Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Keenam Puluh Lapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

ISTIADAT

MENGHADAP SEMBAH TAAT SETIA

DAN

PENGANUGERAHAN DARJAH KEBESARAN

NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

SEMPENA

SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN

KEENAM PULUH LAPAN

DULI YANG MAHA MULIA

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI

ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH

AL-MAGHFUR-LAH

TARIKH: 7 JAMADILAWAL 1446 / 9 NOVEMBER 2024 (SABTU)

JAM: 9.30 PAGI

TEMPAT: ISTANA ISKANDARIAH, KUALA KANGSAR.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala yang telah mengurniakan darjat dan daulat ke atas takhta pemerintahan, serta melimpahkan rahmat keamanan dan kemakmuran ke atas Negeri Perak Darul Ridzuan.

YA RAAFI! YA ADZHIIM! YA MALIKUL MULK! YA ZUL JALAALI WAL IKRAM!

2. Maha suci Allah yang menciptakan langit dan bumi… dan (Dialah juga) ketika (hendak menjadikan sesuatu) berfirman, “Jadilah!”, lalu terjadilah. Firman Nya itu adalah benar. Dan bagi Nya kuasa pemerintahan pada hari sangkakala ditiup. Dia mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.[1] Maha Berkat (serta Maha Tinggi kelebihan) Allah yang menguasai (segala) pemerintahan (dunia dan akhirat). Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.[2] Dengan berkat keagungan Asmaul Husna, hamba-Mu ini, dengan hati yang hening – dengan ingatan yang bening, melafazkan kalam yang tulus daripada pancaran hati akan kalimah kesyukuran kerana dengan limpah ihsan dari Mu jua, hamba-Mu dikurniai usia dan keafiatan, memungkinkan hamba-Mu menyambut ulang tahun hari keputeraan kali ke-enam puluh lapan.

3. Istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Iskandariah pagi ini, sempena ulang tahun keputeraan raja pemerintah, melambangkan citra – mendaulatkan institusi kesultanan, pelanjutan adat – kesinambungan budaya – berlangsung dalam era modenisasi, betapa keindahan adat dan kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi negara bangsa, memungkinkan semangat kenegaraan dan semangat ketatanegaraan berlandaskan negeri beraja – rakyat bersultan, terus dijelmakan, dinafaskan, difahami dan dihayati.

4. Tahun ini negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-enam puluh tujuh. Pada 6 Disember 2024, genaplah 34 tahun Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra, yang dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia meninggalkan kita – menyahut panggilan Ilahi. Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman (Almarhum) dan rakan-rakan seangkatan pengasas kemerdekaan, memilih sistem bernegara dan sistem berkerajaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dan negara Malaysia, berkonsepkan raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen, berpaksikan doktrin pengasingan kuasa, yang didukung oleh tiga entiti berasingan, ia itu cabang perundangan, cabang eksekutif dan cabang kehakiman.

5. Demokrasi yang sihat dan negara yang progresif, mengutamakan amalan perimbangan kuasa, menghormati amalan semak dan imbang antara tiga cabang kerajaan tersebut. Penumpuan kuasa yang keterlaluan kepada mana-mana institusi, atau kelemahan ketara salah satu daripada institusi tersebut, biasanya menjadi punca kepada ketempangan perjalanan negara, menjurus kepada tercicirnya keadilan, mendorong kepada penyalahgunaan kuasa, mengakibatkan perpecahan rakyat, berakhir dengan persengketaan warga, selanjutnya keruntuhan kerajaan.

6. Enam puluh tujuh tahun lalu, negara kita telah dibina dengan falsafah kenegaraan yang mengutamakan semangat bekerjasama antara rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa. Meskipun sudah enam puluh tujuh tahun mencapai kemerdekaan, negara masih belum mencapai status sempurna. Pelayaran untuk mencapai tahap kesempurnaan tidak ada penghujungnya, tetapi bahtera negara akan mendampingi pelabuhan kesempurnaan jika pemimpin dan warga memilih untuk menyisihkan perbezaan dan mencari penyebut biasa (atau common denominator); pemikiran diilhamkan dengan sangka baik; dibenamkan sangka buruk yang didorong oleh nafsu; kerana sifat bersangka buruk itu bukan sahaja melihat yang jahat sebagai jahat, malangnya yang baik juga dilihat sebagai jahat, akibatnya penglihatan menjadi buta kebaikan.

7. Negara kini sedang menghadapi perkembangan yang semakin mengancam perpaduan warga. Apabila agama dan kaum dijadikan benang tenunan untuk menganyam hamparan politik, dan apabila agama dan kaum dijadikan mata wang yang sah (legal tender) untuk meraih laba politik, retorik-retorik atas nama agama yang bernada keterlaluan, dan slogan-slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif semakin digemakan. Retorik dan slogan sedemikian, laksana bara yang semakin menyalakan puntung – menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung, akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara.

8. Dibimbangkan rakyat semakin disemaikan prasangka, disuntik racun curiga. Rakyat kelihatan semakin hilang kompas pedoman untuk menemui titik penyatuan. Negara ketika ini memerlukan kebijaksanaan dan hikmah pimpinan, yang membolehkan rakyat berasa senang dan selesa, tidak memiliki prasangka – tidak berasa curiga, di sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian yang dikurniakan di bumi ini. Kaum, budaya dan bahasa yang pelbagai, adalah antara ciptaan, yang menunjukkan kebesaran Ilahi. Negara Malaysia yang begitu pelbagai rakyatnya, telah ditentukan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala. Firman Allah dalam ayat 118 dan 119 Surah Hud, bermaksud:

“Dan kalau Tuhan mu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan.

Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhan mu, (mereka bersatu di dalam agama ALLAH); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah ALLAH menjadikan manusia…”[3]

9. Bahawa raja pemerintah yang bertakhta ialah simbol kedaulatan tanah air warisan Melayu, berperanan sebagai benteng dan kubu pelindung agama Islam dan budaya Melayu, sekali gus memberikan keselesaan psikologi dalam minda umat Islam dan orang Melayu. Namun raja pemerintah juga perlu memberikan naungan saksama kepada warga yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa yang telah bermastautin di bumi ini, yang terbukti telah menumpahkan kesetiaan kepada raja dan negara, menghayati semangat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Takhta, dalam menjunjung amanah Ilahi perlu memenuhi doa dan harapan warga; berperanan sebagai payung naungan tempat berteduh kepada setiap warga yang telah sama-sama memecah ruyung menghasilkan sagu, warga yang telah sama-sama mendaki bukit meredah lembah, warga yang telah sama-sama mengharungi ombak menempuh badai untuk membangunkan sebuah negara yang merdeka, aman, makmur lagi berdaulat.

10. Di samping isu agama dan kaum yang disensasikan, semakin didengari suara-suara yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja. Sesungguhnya raja pemerintah itu di samping berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, turut berperanan utama, menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa, yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa, lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif. Hal ini menjadi amat relevan, bertambah relevan, malah semakin relevan ketika masyarakat kita sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya. Belakangan ini, perbuatan mahu mengetepikan adab, malah memijak adat, semakin dipelopori oleh kalangan yang buta huruf terhadap sejarah negaranya, kalangan yang cetek tentang tamadun bangsanya, kalangan yang berminda budaya pelarian, minda yang terapung-apung, minda yang tidak ada akar budaya, lalu melanggar adab dan menyisihkan adat.

11. Terlalu berharga untuk tamadun yang telah dibina, dibenarkan untuk dimusnahkan kerana perbuatan yang dicetuskan oleh individu dan organisasi yang longgar pegangan adat, dan kosong fahaman adabnya; cerdiknya tidak boleh diikut dan dungunya tidak boleh diajar, tetapi bernafsu besar untuk memperkenalkan tatacara baharu, bersuara dan berkelakuan sumbang tidak bertempat, mempromosikan tingkah dan laku yang sangat bercanggah dengan kesopanan adat dan kehalusan adab. Warga perlu disedarkan untuk menolak perbuatan pencerobohan budaya, dan ditolak secara total kata dan suara, tingkah dan laku yang melanggar sempadan adab dan adat. Warga tidak boleh dibenarkan menjadi warga yang tidak bertamadun, miskin adab – papa adat.

12. Beta hargai lafaz yang dizahirkan oleh Raja Muda, demikian juga ucapan yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, bersetia menjunjung di atas batu jemala, ikrar ketaatsetiaan kepada takhta pemerintahan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Semoga Beta tidak dilalikan, tidak dilekakan dalam mimpi indah, tidak dibuai kata-kata pujian berunsur pelipur lara. Ahli-ahli Dewan Negara, para ulama dan umara, hendaklah senantiasa menyembahkan kepada Beta kisah benar, berlandaskan fakta, agar Beta tidak akan tergelincir daripada menyempurnakan amanah Ilahi secara adil – secara saksama. Mudah-mudahan terus ditingkatkan wasilah antara Beta dengan rakyat jelata.

13. Beta amat insaf akan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas diri Beta. Kesempurnaan menyempurnakan amanah ini, bukan sahaja diperhatikan oleh rakyat jelata, tetapi merupakan ujian besar Ilahi, yang akan dinilai pada hari kebangkitan di Mahkamah Rabbuljalil seperti yang terkandung dalam ayat 9, Surah Ali Imran bermaksud:

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada keraguan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji”[4]

YA MALIK! YA MUHAIMIN! YA AZIZ! YA JABBAR!

14. Kepada Mu, Ya ALLAH hamba-Mu yang serba kerdil lagi daif ini, memohon petunjuk menemui Siratulmustakim, iaitu jalan orang yang telah Engkau kurniai nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang dimurkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat,[5] berupaya menyempurnakan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang Amirulmukminin, memayungi negeri – menaungi warga, secara adil – secara saksama. Ya Allah! Kurniai bumi Perak Darul Ridzuan ini sebagai bumi yang baik (aman dan makmur) seperti yang digambarkan dalam firman Mu yang terkandung dalam ayat 15 Surah Saba, Baldatun Tayibun Warabur Gahffur.[6] Semoga negeri dan rakyat Perak Darul Ridzuan senantiasa mendapat lindungan daripada Mu jua, dan dilimpahi segala keberkatan fid-dunia wal akhirat. Ya Allah! Makbulkan doa kami; Amin! Ya Rabbulalamin.

Termaktub di Istana Iskandariah

Kuala Kangsar

9.11.2024

  1. Al-Quran, Al-Anaam (6:73)
  2. Al-Quran, Al-Mulk (67:1)
  3. Al-Quran, Hud (11:118-119)
  4. Al-Quran, Ali Imran (3:9)
  5. Al-Quran, Al-Fatihah (1:7)
  6. Al-Quran, Saba (34:15)
%d bloggers like this: