16. Khazanah alam semula jadi adalah manifestasi keagungan Ilahi. Manusia dan hidupan liar diciptakan untuk hidup secara simbiosis dan saling melengkapi demi keseimbangan ekosistem. Beta menyambut baik pelaksanaan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Malaya yang berpaksikan kelestarian habitat, serta penubuhan Pusat Santuari Gajah Perak di Gerik sebagai inisiatif strategik menangani konflik manusia dan haiwan secara berperikemanusiaan dan berasaskan sains konservasi. Usaha-usaha ini, disokong dengan pengekalan hampir satu juta (988,723.93) hektar Hutan Simpanan Kekal di negeri ini, diperkukuh melalui komitmen terhadap Pelan Induk Central Forest Spine sebagai kerangka strategik perancangan guna tanah yang lestari dan bersepadu.

17. Pengurusan alam sekitar tidak boleh lagi dianggap isu sampingan dalam era perubahan iklim yang sedang dialami. Perubahan iklim telah memberi kesan kepada jutaan manusia di seluruh dunia. Cuaca ekstrem dan bencana akibat perubahan iklim menyebabkan kerosakan harta benda dan berlakunya migrasi penduduk di kawasan-kawasan yang dilanda bencana. Perubahan iklim meningkatkan risiko banjir besar, kemarau dan tanah runtuh yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat. Sedarilah! Apabila manusia melakukan kezaliman secara berlebihan kepada alam sekitar, alam sekitar akan bertindak balas dengan memulangkannya kembali dalam bentuk bencana. Kos pemulihan bencana yang tinggi, membuktikan kerosakan alam sekitar pada akhirnya akan membebankan negara dan negeri dengan tanggungan kewangan yang lebih besar. Alam sebenarnya sedang memberi maklum balas terhadap perbuatan manusia yang telah melampaui batas etika dan rasional ekologi. Oleh itu wajib disedari bahwa pengurusan alam sekitar yang strategik akan menentukan masa hadapan negara. Penyelesaian sebenar bukan terletak pada penguatkuasaan undang-undang tetapi pada perubahan falsafah, daripada penguasaan kepada kebertanggungjawaban, daripada eksploitasi kepada penjagaan, dan daripada keangkuhan manusia kepada kerendahan diri sebagai sebahagian daripada alam.

18. Berdasarkan data satelit NASA, dunia kini menyaksikan peningkatan intensiti cuaca ekstrem merangkumi bencana banjir dan kemarau yang melonjak dua kali ganda dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, berbanding purata rekod 2003 hingga 2020. Malah, kita sedang berdepan dengan fenomena Hydroclimatic Whiplash; iaitu peralihan drastik daripada musim kemarau yang gersang kepada banjir besar yang melampau, berlaku dalam tempoh masa yang singkat. Keadaan ini telah memberi tekanan terhadap daya tahan infrastruktur sedia ada yang kini sukar untuk menampung impak bencana luar jangka. Oleh itu langkah-langkah proaktif mitigasi banjir diutamakan demi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat. Pelaksanaan projek tebatan banjir serta penyelenggaraan sungai yang berfokus telah mengurangkan jumlah lokasi titik panas (hotspot) banjir di seluruh negeri daripada tiga ratus tiga puluh dua lokasi pada tahun 2024 kepada dua ratus lapan puluh lokasi pada tahun 2025.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

19. Ekonomi biru ialah model ekonomi yang amat menitikberatkan penggunaan sumber laut, pesisir dan air tawar secara lestari untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan pekerjaan, sambil memelihara kesihatan ekosistem. Sektor perikanan diperkukuh melalui pendekatan ekonomi biru berasaskan sains, teknologi dan inovasi untuk mempertingkatkan hasil tangkapan serta konservasi. Sejak 2014 hingga 2025, sembilan puluh sembilan unit tukun telah dilabuhkan bagi menyokong habitat pembiakan ikan, perikanan, rekreasi dan kedaulatan laut. Pada tahun 2025, jumlah pendaratan mencecah empat ratus sebelas (410,759.83) ribu tan metrik bernilai hampir tiga perpuluhan empat (3.37) bilion ringgit.

20. Sumber perikanan sangat bergantung pada habitat dan ekosistem marin yang sihat. Sehubungan dengan itu Jabatan Perikanan telah melaksanakan program restorasi karang di Kepulauan Sembilan bagi memelihara dan memulihara semula habitat terumbu karang di kawasan tersebut. Program ini dapat membantu memelihara dan memperkukuhkan ekosistem marin di Kepulauan Sembilan, sekali gus menyokong kelestarian sumber perikanan serta keseimbangan biodiversiti laut di kawasan tersebut. Jabatan Perikanan turut aktif melaksanakan usaha pemuliharaan spesies terancam di negeri Perak seperti gamat emas. Sepanjang tempoh 2024 hingga 2025, kira-kira dua ratus ekor gamat emas telah dilepaskan di kawasan Pulau Pangkor, termasuk di sekitar Pusat Konservasi Penerangan Penyu Teluk Ketapang. Usaha konservasi penyu terus diperkukuh melalui pelbagai program kesedaran dan pengurusan pusat konservasi yang aktif. Sepanjang tahun 2025, lima puluh dua program konservasi penyu telah dilaksanakan oleh Pusat Konservasi Penyu Teluk Ketapang, Pangkor dan Segari.

21. Usaha memperkaya stok ikan air tawar turut dipergiatkan. Dua perpuluhan empat juta benih ikan asli dilepaskan di perairan umum sepanjang tahun 2025. Di samping itu, sepuluh tan metrik ikan asing berjaya dilupuskan sebagai salah satu langkah intervensi kritikal untuk mengembalikan dominasi spesies tempatan di perairan negeri.

22. Beberapa komponen sektor ternakan telah mencapai tahap pengeluaran, keperluan dan sara diri (SSR) melebihi seratus peratus; daging dan telur serta hasil tenusu menunjukkan perkembangan yang sangat positif, pencapaian hampir dua ratus tiga puluh (228.48) peratus bagi ayam pedaging, serta hampir dua ratus (198.54) peratus ayam dan itik penelur, begitu juga (197.7) hasil tenusu.

23. Sehingga tahun 2025, dua ribu lima ratus tujuh belas (2,517) buah ladang merangkumi keluasan lapan ribu sembilan ratus lima puluh satu hektar (8,951), menyamai tiga belas (13.1) peratus daripada enam puluh lapan ribu (68,173) hektar kawasan ladang, telah diberikan Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP-Malaysia Good Agriculture Practice). Dalam tahun semasa, Jabatan Pertanian menyasarkan 512 ladang lagi akan memenuhi kriteria layak diberikan sijil berkenaan.

24. Ekosistem keterjaminan makanan perlu menyeluruh bermula dari kediaman hingga ke peringkat komuniti. Sehingga tahun 2025, Program Keterjaminan Makanan telah melibatkan seratus lapan belas buah masjid sebagai pusat penggerak komuniti, manakala Projek Pertanian Bandar turut melibatkan dua ratus dua puluh tiga komuniti merangkumi kawasan perumahan, masjid dan surau, sekolah, perpustakaan serta tanah terbiar. Dengan peruntukan tiga perpuluhan dua tiga (3.23) juta ringgit, program ini telah memberi manfaat kepada hampir lapan puluh lima ribu (84,900) orang.

25. Pemahaman pentingnya keterjaminan makanan perlu diperluaskan melalui penglibatan generasi muda. Jabatan Pendidikan telah melaksanakan Program Cabaran Inovasi Keterjaminan Makanan di seratus enam belas buah sekolah dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak. Program ini berjaya mendidik peserta aspek kelestarian, amalan kitar semula, pemakanan sihat serta aplikasi teknologi seperti Internet of Things (IoT), automasi, akuaponik, baja bio dan pemprosesan makanan.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

26. Melalui pelbagai program, antaranya pemadanan kerjaya, bantuan modal perniagaan, latihan kemahiran, serta bantuan kebajikan, kerajaan Beta terus berusaha menangani isu kemiskinan. Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin yang dikunci dalam data Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri pada 7 April 2025, berjumlah dua puluh lima ribu, enam ratus tiga puluh lapan (25,638). Data pada 31 Disember 2025, menunjukkan seramai sebelas ribu, enam ratus empat puluh lapan (11,648) Ketua Isi Rumah telah berjaya dikeluarkan daripada senarai miskin, pencapaian 45 peratus, mengatasi sasaran 33 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan. Berdasarkan data eKasih, seramai 732 Ketua Isi Rumah berstatus miskin tegar berjaya dinoktahi, merekodkan pencapaian seratus peratus.

27. Pada masa yang sama, perlu diberikan perhatian tentang kemungkinan munculnya kumpulan miskin baharu atau kumpulan yang tidak kekal terus berada atas paras kemiskinan, disebabkan menghadapi faktor-faktor hutang, kesihatan, kos hidup yang meningkat, perpindahan, krisis rumah tangga, kematian ketua isi rumah, dan sebagainya. Usaha membasmi kemiskinan ialah usaha yang kompleks dan memerlukan pendekatan yang pelbagai secara berterusan. Fokus perlu diberikan kepada usaha untuk meningkatkan modal budaya dan modal sosial ahli keluarga yang berada dalam kategori miskin, terutama anak-anak keluarga miskin melalui peluang pendidikan yang saksama. Program pendidikan terbukti merupakan salah satu program rekayasa sosial yang berjaya mengubah status sosial dan status ekonomi individu dan keluarga.

28. Pendidikan merupakan teras utama pembangunan modal insan. Pelbagai inisiatif kini dirintis bagi memastikan tiada pelajar yang tidak mendapat akses kemudahan pendidikan, dan tiada pelajar yang tercicir daripada arus pembelajaran. Pelancaran Sekolah Terapung (PROKHAS) di Sekolah Menengah Kebangsaan RPS Kemar, Hulu Perak yang menggunakan model pembelajaran di atas air, telah membantu mengatasi isu keciciran murid Orang Asli di kawasan pedalaman. Program Pendidikan Komprehensif K11 dilancarkan, untuk memastikan lebih seribu tujuh ratus (1,761) murid Orang Asli di tiga buah sekolah rintis dapat menamatkan pengajian hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

29. Dalam usaha memastikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup dan pembelajaran murid di asrama, melalui pelaksanaan Program Asrama Harian, Sistem Keluarga Asrama (SisKA), Program Kelas TAKMIR, Program Transformasi Asrama MADANI, Bantuan Persekolahan Khusus Asrama dan Penyediaan Kemudahan Perabot Asrama.

30. Sepanjang tahun 2025, sejumlah 5.83 juta ringgit pembiayaan Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak telah memberi manfaat kepada 873 orang pelajar. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), telah menyalurkan dua puluh enam perpuluhan satu juta ringgit bantuan pendidikan kepada empat puluh lima (45,066) ribu orang pelajar. Yayasan Perak pula menyediakan peruntukan enam belas perpuluhan tujuh (16,655,455.00) juta ringgit untuk membiayai pelbagai program pemerkasaan pendidikan.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

31. Terletak dua buah penjara dan tiga pusat koreksional di negeri Perak, menempatkan lebih lapan ribu orang banduan. Secara purata setiap bulan seramai sembilan ratus orang banduan menamatkan hukuman, meninggalkan alam penjara untuk kembali menyertai masyarakat. Para banduan telah melalui pengalaman ditangkap oleh pihak polis, melalui pengalaman perbicaraan oleh mahkamah, dan melalui pengalaman tahanan oleh jabatan penjara. Bekas banduan akan terus terperangkap dalam putaran kejam akibat stigma dan persepsi negatif masyarakat yang menyukarkan golongan tersebut memulakan hidup baharu. Putaran kejam ini akan terus terjadi sekiranya masyarakat tidak berempati dengan situasi mereka, menyebabkan mereka terpaksa berhadapan dengan prejudis dan diskriminasi sosial.

32. Perlu ada badan yang memberikan perhatian kepada banduan yang telah tamat menjalani hukuman. Dengan perkenan Beta, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Penjara Negeri Perak, merintis program pembangunan ummah dengan memperkenalkan ‘model koreksional Islamik’ berimpak tinggi di Pusat Koreksional Batu Gajah dan di Penjara Tapah, dalam usaha pemulihan menyeluruh insan dari sudut jasmani, emosi, akal dan akhlak. Mulai Januari 2025, akademi tahfiz diwujudkan di Pusat Koreksional Wanita Batu Gajah; dan mulai Februari 2025, program hafazan al-Quran telah diperkenalkan di Penjara Tapah.

33. Selanjutnya, Beta turut memperkenankan untuk MAIPK bekerjasama dengan Jabatan Penjara Perak merintis usaha membantu banduan-banduan yang dibebaskan dari penjara. Beta telah menitahkan agar MAIPK memikirkan dana yang boleh digunakan untuk membiayai banduan yang dibebaskan berpeluang mengikuti program latihan kemahiran yang sesuai agar mereka dapat segera memulakan hidup yang produktif pasca menjalani hukuman penjara. Oleh itu badan-badan berkanun, GLC negeri, dewan-dewan perniagaan serta NGO disarankan tampil ke hadapan, berperanan konstruktif membantu banduan yang telah selesai menjalani hukuman untuk dapat memulakan hidup baharu secara produktif.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

34. Belia merupakan aset dan pewaris kepimpinan masa hadapan. Jati diri belia perlu diperteguh melalui penerapan serta penghayatan asas agama, adab serta pendidikan yang syumul. Pembangunan modal insan yang mantap amat kritikal bagi melahirkan generasi yang mampu melakar pencapaian luar biasa demi kemakmuran negeri.

35. Inisiatif serta program berpaksikan pemerkasaan belia hendaklah diperbanyakkan dan dipergiat. Usaha siswa Yayasan Perak, ‘Satu Parlimen – Satu Kelab Rakan Muda’ dan aktiviti sukarelawan telah menggilap potensi kepimpinan anak muda, seterusnya membentuk jati diri yang kukuh bagi melahirkan generasi pelapis yang berwibawa. Wakil belia turut dilantik menjadi ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, juga menjadi ahli Jawatankuasa Baitulmal di setiap daerah.

36. Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus komited memperkasa golongan belia melalui program pembangunan yang menyeluruh dan berstruktur. Pelbagai inisiatif dirangka bagi meningkatkan nilai tambah kerjaya, kebolehpasaran dan kemahiran belia di seluruh negeri. Dua ratus dua puluh empat program dan kursus telah dirancang yang dijangka memberi manfaat kepada lebih lima belas ribu belia.

37. Bagi memastikan kelestarian warisan budaya, program tahunan People Of Remarkable Talent (PORT) iaitu Kem Belia Kreatif telah diperkukuh sebagai platform pendedahan intensif yang berfokuskan eksplorasi artistik, semangat kolaborasi, dan kepimpinan kreatif menerusi bimbingan tokoh-tokoh seni terkemuka. Seramai enam ratus orang belia telah berjaya dilibatkan, sekali gus menyuntik nafas baharu dalam ekosistem kreatif.

38. Anak-anak muda dari negeri Perak turut mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa. Sembilan puluh dua orang atlet Negeri Perak terpilih mewakili negara dalam temasya Sukan SEA Thailand 2025. Lebih membanggakan, sebelas orang atlet tunas SUKMA Perak telah memperoleh sebelas pingat emas, tujuh pingat perak, dan lima belas pingat gangsa untuk negara. Tujuh belas orang atlet dari negeri Perak telah mewakili negara ke ASEAN Para Games Thailand 2025 dengan kejayaan meraih tujuh pingat emas, empat pingat perak dan enam pingat gangsa. Pencapaian ini mencerminkan semangat juang, ketabahan serta iltizam yang tinggi para atlet dalam semangat mahu mengharumkan nama negeri dan negara.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

39. Dalam era pentadbiran yang menuntut ketelusan, kecekapan serta kepekaan terhadap aspirasi rakyat, sejak tahun 2022, kerajaan Beta telah memperkenalkan inisiatif untuk memperkukuh pendekatan tadbir urus yang responsif melalui Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan. Program ini telah berjaya merapatkan jurang antara rakyat dengan pentadbiran negeri, melalui interaksi bersemuka, penyampaian perkhidmatan secara terus serta penyelesaian isu secara lebih pantas lagi berkesan.

40. Program ini secara keseluruhannya telah menjadi simbol kepada transformasi pendekatan pentadbiran kerajaan Beta yang lebih terbuka, telus dan responsif, berpaksikan rakyat. Program ini membuktikan iltizam jentera pentadbiran negeri yang prihatin, bersedia mendengar, memahami dan mengambil tindakan susulan untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat.

41. Program ini berperanan sebagai wahana penting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kerajaan dan rakyat. Melalui pendekatan yang lebih terbuka dan inklusif, program ini membolehkan rakyat menyuarakan pandangan, cadangan serta permasalahan secara langsung kepada pihak berwajib, sekali gus memastikan suara rakyat diberikan perhatian sewajarnya. Sepanjang tahun 2025, lapan program telah diadakan di sekitar negeri Perak.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

42. Ekonomi global kini berdepan ancaman besar akibat krisis tenaga susulan perang di Asia Barat, yang berpotensi mencetuskan krisis tenaga terburuk yang pernah dunia alami. Tiada suatu pun negara di dunia dapat terlepas daripada tempiasnya. Dengan ekonomi yang terbuka, Malaysia juga terpaksa berdepan risiko pendedahan, menghadapi bukan sahaja kejutan harga minyak global, bahkan jaminan bekalan, yang dijangka memberi kesan rantaian kepada kos pengeluaran serta harga barangan dan perkhidmatan, kuasa beli rakyat dan inflasi, malah berkemungkinan beralih kepada tekanan fiskal, kerentanan perdagangan, juga sentimen pelabur, di samping risiko geopolitik yang kompleks.

43. Kerajaan Beta sewajarnya mengambil iktibar dengan apa yang sedang berlaku. Kerajaan Beta tidak boleh berpeluk tubuh, bersikap penonton yang pasif; sebaiknya kerajaan Beta hendaklah melihat krisis yang sedang berlaku sebagai loceng amaran untuk merintis langkah-langkah proaktif, langkah kurang kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai penyelesaian jangka panjang. Kerajaan Beta sewajarnya segera melakukan usaha membangunkan kemudahan untuk menggalakkan rakyat memiliki opsyen, boleh beralih kepada tenaga alternatif, termasuk kenderaan elektrik; dan sumber tenaga boleh diperbaharui, solar dan hidro. Usaha peralihan kepada tenaga alternatif hendaklah dirancang, disegerakan, dan dilaksanakan secara bersungguh. Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik yang wajib disegerakan.

44. Dalam menghadapi cabaran yang besar ini, di samping usaha-usaha yang dirintis oleh kerajaan, rakyat turut mempunyai tanggungjawab menghayati semangat berat sama dipikul, gunung sama didaki, berganding bahu membantu negara melalui detik yang sukar lagi mencabar dengan mengamalkan sifat berhemah dan berjimat cermat, membantu mengurangkan penggunaan bahan api seterusnya mengurangkan subsidi kerajaan. Rakyat hendaklah bijak mengamalkan gaya hidup berjimat tenaga melalui penggunaan elektrik yang terkawal, di samping mengamalkan budaya penjimatan dan mengelakkan pembaziran terutamanya bahan makanan.

45. Konflik Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran bukan sekadar percaturan politik dan ketenteraan, bahkan membawa kesan besar terhadap kestabilan, keselamatan serantau, ekonomi dunia dan emosi umat manusia. Negara perlu melakukan persiapan secara zahir dan batin untuk menghadapi kemungkinan krisis global yang berpanjangan. Kekuatan ekonomi domestik mesti diperkukuhkan, keselamatan makanan dipastikan, kestabilan kewangan dijaga dan perpaduan rakyat dipelihara supaya negara tidak mudah terpengaruh dengan sentimen dan sensasi. Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan menganut pelbagai agama, keharmonian ialah aset paling berharga yang wajib dipertahankan.

46. Negara berkemungkinan menghadapi risiko darurat tenaga dan bekalan makanan. Dalam usaha menangani krisis yang besar lagi kritikal ini, kerajaan dan rakyat perlu bersatu. Rakyat perlu difahamkan mengenai punca dan magnitud krisis yang sedang berlaku, serta kesan dan implikasi terhadap kehidupan harian mereka, melalui pelan komunikasi berkesan, disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami oleh rakyat biasa. Ini bukan masanya untuk menangguk di air keruh, mensensasikan dan mengeksploitasi keadaan bagi tujuan politik yang sempit. Anggota Dewan Negeri baik dipihak kerajaan begitu juga di barisan pembangkang, pemimpin-pemimpin politik dan pemimpin-pemimpin masyarakat, begitu juga pihak swasta dan kerajaan, hendaklah mencari titik pertemuan dan persamaan, menunjukkan semangat bersatu, saling bekerjasama untuk menangani krisis ekonomi yang bakal melanda, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara, membuktikan kesungguhan mengutamakan nasib rakyat, ke hilir sama menghilir, ke hulu sama menghulu; merangka formula berkesan untuk menangani keadaan yang sangat membimbangkan ini, demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

47. Semoga Negeri Perak Darul Ridzuan dilimpahi rahmat, dikurniai keamanan dan dianugerahi kemakmuran; rakyatnya diberkati Ilahi dengan taufik dan hidayah. Dengan lafaz بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ , Beta merasmikan Pembukaan Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Kelima Belas.

%d bloggers like this: