MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN MAHKAMAH SYARIAH TAIPING

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN MAHKAMAH SYARIAH TAIPING

TARIKH: 23 MUHARAM 1446H / 29 JULAI 2024 (ISNIN)

JAM: 3.00 PETANG

TEMPAT: MAHKAMAH SYARIAH TAIPING, PERAK

“Mendukung prinsip kedaulatan Undang-undang”

Salam Sejahtera.

Mahkamah berperanan sebagai dewan atau majlis pengadilan; tempat para hakim mentafsir undang-undang, mendengar hujah-hujah mengenai perkara yang dipertikaikan, meneliti bahan bukti yang dikemukakan, dan mengadili perkara yang dipertikaikan, berlandaskan undang-undang yang telah dikanunkan.

2. Sehubungan dengan itu, undang-undang yang digubal hendaklah bersifat dinamik dan bertenaga supaya kekal relevan serta berupaya memenuhi keperluan semasa, situasi semasa, cabaran semasa, kemajuan dan teknologi semasa. Untuk meningkatkan kualiti sistem perundangan dan kehakiman syariah di negeri Perak, amatlah penting dilakukan kajian, mengenal pasti klausa-klausa dalam enakmen yang tidak lagi relevan atau didapati kurang sesuai dengan perkembangan semasa. Klausa-klausa dan peraturan-peraturan sedia ada, yang dilihat boleh menghalang, melewatkan, dan menggelincirkan proses keadilan, merangkumi kaedah penguatkuasaan dan hukuman yang dikenakan, perlu dimusyawarahkan untuk dilakukan pindaan dan penambahbaikan.

3. Undang-undang merujuk kepada peraturan atau ketetapan untuk mengawal selia tatakelakuan masyarakat, berperanan penting dalam kehidupan masyarakat demi menjamin terlaksananya keadilan. Prinsip kedaulatan undang-undang yang diterapkan sebagai Rukun Negara ke-empat, meletakkan undang-undang berada di kedudukan yang tinggi; dan tiada kerajaan, tiada organisasi, tiada institusi atau orang perseorangan yang kebal, boleh melakukan sekehendak hati, mengatasi undang-undang yang telah ditetapkan dan memiliki keabsahan dan legitimasi.

4. Para hakim diamanahkan tanggungjawab untuk mentafsir undang-undang. Kebebasan badan kehakiman (judiciary independency) mentafsir undang-undang turut dimiliki oleh Mahkamah Syariah. Para hakim Mahkamah Syariah hendaklah memiliki iltizam, keberanian, ketegasan mengadili kes-kes dengan penuh berintegriti, tanpa kelengahan, tanpa gentar dan tanpa pilih kasih supaya tidak mencalarkan kepercayaan masyarakat terhadap mahkamah. Paduka Ayahanda Beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) dalam artikel bertajuk “Supremacy of the Law”, in Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance (2004) menulis kenyataan berikut:

Petikan:

“In matters concerning the judiciary, it is the public perception of the judiciary that ultimately matters. A judiciary loses its value and service to the community if there is no public confidence in its decision-making”[1].

Terjemahan:

“Dalam perkara berkaitan badan kehakiman, persepsi awam terhadap badan kehakiman sangatlah penting. Badan kehakiman kehilangan nilai dan perkhidmatannya kepada masyarakat, jika tidak ada keyakinan orang ramai terhadap keputusan yang dilakukan oleh mahkamah”.

5. Selaras dengan perkembangan teknologi masa kini, kualiti penyampaian perkhidmatan Mahkamah Syariah perlu dipertingkatkan. Teknologi digital perlu dimanfaatkan bagi memperluas dan mempermudah akses anggota masyarakat kepada sistem keadilan Syariah. Teknologi pendaftaran elektronik secara dalam talian dengan kemudahan pembayaran Internet tanpa tunai perlu dioptimumkan pelaksanaannya di Mahkamah Syariah. Kemudahan sistem teknologi perbicaraan seperti sistem kemudahan rakaman audio perbicaraan dan sistem transkrip rakaman perbicaraan (Court Recording and Transcription (CRT) System) yang sudah diguna pakai di Mahkamah Sivil hendaklah turut diguna pakai di Mahkamah Syariah. Untuk itu, Beta menyeru kepada Kerajaan Beta mempertimbangkan peruntukan dalam belanjawan negeri pada tahun 2025, membolehkan Mahkamah-mahkamah Syariah di Negeri Perak dilengkapi dengan kemudahan rakaman audio perbicaraan dan sistem transkrip rakaman perbicaraan agar dilihat tidak tertinggal jauh ke belakang berbanding kemudahan peralatan yang dilengkapi di Mahkamah Sivil. Dengan mengguna pakai peralatan teknologi terkini, norma kerja di Mahkamah Syariah dapat dihijrahkan kepada norma baharu yang lebih cekap dan lebih produktif, di samping dapat membantu para hakim dan pegawai mahkamah lebih berfokus, lantas berupaya membuat penghakiman secara lebih cekap.

6. Kemuliaan mahkamah bergantung pada pelbagai ‘actors’ atau pemegang watak. Di samping para hakim dan pendakwa, peguam bela, saksi, pegawai yang menyediakan bukti dan bahan siasatan, setiap seorang daripada mereka hendaklah bersikap saling membantu ke arah membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan, serta mengutamakan kes-kes dapat diselesaikan tanpa berlengah. Keadilan yang sejati akan dapat diserlahkan jika pelbagai watak yang muncul di mahkamah menghayati semangat dan mengamalkan falsafah kerja yang mengutamakan fakta dan kebenaran berasaskan keinsafan dan kesedaran bahawa Allah Subhanahu Wata’ala Maha Mengetahui.

7. Kepada Mu Ya Allah, hamba-Mu bermohon agar para hakim, para pegawai mahkamah dan para peguam yang memenuhi tanggungjawab fardu kifayah di Mahkamah Syariah Taiping dan begitu juga di semua Mahkamah Syariah di negeri ini akan mendapat hidayah Mu, bersifat jujur dan ikhlas, serta mendapat inayat Mu melaksanakan hukum secara adil lagi saksama. Ya Allah lindungi para hamba-Mu daripada terjerumus melakukan perkara-perkara mungkar, seperti berdusta, memfitnah, melakukan sogokan dan menerima rasuah hingga mengakibatkan tergelincirnya keadilan; jadikanlah Mahkamah Syariah ini cermin keadilan yang murni, sebagai imbasan akan proses penghakiman yang akan berlaku di Padang Mahsyar, yang tidak ada sebarang keraguan akan kesahihan kebenaran kesaksian. Amin, Ya Rabbulalamin.

Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Bangunan Mahkamah Syariah Taiping.

  1. Supremacy of the Law”, in Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance (2004) page 14:
%d bloggers like this: