Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Maha besar ALLAH, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Melimpahkan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Melengkapi segala Keagungan. Maha Suci ALLAH dari apa yang mereka sekutukan dengan Nya.[1]

2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Rasul Junjungan dan penghulu kami, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian; kurniakan rahmat ke atas Baginda, demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk yang mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Mu jua Ya ALLAH sehingga ke hari kebangkitan.

Ya Rafi’udd Darajat

Daulat Tuanku Syah Alam.

3. Menghadap Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Di Pertuan dan Raja Pemerintah yang bersemayam dengan penuh daulat dan darjat, kebesaran dan kemuliaan di singgahsana Takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Menghadap Paduka Bonda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.

4. YA-MALIK, YA-SALAM, YA-MU’MIN, YA-MUHAYMIN, dengan berkat keagungan nama-nama Mu, hamba-Mu ini, dengan ingatan yang bening – dengan hati yang hening, melafazkan kalam yang tulus dari pancaran mata hati, akan kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah rahmat dari Mu jua YA-ALLAH, yang telah melanjutkan usia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dengan keafiatan, membolehkan berlangsungnya istiadat sambutan ulang tahun hari keputeraan Baginda kali ke lapan puluh empat.

Ampun Tuanku

5. Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) ketika merangka formula membentuk kerajaan merdeka, amat menghayati, bahawa sistem pemerintahan berteraskan Raja terlalu berharga dan terlalu bernilai untuk ditiadakan. Yang Teramat Mulia Tunku lalu memilih mengasaskan sistem berkerajaan dan bernegara yang menggabungkan institusi Raja dengan institusi rakyat, memperkenalkan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kedaulatan Raja diberikan wajah baru, dirangkaikan dengan suara rakyat dalam satu ikatan harmoni.

6. Istiadat pada pagi ini melambangkan citra untuk terus mendaulatkan institusi Raja, satu pelanjutan adat – satu kesinambungan budaya, berlangsung dalam era modenisasi; betapa keindahan adat – betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi negara bangsa. Persekutuan Tanah Melayu ketika menghadapi opsyen menggubal Perlembagaan Merdeka tidak sekadar mengekalkan tradisi beraja di peringkat negeri malah telah memperkenalkan satu lagi lapisan pemerintahan beraja di dalam sistem Persekutuan, dengan mewujudkan seorang Kepala Utama Negara bergelar Yang Dipertuan Agong; Raja kepada seluruh Persekutuan. Secara harfiahnya gelaran tersebut bermaksud ‘Dia Yang Terulung Di Kalangan Kami’, ia itu, ‘primus inter pares’. Sesungguhnya, kewujudan takhta Kepala Utama Negara dan kaedah lantikan Yang Dipertuan Agong, adalah satu kehebatan keaslian inovasi yang telah mengekalkan identiti negara bangsa.

7. Tahun ini, negara bukan sahaja telah menobatkan pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong keempat belas, malah dunia menyaksikan keistimewaan sistem beraja di Malaysia. Duli Yang Maha Mulia, Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dikurniakan ILAHI bersemayam di takhta pemerintahan utama negara buat kali keduanya. Peristiwa ini sangat unik. Peristiwa unik ini telah dimungkinkan berlaku, bermula dari semangat berunding yang dicapai oleh Raja-Raja Melayu. Kaedah lantikan Kepala Utama Negara adalah hasil dari kata sepakat yang dicapai di antara Raja-Raja dengan pimpinan rakyat. Ia dihasilkan dari pemikiran jauh lagi mantap berteraskan hikmah, kebijaksanaan dan kearifan Raja-Raja Melayu dalam menghayati dan mengadaptasi semangat demokrasi, meletakkan susunan adab, menabalkan Yang Dipertuan Agong secara bergilir setiap lima tahun, di kalangan sembilan Raja Melayu, satu proses lantikan yang amalannya tidak terdapat di mana juga di dunia ini.

8. Keluhuran institusi Raja perlu dipelihara dari sebarang bentuk penodaan, agar warga kekal menabur bunga setia. Ketika warga kelihatan semakin hanyut dilambung emosi, amatlah penting diperingatkan semula, kisah perit hikayat lama; betapa akibat fitnah dan kerana hasad dengki, takhta telah disalah pengaruh. Tercetuslah sengketa antara dua saudara yang sebangsa – seagama – seperguruan. Bisa Taming Sari ditusuk ke dada saudara sendiri; yang tewas terkubur tanpa setunggul nisan jasa, yang menang dihempas gelombang serba salah sepanjang masa, betapa Dang Baru memamah pahit sirih derita, bergambir dan berpinang sengsara ke akhir usia, dan keagungan Melaka akhirnya luntur.

9. Raja adalah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum – tanpa mengira agama. Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan, teras perpaduan – payung penyatuan. Untuk itu titah peringatan Paduka Seri Ayahanda supaya Raja kekal berada di atas segala polemik politik amatlah penting dijunjung untuk membolehkan institusi Raja berupaya berperanan secara berkesan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama dalam mendamaikan sebarang perselisihan dan untuk memastikan takhta diterima dengan dada lapang dan hati terbuka apabila diperlukan berperanan menurunkan suhu yang berkemungkinan mendidihkan lava-lava persengketaan.

10. Semoga dengan kearifan dan kebijaksanaan Paduka Seri Ayahanda, institusi takhta pemerintahan akan terus bertenaga – kekal dinamik, berupaya memenuhi tuntutan dan keperluan semasa terutama dalam memenuhi peranan sebagai instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

Ampun Tuanku

11. Di istiadat ini, Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar penuh taat – penuh setia, mendukung bersama amanah yang sedang digalas di bahu Paduka Seri Ayahanda. Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, setiap seorang dari pacal Paduka Seri Ayahanda itu bertekad dan sekaliannya berazam untuk memastikan institusi beraja kekal pacak berdiri di bumi warisan bangsa ini. Semoga Duli Tuanku dilimpahkan kekuatan – dilimpahkan perlindungan, kekal sebagai tiang seri kepada negeri dan warga.

12. YA-GHAFFAR, YA-WAHHAB, YA-RAZZAQ, YA-FATTAH, Hamba Mu sekali lagi memohon ihsan dari Mu, agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun terus berada dalam kerukunan, dikurniakan keafiatan, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa mendapat lindungan ILAHI, bersemayam di takhta singgahsana dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.

Dirgahayu Tuanku,

Daulat Tuanku Syah Alam

Wabillahitaufik, walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Termaktub di Istana Iskandariah

Kuala Kangsar.

22.5. 2012

  1. Al-Quran, Surah Al Hasjr (59:23)
%d bloggers like this: