Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Kelima Puluh Tujuh (Bahagian Pertama)

Salam Sejahtera.

 

Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali ke 57, sekali lagi memasyhurkan Tan Sri Dato’ Seri Siti Norma binti Yaakob, sebagai Pro Canselor untuk tempoh 5 tahun. Beta amat menghargai kesediaan beliau untuk terus bersama, membantu Beta memenuhi satu tanggungjawab fardu kifayah.

 

  1. Konvokesyen ke 57, akan mengurniakan ijazah kepada 4,868 graduan; 646 akan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 1,795 Ijazah Sarjana dan 2,427 Ijazah Sarjana Muda. Konvokesyen ke 57, turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Tan Sri Dato’ Dr. Lee Shin Cheng, dan Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan kepada Dr. Anthony Crothers Milner, serta gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr. Zainal bin Kling dan Dr. Lin Hai Peng.

 

  1. Alhamdulillah, usaha-usaha yang dirintis oleh Universiti terus membuahkan hasil. Ranking dunia Universiti Malaya berjaya dilonjakkan, dari tangga 133 pada tahun 2016 ke tangga 114 di dalam QS World University Rankings 2017.  Prestasi cemerlang juga diperoleh dalam bidang-bidang tertentu; Universiti Malaya tersenarai dalam kelompok 50 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings by Subject 2017 di dalam lima subjek, iaitu Kejuruteraan Elektrik, ranking ke 23; Pengajian Pembangunan, ranking ke 26; Kejuruteraan Mekanikal, ranking ke 33; Kejuruteraan Kimia, ranking  ke 38; dan Pendidikan, ranking ke 41.  Beta menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Pengerusi serta ahli-ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor serta staf akademik dan kepada seluruh warga kampus atas ketekunan, komitmen dan dedikasi hingga membolehkan Universiti mencipta kejayaan.

 

  1. Pelan Strategi Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) mahu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi menjelang tahun 2020. Pencapaian pelan tersebut, amat bergantung pada tahap nilai integriti yang dimiliki oleh warga Universiti, ketika melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.  Integriti dan kepimpinan berintegriti, amat penting dalam sesebuah organisasi dan negara.

 

  1. Memiliki integriti yang tinggi adalah sebahagian daripada sifat ilmuwan. Aspek melahirkan insan berilmu amat penting dijadikan gagasan Universiti.  Perlu difahami perbezaan antara insan berpelajaran dengan insan berpendidikan, antara insan berpengetahuan dengan insan berilmu.  Insan berpelajaran mungkin menguasai pelbagai pengetahuan tetapi tidak merasa bersalah memanipulasikan pengetahuan untuk kepentingan diri, meski mengakibatkan kesengsaraan kepada insan lain dan kehidupan alam; sementara insan berpendidikan adalah insan berilmu yang dilengkapi komponen roh, lalu menyedari akan etika dan batas yang wajib dihormati.

 

  1. Integriti bersumberkan kekuatan dalaman; kekuatan yang bersumberkan keimanan; kekuatan dalaman yang menuntut kepada kesanggupan menghadapi risiko dan kesanggupan melakukan pengorbanan. Dalam istiadat ini, Beta memilih untuk berkongsi dua peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran.

 

Peristiwa pertama:

 

Alphonse Gabriel Capone, terkenal dengan gelaran ‘Al Scarface’, ialah ketua gengster di Chicago pada tahun-tahun lewat sembilan belas dua puluhan membawa ke awal sembilan belas tiga puluhan.  Al Capone membina kekayaan melalui pelbagai kegiatan jenayah merangkumi pembunuhan, perniagaan arak secara haram dan operasi pusat pelacuran.  Al Capone mempunyai peguam, dikenali dengan gelaran ‘Easy Eddie’, seorang peguam yang pintar melakukan pelbagai manipulasi untuk melepaskan Capone daripada sebarang tindakan undang-undang. Capone amat menghargai khidmat Eddie, lalu mencurahkan Eddie dengan pelbagai kemewahan.  Atas sifat seorang ayah yang bertanggungjawab, Eddie mempunyai kelembutan hati terhadap anak lelaki yang sangat beliau kasihi.  Walaupun Eddie sama-sama bergelumang dalam pelbagai kegiatan jenayah, namun Eddie berazam mahu menyemai nilai-nilai murni di dalam mendidik anaknya.  Eddie mahukan anaknya menjadi insan baik, tetapi insaf bahawa meskipun beliau memiliki segala kekayaan, beliau miskin dalam dua perkara untuk diwariskan kepada anaknya, pertama nama baik, dan kedua teladan yang baik.

 

Didorong keinsafan tersebut, Eddie mengambil ketetapan mahu bertaubat dan berazam untuk memperbetulkan segala yang salah.  Dengan niat mahu membersihkan namanya, agar apabila anaknya telah dewasa, tidak dibebani aib kerana salah lakunya, Eddie menghubungi pihak penguat kuasa dan mendedahkan salah laku Capone.  Dia amat sedar risiko besar yang dihadapi apabila diperlukan menjadi saksi pendakwa semasa mahkamah membicarakan Capone; Capone disabitkan dengan kesalahan lalu dipenjarakan.  Hayat Eddie berakhir dengan tubuhnya dihujani semburan peluru daripada serangan pengikut-pengikut Capone.

 

Sebelum menghembus nafas terakhir, Eddie mempercayai, dia telah memberikan sebaik-baik hadiah kepada anaknya dengan membersihkan dirinya daripada dosa bersubahat melindungi jenayah.  Di dalam saku pakaian di tubuh Eddie yang berlumuran darah, Polis menemui tasbih, salib, medalion agama, dan potongan puisi yang mengandungi bait-bait berikut:

 

The clock of life is wound but once,

And no man has the power

To tell just when the hands will stop

At late or early hour

Now is the only time you own

Live, love, toil with a will

Place no faith in time

For the clock may soon be still

 

Peristiwa Kedua:

 

Perang Dunia Kedua melahirkan ramai wira; salah seorang daripadanya adalah Lieutenant Butch O’Hare.  Dalam satu misi penerbangan bersama skuadronnya, O’Hare mendapati, disebabkan kecuaian, tangki minyak pesawatnya tidak dipenuhi, lalu tidak membolehkannya menyempurnakan misi.  Dia diarah berpatah balik.  Dengan berat hati, O’Hare keluar daripada formasi.  Semasa berpatah balik, dia terserempak dengan skuadron tentera udara Jepun yang sedang menuju untuk menyerang Armada Amerika yang pastinya terdedah tanpa pertahanan berkesan, kerana semua pesawat telah berlepas untuk melakukan misi.

 

O’Hare perlu berfikir pantas, melakukan sesuatu untuk mengalih perhatian skuadron Tentera Udara Jepun.  Tanpa memikirkan keselamatan dirinya, O’Hare menjunamkan pesawatnya, merempuh ke dalam formasi skuadron Jepun sambil melepaskan tembakan.  Tentera Udara Jepun yang tergamam menghadapi serangan secara mengejut, terpaksa terbang ke arah berlainan dan membatalkan misi untuk menyerang Armada Amerika.  Butch O’Hare berjaya membawa pesawatnya mendarat di aircraft-carrier.  Filem yang dirakamkan oleh kamera pesawat, membuktikan tahap keberanian dan semangat kepahlawanan Butch O’Hare.  Butch O’Hare adalah orang pertama diiktiraf sebagai Ace of World War II, dan juruterbang tentera laut yang pertama memenangi Congressional Medal of Honor.  Satu tahun kemudian, pada usia 29 tahun, Butch O’Hare terbunuh dalam satu pertempuran udara.  Penduduk di tempat lahirnya, menghargai keberanian dan pengorbanannya, lalu menamakan lapangan terbang Chicago dengan nama O’Hare Airport.

 

  1. Apakah kaitan dua peristiwa ini? Jawapannya, Butch O’Hare adalah anak kepada Easy Eddie.  Kedua-dua insan ini, bersedia menghadapi risiko demi negara. Mereka berdua bersedia mengorbankan nyawa kerana sayangkan negara.  Mereka berdua bersedia kehilangan nyawa demi memastikan negara dan warganya terpelihara dan terlindung dan tidak tertewas dengan apa jua ancaman.  Terkandung elemen-elemen, pengorbanan, integriti, kepahlawanan dan patriotisme dalam DNA Butch dan Eddie.  Dua peristiwa yang dipetik ini, malah ribuan lagi peristiwa seperti ini, wajib dijadikan bahan rujukan dalam usaha mahu menyuntik semangat jati diri di kalangan warga.

 

  1. Reputasi Universiti akan berada di tahap tinggi, jika berjaya mendidik, mengasuh, membimbing dan menghasilkan graduan yang berintegriti. Universiti Malaya wajib berada di barisan hadapan menjaguh agenda integriti.  Sebagai pusat perkembangan ilmu dan tamadun yang bertanggungjawab melahirkan cerdik pandai, Universiti Malaya mempunyai tanggungjawab besar untuk menyemai nilai integriti dalam usaha melahirkan graduan terbaik.  Alhamdulillah, Universiti Malaya telah memasukkan di dalam kurikulum, elemen-elemen untuk membentuk graduan yang memiliki daya kepimpinan berwibawa, graduan yang mempraktikkan budaya kerja cemerlang, graduan yang mempunyai jati diri tinggi serta graduan yang menghayati agama secara mendalam.
  2. Para graduan harus bersedia menghadapi realiti dunia yang kian mencabar, bukan sahaja dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan ketersediaan fizikal untuk memenuhi keperluan pasaran kerja, malahan wajib melengkapkan diri  dengan akhlak dan budi yang menjadi teras pembinaan roh.  Integrasi antara akal dan jiwa perlu selari, dibina secara bersama, kerana tidak  mungkin modal insan yang cemerlang, tinggi inteleknya, mantap spirituilnya, dapat dilahirkan, jika salah satu elemen ini dipinggirkan.  Dalam menghadapi godaan dan dugaan, saudara-saudari perlu memiliki kekuatan azam, perlu memiliki daya tahan, perlu membina pohon keimanan yang kukuh. Berwaspadalah agar tidak mudah terperangkap dengan formula ‘kejayaan segera – kekayaan segera – kemewahan segera  – kekuasaan segera’.  Bahawa kejayaan, kekayaan, kemewahan dan kekuasaan yang dimiliki melalui usaha tulen, melalui titik jerih dan kesabaran, lebih kekal, lebih afdal dan lebih sejahtera sifatnya.

 

  1. Hari ini merupakan hari menikmati hasil kejayaan daripada segala usaha gigih sepanjang tempoh pengajian saudara-saudari di Universiti Malaya.  Kejayaan ini adalah anugerah ILAHI kepada setiap hamba Nya yang berikhtiar dan berusaha.  Dalam kegembiraan meraikan kejayaan ini, sedarilah bahawa kejayaan ini tidak mungkin tercapai, tanpa sokongan, tanpa bantuan dan tanpa iringan doa kedua ibu bapa.  Hargailah jasa ibu bapa, dan sekiranya mereka telah tiada lagi di dunia ini, lakukan amalan untuk menyejahterakan roh mereka yang sedang berada di alam barzakh.  Tunjukkan segala kasih sayang kepada ibubapa dengan berpedoman kepada hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menurut Riwayat Al Hakim:

“Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”

 

  1. Kejayaan ini juga tidak mungkin tercapai tanpa dedikasi para pensyarah, begitu juga pelbagai komitmen perkhidmatan daripada kakitangan pengurusan dan kakitangan sokongan Universiti. Oleh itu, tunjukkan sifat berterima kasih kepada mereka yang telah berjasa, baik secara perkataan begitu juga secara perbuatan dengan mencerminkan budaya orang berbudi – kita berbahasa. Hargailah jasa Universiti dengan menghulurkan bantuan secara berkala walau sekecil mana sekalipun.  Alumni berperanan penting untuk membantu dana Universiti.

 

  1. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan. Beta menzahirkan penghargaan kepada para ibubapa yang sentiasa memberi sokongan dan sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anak.  Kepada Pengerusi serta ahli-ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor serta seluruh tenaga akademik, begitu juga kepada staf pengurusan, staf sokongan dan setiap warga Universiti Malaya, sama-sama kita doakan agar segala khidmat bakti mereka di institusi ilmu ini, diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala sebagai amar makruf yang dikurniakan ganjaran dunia – ganjaran akhirat, agar mereka dan keluarga senantiasa dilimpahi rahmat ILAHI.

 

 

%d bloggers like this: