Konvokesyen Universiti Malaya Bahagian Kedua

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke sesi kedua Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya bagi tahun 2005.

3. Bagi Konvokesyen 2005 ini, seramai 5407 graduan telah memenuhi kriteria akademik universiti, layak dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda, 1321 graduan dianugerahkan Ijazah Sarjana, 99 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dan 130 dianugerahkan Diploma. Seramai 447 graduan akan dianugerahkan Ijazah Sarjana dalam sesi kedua ini.

4. Dalam usia 100 tahun penubuhannya, Universiti Malaya telah berjaya memenuhi peranan melatih sumber insan berilmu dari segi kuantiti, begitu juga kualiti. Universiti Malaya adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Berasaskan kajian yang diterbitkan oleh ‘The Times Education Supplement’ bertarikh 5 November 2004, Universiti Malaya berada di tangga ke 89, dalam susunan 200 universiti terkemuka dunia. Dalam ‘International Exhibition of Inventions, New Techniques and Products’ kali ketiga puluh tiga yang berlangsung di Geneva pada tahun ini, Universiti Malaya telah berjaya memenangi 19 pingat emas, 11 pingat perak dan 3 pingat gangsa. Beta gembira dengan pencapaian dan kejayaan tersebut. Beta menyeru agar usaha terus ditingkatkan untuk mencipta kejayaan lebih gemilang.

5. Untuk mencapai taraf gemilang, aspek kualiti perlu diutamakan. Kualiti sama sekali tidak boleh dikorbankan dalam matlamat memenuhi sasaran kuantiti. Di sebaliknya, Universiti hendaklah berani mengorbankan kuantiti demi memastikan kualiti bukan sahaja terus dijamin, malah dapat dipertingkatkan. Kerana itu universiti hendaklah senantiasa mengamalkan budaya mengawal kualiti. Jika perlu, perkembangan pelajar hendaklah dikawal, supaya kualiti terus dapat ditingkatkan. Universiti perlu menggariskan batas optimum perkembangan fizikal dan batas ketepuan (saturation) pengambilan pelajar, supaya alam pembelajaran yang selesa dan alam keilmuan di kampus universiti tidak akan terjejas. Jika tahap optimum dan tahap ketepuan terus dilintasi, maka kualiti tentunya akan terjejas. Kualiti adalah sasaran yang lebih sulit dan lebih sukar dicapai.

6. Pencapaian Universiti Malaya berada di tangga ke 89 dalam ‘ranking’ dunia, hendaklah dijadikan papan lonjakkan, memberikan semangat tinggi kepada warga universiti, berusaha lebih gigih, hingga berjaya menempatkan Universiti Malaya di tangga yang lebih atas. Universiti perlu mempunyai fokus utama dalam memenuhi peranannya. Peranan utama universiti adalah untuk menyebar dan memajukan ilmu. Universiti adalah gedung ilmu – khazanah pengetahuan. Universiti bertanggung jawab menghasilkan ilmu – mencambahkan pengetahuan secara berterusan. Universiti bukan tempat mencetak ijazah, tetapi adalah tapak semaian untuk melahirkan pemikir dan pencetus ilmu. Kaedah penyebaran ilmu hendaklah diasaskan kepada matlamat untuk melahirkan barisan pemikir yang cerdas; barisan pemikir yang dapat mencambahkan idea baru dan mencetuskan pemikiran baru. Universiti bukanlah pengeluar produk yang tidak berjenama dengan angka yang ramai, tetapi tidak mempunyai permintaan di dalam pasaran.

7. Untuk itu, kegiatan universiti jangan terlalu ditenggelami dengan meramaikan bilangan penuntut hingga kerja-kerja penyelidikan, penerbitan, pencambahan fikiran serta pencetusan idea, terpaksa diketepikan. Universiti-universiti utama dunia, senantiasa mengawal secara ketat bilangan pengambilan pelajar demi menjamin produk yang dihasilkan oleh universiti adalah produk berkualiti – produk yang menjadi rebutan. Malah dalam memelihara kualiti, ada universiti yang mengamalkan sistem pengambilan melalui temu duga dan menjalankan ujian khas kemasukan, di kalangan calon-calon yang telah memiliki kelulusan asas dalam peperiksaan awam.

8. Sebagai sebuah universiti yang telah memiliki sejarah 100 tahun usia penubuhannya, Universiti Malaya hendaklah bergerak secara serius, ke arah meletakkan universiti benar-benar berada dalam liga universiti perdana, berpandukan kayu ukuran yang diguna pakai oleh universiti-universiti utama di negara maju. Negara, harus mempunyai dasar yang menyokong konsep perlunya diwujudkan beberapa buah universiti perdana di negara ini. Perkara ini perlu dilakukan segera serta disusuli dengan tindakan pantas, jika negara tidak mahu ketinggalan dalam liga pendidikan global yang saingannya semakin sengit.

9. Para graduan dapat membantu memaparkan imej cemerlang Universiti Malaya. Para graduan adalah anak didik Universiti Malaya. Para graduan berperanan sebagai duta universiti di mana sahaja saudara-saudari berada. Kejayaan saudara-saudari mencipta kecemerlangan di luar alam universiti akan memberikan kesan positif secara langsung kepada nama baik Universiti. Ijazah yang dimiliki perlu diperkukuhkan dengan keupayaan saudara-saudari melaksanakan tanggung jawab dengan kebijaksanaan serta didukung dengan kewibawaan serta sifat integriti yang tinggi. Saudara-saudari perlu memancarkan sifat intelektual sepanjang perjalanan hidup, supaya saudara-saudari terus dihormati.

10. Beta mengucapkan tahniah kepada para graduan. Ijazah yang diterima adalah hasil dari ketekunan dan kesungguhan yang telah saudara-saudari lakukan dalam tempoh mengikuti pengajian. Ia adalah anugerah ILAHI kepada hamba-hambanya yang telah melaksanakan usaha secara gigih. Bersyukurlah atas kejayaan ini. Berterima kasih kepada jasa para pensyarah dan pendidik. Hargailah pengorbanan, sokongan serta doa dari ibu bapa dan anggota keluarga. Semoga saudara-saudari menjadi aset penting kepada negara dan manusia sejagat.

11. Semoga setiap kita mendapat lindungan, hidayat dan petunjuk dari ILAHI.

Wabillahi taufik

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*****************

%d bloggers like this: