Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Malaysia

“MENGHAYATI EVOLUSI PENDIDIKAN”

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Maha Besar ALLAH yang mengeluarkan kamu dari perut ibu mu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur.[1] Maha Suci ALLAH yang telah menyeru orang-orang beriman, “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah, nescaya ALLAH melapangkan (tempat) untuk mu; dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara mu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat; dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.[2]

2. Hamba-Mu mengangkat kalimah kesyukuran setinggi-tingginya kerana dengan kudrat iradat Mu, Hamba-Mu dapat bersama memakmurkan Majlis ilmu yang dianjurkan ini. Semoga niat suci dan usaha murni sekalian hamba-Mu ini mendapat limpah berkat dan rahmat dari Mu jua. Ya Tuhan ku! lapangkanlah untuk ku dada ku; dan mudahkanlah untuk ku urusan ku; dan lepaskanlah kekakuan dari lidah ku; supaya mereka mengerti perkataan ku.[3] Amin Ya Rabul Alamin.

3. Selawat kesejahteraan ke atas Rasul Junjungan dan Penghulu kami, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian, yang senantiasa memohon supaya ditambah ke atas dirinya ilmu pengetahuan.[4] Kurniakan rahmat ke atas Baginda, demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berterusan, gigih mengembangkan ilmu, berperanan sebagai penyuluh kegelapan. Semoga memperoleh ihsan dari Mu jua Ya ALLAH sehingga ke hari kebangkitan.

4. KONVENSYEN KEBANGSAAN PENGETUA CEMERLANG hari ini berlangsung dalam suasana PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025 baru dilancarkan. Idea mewujudkan Pelan tersebut yang disusuli dengan usaha serta disambut dengan penyertaan yang ramai, sewajarnya dipuji dan dihargai.

5. Dalam proses merangka pelan tersebut, pelbagai pihak tampil mengemukakan pendapat. Laporan awal Pelan tersebut telah ditapis, dirumuskan daripada lebih 7,000 syor yang dikemukakan, melibatkan perbincangan dengan hampir 12,000 peserta.[5] Minat pelbagai pihak untuk terlibat menghasilkan pelan tersebut adalah petanda positif; membuktikan agenda pendidikan mendapat perhatian ramai pihak. Nyatalah pendidikan adalah subjek yang begitu dekat di hati warga.

6. Telah menjadi lumrah alam, bahawa setiap usaha akan mendapat pelbagai reaksi, sama ada sokongan serta pujian mahupun teguran serta kritikan. Dalam memenuhi agenda penambahbaikan, jangan terlalu riak dan ria dengan kata sokongan – kata pujian kerana ada sokong membawa rebah, mati semut kerana gula. Jangan pula kecewa dan patah hati disebabkan teguran dan kritikan. Dalam masyarakat yang dinamik, dalam budaya demokrasi yang semakin terserlah, setiap jawapan akan mengundang soalan baru. Sewajarnya panitia kepada usaha ini, berdada lapang – berminda luas, menerima teguran – menerima kritikan, semoga yang cacat dapat dicantikkan, yang kurang dapat dicukupkan.

7. Pihak panitia wajar bersifat arif, lebih mengutamakan kualiti cadangan, kualiti penyertaan dan kualiti perbincangan dari berasa terlalu puas dengan kuantiti cadangan, kuantiti penyertaan dan kuantiti perbincangan. Pihak panitia juga perlu berhati-hati dari terburu-buru mahu menyudahkan kerja semata-mata disebabkan tekanan waktu untuk sampai ke garis penamat. Tugas menyediakan rancangan besar memerlukan penelitian sedalam dan sehalus mungkin. Jangan kerana terdesak diburu waktu, mengakibatkan tercicir komponen penting dan terlepas pandang elemen strategik.

8. Usaha menambah baik program pendidikan akan menempuhi perjalanan pelbagai liku. Pada setiap liku, akan terjumpa penemuan baru yang memerlukan takrifan baru. Pelan tersebut hendaklah dilihat sebagai satu rangka besar yang memberikan cukup ruang fleksibiliti di peringkat pelaksanaan dan turut membolehkan berlakunya pengubahsuaian sepanjang meniti liku perjalanan; apatah lagi ketika dunia berada dalam era kemajuan yang berlaku pada kadar terlalu laju. Ketika menyampaikan ucapan di Persidangan Ketua Eksekutif Microsoft dalam tahun 1997, Bill Gates telah mencerakinkan tahun lapan puluhan sebagai Era Kualiti, tahun sembilan puluhan sebagai Era Perekayasaan (reengineering) dan tahun dua ribu sebagai Era Kelajuan (Velocity)[6]. Survival di Era Kelajuan tidak membenarkan sesuatu usaha bersifat statik. Pengetahuan pada hari ini berkembang pada tahap kelajuan yang amat menakjubkan. Apa yang dianggap idea kontemporari, idea semasa, idea baru ketika ini, cepat berubah menjadi lusuh – menjadi usang, dalam tempoh tersangat singkat.

9. Inovasi pendidikan yang telah dilaksanakan selama lima puluh tahun lalu meskipun memberikan rasa bangga dari prestasi pencapaian, namun amat wajib disedari bahawa inovasi lebih hebat akan berlaku dan terus berlaku pada kadar yang sangat pantas dalam tempoh lima puluh tahun akan datang. Gelombang besar makluman – gelombang besar teknologi akan terus melanda di persisiran pantai di serata maya. Era Kelajuan menuntut kepada keberanian melakukan pengubahsuaian demi pengubahsuaian, melakukan perubahan demi perubahan, melakukan anjakan demi anjakan, melakukan penghijrahan demi penghijrahan.

10. Evolusi pendidikan bukan fenomena baru. Evolusi pendidikan telah berlaku sejak terciptanya manusia, bermula dari terciptanya Nabi Adam Alaihissalam bersama Siti Hawa, bermula dari kelahiran zuriat pertama manusia, Qabil dan Iqlima disusuli Habil dan Labuda. Proses pendidikan telah bermula, berubah, berkembang melalui pelbagai wahyu yang disampaikan peringkat demi peringkat, dari era ke era, dengan perintah ILAHI oleh Malaikat Jibrail Alaihissalam dan melalui risalah pengajaran yang disebarkan oleh para Rasul, para Anbia, para Tabiin dan para Ulama.

11. Ilmu dan pendidikan itu ditamsilkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala berkembang secara evolusi, melalui pelbagai peristiwa – pelbagai kejadian – pelbagai ujian – pelbagai permasalahan, untuk diambil iktibar – dijadikan pengajaran. Betapa kesilapan Nabi Adam Alaihissalam, kelihatan mudah diperdayakan Iblis, memesongkan Baginda melanggar larangan Allah dengan memakan buah dari pohon khuldi, lalu menerima hukuman dikeluarkan dari syurga, dicampakkan ke bumi. Betapa kegigihan Nabi Ibrahim Alaihissalam, dijadikan contoh, akan kekuatan iman seorang Rasul menegakkan keesaan ILAHI; Baginda bersedia dilontar ke dalam api besar menyala panas; betapa kekuatan iman Nabi Ismail Alaihissalam bersedia dikorbankan, menyerahkan leher Baginda untuk disembelih. Demikian pula kisah-kisah Nabi Nuh Alaihissalam menyempurnakan perintah membina bahtera, Nabi Musa Alaihissalam menghadapi Firaun dan dengan penuh yakin menyeberangi Laut Merah, Nabi Ayub Alaihissalam yang ditimpa penyakit kulit, Nabi Yunus Alaihissalam yang ditelan Ikan Nun dan pelbagai peristiwa lagi yang dialami oleh para Rasul, para Nabi dan para sahabat. Pelbagai peristiwa tersebut adalah contoh-contoh pengajaran selaras dengan maksud ayat 43 Surah Al’Ankabuut:

“ Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buatkan untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu”.[7]

12. Allah Subhanahu Wata’ala telah menurunkan empat kitab utama untuk rujukan ummah secara berperingkat, Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran. Setiap satunya, dalam bahasa serta dengan kandungan yang bersesuaian dengan suasana budaya, suasana alam dan suasana kehidupan ummah pada era tertentu; sehinggalah pada akhirnya, diturunkan kitab Al-Quran. Pun demikian, Al-Quran tidak diturunkan secara mengejut – secara serentak. Al-Quran juga melalui proses evolusi, diturunkan peringkat demi peringkat, mengambil masa dua puluh dua tahun, dua bulan, dua puluh dua hari untuk disempurnakan selengkapnya seperti yang dijelaskan dalam ayat 23 dan bahagian pertama ayat 24, Surah Al-Insaan yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran kepada mu (hai Muhammad) dengan beransur-ansur. Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhan Mu …..”[8]

13. Alam dan seluruh makhluk adalah ciptaan dan milik ILAHI. ALLAH Maha Kuasa atas segalanya. Jika ALLAH Subhanahu Wata’ala menghendaki sesuatu, ALLAH hanya perlu berkata, “Jadilah” maka terjadilah ia.[9] Namun ALLAH Subhanahu Wata’ala, turut memperlihatkan kefahaman akan paradoks sifat semula jadi manusia. Manusia pada resamnya, senang berada dalam zon selesa, kerana itu kebanyakan manusia berat melakukan perubahan dan cenderung menolak pembaharuan, jika mereka tidak terlebih dahulu dapat memahami manfaat yang bakal dinikmati. Apatah lagi, jika perubahan dan pembaharuan itu diperkenalkan secara terburu-buru, tidak dilengkapkan dengan prasarana dan instrumen pelaksanaan yang jitu serta tidak didukung dengan sumber yang mantap.

14. Untuk itu ALLAH telah memperlihatkan nilai-nilai sabar yang tinggi, memilih proses evolusi dalam melakukan transformasi, ketika menurunkan perintah, arahan, seruan dan larangan demi memastikan kalam-kalam ILAHI itu dapat difahami secara mendalam, peringkat demi peringkat, fasa demi fasa dan pada akhirnya dihayati sepenuhnya lalu diamalkan. ALLAH Subhanahu Wata’ala telah memperlihatkan bahawa sebesar-besar guru, Malaikat Jibrail Alaihissalam perlu mengulangi tiga kali kalimah iqra. Setiap seruan kalimah iqra yang dilafazkan oleh Jibrail Alaihissalam kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, Nabi menjawab bahawa Baginda tidak tahu membaca hingga sampai kali ketiganya, Jibrail Alaihissalam melakukan sentuhan fizikal secara memeluk tubuh Nabi, sebelum Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam mengikuti kalimah yang dibacakan.

15. Peristiwa di Gua Hira mengisahkan hubungan antara dua makhluk agung, Penghulu segala Malaikat berperanan guru dan Penghulu segala Rasul berperanan murid, dua makhluk yang mempunyai hubungan istimewa dan talian langsung dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala; pun demikian ALLAH menggambarkan situasi tidak mudah yang harus ditangani. Pastinya insan biasa dengan segala kekurangan – dengan pelbagai kedaifan, akan berhadapan situasi lebih rumit dalam usaha mahu mengimplementasikan sesuatu wawasan baru.

16. Ulama tersohor, HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah), menghuraikan bahawa ALLAH Subhanahu Wata’ala telah mengurniakan dua kitab pengajian, satu: Al-Quran ditanzilkan secara terbuka melalui wahyu kepada Rasul Junjungan, kedua: secara tertutup, ia itu alam maya ini.[10] Alam maya yang perlu dibuka rahsia khazanahnya dengan kebijaksanaan akal. Alam maya ini, serta segala isi kandungnya, gunung dan lurah, laut dan pantai, padang pasir dan kutub salji, tumbuhan melata – pepohon berdahan, burung di awan – ikan di laut adalah sebesar-besar alam sekolah ciptaan ILAHI. Al-Quran adalah sehebat-hebat blue print, sehebat-hebat ensiklopedia untuk dijadikan panduan, Sunah Rasul adalah sebijak-bijak hikmah untuk dijadikan pedoman, diperkukuhkan dengan instrumen kias dan ijmak. Yang penting, pintu ijtihad tidak pernah ditutup. Pintu ijtihad terus dibuka untuk membolehkan ummah melakukan tafsiran baru dalam menangani cabaran hidup di alam maya yang terus berubah dengan pelbagai penemuan – pelbagai pembaharuan – pelbagai reka cipta baru.

17. Pintu ijtihad telah membolehkan Islam kekal relevan sepanjang masa. Malah kerana pintu ijtihad terus dibuka, pengubahsuaian diharuskan untuk memudahkan ummah menyempurnakan tuntutan Fardu Ain dan tuntutan Fardu Kifayah. Kerana itu pendekatan Islam tidak jumud – tidak kuno, malah pendekatan Islam terus diterima, semakin dinamik, sebagai instrumen pengurusan yang mencerminkan keadilan – menjaminkan kesejahteraan, seperti yang terserlah dalam bidang-bidang kewangan, perbankan, insurans, perniagaan, pembangunan modal insan, pendidikan dan pelbagai bidang lagi. Malah para jemaah pada hari ini, lebih selesa menunaikan Rukun Haji, susulan terbinanya prasarana tambahan secara bertingkat antara Safa dan Marwa untuk menampung angka jemaah yang semakin bertambah ketika menunaikan sa’i; demikian juga pembinaan bertingkat Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah untuk memudahkan jemaah menyempurnakan ibadah melontar. Pembinaan prasarana-prasarana bertingkat itu, telah diharuskan oleh para Ulama demi memudahkan ummah menyempurnakan ibadah dalam keadaan selesa lagi selamat.

18. Panitia yang diberikan amanah menyediakan PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN NEGARA, lebih-lebih lagi teknokrat yang diamanahkan tanggung jawab pelaksanaan, sewajarnya mengambil iktibar supaya penggubalan terakhir pelan ini, berupaya diterjemahkan dengan program kerja yang realistik lagi mudah dihayati, program pelaksanaan yang benar-benar memberi impak, program pelaksanaan yang relevan dengan keperluan semasa, lebih utama lagi, program pelaksanaan yang tidak bersifat bermusim.

19. Adalah penting untuk setiap perancangan pendidikan memiliki sifat toleransi, terus membenarkan berlakunya evolusi secara berterusan – secara berkesinambungan. Rancangan pendidikan yang agung perlu mengizinkan berlakunya budaya penerokaan – budaya memenuhi pengisian minda, tanpa noktah – tanpa perhentian, selaras dengan falsafah dan sifat ilmu. Program pendidikan hendaklah berfungsi sebagai lebuh raya yang membolehkan insan sampai ke puncak pencapaian pada tahap kelajuan yang tidak dihalang oleh pelbagai sekatan. Lebuh raya pendidikan tidak harus di halang dengan terlalu banyak pondok tol hingga menjejaskan kelajuan. Oleh itu, dalam niat dan hasrat menjayakan program pendidikan yang lebih gemilang, pondok-pondok tol tidak perlu dibina terlalu banyak, di sebaliknya pondok-pondok tol yang selama hari ini telah banyak menghalang kelajuan, wajib dirobohkan.

20. Melaksanakan program pendidikan adalah satu tuntutan fardu kifayah; program yang menghargai kurniaan ILAHI yang telah menciptakan manusia diperlengkap dengan akal; selaras dengan seruan yang terkandung dalam ayat pertama hingga ayat kelima Surah Al-Alaq, yang bermaksud:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan Mu yang menciptakan; Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah; Bacalah, dan Tuhan Mu Yang Paling Pemurah; Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam; Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”[11]

21. Program Pendidikan adalah program pembangunan insaniah; program untuk mengangkat martabat insan ke altar tertinggi selaras memenuhi semangat yang terkandung dalam ayat 4 Surah At-Tiin dan Ayat 70 Surah Al- Israa’ yang bermaksud.

“ Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”;[12]

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkat mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah kami ciptakan.”[13]

22. Menyampaikan ilmu, mengembangkan ilmu, mempelajari ilmu dan menguasai ilmu adalah satu tuntutan syarak yang diwajibkan ke atas setiap insan. Anas Radiallahuanhu berkata bahawa Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda:

“Siapa yang keluar untuk mencari ilmu, maka dia fisabililah hingga kembali’[14].

23. Dan diriwayatkan oleh Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa-i dan Ibnu Hibban akan sabda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam, bermaksud,

“Keutamaan orang berilmu atas orang beribadat tanpa ilmu seperti keutamaan bulan purnama di atas seluruh bintang lainnya.”[15]

24. Ilmu itu begitu mudah disebut tetapi teramat luas sifatnya lalu tidak mungkin diberikan definisi yang sempit. Ia memiliki karakter yang unik – karakter yang luar biasa. Ia ada, tetapi tidak dapat dipegang, tidak dapat dilukis, tidak dapat digambarkan, tidak dapat dilakarkan rupa bentuknya. Ia tidak berwarna, ia tidak berbau. Ia tidak dapat disukat – tidak juga dapat ditimbang. Ia berada di langit, di bumi, di laut malah di serata tempat. Ia adalah milik semua insan, ia hak setiap insan, ia disediakan untuk semua insan; namun lebih ramai insan yang tidak memiliki dari memilikinya. Ia diterima sebagai berharga lagi bernilai tetapi ia tidak perlu disimpan di bilik kebal atau disimpan di dalam bank kerana ia tidak pernah dirompak atau dicuri. Ia tidak dapat dikurung, ia tidak dapat dikepung. Ia terus diterokai, ditemui, dikembangkan. Ilmu itu menjadi lebih berharga – lebih bernilai di kalangan ‘Jauhari yang mengenal Manikam’. Ilmu itu dimanifestasikan melalui keluhuran watak dan ketinggian budi, pakaian dalaman yang mempengaruhi wajah luaran seseorang insan. Sejahteralah mereka yang menghayati dan menguasai ilmu. Lebih sejahtera di kalangan mereka yang bersedia mengambil tanggung jawab menyampai, memanjang dan mengembangkan ilmu.

25. PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA yang sedang dalam proses diperkemas, adalah pelan untuk mencari formula bijak mengurus ilmu. Amat dialu-alukan wawasan Pelan tersebut yang dicetuskan dari kesedaran, bahawa pendidikan bukan sekadar bertujuan untuk mengisi minda pelajar dengan fakta, tetapi untuk mendidik mereka berupaya berfikir. Sesungguhnya telah tercetus anjakan paradigma, dari premis untuk mengisi takar yang kosong kepada premis untuk menyalakan puntung pelita agar berupaya memancarkan cahaya menerangi alam. Ia bertepatan dengan falsafah dan prinsip utama pendidikan, bermatlamat melahirkan insan yang memiliki kapasiti melakukan perkara baru, berdaya inovatif – berdaya kreatif; keluar dari kepompong mengulangi perkara yang sama, berhijrah melakukan penerokaan.

26. Pelan tersebut mengandungi lapan bab, merangkumi konteks dan pendekatan, visi dan aspirasi, prestasi semasa, pembelajaran murid, guru dan pemimpin sekolah, transformasi kementerian, struktur sistem, dan pelaksanaan pelan tindakan. Kejayaan pelan tersebut amat bergantung pada komitmen para pelaksana yang terlibat secara langsung, pada masa ini terdiri dari 6,800 pegawai dan staf sokongan di peringkat Kementerian, 6,400 di peringkat negeri dan lebih 6,000 di peringkat daerah, berserta kira-kira 420,000 pengetua, guru besar dan guru di sekolah dan lebih 13,100 pegawai dan staf sokongan di Institut Pendidikan Guru, di Institut Aminuddin Baki dan di Kolej Matrikulasi.[16]

27. Jaya-gagalnya Pelan ini amat bergantung pada tenaga pengetua, guru besar dan guru di sekolah. Oleh itu amatlah kritikal untuk kumpulan paling penting ini diberikan fokus. Mereka adalah komponen penentu, bertenaga gergasi, yang diamanahkan untuk memikul tanggung jawab besar mengilmukan insan.

28. Para guru menjadi penentu untuk meningkatkan pencapaian sekolah dari lemah menjadi kuat, dari kuat menjadi hebat. Para guru begitu instrumental mewujudkan persekitaran sekolah yang berupaya memberikan keyakinan untuk memenuhi harapan ibu bapa dan merealisasikan impian anak-anak. Manusia telah dicipta oleh ILAHI dengan jasad dan roh yang diperlengkap dengan akal dan nafsu. Iblis telah bersumpah untuk mempengaruhi nafsu manusia, memesongkan manusia untuk bersifat derhaka kepada Penciptanya. Untuk memagar manusia dari terpesong, aspek memperlengkap dan mengisi akal adalah tanggung jawab besar yang wajib dilaksanakan.

29. Satu perempat masa anak-anak dalam lingkungan usia tujuh hingga tujuh belas tahun berada di alam sekolah.[17] Para guru berperanan penting memberi sentuhan, membimbing dan mempengaruhi pemikiran serta mencanai budaya hidup ribuan insan. Lebih berkesan peranan guru, akan kuranglah bilangan Mat Rempit di jalan raya, akan turunlah angka jenayah di dalam negara, akan rendahlah hitungan penghuni di dalam penjara. Lebih berkesan peranan guru, akan lebih imarahlah masjid, akan lebih harmoni hidup warga, akan lebih tenteramlah negara. Pelan ini jika tidak dihayati di taman sekolah, apatah lagi, jika gagal mendapat apresiasi di bilik darjah, dibimbangkan akan berakhir sebagai timbunan kertas, dalam bentuk kertas berhuruf – kertas berajah – kertas berwarna – kertas bergambar.

30. Ilmu itu berlegar dalam orbit yang amat luas, singgah dan bermastautin dari minda ke minda melalui perantaraan. Guru adalah perantara yang menyempurnakan amanah untuk menyampai, memanjang dan mengembangkan ilmu. Tugas menyampai, memanjang dan mengembangkan ilmu adalah tugas besar lagi mulia. Ia memerlukan sifat-sifat mahmudah yang tinggi. ALLAH Subhanahu Wata’ala mengamanahkan tugas besar lagi mulia tersebut bukan kepada sembarangan makhluk. Tugas tersebut diamanahkan ke atas Malaikat Jibril Alaihissalam, Penghulu kepada sekalian Malaikat. Tanggung jawab menyampai, memanjang dan mengembangkan ilmu kemudiannya diamanahkan kepada para Rasul, para Anbia, para Tabiin dan para Ulama sehinggalah dipanjangkan tanggung jawab besar dan mulia itu kepada insan bergelar Guru. Dalam karya-karya klasik, diceritakan, tugas guru itu dilaksanakan oleh para dewata yang memiliki pelbagai kelebihan, pelbagai kesaktian dan pelbagai keistimewaan; satu gambaran akan martabat dan watak hebat lagi unggul di kalangan mereka yang mengilmukan insan.

31. Pada tahap awal tamadun manusia, guru tumbuh dan membesar dalam alam agama lantas memenuhi tanggung jawab yang difitrahkan untuk memenuhi seruan tuhan. Rumah-rumah ibadat berperanan sebagai pusat perkembangan ilmu. Tanggung jawab guru disempurnakan oleh tokoh-tokoh agama. Tokoh-tokoh agama dilihat sebagai insan murni berhati bening. Guru dimuliakan, diiktiraf memiliki talian hubungan yang luhur dengan tuhan. Guru dipercayai memiliki keistimewaan luar biasa, memiliki kuasa-kuasa kesaktian – sekali gus meletakkan martabat guru di altar yang tinggi.

32. Guru memenuhi peranan mengajar – peranan mendidik, menyampai, memanjang dan mengembangkan ilmu. Kata-kata seorang guru, digambarkan bagai air jernih yang mengalir dari gunung-ganang yang tinggi, melimpahkan rahmat, membawa kesuburan ke setiap pelosok lembah. Kata-kata yang diungkapkan oleh guru dianggap mutiara amat berharga. Guru dimuliakan atas keyakinan bahawa Guru itu memiliki sifat-sifat arif, bijak, budiman, luhur lagi ikhlas. Bahawa kekuatan guru itu terletak kepada sifat dan wataknya, dan tidak terletak kepada kelulusan akademik atau kekananan jawatan yang disandang. Guru diiktiraf sebagai pengajar dan pengasuh, baik dari perkataan begitu juga dari perlakuan, lalu guru dijadikan contoh ikutan – contoh teladan. Mohandas K. Ghandi menyifatkan sebaik-baik kitab bagi seorang murid adalah gurunya. Sementara pepatah Jepun menyebut ‘sehari bersama guru yang agung mengatasi seribu hari menelaah ilmu secara tekun’.

33. Budaya menghormati guru adalah budaya sejagat. Ahli Falsafah Greek, Aristotle membandingkan peranan guru dengan ibu bapa. Aristotle menempatkan guru pada status lebih tinggi dari ibu bapa. Aristotle menyifatkan, ibu bapa sekadar melahirkan insan ke maya ini, sedangkan guru berperanan besar, melengkapkan hidup insan sehingga insan tersebut bersedia membina hidup sempurna. Peradaban-peradaban awal di Mesopotamia, di Parsi, di India dan di China meletakkan guru pada tahap kemuliaan yang tinggi. Dalam peradaban Mesopotamia, guru dirujuk sebagai ‘unmia’ bermaksud ‘bapa sekolah’. Masyarakat Parsi menyifatkan Guru sebagai kerjaya yang kudus bermartabat tinggi di sisi agama. Peribahasa lama yang berbunyi ‘Maa, Pitha, Guru, Daivam” bermaksud ‘Ibu, Ayah, Guru, Tuhan’ adalah manifestasi pengiktirafan masyarakat India terhadap Guru. Peradaban Hindu menyifatkan Guru sebagai cahaya yang memberikan panduan, membantu mencipta persekitaran yang membawa kemajuan. Masyarakat Cina memandang tinggi kepada Confucius, dinobatkan sebagai tokoh guru teragung.

34. Dalam masyarakat Islam dan dalam budaya alam Melayu, Guru dimuliakan, disamakan dengan status ulama dan imam, dirujuk sebagai Tok Guru atau Tuan Guru. Guru dikategorikan dalam kumpulan ilmuwan yang memenuhi ciri-ciri ulama, dihormati di masa hidup – dihargai selepas mati. Bacaan Surah Al-Fatihah turut di hadiahkan kepada roh para guru yang telah meninggal dunia bersama roh para Anbia, para Sahabat, para Tabiin, para Ulama dan roh Ibu Bapa. Demikian senario di masa lalu, betapa profesion keguruan begitu dimuliakan, melambangkan pengiktirafan masyarakat terhadap pengorbanan, terhadap jasa bakti dan terhadap khidmat murni mereka.

35. Hari ini, kata-kata pengiktirafan terhadap guru terus dizahirkan. Pengarah UNESCO Federico Mayor mengingatkan bahawa kita tidak akan tergulung kepada masyarakat berpelajaran dan kita tidak mungkin memasuki era pendidikan selagi guru tidak diberikan pengiktirafan selayaknya. Ketika menerima Anugerah Tokoh Guru South Carolina pada tahun 2004, Gason Scott Fulmer dalam ucapannya menyatakan bahawa Guru bukan sekadar satu profesion penting lagi perlu tetapi merupakan profesion yang memungkinkan perwujudan dan pengisian profesion-profesion lain. Kata-kata tersebut mengingatkan Beta kepada kata-kata pujangga yang diungkap oleh dua Sasterawan Negara, Usman Awang dan A. Samad Said.

36. Sempena Hari Guru tahun 1979, Usman Awang (Allahyarham) melihat Guru dari pancaran mata hati, lalu menyusun kata-kata pujangga yang cantik, dalam bahasa tersangat indah, mendedikasikannya kepada masyarakat Guru, antara bait-bait tersebut berbunyi:

Petikan:

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa…

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia…

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di ibu kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Trengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku

Semakin terpencil duduknya diceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara…

Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat

Menjadi Kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang: 1979[18]

37. Sasterawan Negara A. Samad Said menyifatkan guru sebagai ‘Obor Hemah’, antara bait-bait puisinya yang menyanjung keluhuran dan kemuliaan guru berbunyi:

Petikan:

Guru adalah awan indah terbang rendah..

Melimpahkan hujan pada musim gersang

Menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah

Ia renjis embun pada tanah bakat…

Guru-atap ganti ketika pondok bocor..

Senyum penyembuh bagi wabak sengsara

Ia – sungai ransang sentiasa tenang

Menghantar bahtera ke segara dharma…

Guru adalah penelaah yang tekun

Mewariskan dunia sebagai kutubkhanah

Menyediakan kutubkhanah sebagai dunia…

Guru adalah batin suci hatinurani

Penjunjung budi, manusia yang takwa

Obor hemah kehidupan bangsa.

  1. Samad Said: 2 April 1988[19]

38. Barisan pimpinan negara tidak terkecuali mengungkap kata, menghargai jasa bakti dan khidmat murni para guru. Ungkap kata yang mencerminkan niat – untuk membela nasib guru; ungkap kata yang menggambarkan hasrat untuk memperkasakan profesion guru. Ungkap kata-ungkap kata yang meniti dari bibir ke bibir, singgah dari cuping telinga ke cuping telinga. Berpahala insan, berniat baik – berhasrat baik; lebih besar pahala disediakan kepada mereka yang bersungguh menunaikan niat – memenuhi hasrat.

39. Dalam prakata Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, Perdana Menteri menyebut aspek kaedah pemilihan guru, latihan guru, penyediaan ganjaran kepada guru dan pemimpin sekolah. Menteri Pelajaran pula menyatakan iltizam Kementerian untuk memberikan ganjaran kepada guru berkualiti dalam bentuk laluan kerjaya yang lebih baik serta laluan yang menyokong pembangunan kerjaya guru. Ketua Setiausaha Kementerian menyebut aspek meningkatkan produktiviti sumber dengan memperkukuhkan hubungan antara pencapaian hasil dengan kecekapan pengagihan sekolah serta perlunya autonomi yang lebih luas dan kebertanggungjawaban yang seimbang diperturunkan; dan Ketua Pengarah Pelajaran menekankan aspek penyampaian berkualiti serta kepimpinan yang cekap dan berkesan sebagai faktor kritikal; disusuli kejayaan yang dapat dilihat dalam tempoh terdekat. Demikian terkandung kata utama dan kata kunci, membayangkan kesedaran pimpinan politik serta perhatian pimpinan pentadbiran dan pimpinan teknokrat. Frasa-frasa yang tersurat membayangkan keprihatinan pimpinan politik dan menggambarkan kepekaan pimpinan pentadbiran – pimpinan teknokrat. Frasa-frasa tersebut tentunya memberikan harapan tinggi, mendorong inspirasi para guru, bagaikan titis embun pagi yang menyentuh kelopak-kelopak bunga di taman sekolah. Semoga, antara kata dan kota, jangan mengambil masa terlalu lama, hingga mewujudkan jurang di antara impian dengan realiti, lalu terkulai layu bunga harapan, rebah guru diriba hiba.

40. Mengangkat martabat guru dan memuliakan guru wajib diusahakan secara bersama oleh setiap lapisan warga dari segenap peringkat. Ia tidak sepatutnya hanya didukung oleh Kerajaan kerana guru berjasa kepada semua, dari Raja kepada Menteri, kepada tokoh korporat dan tokoh niaga, jutawan dan hartawan, malah guru telah menyentuh hidup setiap seorang dari kita. Jasa guru ditabur kepada kita semua, laksana titik-titik hujan yang tidak pernah memilih bumi. Guru! wira bangsa – wira negara, majoriti mereka, wira tidak bernama tetapi kaya berjasa. Warga sepatutnya rasa berdosa kerana tidak cukup menghargai jasa guru, sekurang-kurangnya melahirkan rasa terima kasih setahun sekali, tampil ke hadapan, memuliakan guru sempena sambutan Hari Guru, hari yang guru sepatutnya dihargai dan merasakan hari tersebut adalah hari istimewa kepada mereka; hari negara dan warga memberikan pengiktirafan di atas jasa bakti dan khidmat murni mereka. Malah pada hemat Beta, guru pada hari tersebut selayaknya diberikan peluang mendapat setinggi-tinggi apresiasi dari Ketua Negara di peringkat Persekutuan dan dari Raja Pemerintah di peringkat negeri.

41. Budaya mengiktiraf jasa guru sewajibnya disemai dan kaedah pengiktirafan dipelbagai. Selaku Pro Canselor Universiti Malaya, Beta berbangga dan amat sukacita apabila Universiti Malaya, menganugerahkan dua dari empat Ijazah Doktor Falsafah Kehormat kepada dua insan yang berlatar belakang profesion keguruan dalam Konvokesyen Universiti Malaya kali kelima puluh satu pada 1 Oktober lalu; mereka adalah Dato Seri N. S. Selvamany, Tokoh Guru Kebangsaan Tahun 1997 dan Dato’ Profesor Ibrahim Ahmad Bajunid. Atas sifat murid yang amat menghargai jasa guru, telah Beta jadikan amalan setiap tahun, meraikan Pengetua, Guru Besar dan guru dari pelbagai agama dan kaum di negeri Perak, sebagai tetamu Beta berbuka puasa di Istana Iskandariah. Acara tahunan ini, secara simbolik, melambangkan niat membalas budi serta apresiasi Beta yang amat tinggi kepada guru.

42. Melalui media, Beta mengikuti pelbagai kenyataan yang berhasrat untuk meningkatkan tahap profesionalisme. Media melaporkan bahawa mulai tahun 2013, syarat lantikan guru akan ditumpukan di kalangan tiga puluh peratus graduan terbaik. Peluang naik pangkat diperluaskan, gaji dan imbuhan akan ditambah. Suasana keghairahan ini semoganya tidak menyempitkan pandangan dan tidak mengaburkan penglihatan kepada faktor-faktor lain yang mungkin terselindung di sebalik awan. Faktor-faktor terselindung atau the hidden factors adalah kalanya merupakan faktor yang lebih crucial.

43. Meningkatkan moral guru, meningkatkan semangat kerja guru, meningkatkan produktiviti guru menuntut kepada perlaksanaan pengurusan sumber manusia yang holistik lagi bestari, tidak mencukupi melalui pendekatan yang terlalu simplistik. Menambah peluang naik pangkat dan menambah gaji diakui, komponen asas, tetapi ia tidak segala-galanya. Usaha melahirkan guru cemerlang harus dilihat dari perspektif yang lebih luas dan dari lensa yang lebih jauh.

44. Formula meningkatkan moral guru hendaklah dilebarkan dari sekadar melihat aspek pangkat dan gaji. Bagaimanakah persekitaran dan apakah rupa bentuk ruang yang disediakan untuk guru melaksanakan kerja. Adakah kita sebenarnya telah menghalusi perasaan dalaman mereka, bila membandingkan, rakan-rakan pada gred yang sama perkhidmatan lain, selesa bekerja dalam ruang dan bilik yang memiliki segala privasi, dibekalkan dengan cukup peralatan, dibantu staf sokongan; sedangkan guru terpaksa berhimpit dalam bilik guru yang sempit, menyempurnakan kerja tanpa staf sokongan. Sering kali guru merintih dengan kemudahan perjalanan yang dibenarkan dan kemudahan penginapan yang disediakan, apabila mereka diperlukan menghadiri seminar dan kursus di luar sekolah; betapa mereka dikumpulkan di dalam bas, ditempatkan sekadar di asrama maktab atau asrama sekolah, berbanding pegawai-pegawai gred yang sama perkhidmatan lain, mendapat nikmat terbang ke sana sini dan menginap di hotel berbintang. Sesungguhnya, guru amat besar jasanya, dengan reda hati melakukan pelbagai pengorbanan demi memastikan anak didik mencapai kejayaan cemerlang; mengingatkan Beta kepada kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Mustafa Kemal Ataturk, “ Guru yang hebat itu laksana lilin, melimpahkan cahaya kepada yang lain, meski membakar diri sendiri”..

45. Alhamdulillah, Konvensyen Pengetua Cemerlang kali ini berlangsung di Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur. Beta disembah maklum bahawa Konvensyen ini mendapat restu dan sokongan penuh dari Menteri dan Ketua Pengarah Pelajaran untuk boleh dianjurkan di hotel berbintang, di samping mendapat tajaan badan dan individu korporat. Bersyukurlah akan nikmat ini, berterima kasihlah kepada mereka yang telah mendengar rintihan guru. Anggaplah ia sebagai petanda baik, sebagai permulaan, mencerminkan pengiktirafan pihak atasan dan melambangkan penghargaan masyarakat korporat terhadap jasa bakti dan khidmat murni guru.

46. Hari ini, harga rumah dan kos sewa rumah di bandar besar, semakin tinggi. Senario ini mempunyai kesan langsung mempengaruhi daya tenaga dan daya produktiviti guru di bilik darjah. Dengan batasan gaji yang ada, telah menjadi fenomena di kalangan guru yang bertugas di bandar besar untuk mencari tempat tinggal di pinggir bandar, lalu perlu berulang alik dari lokasi yang jauh dengan sekolah. Menghadapi kronik trafik di bandar besar, hari ini, ramai guru yang terpaksa meninggalkan rumah seawal pagi dan pulang ke rumah di lewat petang. Guru juga insan biasa, memiliki keluarga – mempunyai anak. Yang ditinggalkan setiap pagi bukan sekadar rumah kosong, mereka juga meninggalkan keluarga – mereka juga meninggalkan anak, mereka juga ada tanggung jawab terhadap rumah, terhadap keluarga, terhadap anak. Dari manakah guru mendapatkan tenaga, bagaimana diharapkan guru berwajah ceria, jika saban hari, mereka lelah berulang alik jarak yang jauh serta terperangkap dalam kronik trafik di jalan raya.

47. Perumahan guru adalah faktor crucial, mempunyai pengaruh langsung, membantu meningkatkan daya upaya dan daya tenaga guru, melaksanakan tanggung jawab di bilik darjah dan menyemarakkan kegiatan kokurikulum di taman sekolah. Semasa kesempatan menemui seorang pakar runding jurubina terkemuka, Beta disembah maklum bahawa pada hemat beliau, susun atur universiti terbaik di dunia, adalah Universiti Virginia di Amerika Syarikat. Susun atur Universiti Virginia diilhamkan oleh Thomas Jefferson. Staf akademik Universiti, dianjurkan tinggal di dalam kampus. Kampus Universiti Virginia, menempatkan lokasi bangunan-bangunan kuliah, kutub khanah, sukan, rekreasi, kafeteria, termasuk penginapan pelajar, kediaman staf akademik dan kediaman staf sokongan yang menggalakkan berlakunya interaksi berkesan di kalangan warga Universiti, terutama di antara pelajar dan pengajar. Pada hemat beliau, kampus Universiti Virginia mewujudkan persekitaran pembelajaran yang mesra pelajar, berjaya memupuk hubungan harmoni warga Universiti, di samping menyuntik roh dan nafas segar kepada sebuah institusi pendidikan.

48. Keperluan perumahan guru di bandar besar adalah subjek yang tidak boleh dikesampingkan dalam hasrat mahu meningkatkan moral guru dan keceriaan guru. Tenaga mereka perlu dipulihara (conserve) supaya dapat dijana sepenuhnya di bilik darjah dari tiris ke tempat lain. Kemudahan perumahan guru, di mana sesuai, sebaiknya dirancang dan difikirkan untuk dibangunkan dalam persekitaran sekolah, mengoptimumkan guna tanah kawasan sekolah. Jika perkara ini tidak diberikan pertimbangan serius di hari ini, dibimbangkan di hari esok, penempatan di bandar besar akan menjadi pilihan terakhir guru, lalu menidakkan murid di bandar besar mendapat khidmat guru terbaik. Untuk itu, subjek perumahan guru adalah komponen crucial untuk diberikan pertimbangan dalam proses melengkapkan Pelan Pendidikan yang sedang ditambah baik ini.

49. Keruh air di hilir berpunca dari hulu. Jika kesilapan telah berlaku di peringkat pengambilan pelajar, baik di Institusi Perguruan atau di Universiti, dan jika telah berlaku salah pilih, di peringkat Suruhanjaya Perkhidmatan, Sekolah dan Pengetua tidak ada serapah ajaib – tidak ada jampi sakti untuk menjelmakan nangka menjadi cempedak. Oleh itu, perlu difikirkan instrumen yang dapat diguna pakai untuk mengenal pasti dan membezakan antara mereka yang tulen berjiwa guru, mereka yang sahih bersifat guru dengan mereka yang sekadar memilih bekerja sebagai guru; batang tubuhnya berada di bilik darjah sedangkan akar hatinya berada di luar sekolah.

50. Bilik darjah bukan teater untuk insan berdrama melakonkan watak guru dan berpura-pura menjadi guru. Guru adalah Guru. Tidak patut ada istilah ‘Guru Tidak Baik’ kerana yang layak menjadi guru dan dinobatkan dengan status Guru sewajibnya baik. Mereka yang hanya berlakon menjadi guru, tidak harus diberikan tempat di taman sekolah malah wajib dikeluarkan. Masa hadapan anak-anak berisiko besar, jika anak-anak masih diletakkan di bawah pengawasan mereka. Untuk itu, mekanisme berkesan sangat perlu diperkenalkan dan tindakan tegas amat perlu diambil agar Taman Sekolah dan bilik darjah terlindung dari menjadi tempat pelakon berkampung.

51. Apatah terjamin tiga puluh peratus graduan terbaik akan menjadi guru terbaik; guru yang komited, guru yang dapat memenuhi amanah warga, guru yang melihat diri mereka tidak sekadar mengajar tetapi mengambil inisiatif untuk membangunkan potensi insan, guru yang terlibat untuk mendukung wawasan besar pendidikan negara dan guru yang komited bersama untuk membangunkan sebuah negara bangsa.

52. Graduan terbaik yang mencapai markah tertinggi ketika membaca peta topografi di atas kertas, tidak semestinya menjadi pendaki gunung terbaik bila di bawa ke kaki gunung. Kecuraman gunung yang sebenar amat berlainan dengan garis yang tertera di peta topografi. Apatah lagi jika gunung curam itu telah dilanda hakisan dan pendakian perlu dilakukan dalam suasana kabus tebal dan hujan mencurah.

53. Hari ini guru bukan sahaja perlu memenuhi tanggung jawab menyempurnakan kurikulum, menyedia dan memeriksa kertas peperiksaan, melengkapkan kad laporan prestasi pelajar, tetapi guru juga berada di lokasi yang terpaksa menghadapi pelbagai isu sosial yang tidak berpunca dari alam sekolah.

54. Watak anak-anak yang diserahkan ke taman sekolah dipengaruhi oleh pelbagai isu sosial di luar sekolah. Jenayah, dadah, penganiayaan kanak-kanak, keruntuhan rumah tangga, ibu atau ayah tunggal, kehadiran pendatang haram, penempatan setinggan, kehamilan remaja, buli dan gengsterisme, keluarga yang miskin dari segi kewangan dan modal budaya, malah pelbagai kerenah semakin berlaku di dalam masyarakat; dan setiap masalah tersebut semakin mengalir ke taman sekolah.

55. Berlakulah bebanan tambahan kepada guru, disusuli dengan kos tambahan kepada sekolah untuk menghadapi perbuatan vandalisme, mencuri dan pelanggaran disiplin. Sekolah Kerajaan dan Pengetua di Sekolah Kerajaan tidak dalam kedudukan yang boleh membina pagar, menutup pintu, bersifat selektif untuk memilih atau menolak pelajar. Oleh itu guru di Sekolah Kerajaan tidak ada opsyen dari menghadapi kompleksiti spesimen murid yang berada di bilik darjah dan yang berlegar di taman sekolah. Setiap salah laku pelajar, adalah simptom penyakit sosial lebih besar yang sedang berlaku di dalam negara. Guru, tidak adil dibebankan sepenuhnya dengan tanggung jawab doktor sosial untuk mengubat penyakit sosial yang sebegini besar. Penyakit sosial yang besar perlu dirawat melalui dasar sosial dan program sosial yang lebih menyeluruh dan berintegrasi. Penyakit sosial ini perlu dirawat secara bersama oleh pelbagai agensi lain, masyarakat, keluarga dan ibu bapa. Pelan Pembangunan Pendidikan ini akan menjadi lebih lengkap jika angkubah dan pengaruh luaran ini tidak dicicirkan malah wajib dimasukkan sebagai komponen, kerana program pendidikan bukannya sebuah pulau tersendiri dalam isolasi, terpisah, terasing dan memiliki imuniti dari pengaruh komponen-komponen sosial yang lain.

56. Pelan Pembangunan Pendidikan ini telah berada dalam kandungan pemikiran pimpinan negara lebih dari satu tahun yang lalu. Telah disuratkan ILAHI, Pelan ini dilahirkan untuk tatapan umum pada 11 September yang lalu. Sewajarnya dihargai akan keberanian dan keikhlasan panitia membuat pengakuan bahawa pelan ini masih belum lengkap dan jauh dari sempurna; lalu pelan ini diputuskan untuk diletakkan di dalam inkubator untuk membolehkan usaha penambah baikkan terus dilakukan.

57. Pelan ini dicetuskan dari kesedaran pimpinan politik dan atas arahan pimpinan politik; selanjutnya dirintis secara bersama dengan barisan pimpinan teknokrat dengan kerjasama warga pendidik, ibu bapa dan orang ramai. Pelan ini akan menjadi lebih sempurna jika partisipasi generasi muda ditingkatkan kerana apa juga yang dirancang adalah untuk mereka sebagai pewaris kepada generasi semasa. Para panitia harus menerima hakikat bahawa pohon yang ditanam hari ini, rendangnya adalah untuk memberi teduh kepada generasi hari esok. Pada hakikatnya, program yang direncanakan ini adalah untuk dunia yang bukan lagi milik kita, tetapi milik generasi muka. Sewajarnya hati nurani mereka difahami dan suara mereka dihormati.

58. Dalam usaha merancang program untuk masa hadapan generasi muda, ada kalanya kita terlupa bahawa mereka sebenarnya telah wujud dan hadir di hadapan mata kita, di tengah-tengah masyarakat hari ini. Impian, idealisme, imaginasi dan fantasi mereka perlu difahami sedalam-dalamnya. Program untuk masa hadapan mereka akan lebih bermakna, jika kita bersedia menganggap diri kita sebagai imigran, pendatang luar di dalam komuniti mereka yang sedang hidup dalam budaya makanan segera, muzik rancak, kereta laju dan maklumat menggunung. Mereka bukan lagi dalam era The Beatles, The Rolling Stones, The Bee Gees, atau di era Tom Jones dan Elvis Presly; mereka berada dalam era Coldplay, Maroon 5, Guns And Roses, mereka kini di era Lady Gaga, Taylor Swift, Adele, Rihanna dan Katy Perry. Mereka tidak mudah diyakinkan dengan janji di hari esok selagi mereka meragui akan kesungguhan kita untuk mengotakan kata di hari ini.

59. Keutuhan Pelan ini wajib dijamin dengan memastikan idea-idea bernas tidak dicicirkan, di samping membuktikan kesungguhan untuk menggugurkan amalan lapuk dan usang. Amalan lapuk dan usang yang terlalu berpusat sifatnya, diperkenalkan ketika bilangan murid, bilangan guru dan bilangan sekolah masih kecil. Amalan lapuk dan usang yang sudah tidak sesuai lagi di hari ini, malah sepatutnya telah digugurkan pada hari semalam. Penurunan kuasa terbukti menjamin tugas dapat disempurnakan dengan lebih cepat – lebih efisien – lebih menjimatkan masa – lebih menjimatkan sumber. Oleh itu, tidak ada pihak yang harus mempertahankan wilayah bidang kuasa semata-mata kerana bimbang kehilangan kuasa. Fikiran, tenaga dan masa teknokrat tertinggi dan teknokrat kanan, lebih diperlukan untuk tugas-tugas besar menyentuh falsafah, dasar dan strategi. Pengurus yang arif akan menumpukan perhatian untuk mengurus manusia dari mengurus kerja-kerja kecil dan rutin. Dengan pengetahuan yang cukup dan pengalaman yang masak, Pengetua dan Guru Besar Sekolah harus diiktiraf sebagai Ketua Eksekutif, diturunkan kuasa untuk mengendalikan remeh temeh pengurusan yang mikro dan rutin sifatnya.

60. Demi memastikan pelan ini diterima secara menyeluruh, ia wajib bersifat inklusif. Pelan ini harus berada di atas fahaman sempit politik kepartian. Pelan ini harus berupaya menyeberangi sempadan agama, sempadan kaum, sempadan budaya, sempadan politik dan sempadan generasi. Pelan ini tidak harus dibenarkan menjadi milik eksklusif kafilah politik tertentu dengan menindakkan partisipasi kafilah politik yang berlainan. Pelan ini wajib dilindungi dari menjadi mangsa untuk agenda politik sempit dan bagi kepentingan politik jangka pendek. Jika pelan ini tidak bersifat inklusif, ia berkemungkinan menyediakan ruang, mengundang pihak yang tidak dilibatkan bersama untuk membentangkan pelan alternatif. Senario sedemikian jika berlaku, akan mencetuskan polemik yang tidak menguntungkan. Agenda pendidikan wajib dilindungi dari terseret ke dalam kancah politik kepartian. Amatlah merugikan negara bangsa, amatlah malang kepada warga, jika pelan yang bertujuan murni, menjadi korban persaingan politik kepartian. Akibatnya, anak-anak menjadi mangsa, menerima nasib malang dan kemudian nanti perlu membayar dengan harga yang tinggi.

 

61. Ketika negara berada dalam suhu panas politik, apatah lagi dalam menghadapi suasana Pilihan raya umum yang bakal menjelang, Pelan ini dibimbangkan berkemungkinan menghadapi risiko politik. Risiko tersebut perlu diminimumkan, perlu ditangani secara arif – secara berhikmah. Perjalanan pelan ini selanjutnya perlu ditimbang secara bijak supaya ia tidak menjadi mangsa dipolemikkan dan dipolitikkan, sedangkan ia masih berada di dalam inkubator. Demi menyelamatkan ia dari menjadi mangsa, dan jika perlu, biarlah ia berada di dalam inkubator buat beberapa ketika, sehingga suhu politik kembali reda untuk membolehkan ia dinilai dan diberikan apresiasi secara objektif dan tidak partisan.

62. Pelan ini hendaklah dipastikan menjadi milik semua, milik semua warga Malaysia. Segala usaha hendaklah dirintis untuk membawa semua pihak di bawah payung naungan yang membolehkan berlakunya perdebatan sihat, membolehkan tercapainya titik persetujuan, mempertemukan pelbagai pandangan dalam semangat memberi dan menerima, mencantumkan idea dalam semangat ukhuwah, mencapai pendirian yang sama lagi selari untuk membangunkan warga merdeka yang berwibawa dalam sebuah negara bangsa yang berdaulat.

63. Selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan – Demokrasi Berparlimen, jika difikirkan baik untuk Pelan ini mendapat payung naungan Raja-Raja, agar kelihatan lebih autentik, dan lebih diakui sebagai milik semua, wajarlah ditimbangkan oleh panitia untuk Pelan ini di peringkat akhir nanti, diangkat, untuk di sembah taklimat dan mendapatkan restu perkenan dalam Persidangan Majlis Raja-Raja. Semoga program pendidikan negara memiliki dinamik menjadi instrumen penting berjaya melakukan penyatuan dalam kepelbagaian.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”.[20]

64. Jasa mu guru, selamanya abadi di hati Beta, kekal dikenang dunia akhirat. Semoga segala jasa bakti mu, diterima sebagai amal soleh, dikurniakan berkat di dunia, dicucuri rahmat di alam baqa.

65. Ada di kalangan guru kita telah kembali menyahut panggilan ILAHI. Sebagai tanda menghargai jasa bakti dan khidmat murni mereka, mengasuh dan membimbing kita hingga menjadi insan sempurna, marilah dengan segala keikhlasan hati, kita bacakan Surah Al Fatihah, semoga diterima ILAHI dan ganjarannya disampaikan kepada roh-roh mereka. AL-FATIHAH.

66. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Malaysia 2012.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al-Quran, Surah An-Nahl, 16:78.
  2. Al-Quran, Surah Al-Mudjaadilah, 58:11.
  3. Al-Quran, Surah Thaha, 20:25-28.
  4. Al-Quran, Surah Thaha, 20:114
  5. Rencana, “Menilai Sistem Pendidikan Negara,” Berita Harian, 9 September 2012, 9.
  6. Bill Gates, Business@The Speed of Thought, New York, Warner Books Inc., 1999, iv
  7. Al-Quran, Surah Al’Ankabuut, 29:43.
  8. Al-Quran, Surah Al Insaan, 76:23 & 24.
  9. Al-Quran, Surah Ya Siin, 36:82.
  10. M. Bakri Musa, An Education System Worthy of Malaysia, Petaling Jaya, Strategic Information Research Development, 2003, 221.
  11. Al-Quran, Surah Al’Alaq, 96:1-5.
  12. Al-Quran, Surah At-Tiin, 95:4.
  13. Al-Quran, Surat Al-Israa’, 17:70.
  14. H.Hasan Riwayat At Tirmidzi, dalam Minhajus Shalihin (Pedoman Orang Soleh), Juz 1, terjemahan H. Salim Bahreisy, Selangor, Klang Book Centre, 1988, 324.
  15. Diriwayatkan oleh Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa-i dan Ibnu Hibban, dalam Ihya Ulumuddin Imam AlGhazali (Bimbingan Mu’min), Selangor, Klang Book Centre, 1988, 17.
  16. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, September 2012, E-21.
  17. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, E-10.
  18. Petikan dari puisi Usman Awang, Guru Oh Guru, 1979
  19. Petikan dari Puisi A. Samad Said, Obor Hemah, 1988
  20. Al-Quran, Surah Al’ Ashr, 103:1-3.
%d bloggers like this: