TITAH DIRAJA
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
IBNI
ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
AL-MAGHFUR-LAH
ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI
TAHUN KETIGA
DEWAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
KELIMA BELAS
TARIKH:
16 SYAWAL 1446 / 15 APRIL 2025 (SELASA)
JAM:
9.00 PAGI
TEMPAT:
DEWAN NEGERI, ARAS 2
BANGUNAN PERAK DARUL RIDZUAN
JALAN PANGLIMA BUKIT GANTANG WAHAB, IPOH
Yang Dipertua Dewan Negeri,
Firman Allah Subhanahu Wata’ala melalui ayat 35 Surah al-Anbiya bermaksud:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati, dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami kamu dikembalikan.”
Demikian kalam Ilahi, memperingatkan saat kelahiran dan detik kematian seseorang insan. Ishsam Shahruddin (Allahyarham) dilahirkan pada hari Rabu, 14 Jamadilawal 1386 Hijrah, bersamaan 31 Ogos 1966 Masihi di Sungkai Perak. Tersurat sudah, pada hari Sabtu, 23 Syaaban 1446 Hijrah, bersamaan 22 Februari 2025 Masihi, Yang Berhormat Ishsam Shahruddin menyahut seruan Ilahi, menghembus nafas terakhir di George Town Pulau Pinang, kembali ke Rahmatullah. Yang Berhormat Ishsam (Allahyarham) menjadi ahli Dewan ini selepas dipilih oleh pengundi-pengundi kawasan Dewan Negeri Air Kuning semasa berlangsungnya pilihan raya umum kelima belas pada 19 November 2022. Ishsam turut dikenali sebagai pemain bola sepak yang mewakili negeri Perak selama dua belas tahun (1984-1990; 1992-1997), mewakili Negeri Sembilan pada tahun 1991, dan mewakili pasukan Harimau Malaysia dalam Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok pada tahun 1987. Ishsam turut aktif memberi khidmat dalam pelbagai pertubuhan sukarela. Pemergian Ishsam ketika baharu berusia lima puluh lapan tahun merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Perak, Dewan ini, dunia bola sepak, rakyat di Air Kuning, lebih-lebih lagi kepada balu dan dua orang didik Allahyarham, Puan Rozlita Abdullah serta Isnabil dan Iszul Imadi. Semoga roh Allahyarham dilimpahi ihsan rahmat Ilahi, ditempatkan dalam kalangan roh para solihin. Beta bersama Raja Permaisuri dan ahli-ahli Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada Puan Rozlita Abdullah dan ahli-ahli keluarga Allahyarham; semoga mereka diberikan ketabahan, redha menerima penentuan Ilahi. Sebagai penghormatan dan tanda ingatan atas segala jasa bakti Ishsam bin Shahruddin, marilah kita bertafakur, dan dalam kalangan umat Islam membacakan surah al-Fatihah, semoga apa jua ganjaran daripada amal ini, dilimpahi rahmatnya kepada roh Allahyarham; al-Fatihah.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
- Ekonomi Malaysia mencapai pertumbuhan lima perpuluhan satu peratus pada tahun 2024 berbanding pertumbuhan tiga perpuluhan enam peratus pada tahun 2023. Prestasi pencapaian ini disokong oleh pengembangan aktiviti pelaburan yang kukuh, peningkatan berterusan eksport barangan dan perkhidmatan, serta perbelanjaan isi rumah yang mampan. Susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat mengenakan dua puluh empat peratus tarif timbal balik ke atas Malaysia, unjuran pertumbuhan empat perpuluhan lima hingga lima perpuluhan lima peratus Keluaran Negara Kasar (KDNK) 2025 perlu disemak semula. Namun Kerajaan Persekutuan tidak menjangka akan berlaku kemelesetan kerana ekonomi Malaysia akan kekal berdaya tahan disokong oleh makroekonomi yang kekal kukuh, termasuk perbelanjaan isi rumah, pelaburan domestik dan penerimaan pelancong, di samping pelaksanaan agenda reformasi ekonomi dan perindustrian di bawah beberapa pelan induk negara.
- Di peringkat negeri, kutipan hasil pada tahun 2024 merekodkan angka melebihi sasaran, mencecah satu perpuluhan tiga bilion (1,330,000,000) ringgit, meningkat seratus lapan belas perpuluhan lima juta (118,500,000) ringgit, berbanding kutipan hasil tahun 2023. Kerajaan Beta, untuk tiga tahun berturut-turut, berjaya menutup Akaun Hasil Disatukan dengan kedudukan surplus; mencatatkan surplus (sebelum diaudit) empat puluh lima perpuluhan enam juta (45,620,000) ringgit pada 31 Disember 2024. Usaha meningkatkan kutipan hasil akan terus diterokai sementara perbelanjaan dikawal secara berhemah.
- Beberapa inisiatif dilaksanakan bertujuan menerokai potensi baharu hasil negeri, antaranya, pemantapan pengurusan serta penguatkuasaan pengurusan sumber air di bawah Enakmen Sumber Air Perak 2023, dan mengenakan Caj Perkhidmatan Tempatan di bawah Enakmen Hotel 2023. Royalti industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dijangka akan memberikan sumbangan hasil baharu yang signifikan. Langkah memberi milik tanah-tanah kerajaan negeri di tapak hidro dan bangunan Tenaga Nasional Berhad sedia ada, akan memberi nilai tambah kepada hasil negeri. Premium tambahan juga bakal diperoleh melalui projek-projek pembangunan dan pemajuan tanah perindustrian dan perumahan berimpak tinggi.
- ‘Hala Tuju Ekonomi Biru’ dilancarkan, sebagai pendekatan strategik ke arah mengembangkan potensi ekonomi biru secara mampan, agar tercapai hasrat untuk memakmurkan sumber laut dan mengurus sumber marin secara lestari. Usaha membangunkan sektor ekonomi biru akan direalisasikan melalui pembangunan sektor utama dan pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi serta pemerkasaan pengurusan pemuliharaan marin.
- Usaha membangunkan bandar pintar dirintis, melalui “Blueprint Bandar Pintar 2040”, yang menekankan elemen penduduk (people centric smart city). Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Daerah Kampar telah berjaya meraih status “Smart City Early Adopters” menerusi Anugerah Penarafan Bandar Pintar 2024, sementara Majlis Bandaraya Ipoh akan menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa “Cities Series Windows: Smart Green ASEAN Cities 2025” yang melibatkan dua belas bandar raya negara anggota ASEAN. Amatlah dihargai sokongan Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang bersetuju menyediakan peruntukan kewangan untuk menjayakan pembangunan bandar pintar di negeri Perak.
- Pelbagai inisiatif dirintis untuk mempercepatkan kelulusan projek berimpak tinggi. Inisiatif yang diperkenalkan telah berjaya meningkatkan keyakinan pelabur. Pada tahun 2024, nilai pelaburan yang diperoleh, berjumlah lapan perpuluhan tujuh bilion (8,744,394,296) ringgit, meningkat dua perpuluhan tujuh peratus berbanding tahun 2023; diunjurkan lebih empat ribu (4,279) pekerjaan baharu bakal diwujudkan.
- Pasaran buruh mencatat prestasi positif. Kadar pengangguran di negeri Perak turun daripada tiga perpuluhan tiga peratus pada tahun 2023 kepada tiga perpuluhan satu peratus pada suku tahun ketiga 2024. Penyertaan tenaga buruh menunjukkan peningkatan, seramai satu juta sebelas ribu (1,112,300) orang penduduk bekerja, berbanding satu juta sembilan puluh tiga (1,092,500) orang pada tahun 2023.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
- Alhamdulillah Kerajaan Beta berjaya menjalin hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan. Satu perpuluhan lapan bilion (1,840,000,000) ringgit diluluskan untuk negeri Perak di bawah Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Kedua Belas, melibatkan lima ratus empat projek.
- Antara peruntukan terbesar ialah projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, bernilai satu perpuluhan tujuh bilion (1,700,000,000) ringgit; sebahagiannya dilaksanakan bagi menyokong projek Kerian Integrated Green Industrial Park, juga bagi memenuhi keperluan bekalan air di kawasan utara Perak, serta keperluan Skim Pengairan Kerian. Sepuluh projek Rancangan Tebatan Banjir bernilai hampir sembilan ratus empat puluh dua juta (941,924,657) ringgit akan dapat mengatasi masalah kerugian dan keresahan yang saban tahun dihadapi oleh rakyat di kawasan yang dilanda bencana banjir.
- Seratus lima belas projek, bernilai dua perpuluhan satu bilion (2,146,539,947) ringgit, diluluskan di bawah Kementerian Pendidikan, antaranya pembinaan tiga buah sekolah baharu, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Bagan Datuk, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Botani dan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru Raya. Turut diluluskan, dua puluh tujuh projek keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri, bernilai satu perpuluhan empat bilion (1,448,343,874) ringgit. Lima belas program jalan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sedang dilaksanakan dengan peruntukan satu perpuluhan satu bilion (1,090,000,000) ringgit.
- Tiga kemudahan baharu kesihatan telah beroperasi, iaitu Hospital Seri Iskandar yang beroperasi sepenuhnya pada 11 Disember 2024, Blok Tambahan Hospital Seri Manjung yang mula beroperasi secara berfasa sejak Januari 2025, dan Blok Jabatan Transfusi Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh yang mula beroperasi pada Februari 2025. Di samping itu, enam kompleks rawatan harian, tujuh pusat hemodialisis swasta, dan lima puluh tujuh klinik swasta telah diluluskan pengoperasian sepanjang tahun 2024 sehingga Februari 2025. Pengoperasian semua kemudahan kesihatan ini, memberi manfaat kepada rakyat untuk mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
- Di samping peranan tersurat menyediakan khidmat kesihatan dan rawatan perubatan, sesungguhnya perkhidmatan kesihatan dan perubatan turut memenuhi peranan tersirat yang tidak pernah didendang, iaitu peranan yang berjaya memupuk perpaduan, berlaku secara natural dalam kalangan rakyat Malaysia yang berlatar belakangkan pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa, serta berbeza status sosial dan ekonomi. Belum pernah terdengar doktor di hospital yang enggan merawat pesakit kerana faktor berlainan agama atau kaum atau status sosial; dan tidak pernah terdengar pesakit yang mempertikai darah yang mahu diserapkan ke dalam tubuhnya, sama ada diperoleh daripada darah penderma beragama Islam, Hindu, Kristian, Buddha atau simiskin. Apabila berlaku kematian dalam wad hospital, kesemua staf hospital, demikian juga rakan-rakan pesakit dalam wad berkaitan, sama-sama berasa hiba, malah ada yang turut menitiskan air mata, meski pesakit yang meninggal dunia memiliki latar belakang yang berlainan, malah terlalu baharu dikenali.
- Tanpa disedari, dalam premis hospital juga, pesakit dan keluarga pesakit menginsafi sifat lemah manusia, serta keinsafan bahawa nyawa bukan miliknya. Dalam wad-wad hospital di seluruh dunia, ketika pesakit bersabung nyawa antara hidup dan mati, pesakit dan keluarga lebih memperlihatkan sifat seorang hamba, mendorong mereka untuk mendampingi diri lebih rapat dengan Tuhan, berdoa dengan lebih khusyuk – penuh tawaduk, mohon ihsan daripada Tuhan, agar disembuhkan penyakit atau diringankan tanggungan atau dirahmati roh apabila terpisah dengan jasad. Sesungguhnya wad-wad di hospital hendaklah dijadikan bilik darjah, mengajar setiap kita, raja dan rakyat, presiden dan menteri, imam dan paderi, hakim dan peguam, pensyarah dan guru, pegawai polis dan tentera, juru terbang dan pemandu teksi, petani dan nelayan, akan erti ketuhanan, erti seorang hamba, erti keinsanan dan kemanusiaan, erti ihsan dan empati dan erti perpaduan yang sejati lagi semula jadi.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
- Hari ini, kita berada dalam era yang dipacu kecerdasan buatan (AI). AI bukan sekadar alat, malah berperanan menjadi kuasa transformatif yang mempengaruhi kemajuan sosioekonomi, industri, pemikiran dan gaya hidup. Kemajuan transformasi terutamanya dalam bidang Generatif AI akan mengubah industri dan tugas dalam semua sektor. Sektor pekerjaan yang paling pesat berkembang menjelang tahun 2030, cenderung didorong oleh perkembangan teknologi, seperti kemajuan dalam AI dan robotik serta peningkatan akses digital. Bidang pekerjaan seperti Pakar Data Raya, Jurutera Teknologi Kewangan (FinTech), Pakar AI dan Pembelajaran Mesin (Machine Learning) dijangka mendapat permintaan yang tinggi. Oleh itu, amatlah bertepatan untuk dirintis langkah-langkah aktif, mengintegrasikan AI dalam strategi kerja bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, mempercepatkan proses, dan mencetuskan inovasi. Mengadaptasi AI bukan lagi pilihan, tetapi satu kewajipan – satu kemestian.
- Pelbagai usaha dirintis untuk meningkatkan tahap pencapaian dan prestasi anak-anak negeri Perak. Tujuh belas program dilaksanakan untuk memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses kepada pendidikan berkualiti. Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) melipatgandakan usaha dengan melaksanakan sembilan program peningkatan kemahiran, dalam usaha mahu memenuhi hasrat menjadikan Perak sebagai koridor pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang berupaya melahirkan modal insan yang lebih kompetitif. Bantuan insentif siswa disediakan kepada pelajar kelahiran negeri Perak, daripada keluarga berpendapatan tidak melebihi tujuh ribu lima ratus ringgit sebulan, untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Pada tahun 2024, lebih enam ribu (6,324) mahasiswa anak Perak telah menikmati insentif ini.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
- Hari ini masih terdapat rakyat yang dibelenggu kemiskinan. Ketidakupayaan keluar daripada kepompong kemiskinan akan memberi kesan besar terhadap kesejahteraan dan kualiti hidup. Jurang sosial masyarakat akan semakin melebar jika isu kemiskinan gagal ditangani secara bermakna; dan dikhuatiri berpotensi mengancam kestabilan politik negara.
- Dalam hasrat menoktahi kemiskinan, pelbagai program kesejahteraan rakyat dilaksanakan, meliputi program pemadanan pekerjaan, bantuan peralatan perniagaan, latihan kemahiran dan keusahawanan, khidmat bantuan sosial, serta bantuan bina baharu dan baik pulih rumah. Antara inisiatif yang memberikan impak positif ialah Program Pusat Sehenti (One Stop Centre) Sejahtera Sosial Negeri Perak yang telah dilaksanakan dengan jayanya di semua daerah. Program ini berjaya menghimpunkan di bawah satu bumbung, lebih tiga puluh agensi pemberi bantuan, memudahkan capaian perkhidmatan dan bantuan yang diperlukan oleh rakyat miskin. Justeru, permasalahan kelompok sasar dapat diselesaikan secara in-situ. Melalui kesungguhan usaha dan komitmen pelbagai pihak, dalam tahun 2024, Kerajaan Beta berjaya menoktahi kemiskinan tegar kepada hampir sembilan ribu (8,986) ketua isi rumah.
- Dasar perumahan yang mengutamakan rumah mampu milik dan rumah kos rendah, mempunyai kaitan langsung dengan usaha membantu kumpulan berpendapatan rendah, malah usaha menoktahi kemiskinan. Rumah ialah satu keperluan asasi. Oleh itu keupayaan memenuhi permintaan perumahan merupakan komponen penting dalam program pembangunan sosioekonomi negeri. Kerajaan Beta komited memastikan setiap rakyat dapat mendiami rumah, sama ada melalui pemilikan mahupun sewaan. Dasar Perumahan Negeri menetapkan setiap pemajuan perumahan berkeluasan melebihi dua puluh ekar, diwajibkan menyediakan empat puluh peratus rumah mampu milik. Program Skim Sewa Perak Sejahtera diperkenalkan, bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah mendiami rumah sewa dengan kadar sewaan dua puluh peratus lebih rendah daripada kadar sewaan pasaran setempat. Turut diperkenalkan, inisiatif Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera, iaitu tawaran pembiayaan pinjaman tanpa faedah bagi pemohon yang layak. Skim Pinjaman Perumahan Kos Rendah Bumiputera, yang menawarkan pembiayaan pembelian rumah kos rendah kepada pembeli bumiputera yang berkelayakan, diperkenalkan mulai tahun 2025. Kerajaan Beta akan bertindak tegas dan sama sekali tidak berkompromi dengan perbuatan pemaju, menjual rumah yang dirizabkan sebagai kuota bumiputera, sebelum terlebih dahulu mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri.
- Usaha meningkatkan pengeluaran makanan memperlihatkan peningkatan hasil; pada tahun 2024 berbanding tahun 2023 pengeluaran komoditi buah-buahan meningkat tiga perpuluhan satu peratus; daripada seratus dua puluh enam ribu (125,624) metrik tan ke hampir seratus tiga puluh ribu (129,567) metrik tan; pengeluaran komoditi sayur-sayuran meningkat tujuh perpuluhan enam (7.6) peratus, daripada seratus dua belas ribu (111,782) metrik tan ke seratus dua puluh ribu (120,330) metrik tan; pengeluaran tanaman kontan meningkat tujuh perpuluhan satu (7.1) peratus, daripada lima puluh lima ribu (54,898) metrik tan ke hampir lima puluh sembilan ribu (58,784) metrik tan. Pengeluaran padi yang menurun, daripada dua ratus lapan puluh dua ribu (281,955) metrik tan ke dua ratus enam puluh satu ribu (260,828) metrik tan, semestinya mengundang kebimbangan yang memerlukan perhatian. Negeri Perak merupakan pengeluar utama negara bagi jagung manis, ubi keledek dan sengkuang.
- Negeri Perak berperanan sebagai penyumbang utama makanan berasaskan ternakan di negara ini, khususnya daging ayam dan telur. Tiga ratus lapan ribu (308,448) metrik tan daging ayam dihasilkan pada tahun 2024, mengatasi keperluan seratus tiga puluh dua ribu (132,000) metrik tan di peringkat negeri. Lebih dua bilion (2.041) telur ayam dan itik dihasilkan mengatasi keperluan satu (1.0285) bilion penduduk negeri. Pengeluaran susu segar meningkat lebih dua juta liter pada tahun 2024, mencapai pengeluaran lebih sembilan (9,039,155) juta liter mengatasi keperluan lima perpuluhan tujuh (5,775,000) juta liter penduduk negeri.
- Allah Subhanahu Wata’ala menganugerahi negeri Perak pantai sepanjang hampir empat ratus (398) kilometer, serta tiga puluh dua pulau di perairan negeri. Kawasan perairan laut yang luas telah menghasilkan lebih lima ratus empat belas ribu (514,277) metrik tan ikan yang didaratkan, meletakkan negeri Perak sebagai negeri pengeluar ikan kedua tertinggi di Malaysia, dengan jumlah pendaratan mencecah hampir dua puluh lima (24.7) peratus pengeluaran perikanan negara. Perikanan tangkapan laut mencatatkan pendaratan lebih empat ratus tiga puluh ribu (434,350) metrik tan, perikanan darat mendaratkan lebih tiga ribu (3,124) metrik tan. Sektor akuakultur air payau mencatatkan pendaratan ikan lebih tiga puluh enam (36,478) metrik tan, manakala akuakultur air tawar pula mendaratkan lebih empat puluh ribu (40,325) metrik tan ikan. Pantai yang dikembari lapisan lumpur laut yang tebal, menjadikan perairan di negeri Perak sebagai tempat paling sesuai untuk aktiviti perkebunan kerang. Negeri Perak memiliki kawasan kultur kerang aktif terbesar di Malaysia; dalam tahun 2024, mendaratkan hampir lima belas ribu (14,912) metrik tan, merupakan sembilan puluh dua peratus (91.9%) pendaratan kerang negara.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
- Mutakhir ini, Malaysia menjadi antara destinasi utama lambakan e-waste global. Kebanyakan kilang memproses e-waste di Malaysia menjalankan operasi secara haram. Sindiket pemerdagangan sisa ini menggunakan modus operandi yang memalsukan dokumen dan mengisytiharkan kargo secara tidak tepat. Premis e-waste yang beroperasi secara haram menjalankan pemprosesan sisa buangan secara tidak terkawal, menyebabkan pencemaran udara, tanah dan air. Lambakan e-waste perlu diberikan perhatian serius kerana e-waste mengandungi bahan toksik dan berbahaya. Sisa toksik yang tidak dilupuskan dengan kaedah yang betul dan selamat, berisiko mencemarkan alam sekitar, serta memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia. Membuka kilang memproses e-waste tanpa permit merupakan perbuatan jenayah. Pelaku jenayah e-waste didorong kepentingan sempit untuk meraih keuntungan, nyata tidak mempedulikan kesan buruk kepada ekosistem kehidupan. Pada 15 Februari 2025, negeri Perak dikejutkan apabila barangan bernilai satu perpuluhan tiga bilion ringgit, disita melalui serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah kilang memproses e-waste yang beroperasi secara haram di Sungai Siput. Insiden ini mengundang persoalan, bagaimana pelbagai pihak berkuasa boleh terlepas pandang tentang kewujudan sebuah kilang yang tersergam, boleh beroperasi secara haram di kawasan terbuka. Insiden ini sewajibnya mencelikkan mata pelbagai pihak berkuasa untuk mempergiatkan usaha pemantauan serta penguatkuasaan secara bersepadu, pantas dan tegas.
- Allah Subhanahu Wata’ala mencipta manusia sebagai khalifah untuk mengurus muka bumi ini, dan Dia memerhati adakah umat-Nya mengurus mengikut seruan-Nya dan bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala, melalui ayat 14, Surah An-Nahl bermaksud:
“Dan Dia-lah yang mengaturkan lautan (untukmu) agar kamu dapat makan daging yang segar (ikan) dan kamu memperoleh daripada lautan itu perhiasan untuk kamu pakai. (Selain itu) kamu juga melihat kapal berlayar di lautan, dan kamu boleh mencari (keuntungan) daripada kurniaan-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
- Plastik yang terkumpul di sungai dan laut sudah menguasai empat puluh peratus permukaan laut; satu krisis global yang wajib ditangani segera kerana ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada alam sekitar bahkan boleh mengakibatkan kepupusan hidupan marin, lantas boleh menjejaskan sektor keterjaminan makanan. Jika tidak dilaksanakan langkah kawalan yang bersungguh dan berkesan, para penyelidik meramalkan menjelang tahun 2050, jumlah sisa plastik di lautan dijangka melebihi populasi ikan.
- Malaysia dikatakan sebuah negara kecil tetapi menghadapi masalah plastik yang besar, dikenal pasti antara lima negara tertinggi di dunia menyalah urus sisa plastik. Setiap rakyat Malaysia membuang secara sembarangan dua perpuluhan empat kilogram plastik setahun. Utility Bidder United Kingdom, mendedahkan Malaysia mencemari lautan dengan 2.29 kilogram plastik per kapita setiap tahun. Konsep pengguna dikenakan bayaran (user pay principle) di premis-premis perniagaan, bertujuan mengurangkan penggunaan plastik, ternyata tidak berkesan. Langkah-langkah lebih tegas perlu diperkenalkan dan dilaksanakan secara bersungguh.
- Rakyat hendaklah menjadi mata dan telinga, sama-sama bersuara di samping membantu usaha-usaha mencegah perbuatan merosakkan alam sekitar. Masyarakat perlu diberikan kesedaran dan didikan mengenai program kelestarian alam. Pendekatan melalui pendidikan dipercayai lebih berkesan dan perlu dipertingkatkan dan diperluaskan. Belia, pelajar, institusi pendidikan, badan-badan bukan kerajaan, masjid, surau dan rumah-rumah ibadat, disarankan berada di barisan hadapan untuk memenuhi tanggungjawab fardu kifayah menjayakan program kelestarian alam.
- Program Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak menyasarkan program pengumpulan e-waste, serta menganjurkan kempen hindari plastik sekali guna dan kempen kitar semula di masjid-masjid merupakan inisiatif strategik membolehkan masjid berperanan sebagai hab kegiatan kelestarian alam sekitar, di samping dapat meningkatkan kesedaran ahli kariah memenuhi tanggungjawab fardu kifayah. Kempen melindungi alam sekitar daripada pencemaran akibat penggunaan plastik sekali guna di sekolah-sekolah menengah agama telah berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kesan buruk plastik sekali guna, menggalakkan penggunaan alternatif mesra alam, dan mencetus budaya hijau dalam kalangan warga sekolah agama di Perak.
- Jabatan Pendidikan telah memperkenalkan program Eco Schools, program pembelajaran dan kokurikulum berasaskan projek yang membolehkan pelajar sekolah bertindak mengatasi isu-isu alam sekitar setempat. ‘Anugerah Bendera Hijau Eco-Schools’ merupakan anugerah berprestij di peringkat antarabangsa yang mengiktiraf kejayaan serta usaha pembelajaran dan tindakan alam sekitar. Pada tahun 2024, sembilan buah sekolah di negeri Perak telah dianugerahkan ‘Anugerah Bendera Hijau’. Jabatan Pendidikan turut memperkenalkan ‘Program Sekolah Tanpa Plastik Sekali Guna’, disertai seratus lapan belas sekolah harian. Alhamdulillah, usaha dan inisiatif yang dirintis telah mendapat pengiktirafan; Jabatan Pendidikan Perak telah dianugerahkan ‘Malaysian Green Project Management Sustainability Award 2024’; dan turut mencatat sejarah apabila program BRIDGE (Building Responsible Individual Through Diverse Global Experiences) mendapat pengiktirafan Persatuan Rangkaian Perniagaan Mampan Malaysia (SustNET) sebagai projek terbaik inisiatif kelestarian dalam pendidikan.
- Rangkaian kerjasama yang dijalinkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Pendidikan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pertanian, Jabatan Belia dan Sukan dan Yayasan Perak untuk mengimarahkan masjid dengan menganjurkan pelbagai aktiviti merupakan langkah strategik meniup nafas segar, lantas memperluaskan peranan masjid dari sekadar menjadi tempat bersolat dan bertazkirah agama. Masjid perlu didinamikkan dengan program-program yang dapat menarik minat dan penyertaan lebih ramai golongan belia. Program-program ilmu di masjid perlu dipelbagaikan merangkumi subjek-subjek berkaitan ekonomi, pelaburan, kesihatan, pemakanan, perubatan, pendidikan, riadah, seni mempertahankan diri, alam sekitar dan pelbagai lagi. Masjid hendaklah digalakkan menjana pendapatan dengan melaksanakan program-program ekonomi, koperasi, perniagaan, pertanian dan ternakan.
- Dizahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen negeri Perak yang berjaya memungut tiga puluh lima pingat emas, tiga puluh lapan pingat perak dan lima puluh enam pingat gangsa, semasa berlangsungnya SUKMA XX1, meletakkan negeri Perak menduduki tempat ketujuh, pencapaian lebih baik daripada SUKMA XX. Manfaat aktiviti sukan hendaklah diterokai dari sudut yang lebih luas, tidak sekadar persaingan mendapatkan pingat. Minat rakyat, utamanya anak muda dalam bidang sukan perlu disemai sejak usia muda. Kegiatan sukan dapat melahirkan masyarakat yang sihat. Masyarakat yang sihat akan dapat melahirkan tenaga kerja yang produktif. Masyarakat yang sihat akan mengurangkan beban tanggungan perbelanjaan perubatan keluarga dan negara. Sukan berupaya membentuk keperibadian yang berdisiplin, mematuhi waktu, menghormati peraturan, di samping membina semangat merayakan kemenangan dengan keinsafan, bahawa kejayaan bukannya bulat datang bergolek, tetapi hanya akan tercapai melalui ketekunan dan kesungguhan. Sukan memupuk jiwa menerima ketewasan dengan semangat budiman, tanpa berasa kecewa atau berdendam, di sebaliknya menerima kekurangan diri lalu menyemai azam untuk berusaha memperbaiki diri agar dapat menebus ketewasan hingga mencipta kejayaan baharu. Sukan mendidik jiwa untuk menghargai semangat berpasukan. Sukan turut berperanan penting memupuk keharmonian antara rakyat pelbagai kaum – pelbagai agama di negara ini. Oleh itu, kegiatan sukan wajar disemarakkan.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
- Pada 31 Mac lalu, umat Islam menyambut 1 Syawal, Hari Raya Aidilfitri, dalam suasana riang dan ceria di sebuah negara yang aman lagi sentosa. Aidilfitri di negara ini bukan sahaja disambut oleh umat Islam, tetapi turut disertai dan diraikan oleh masyarakat pelbagai kaum; mereka turut mengutusi ucapan, menghantar hadiah, juga berkunjung ke rumah rakan dan jiran beragama Islam. Sambutan Aidilfitri seharusnya menjadi peringatan kepada kita untuk menginsafi diri, menilai semula kehidupan dan mensyukuri nikmat, terutama berada dalam sebuah negara yang aman lagi sentosa.
- Sehari sebelum sambutan Aidilfitri, masyarakat Telegu menyambut Tahun Baharu Ugadi; pada hari yang sama masyarakat Cina menghormati Qing Ming, acara menziarahi kubur nenek moyang. Pada 13 April, masyarakat Sikh menyambut hari Vaisakhi. Masyarakat Tamil dan Malayalam menyambut Tahun Baharu pada 14 April. Penganut agama Kristian akan menyambut ‘Good Friday’ pada 18 April dan ‘Easter’ pada 20 April. Demikian pelbagainya perayaan yang dapat dirayakan oleh masyarakat Malaysia dalam sebuah negara yang aman dan sentosa; hari-hari perayaan pelbagai agama, kaum dan adat dapat disambut dalam suasana riang dan ceria oleh rakyat pelbagai kaum yang menganut pelbagai agama dan mewarisi pelbagai budaya.
- Dukacitanya sebagai sebuah negara, kita kini semakin hanyut. Masih terdengar pahat berbunyi susulan pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliaman di Kuala Lumpur untuk membolehkan sebuah masjid dibina. Meskipun kekusutan yang berlarutan lebih sepuluh tahun berjaya dirungkai melalui persefahaman yang dicapai secara rundingan antara pihak-pihak yang terlibat, tetapi masih ada pihak tertentu, memilih untuk terus dijadikan bahan sensasi yang dipolemikkan, diperdebatkan dan dipolitikkan ke peringkat menjentik emosi yang meresahkan rakyat. Ada kalanya perkara kecil dan setempat berkaitan agama dan kaum, dipilih untuk dieksploitasi, sehingga berpotensi mencetuskan letupan besar. Perkara mengenai agama dan kaum, semakin disensasikan – semakin ditunggang oleh mereka yang mahu diiktiraf sebagai wira kaum dan wira agama, meskipun berpotensi mencetuskan kemarahan dan rasa permusuhan sesama warga.
- Kita sedang berhadapan cabaran mencari serapah ajaib, resepi berkesan untuk mengendalikan secara adil, saksama dan berkesan, perselisihan dalam masyarakat yang pelbagai; kita masih meraba dalam kesamaran mencari formula untuk memahamkan pelbagai pihak, agar lebih rasional, bersedia melihat melalui lensa penyatuan dan perpaduan, berasaskan nilai-nilai kemanusiaan yang menghargai keharmonian. Sangat mendukacitakan politik kebencian dijadikan pilihan, dan dikhuatiri negara bakal menghadapi warga yang tidak lagi bersatu, malah membenci dan memusuhi antara satu sama lain. Negara ini semakin disemai benih-benih kebencian secara keterlaluan hingga terhakisnya kompas moral dan gugurnya empati apabila berurusan dengan pihak yang tidak sekata. Kelihatan semakin subur budaya fitnah, semakin sarat budaya yang merestui perbuatan menghina dan menjatuhkan maruah lawan politik, dan semakin luntur nilai-nilai keinsanan dan kemanusiaan. Kebenaran bagaikan tiada lagi mempunyai nilai dan harga.
- Islam menekankan aspek ihsan dan belas kasihan; Islam menganjurkan ummah untuk melakukan yang baik dan indah. Agama Kristian menekankan elemen rahmat, sementara agama Hindu dan ajaran Buddha menekan elemen ‘dharma’ yang mengutamakan kebenaran; seruan untuk bertindak secara adil berpaksikan belas kasihan. Ternyata kesemua agama memiliki pedoman yang seiring, iaitu jangan lakukan kepada pihak lain perkara yang kita tidak mahu orang lain lakukan kepada kita.
- Keamanan bukan sesuatu yang mudah dicapai, keamanan bukannya pipih datang melayang. Keamanan ialah hasil perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu yang berusaha mengekalkan kestabilan dan kemakmuran negara. Rakyat perlu menghargai dan mengamalkan nilai perpaduan, saling menghormati dan hidup dalam suasana bertoleransi dengan keinsafan, kestabilan negara bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi memerlukan kerjasama seluruh rakyat. Setiap individu ada tanggungjawab bersama dan setiap individu harus peka untuk menyelesaikan masalah secara bijak, tanpa kekerasan – tanpa persengketaan, dalam semangat yang menghargai perdamaian. Jadikan teladan, sikap pemimpin dua buah institusi agama, iaitu pemimpin Masjid Al-Falah Subang Jaya, dan pemimpin Kuil Sri Maha Kaliamman Jalan Putra Harmoni, semasa peristiwa kebakaran saluran paip gas di Putera Heights. Pemimpin dua buah rumah ibadat tersebut membuka pintu rumah ibadat masing-masing kepada mangsa dan petugas, tanpa mengira identiti kaum atau agama untuk dijadikan tempat perlindungan, malah dibenarkan umat Islam menunaikan solat dalam premis kuil. Sifat terpuji pemimpin kedua-dua rumah ibadat ini, memberikan harapan dan mengubati kebimbangan kita terhadap hubungan kaum di negara ini. Hakikatnya, rakyat biasa tanpa diracuni diayah politik memecah belah, boleh hidup secara aman – secara harmoni.
- Ya Allah! Tuhan semesta alam, jauhi negara dan negeri kami daripada dimusnahkan kerana perbuatan pelampau agama – pelampau kaum. Semoga Negeri Perak Darul Ridzuan berserta rakyatnya terus diberkati dan dianugerahi taufik dan hidayah oleh Allah Subhanahu Wata’ala, bersatu padu di bawah lindungan Nya.
- BETA BERSAMA RAJA PERMAISURI, DEWAN INI DAN SELURUH RAKYAT BETA DI NEGERI PERAK MENZAHIRKAN RASA DUKACITA ATAS KEMBALINYA KE RAHMATULLAH PERDANA MENTERI MALAYSIA KELIMA TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI, dan menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Jean Abdullah dan keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dilimpahi rahmat Ihsan Ilahi ditempatkan dalam kalangan roh para Solihin.
- Menandakan rasa sedih dan Dukacita rakyat dan Negeri Perak, dititahkan bendera Negeri Perak dikibarkan separa tiang pada hari ini.
Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Kelima Belas.