Majlis Perasmian Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Nurul Hidayah, Kampung Kenang, Sungai Siput (U)

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI

ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH

AL-MAGHFUR-LAH

MAJLIS PERASMIAN

SEKOLAH MENENGAH AGAMA RAKYAT (SMAR)

NURUL HIDAYAH, KAMPUNG KENANG, SUNGAI SIPUT (U)

TARIKH: 14 MUHARAM 1448H / 30 JUN 2026 (SELASA);

JAM: 11.00 PAGI

TEMPAT: SEKOLAH MENENGAH AGAMA RAKYAT (SMAR) NURUL HIDAYAH,

KAMPUNG KENANG, SUNGAI SIPUT (U).

Islam meletakkan ilmu pada kedudukan yang sangat tinggi. Kalimah ‘iqra’, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam, ialah seruan untuk manusia mengkaji, menelaah, menyelidik dan memahami segala ciptaan Ilahi untuk dijadikan pedoman; dan pembangunan insan sewajarnya bermula dan bertunjangkan ilmu pengetahuan. Melalui ilmu, seseorang dapat mengenal Tuhannya, memahami tanggungjawabnya sebagai khalifah, serta berupaya memberikan sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negaranya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala bermaksud:

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat”

(Al-Quran; Surah Al-Mujadilah, ayat 11)

2. Pendidikan ialah proses memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab; berasaskan empat dimensi utama; intelek, rohani, emosi dan jasmani. Mendidik bukan sekadar memindahkan ilmu pengetahuan dan maklumat semata-mata; mendidik adalah mengajar, melatih dan mengasuh dalam membentuk peribadi dan sahsiah dengan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai agama untuk memberi manfaat kepada diri dan orang lain. Allah Subhanahu Wata’ala menegaskan adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk menuntut ilmu dan menyampaikan kepada orang lain sebagaimana firman Nya yang bermaksud:

“Dan tidak sepatutnya bagi orang yang beriman keluar semuanya (ke medan perang). Oleh itu, hendaklah sebahagian sahaja daripada mereka keluar (berperang) supaya mereka (yang tinggal) itu memperdalam ilmu pengetahuan tentang agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila mereka itu pulang. Mudah-mudahan, mereka itu dapat menjaga diri mereka (daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah”.

(Al-Quran; Surah At-Taubah, 9:122)

3. Pendidikan merupakan kunci utama yang membuka pintu kemajuan, membentuk akhlak, memperkukuh jati diri dan mengangkat martabat sesebuah masyarakat. Imam al-Ghazali dalam karya agungnya ‘Ihya’ Ulum al-Din’, menghuraikan ilmu pengetahuan mempunyai kekuatan untuk mengangkat darjat seorang hamba ke martabat yang tinggi, bahkan ke taraf para raja. Kemuliaan yang lahir daripada ilmu bukan sekadar kemuliaan duniawi, tetapi juga kemuliaan yang membawa manusia lebih dekat kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan lebih bermanfaat kepada masyarakat. Dengan kesedaran dan fahaman demikianlah Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah ini dirintis usaha pembangunannya. Alhamdulillah kemudahan pendidikan yang disediakan di sekolah ini, telah membantu dan berperanan sebagai pemangkin membawa perubahan kepada masyarakat Orang Asli Kampung Kenang. Penubuhan sekolah ini merupakan mercu tanda penting dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri Perak. Bermula dengan pusat pengajian dakwah dan fardu ain, kemudian berkembang sehingga menjadi pusat pendidikan pertama di Negeri Perak yang menyediakan kurikulum yang seragam bagi pembelajaran akademik dan agama.

4. Setelah melalui tempoh masa lebih tiga dekad, sekolah ini telah melakar legasi dan sejarah, serta mencipta kejayaan membangunkan masyarakat Orang Asli, khususnya di Negeri Perak. Penubuhan sekolah ini bukan sekadar pembinaan sebuah institusi pendidikan, tetapi merupakan pelaburan besar untuk membantu menyediakan masa hadapan yang lebih baik kepada anak-anak Orang Asli. Majlis ini bukan sekadar majlis perasmian sebuah institusi pendidikan; tetapi majlis ini meraikan pencapaian daripada usaha gigih berakarkan azam ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’, dan merayakan kejayaan berteraskan semangat ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian’ yang mengambil masa 32 tahun; sejak penubuhan Sekolah Agama Rakyat Orang Asli pada hari Jumaat, 1 Ramadan 1414 hijrah, (bersamaan 11 Februari 1994). Demikian kegigihan usaha untuk memenuhi harapan sebuah masyarakat yang sangat memerlukan pembelaan. Majlis ini dapat disifatkan sebagai manifestasi komitmen bersungguh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, untuk membantu merealisasikan wawasan negara mahu memastikan setiap anak, tanpa mengira latar belakang keturunan atau lokasi geografi, mempunyai peluang yang sama untuk menimba ilmu, membina masa hadapan dan akhirnya berpeluang memberi sumbangan yang bermakna kepada agama, bangsa dan negara.

5. Sesungguhnya, sebuah pohon yang rimbun dan rendang, sentiasa bermula daripada benih yang disemai dengan penuh keikhlasan. Beta disembah maklum bahawa idea murni pembinaan sekolah ini tercetus daripada pemikiran dinamik dan pandangan jauh Ustaz Haji Halimin bin Haji Abdolah (Allahyarham), yang pada ketika itu menggalas amanah sebagai Penyelia Mubaligh Islam Negeri Perak. Ustaz Haji Halimin (Allahyarham) melihat dengan mata hati akan keperluan mendalam untuk mendirikan sebuah institusi pendidikan agama yang khusus, demi menyantuni serta membimbing masyarakat Orang Asli di negeri Perak. Pada peringkat awal penubuhannya, segala aktiviti diuruskan oleh Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Perak. Ilmu berkaitan fardu ain dan fardu kifayah diajar secara tidak formal melalui kelas Al-Quran dan fardu ain Orang Asli di sebuah surau kampung, digerakkan oleh beberapa orang mubaligh Islam Orang Asli, di bawah seliaan Pejabat Agama Daerah Kuala Kangsar. Atas hamparan bumi Kampung Kenang inilah, bersandarkan premis yang serba daif, dibina dengan semangat gotong-royong, dibiayai melalui sumbangan wakaf insan-insan berjiwa besar, institusi ini mula merintis jalan melahirkan modal insan yang bertakwa melalui kurikulum pendidikan kebangsaan, di samping mengekalkan kandungan pengajian agama.

6. Dengan dukungan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak bersama Jabatan Agama Islam Perak, serta sokongan padu daripada masyarakat Orang Asli di Negeri Perak, institusi ini terus berkembang hingga terbinanya sebuah kompleks pendidikan yang selesa dan tersusun, menjadi mercu tanda pembangunan dan pembaharuan pendidikan yang lebih dinamik dan berdaya saing.

7. Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah mempunyai peranan yang amat strategik dalam landskap pendidikan di negeri Perak Darul Ridzuan, yang bukan sahaja berjaya membangunkan modal insan berilmu, malah merupakan benteng utuh yang memelihara akidah, syariat, dan akhlak generasi muda. Beta disembah maklum pencapaian anak-anak di sekolah ini amat memberangsangkan dan apa yang lebih membanggakan, ada di antara mereka, telah kembali ke lapangan masyarakat menyumbangkan tenaga dan bakti bagi memajukan pendidikan serta pemikiran masyarakat Orang Asli di negeri ini. Usaha murni ini sangat bertepatan dengan sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan di lautan pasti berselawat, yakni mendoakan kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia”.

(Hadith Riwayat al-Tirmizi, no 2609)

8. Semoga prasarana baharu Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah ini akan menyuntik semangat kepada barisan pendidik untuk mempertingkatkan mutu pengajaran, sekali gus dapat menyalakan azam yang lebih membara dalam dada para pelajar untuk menuntut ilmu. Semoga sekolah ini akan terus berperanan sebagai tapak semaian melahirkan lebih ramai generasi Orang Asli yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki pegangan agama yang kukuh, akhlak yang mulia dan semangat kepimpinan yang tinggi. Jadikanlah sekolah ini sebagai pusat kecemerlangan akademik dan sahsiah; yang dapat melahirkan lebih ramai golongan profesional Islam serta mampu memimpin masyarakat berpaksikan nilai-nilai Rabbani.

9. Ramai pihak terlibat memberi fikiran, masa, tenaga dan material untuk menjayakan pembangunan sekolah ini. Beta menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada setiap seorang daripada mereka. Semoga peranan dan sumbangan mereka, diterima sebagai amal makruf, dilimpahi keberkatan dan ganjaran Ilahi di dunia dan di akhirat. Ramai daripada mereka tidak pun sempat melihat buah yang dihasilkan daripada semaian usaha mereka kerana telah kembali ke Rahmatullah. Sama-samalah kita membacakan surah al-Fatihah, semoga apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut disampaikan oleh Ilahi kepada roh Allahyarham Ustaz Haji Halimin dan rakan-rakan seangkatan Allahyarham yang telah memecahkan ruyung, mencetus idea dan merintis usaha merealisasikan penubuhan sekolah ini. Al-Fatihah.

Dengan lafaz بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ , Beta merasmikan Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah, Kampung Kenang, Sungai Siput Utara.

%d bloggers like this: