Istiadat Perbarisan Jubli Emas Kor Kesihatan Diraja

Angkatan Tentera, ditubuhkan oleh setiap negara, bertujuan untuk mempertahankan negara daripada sebarang pencerobohan.  Sesungguhnya, ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan peringatan agar manusia menyediakan satu angkatan tentera yang kuat lagi lengkap, berkeadaan siaga menghadapi musuh seperti yang difirmankan dalam Surah Al-Anfaal ayat 60 bermaksud:

 

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh ALLAH, musuh mu, serta musuh-musuh lain yang kamu tidak mengetahuinya; sedang ALLAH mengetahuinya……”[1]

 

  1. Angkatan Tentera Malaysia mendukung amanah berat lagi penting untuk mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Kor Kesihatan Diraja ditubuhkan untuk melengkap keperluan operasi Angkatan Tentera Malaysia.  Keperluan tentera mempunyai pegawai perubatan dalam pasukan, dikenal pasti, seawal penubuhan Kompeni Percubaan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933; ketika itu seorang Pegawai Perubatan British telah diambil berkhidmat dalam Batalion Pertama Askar Melayu.  Unit perkhidmatan perubatan dan pergigian kemudiannya diwujudkan; disusuli dengan penubuhan Kor Perkhidmatan Am (Ubat) pada tahun 1960.  Kor Ubatan dan Gigian ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1967, bertukar nama kepada Kor Kesihatan Angkatan Tentera pada 10 Ogos 1988; dan pada 7 Jun 1997 diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, ditauliahkan sebagai Kor Kesihatan Diraja.

 

  1. Kor Kesihatan Diraja, kini dianggotai oleh enam ratus dua puluh empat (624) orang pegawai dan dua ribu lima ratus lapan puluh lapan (2,588) orang anggota berpangkat rendah. Daripada tanggungjawab awal menyediakan perkhidmatan perubatan medan, peranan Kor Kesihatan Diraja telah berhijrah mengendalikan tanggungjawab lebih besar; kini turut diberikan amanah mengendalikan lima (5) Hospital Angkatan Tentera, lapan belas (18) Rumah Sakit, empat puluh enam (46) Pusat Perubatan, empat (4) Klinik Pergigian Khidmat Pakar dan dua puluh enam (26) Pusat Rawatan Pergigian.  Alhamdulillah, dalam bidang klinikal, Kor Kesihatan Diraja telah berjaya melangkah ke peringkat perkhidmatan perubatan tertiar (tertiary care), merangkumi bidang-bidang kardiologi, pernafasan (respiratory) dan oftalmologi di samping pewujudan perkhidmatan perubatan regeneratif.

 

  1. Beta menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh warga Kor Kesihatan Diraja yang berjaya memenuhi misi penubuhannya untuk ‘Memelihara Kekuatan Tempur Angkatan Tentera Malaysia Dengan Pemeliharaan Kesihatan, Pencegahan Penyakit, Perawatan dan Khidmat Rehabilitasi’ serta turut mencipta keharuman nama setelah berjaya mendapat pelbagai pengiktirafan. Dalam 2016,  Kor Kesihatan Diraja telah menerima Anugerah Inovasi Negara: Portable Dental Treatment Unit, pengiktirafan lima bintang dalam Sistem Star Rating Perkhidmatan Awam, pengiktirafan empat bintang Accountability Indeks Monitoring Systems (AIMS), serta Pusat Tanggungjawab Kewangan Markas ATM Terbaik; dan selama empat tahun berturut-turut berjaya mendapat Pengiktirafan Stor Bestari.  Anugerah inovasi JERNIH 2014, ialah inovasi sistem penapisan air, bersih dan selamat, dihasilkan oleh Kor Kesihatan Diraja, yang memberikan manfaat kepada penduduk tempatan, begitu juga di luar negara.  Sistem penapisan air berinovasi ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan telah diperkenalkan di Afghanistan, di Kampuchea dan di beberapa negara Benua Afrika.

 

  1. Dalam usia lima puluh tahun pewujudannya, Kor Kesihatan Diraja turut memberi bantuan perubatan dan kemanusiaan di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Congo, di Namibia, di Kampuchea, di Somalia, di Bosnia, di Timor Leste, di Sahara Barat dan di Lubnan. Kor Kesihatan Diraja telah memberi bantuan ketika berlakunya kebakaran hutan di Kalimantan, memberi bantuan kemanusiaan di Kepulauan Flores, Indonesia, serta membantu mangsa Taufan Haiyan di Filipina, pelarian Afghanistan di Chaman, Pakistan di samping turut menyertai Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team (SMART) ketika berlaku gempa bumi di Turki dan di India.

 

  1. Prestasi pencapaian di dalam negara dan penerimaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta negara-negara lain, membuktikan Kor ini mempunyai reputasi yang cemerlang. Kejayaan tidak tercapai dalam satu musim.  Kejayaan yang dicapai adalah hasil daripada himpunan usaha yang dilaksanakan secara berterusan – secara konsisten – secara sistematik – secara berhaluan.  Kecemerlangan tidak tercipta melalui retorik dan slogan.  Kecemerlangan akan tercipta melalui pimpinan yang berwawasan, komitmen yang bersungguh, tugas yang disempurnakan secara dedikasi, diperlengkap dengan semangat berkorban – semangat berpasukan – semangat kesetiaan.  Kejayaan yang dicapai dan kecemerlangan yang dicipta oleh Kor Kesihatan Diraja adalah hasil daripada kombinasi komponen-komponen tersebut.

 

  1. Mempertahankan kejayaan dan melonjakkan kecemerlangan adalah cabaran lebih besar setelah kejayaan dicapai dan kecemerlangan tercipta. Prestasi kejayaan dan kecemerlangan lima puluh tahun pertama usia Kor Kesihatan Diraja, hendaklah dijadikan sumber inspirasi menyuntik semangat lebih gigih untuk terus maju dan terus mara, menjiwai dan menghayati cogan kata ‘KHIDMAT DIUTAMAKAN’, agar Kor Kesihatan Diraja akan muncul antara Kor yang amat dihargai di dalam Angkatan Tentera Malaysia dan dihormati di peringat antarabangsa.

 

  1. Saudara-saudari yang menganggotai Kor ini adalah minda yang menggerakkan nadi Kor Kesihatan Diraja. Saudari-saudari juga yang telah dan akan terus menyuntik roh, di samping melakar warna dan rupa bentuk Kor Kesihatan Diraja.  Saudara-saudari telah membuktikan kesanggupan untuk menggalas dua tugas berat penuh cabaran; pertama menjadi anggota tentera, dan kedua terlibat dalam bidang kesihatan.  Imam Shafie Rahimahullah mencatatkan:

 

“Aku tidak tahu suatu yang lebih mulia selepas ilmu halal dan haram melainkan ilmu perubatan”[2]

 

  1. Tentera dan Perubatan adalah gandingan dua profesion yang tugasannya diperlukan sepanjang siang – sepanjang malam; tugas tentera merentasi sempadan waktu, keperluan rawatan kesihatan tidak mengenal masa. Sesungguhnya, setiap seorang saudara-saudari memiliki kembaran dua kesungguhan – dua ketabahan, dua kegigihan – dua komitmen, apabila memilih dan terpilih untuk menganggotai Kor Kesihatan Diraja yang dipertanggungjawabkan untuk menghadapi dua tugasan kembar yang sangat mencabar.  Saudara-saudari yang menganggotai Kor Kesihatan Diraja serentak melaksanakan dua tanggungjawab fardu kifayah yang besar.  Semoga khidmat murni dan jasa bakti yang dicurahkan dalam perkhidmatan, akan dianugerahkan oleh ILAHI ganjaran dunia – ganjaran akhirat.

 

  1. Seorang tentera yang hebat akan melaksanakan tugas berlandaskan keimanan, yang mencerminkan kemuliaan akhlak dengan memahami dan menjiwai, tahap kesetiaan, yang tidak mengizinkan berlakunya penganiayaan dan kezaliman. Seorang tentera yang hebat, memiliki sifat bekerja untuk dunia, dan berjuang untuk akhirat.  Seorang tentera yang hebat bersedia mempertahankan kedaulatan tanah airnya hingga ke peringkat menitiskan darah dan mengorbankan nyawa demi memastikan tanah airnya terus bernyawa dan bermaya.  Untuk itu, Beta menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada setiap anggota tentera dan setiap keluarga anggota tentera di atas pengorbanan besar mereka , berbakti kepada bangsa dan negara.

 

  1. Dalam mempertahankan kedaulatan takhta pemerintahan dan kemerdekaan negara, banyak nyawa anggota tentera telah terkorban. Jasad mereka disemadikan di pusara di serata negara, dan kebanyakan mereka disemadikan di pusara yang tidak bernama.  Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan pengorbanan mereka diterima sebagai pengorbanan yang mendapat rahmat daripada ILAHI.  Sempena Istiadat Perbarisan Jubli Emas Kor Kesihatan Diraja pada pagi ini, sebagai tanda menghargai pengorbanan mereka, marilah sama-sama kita bertafakur, mendoakan semoga roh mereka berada dalam dakapan ihsan dan kasih sayang ILAHI; di kalangan umat Islam, sama-samalah kita membacakan Surah Al-Fatihah, memohon semoga ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA melimpahkan rahmat ke atas roh-roh mereka yang telah gugur.  AL FATIHAH.

[1] Al-Qurah, Al-Anfaal (8:60)

[2] al-Dhahabi, Siyar A’lam al-Nubala’ (Beirut, 1996), vol. 10, p.57

%d bloggers like this: