MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1446H PERINGKAT NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI

ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH

AL-MAGHFUR-LAH

MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1446H

PERINGKAT NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

TARIKH: 1 MUHARRAM 1446H / 7 JULAI 2024 (AHAD);

JAM: 10.00 PAGI

TEMPAT: CASUARINA@MERU, IPOH.

“MINDA STRATEGIK PENCETUS UMMAH DINAMIK”

Peristiwa hijrah berlaku pada tahun keempat belas kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam. Peristiwa hijrah membuka lembaran baharu, memperkenalkan pendekatan dan kaedah baharu dalam usaha memenuhi wawasan dan mencapai matlamat dakwah Islamiah. Pendekatan baharu yang diperkenalkan dan kaedah baharu yang dilaksanakan telah memberikan lonjakan, mengupayakan Islam berkembang lebih pesat lagi meluas, menghasilkan kejayaan besar kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, para sahabat dan umat Islam keseluruhannya.

2. Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak memilih tema “MINDA STRATEGIK PENCETUS UMMAH DINAMIK”. Minda atau pemikiran yang strategik, ialah minda yang memberi fokus kepada hasrat yang mahu dicapai; minda yang berfikiran ke hadapan, bersifat proaktif, memperlengkapkan diri agar lebih bersedia untuk menghadapi cabaran, di samping memikirkan penyelesaian menghadapi cabaran yang menghalang, serta bijak merebut peluang yang terhampar. Minda yang strategik akan berani membawa diri melangkah keluar daripada norma biasa, melihat sesuatu situasi melalui lensa yang lebih luas. Minda yang strategik akan melakukan analisis dan perancangan, mencetus idea baharu ke arah mencapai matlamat, agar dapat berkembang maju dalam persekitaran yang berubah lagi kompetitif.

3. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam sentiasa mencernakan minda yang strategik dalam usaha mahu mengangkat martabat ummah sebagai insan karamah. Baginda dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang bijaksana, diserlahkan melalui daya pemikiran strategik dan mengamalkan pendekatan strategik ketika diamanahkan mengurus perniagaan; selanjutnya daya pemikiran strategik menjadi kunci kejayaan Baginda ketika mengatur langkah untuk mengembangkan Islam setelah diangkat bertaraf rasul, demikian juga ketika mentadbir urus negara dan memimpin angkatan perang. Melalui pemikiran strategik yang dimiliki dan tindakan strategik yang diamalkan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam telah mencapai pelbagai kejayaan. Beta memilih memberikan fokus kepada empat pendekatan strategik Baginda:

4. Pertama: Setelah diangkat bertaraf rasul dan menerima wahyu Allah Subhanahu Wata’ala, Baginda tidak gopoh untuk menyampaikan mesej Islam secara terbuka. Baginda juga tidak terburu-buru terus mengisytiharkan bumi Mekah ditadbir urus berpaksikan Islam. Di sebaliknya, Baginda terlebih dahulu meneliti suasana dan persekitaran, lalu memilih pendekatan paling sesuai, memperkenalkan Islam pada peringkat awal melalui gerakan dakwah yang dilakukan secara sulit; bermula dengan bilangan yang kecil, dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat rapat. Islam disemarakkan bagai api dalam sekam, terselindung nyalaannya daripada pandangan mata umum, demi memastikan keselamatan para pengikut terawal yang menghadapi tentangan hebat daripada pihak musyrikin Quraisy Mekah. Secara sabar dan gigih, kumpulan teras dapat dibentuk hasil daripada usaha dakwah tahap pertama. Kumpulan teras yang dibentuk, selanjutnya berperanan sebagai nukleus penggerak, merintis gerakan dakwah secara terbuka hingga berjaya meruntuhkan sedikit demi sedikit tembok kejahilan yang membelenggu penduduk Mekah.

5. Pendekatan berhati-hati dan tidak gopoh dipilih atas kesedaran Baginda bahawa cetusan perkara baharu memerlukan masa untuk mendapat pemahaman sebelum dapat diterima dan dihayati. Ummah perlu mengambil iktibar akan pentingnya memiliki sifat sabar dan sifat gigih ketika memperkenalkan sesuatu perkara baharu, memikirkan pendekatan strategik agar perkara baharu yang mahu diperkenalkan dapat disampaikan secara terang, diterangkan secara jelas, dan dijelaskan secara berkesan agar benar-benar difahami sebelum dapat diterima. Perkara baharu perlu disampaikan melalui daya komunikasi dan daya penyampaian yang berkesan. Manusia memerlukan fahaman yang jelas dan masa yang munasabah sebelum dapat menerima dan menghadamkan sesuatu perkara baharu. Meski menerima wahyu dan mendapat petunjuk Ilahi, di samping bimbingan daripada Jibrail Alaihissalam, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, secara sabar dan gigih, terlebih dahulu menjalankan gerakan dakwah fasa pertama untuk memperkenalkan dan meyakinkan ummah akan kalimah tauhid keesaan Allah, sebelum melangkah ke tahap kedua memperkenalkan perkara-perkara yang lebih luas mengenai Islam. Demikian juga, wahyu yang diturunkan di Mekah, melalui 4780 ayat Makkiyyah, umumnya mengandungi hal-hal berhubung keimanan, ancaman, dosa dan pahala, kisah-kisah umat terdahulu, yang mengandungi pengajaran dan budi pekerti.

6. Kedua: Setelah mendapat perintah daripada Allah Subhanahu Wata’ala, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, mengatur strategi melakukan hijrah. Baginda berjaya meyakinkan para pengikut bukan sahaja untuk meninggalkan anutan spiritual terdahulu, tetapi turut berjaya meyakinkan mereka untuk bersedia secara fizikal meninggalkan kampung halaman di Mekah berhijrah ke Madinah.

7. Madinah menyediakan persekitaran yang memangkinkan perkembangan Islam. Kaum Ansar Madinah bukan sahaja menyambut kedatangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, malah memperlihatkan sifat pengorbanan yang tinggi, bersedia berkongsi harta milik mereka dengan rombongan Muhajirin Mekah. Nilai dan akhlak istimewa kaum Ansar digambarkan melalui firman Allah Subhanahu Wata’ala, bermaksud:

“Orang (Ansar) yang telah mendiami negeri (Madinah) dan telah beriman sebelum (kedatangan) mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka; dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan juga memerlukan. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhil, maka merekalah orang-orang yang berjaya”

8. Berhijrah ke Madinah merupakan langkah strategik memangkinkan perkembangan dakwah Islamiah. Madinah menyediakan persekitaran dan iklim yang menyuburkan pertumbuhan benih Islam yang mula berpohon. Wahyu Ilahi terus disampaikan kepada Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam melalui 1456 ayat Madaniyyah, mengandungi perkara-perkara berkaitan hukum, merangkumi hukum-hukum duniawi menyentuh antaranya hukum ketatanegaraan, hukum kemasyarakatan, hukum perang, hukum antarabangsa, dan hukum antara agama. Ayat-ayat yang diturunkan di Madinah memberi panduan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam memenuhi peranan sebagai ketua negara untuk memerintah sebuah negara Islam yang dibangunkan setelah syariat bertapak kukuh di dada umat Islam, demikian juga membantu Baginda untuk memimpin angkatan perang, merangkaikan hubungan antarabangsa juga perhubungan antara agama.

9. Sesungguhnya langkah berhijrah ke Madinah yang berlandaskan wahyu Ilahi membuka ruang peranan lebih besar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, beralih peranan daripada seorang pendakwah yang mengembangkan ajaran Islam menjadi seorang pemerintah dan negarawan, menjayakan penaklukan Mekah dan penyebaran Islam di seluruh Jazirah Arab.

10. Ketiga: memahami pentingnya penyatuan dan perpaduan, lalu berjaya menyatukan puak Ansar dan Muhajirin sebaik sampai di Madinah, disusuli dengan strategi membina kesatuan ummah yang kukuh dan menjalinkan kerjasama dengan penduduk pelbagai agama, fahaman, kaum dan kabilah dengan memperkenalkan instrumen pemerintahan dalam bentuk perlembagaan bertulis, iaitu Piagam Madinah, berperanan sebagai kitab rujukan pemerintahan bertulis yang tersurat memberi jaminan dan perlindungan secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terdiri daripada pelbagai kabilah, kaum dan agama.

11. Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama dalam sejarah berkerajaan yang tidak ada duluan. Menggubal sebuah piagam bertulis merupakan satu pembaharuan, memperkenalkan instrumen pemerintahan berbentuk undang-undang bertulis, yang dapat menyuratkan untuk bacaan, penelitian dan fahaman umum, apa juga yang tersirat dalam pemikiran pemerintah. Sesungguhnya penggubalan Perlembagaan Madinah melambangkan produk daripada pemikiran yang strategik.

12. Kewujudan pelbagai bangsa dan suku ialah ciptaan Ilahi, menandakan kebesaran Ilahi seperti yang tersurat dalam ayat 13 surah al-Hujurat yang diturunkan di Madinah; dan Allah Subhanahu Wata’ala memerintahkan untuk manusia saling kenal mengenal. Demikian juga seruan Ilahi melalui ayat 8, surah al-Maidah yang juga diturunkan di Madinah menyeru orang beriman untuk senantiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, dengan menerangkan kebenaran dan peringatan Ilahi jangan sekali-kali kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong berlakunya tidak adil.

13. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam menerima hakikat ciptaan Ilahi yang mewujudkan manusia berbagai-bagai bangsa dan suku untuk saling kenal mengenali. Baginda mengambil langkah menjalinkan hubungan kerja secara harmoni antara kabilah, kaum dan penganut agama yang berlainan kerana Baginda berpendirian kesatuan ummah dan hubungan kerjasama penduduk yang pelbagai kaum dan anutan agama merupakan asas dan prasyarat untuk membangunkan sebuah negara yang aman dan makmur.

14. Keempat: Perjanjian Hudaibiyah boleh dianggap sebagai fasa ketiga dalam gerakan memberikan kemenangan besar kepada umat Islam. Setelah berjaya membina kekuatan di Madinah, menjadi azam Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam untuk bukan sahaja kembali ke Mekah tetapi meletakkan Mekah terutamanya Kaabah sebagai milik umat Islam. Mekah diperoleh oleh umat Islam bukan melalui peperangan tetapi melalui langkah bijak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam mengadakan perjanjian perdamaian. Baginda memilih perdamaian daripada persengketaan dan perundingan daripada perbalahan; meskipun kelihatan mengalah secara luaran untuk jangka masa pendek tetapi telah menghasilkan kemenangan secara dalaman untuk jangka masa panjang.

15. Dalam dunia yang semakin menghadapi konflik dan dilanda perpecahan, strategi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang pernah menghasilkan kejayaan, hendaklah dikunjungi, dikaji, diterokai, difahami dan diadaptasi untuk menawarkan harapan baharu. Dengan mengkaji pendekatan Baginda, ummah boleh mendapat pengajaran dan panduan berharga untuk urusan-urusan penyelesaian konflik, perundingan, pembangunan masyarakat, serta untuk memperlengkapkan diri menghadapi cabaran semasa.

16. Mengamati sirah, ternyata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam seorang strategis, bijak merancang, melaksana, menilai dan mengambil langkah penambahbaikan hingga risalah Islam berjaya disebarkan dengan pesat dan meluas. Meski mencapai kemenangan dan mencipta kejayaan, Baginda kekal bersifat sederhana, mengamalkan sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi dan senantiasa insaf akan taraf Baginda hanya seorang hamba di sisi Allah Subhanahu Wata’ala.

17. Ketika melangkah masuk ke tahun baharu Hijrah 1446, sewajarnya ummah menjadikan panduan dan pedoman pemikiran strategik Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang berperanan utama membolehkan syiar Islam berkembang dengan menakjubkan. Inisiatif Baginda yang memperkenalkan langkah-langkah inovatif berjaya menyatukan puak-puak yang berselisih menjadi ummah yang bersatu, serta kejayaan membentuk nilai kemanusiaan sejagat, wajib dijadikan pegangan oleh pemimpin semasa. Kepimpinan Baginda hendaklah dijadikan contoh teladan bagaimana kepimpinan yang berwawasan dan hikmah yang abadi berupaya melakukan transformasi meskipun berhadapan pelbagai dugaan, cabaran dan halangan.

18. Alhamdulillah Islam semakin tersebar dan terus berkembang ke serata dunia. Setelah 1446 tahun berlalunya peristiwa hijrah, Islam kini dianuti oleh 1.9 bilion orang, menyamai 24.1 peratus penduduk dunia. Umat Islam yang terdiri dari pelbagai kaum, berlatar belakangkan pelbagai budaya, dan menguasai pelbagai bahasa, kini menjadi penduduk majoriti di 49 buah negara. Umat Islam hari ini tidak tewas daripada segi kuantiti tetapi cabaran utama yang dihadapi oleh umat Islam ialah keupayaan mengukuhkan daya fikir yang strategik untuk mengatasi cabaran yang menghalang, di samping bijak merebut peluang yang terhampar. Oleh itu hayatilah sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, hembus dan nyalakan semangat hijrah di dalam hati.

%d bloggers like this: