MAJLIS SEMBAH MENGHADAP JAWATANKUASA MUZAKARAH MKI

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

(PENGERUSI MAJLIS KEBANGSAAN

BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA – MKI)

MAJLIS SEMBAH MENGHADAP

JAWATANKUASA MUZAKARAH MKI

TARIKH: 27 SYAABAN 1446 / 26 FEBRUARI 2025 (RABU)

MASA: 11.00 PAGI

TEMPAT: HOTEL SAMA-SAMA,

KUALA LUMPUR INTERNATIONAL AIRPORT

“Hubungan Ulama dan Umara”

Ulama dan umara ialah pewaris Nabi; ulama mewarisi ilmu – umara mewarisi kepimpinan.[1] Ulama – sumber ilmu, umara – sumber kepimpinan. Ilmu dan kepimpinan tidak boleh dipisahkan, begitu juga rangkaian ulama dengan umara. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:

“Dua golongan utama dalam kalangan umat manusia, apabila kedua-duanya baik, maka akan baiklah umat manusia; dan apabila kedua-dua golongan itu rosak, maka rosaklah seluruh manusia, iaitu ulama dan Uuara.”[2]

2. Ulama ialah pemimpin yang berakar dalam masyarakat dalam bentuk yang tidak formal, menjadi teladan kerana keluasan ilmu, keperibadian dan keikhlasan. Ketinggian status ulama digambarkan dalam hadis-hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, antaranya:

“Semua yang ada di bumi dan di langit, termasuk ikan-ikan di dalam air beristighfar untuk para ulama. Bahawa kelebihan orang alim berbanding ahli ibadat sama seperti kelebihan bulan berbanding cakerawala yang lain. Bahawa para ulama itu adalah pewaris para Nabi.”[3]

3. Umara dilihat sebagai kepemimpinan dalam pemerintahan yang diamanahkan dengan tanggungjawab secara formal lagi berstruktur, memiliki bidang kuasa tertentu berlandaskan undang-undang untuk mengurus dan memimpin masyarakat. Umara ialah satu keperluan dalam masyarakat kerana tanpa umara, masyarakat boleh menjadi kacau bilau, dan syariah tidak dapat dilaksanakan.[4] Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:

“Pemimpin itu ibarat perisai; orang akan berperang di belakangnya dan berselindung di sebaliknya.”[5]

4. Disebabkan itu ALLAH Subhanahu Wata’ala menjanjikan kepada para pemimpin tempat yang tinggi dan mulia pada hari akhirat,[6] seperti yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:

“Ada tujuh golongan manusia yang akan diberi berteduh oleh ALLAH di bawah bayang-Nya pada hari yang tidak ada bayang kecuali bayang-Nya sahaja (salah satu daripadanya ialah) pemerintah yang adil.”[7]

5. Syeikh Abu ‘Abdillah al-Qal’I dalam kitabnya Tahzib al-Riyasah wa Tartib al-Siyasah menjelaskan “Sekiranya tidak ada seorang pemimpin yang dipatuhi, nescaya pudarlah kemuliaan Islam. Sekiranya tidak ada pemimpin yang berkuasa, maka hilanglah kestabilan keamanan dan terputuslah jalan kemakmuran. Negara berjalan tanpa undang-undang, anak-anak yatim terbiar dan ibadah haji tidak dapat dilaksanakan. Jika tidak ada pemimpin, nescaya sebahagian orang akan berleluasa memakan harta sebahagian yang lain”. Senada dengan pendapat tentang keharusan adanya pemimpin yang ditaati, Ibn al-Mu’tazz berkata: “Rosaknya rakyat karena tidak ada pemimpin seperti rosaknya badan tanpa roh.”[8]

6. Ulama dan umara, tidak harus disalah tafsir sebagai dua golongan yang terpisah, dengan tanggapan salah, bahawa satu bertanggungjawab kepada urusan agama, sementara yang satu lagi bertanggungjawab kepada urusan negara. Islam tidak memisahkan kuasa agama dengan kepimpinan duniawi, dan tidak pula memisahkan kuasa pemimpin daripada agama, hatta memperkukuhkan betapa pentingnya ulama dan umara saling membantu dan saling bekerjasama melaksanakan tanggungjawab terhadap ummah.

7. Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali mengingatkan, bahawa dunia adalah ladang akhirat; agama tidak akan menjadi sempurna kecuali dengan dunia; kekuasaan dan agama adalah anak kembar; agama merupakan dasar dan pemimpin negara adalah penjaganya; sesuatu yang tidak memiliki dasar pasti akan binasa, dan sesuatu yang tidak memiliki penjaga pasti akan musnah.[9] Di sisi ALLAH Subhanahu Wata’ala, ulama dan umara mempunyai tugas dan tanggungjawab secara bersama, kerana ilmu dan kuasa merupakan amanah ALLAH. Ilmu harus digunakan dengan ikhlas dan jujur, tegas lagi berani; kuasa pula diuruskan dengan adil dan saksama, beramanah lagi berintegriti.

8. Ulama mempunyai tugas utama melakukan tafaqquh fid diin (memberi pemahaman tentang agama) dan memberikan peringatan kepada masyarakat serta membimbing umat dengan petunjuk-petunjuk ilahiah (ketuhanan).[10] Dalam penulisan klasik Islam terdapat banyak contoh, peranan ulama membantu umara; antara mereka ialah al-Imam Malik dan al-Imam Abu Yusuf yang senantiasa menyuarakan nasihat kepada Khalifah Harun al-Rasyid; antara kandungan surat Imam Malik kepada Khalifah Harun al-Rasyid, tercatat baris-baris berikut:

Petikan:

“Fikirkan bagaimana anda nantinya akan menghadapi mati dan segala keburukan yang akan menimpa anda. Begitu juga tentang apa yang anda bakal hadapi selepas mati nanti, termasuk pembentangan di hadapan ALLAH dan kemudiannya hisab serta kehidupan yang kekal selepas itu.

Jangan anda percaya dalam apa juga urusan anda kepada sesiapa sahaja yang tidak takut ALLAH. Kerana saya ada menerima riwayat bahawa Umar Ibn al-Khattab berkata, “Berundinglah dalam urusan kamu dengan orang yang takutkan ALLAH”. Hati-hatilah terhadap mereka yang rapat dengan anda yang mempunyai tujuan jahat. Kerana saya ada menerima riwayat bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda, “Setiap Nabi dan Khalifah sentiasa dikelilingi oleh dua kalangan yang rapat. Kalangan pertama selalu menyuruh dia melakukan makruf dan melarang mungkar; sementara kalangan kedua pula ada-ada sahaja kejahatan yang disebabkan olehnya.

Taatlah kepada ALLAH dalam menentang maksiat yang dilakukan oleh manusia, dan jangan taati manusia dalam menderhaka kepada ALLAH. Kerana saya ada menerima riwayat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda, “Tiada kepatuhan terhadap makhluk untuk menderhaka kepada ALLAH.”[11]

9. Di Alam Melayu, Islam menyuntik dimensi baharu kepada tatacara pemerintahan Raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan syariah; menegaskan dua konsep, adil dan muafakat.[12] Tuntutan agama Islam amat ketara dalam deskripsi Raja Melayu.[13] Digambarkan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al Nafis, bahawa fungsi utama penyandang gelaran Raja adalah untuk menjunjung hukum ALLAH di muka bumi, bahawa krisis akan terjadi jika perintah ALLAH diingkari, dan apabila Raja memerintah dengan nafsu.[14]

10. Undang-undang Melaka[15] menegaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan dinilai dari sudut amal makruf menyempurnakan tanggungjawab. Terkandung dalam kanun bahawa seseorang Raja perlulah mengamalkan sifat-sifat perkasa lagi tegas, adil lagi saksama, pengampun lagi belas kasihan. Secara tradisi, sejak zaman berzaman, Raja setelah disembah maklum hal ehwal urusan negeri dan rakyat, mengamalkan sistem bermusyawarah untuk memperoleh nasihat dan pandangan. Para Ulama berperanan penting dalam istana Raja Melayu, dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas membimbing ilmu keagamaan dan mengembangkan Islam, serta menyembahkan nasihat berpandukan syarak, ketika Raja Pemerintah menjatuhkan hukum, agar terjamin keadilan dan terhindar kezaliman.

11. Tercatat pelbagai peristiwa daripada pengalaman Ibn Khaldun yang menyaksikan perpecahan politik dan perebutan kuasa yang amat dahsyat berlaku, hingga mengakibatkan kejatuhan tamadun dan pemerintahan Islam di Afrika Utara dan Andalusia. Ibnu Khaldun menyaksikan kesediaan pemerintah melakukan apa sahaja untuk kepentingan memastikan kuasa berada di tangan mereka, termasuk memperalatkan para ulama. Ulama yang pada era kegemilangan Islam bersifat jujur – bersifat ikhlas, sebahagiannya, kerana tergoda dengan kemegahan harta, jawatan dan gelaran, bertukar dan membenarkan diri mereka menjadi pemanfaatan bagi kepentingan peribadi umara tertentu.

12. Mengambil iktibar daripada pengalaman-pengalaman pahit sejarah keruntuhan pemerintahan dan kehancuran negara, ulama wajib memiliki ketegasan untuk mengawasi umara melaksanakan pemerintahan secara adil berasaskan kebenaran – bersandarkan hukum. Ulama wajib berjiwa merdeka, berpegang kepada nilai-nilai agama, bersifat jujur, memahami hati nurani masyarakat, dan senantiasa mengutamakan kesejahteraan ummah, cekal berani lagi tegas menegur kesalahan terutama, jika umara telah tidak melakukan keadilan atau telah menyalahgunakan kuasa.

13. Nasihat yang ikhlas, berterus terang dan betul merupakan satu tanggungjawab wajib para ulama untuk mencegah umara daripada melakukan kemungkaran dan menghindarkan umara daripada melakukan pecah amanah. Malah nasihat yang disampaikan secara ikhlas, berterus terang dan betul akan dapat menyelamatkan seluruh ummah yang berada di bawah naungan pemerintahan seseorang umara. Ulama yang tahu kebenaran, tetapi memilih untuk membisu daripada menegah perbuatan mungkar dengan tidak menyuarakan nasihat yang betul secara berani dan tegas, bukan sahaja telah gagal memenuhi tanggungjawab fardu kifayah kepada ummah, tetapi turut gagal menjunjung amanah keilmuan yang dilimpahkan oleh ILAHI dalam dada-dada mereka.

14. Imam al-Ghazali memperingatkan kerosakan para umara berlaku kerana kerosakan para ulama; tegas beliau:

Petikan:

“Adalah menjadi kebiasaan bagi para Ulama untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengambil kira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka sangat percaya bahawa ALLAH akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau sudah ditakdirkan begitu. Oleh kerana mereka itu ikhlas hati, orang mudah menjadi lembut dan terbuka untuk menerima nasihat mereka. Tetapi sekarang, lidah para ulama telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, mereka tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah, dan pemerintah rosak kerana ulama. Sementara ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar.”

15. Kepada Mu Ya ALLAH, sekalian hamba Mu bermohon agar bumi Mu ini, tempat kami tumpang berkampung, Engkau rahmati dengan para ulama yang kukuh lagi teguh iman mereka, para ulama yang tidak tergoda dengan tarikan duniawi, agar mereka berupaya menjadi penyuluh dalam kegelapan; dan kepada Mu jua Ya ALLAH, sekalian hamba Mu memohon agar Engkau kurniakan kami dengan para umara yang berjiwa ulama; umara yang menjadikan pedoman akan kata-kata nasihat Saidina Ali Karramallahu Wajhah, kepada Gabenornya:

Petikan:

“Jadikan yang kamu sukai ialah kebenaran yang paling tepat, keadilan yang berakar umbi, dan kerelaan rakyat yang paling menyeluruh.”[16]

Makbulkanlah permohonan kami YA ALLAH, Engkau juga Maha Mengetahui – Maha Berkuasa. Amin Ya Rabbulalamin.

  1. Ustaznaim.blogspot.my, “Ulama dan umara”, 19 April 2010
  2. Hadis Riwayat Abu Na’im dalam al-Hulyah.
  3. Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Termidzi
  4. Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid, “Hubungan antara Ulama dan Umara dalam membangun Ummah: Sorotan pandangan Ahli Sunnah-Wa-Jemaah. (18 Mac 2011), https://fitrahislami.wordpress.com.
  5. Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  6. Mahmood Zuhdi.
  7. Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
  8. Abu ‘Abdillah al-Qal’i, Tahzib al-Riyasah wa Tartib al-Siyasah, (Jordan, Maktabah al-Mannar ,1985) 94-95.
  9. Yusuf al-Qardawi, Fiqh al-Daulah dalam Perspektif Al-Qur’an dan Al-Sunnah, terj. Kathur Suhardi (Cet. ke-3; Jakarta: Pustaka al-Kautsar, 1998), 29.
  10. Ulama dan Umara, https://www.facebook.com.
  11. (Abu Zahrah) dalam fitrahislami.wordpress.com.
  12. Hj.Muzaffar Dato Haji Mohamad dan (Tun) Suzana (Tun) Hj. Othman, Melayu Islam Beraja: Menggali Hakikat Leluhur, (Kuala Lumpur: Pustaka BSM Entrprise, 2003), 43.
  13. Virginia Matheson Hooker, “Kajian dan Pengenalan, Raja Ali Haji”, Tuhfat al Nafis, (Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka 1998) xvi.
  14. Ibid.
  15. Teks Abad keempat belas.
  16. fitrahislam.wordpress.com
%d bloggers like this: