Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Peringkat Kebangsaan

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI

ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH

AL-MAGHFUR-LAH

MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1448

PERINGKAT KEBANGSAAN

TARIKH: 1 MUHARAM 1448 / 17 JUN 2026 (RABU);

JAM: 9.30 PAGI

TEMPAT: MASJID PUTRA, PUTRAJAYA.

Segala puji milik Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam kesejahteraan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian, dan keluarga serta para sahabat Baginda, yang merupakan bintang penunjuk mencernakan cahaya, para tabiin, dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan; semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wata’ala sehingga hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, dengan limpah rahmat, taufik dan inayah Allah Subhanahu Wata’ala kita terus dikurniakan usia membolehkan kita melangkah masuk ke tahun 1448 Hijrah. Setiap kali tibanya Muharam, umat Islam akan mengimbau kembali peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam dari Mekah ke Madinah.

3. Seribu empat ratus empat puluh lapan (1448) tahun yang lalu, dalam kesunyian di bawah kegelapan langit malam, berlakunya perancangan yang kemudiannya mengubah sejarah dunia. Rumah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam dikepung. Musuh-musuh Islam menanti dengan penuh kebencian dan percaya apabila ditamatkan riwayat Baginda, akan terhentilah ajaran yang dibawa oleh Baginda.

4. Pada malam yang penuh debaran itu, berlakunya satu perjalanan yang bukan sekadar menyaksikan perpindahan sekumpulan manusia secara fizikal dari sebuah kota ke sebuah kota, tetapi merupakan berlakunya titik peralihan kehidupan insan daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada penindasan kepada kebebasan, dan daripada perpecahan kepada pembinaan masyarakat yang bersatu dan berperadaban, berteraskan iman, ilmu dan akhlak. Hijrah membuktikan bahawa masa hadapan yang gemilang hanya akan lahir daripada kesediaan melakukan pengorbanan yang besar. Hijrah ialah lambang keberanian untuk berubah. Hijrah mengajar bahawa tiada kemajuan akan tercapai tanpa keberanian untuk berubah. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah ar-Rad, ayat 11, bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”

Itulah hijrah, sebenar-benar hijrah; keberanian melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

5. Umat yang hebat bukanlah umat yang cukup berasa bangga setelah membaca kisah sejarah kejayaan; umat yang hebat adalah umat yang akan mengambil pengajaran daripada sejarah, dijadikan rujukan untuk membina masa hadapan yang lebih cemerlang lagi gemilang. Empat pengajaran utama daripada peristiwa hijrah yang boleh dijadikan panduan dan pedoman ialah:

6. Pengajaran pertama: Kesanggupan melakukan pengorbanan.

Dalam sejarah manusia, pengorbanan merupakan faktor asas kepada setiap kejayaan besar. Perjuangan menjadi tidak bermakna tanpa pengorbanan. Pengorbanan tidak sekadar reda hilang sesuatu yang kita sayangi, tetapi kesanggupan meletakkan kepentingan yang lebih besar mengatasi kepentingan diri sendiri. Pengorbanan menuntut keberanian, ketabahan dan keikhlasan. Pengorbanan memerlukan kesediaan meninggalkan keselesaan, menanggung kesukaran dan menghadapi kesulitan demi mencapai matlamat yang lebih mulia.

7. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dan para sahabat melakukan pengorbanan sangat besar, bersedia meninggalkan bumi Mekah, kampung halaman dan tempat yang mereka telah berjaya membina kehidupan, memiliki kekayaan dan memperoleh kedudukan; di samping kesediaan mereka meninggalkan harta benda dan keselesaan hidup demi mempertahankan akidah untuk menegakkan kalimah tauhid.

8. Pengorbanan bukan sahaja dilakukan oleh golongan Muhajirin Mekah, tetapi turut dilakukan oleh golongan Ansar Madinah, yang bukan sahaja bersedia menerima kedatangan Muhajirin Mekah dengan tangan terbuka, malah sanggup memberikan bantuan, mengorbankan sebahagian harta mereka untuk dikongsi dengan golongan Muhajirin Mekah.

9. Pengertian kepada semangat pengorbanan kini kelihatan semakin kabur dalam kalangan ummah, dan penghayatan kepada semangat pengorbanan kelihatan semakin pupus. Amatlah malang kepada nusa dan bangsa, apabila pengorbanan hanya bersifat retorik. Ummah wajib difahamkan akan nilai pengorbanan, disemai dengan semangat bersedia berkorban, dan menjadikan pengorbanan sebagai budaya hidup, demi kelangsungan negara untuk menghadapi gelora dan gelombang dunia yang semakin mencabar.

10. Pengajaran kedua: Perancangan yang strategik dan kepimpinan berwawasan.

Hijrah tidak dilakukan secara tergesa-gesa. Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam merancang perjalanan dengan sangat teliti, termasuk memeta laluan yang selamat, melakukan persediaan yang baik, mendapatkan maklumat risikan, bertindak secara strategik, malah bersedia mendapatkan khidmat Abdullah bin Uraiqit, dilantik sebagai pemandu jalan, memilih laluan yang kurang digunakan bagi mengelakkan daripada dikesan oleh kaum Quraisy. Menurut riwayat sirah, Abdullah bin Uraiqit ketika itu belum memeluk Islam, dan masih berada dalam agama musyrik Quraisy, tetapi terkenal dengan sifat amanah, mahir tentang laluan padang pasir dan boleh dipercayai.

11. Kisah ini dijadikan contoh bahawa Islam mengiktiraf kepakaran, integriti, dan amanah seseorang tanpa prejudis terhadap latar belakang agama, selagi mereka tidak memudaratkan umat Islam. Kisah ini turut menunjukkan pentingnya seseorang pemimpin bersifat tenang, bersifat terbuka, serta berhati-hati melakukan pertimbangan berasaskan maklumat yang cukup, ketika membuat sesuatu keputusan penting.

12. Amatlah malang bagi sesebuah negara dan bangsa apabila berlakunya suasana pemimpin memilih bertindak secara impulsif, melatah, dan melulu mengikut dorongan hati dan pengaruh emosi, lalu bertindak secara terburu-buru tanpa berfikir panjang, mengutamakan kepentingan jangka pendek, yang kerosakannya terpaksa dibayar dengan harga mahal oleh rakyat jelata yang tidak berdosa.

13. Pengajaran ketiga: Perpaduan dan kerjasama membina kekuatan.

Sebaik tiba di Madinah, Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam telah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Langkah tersebut berjaya menghapuskan jurang perbezaan dan mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu. Persaudaraan golongan Muhajirin dan Ansar merupakan permulaan kepada usaha lebih besar yang berjaya menyatupadukan penduduk Madinah.

14. Di bawah kepimpinan Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam, penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, suku dan agama berjaya disatukan, hidup dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati. Lima faktor berperanan penting membentuk perpaduan masyarakat Madinah:

Faktor pertama: Persaudaraan Muhajirin dan Ansar,

Faktor kedua: Piagam Madinah,

Faktor ketiga: Sikap toleransi dan hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai agama, budaya dan keturunan; setiap komuniti diberikan kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing selagi tidak mengganggu keharmonian masyarakat.

Faktor keempat: Kerjasama demi kepentingan bersama; semua penduduk bekerjasama mempertahankan Madinah daripada ancaman luar serta sedia berganding bahu membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat; dan

Faktor kelima: Kepimpinan yang adil lagi berhikmah yang berjaya menyatukan masyarakat yang berpecah belah.

15. Perpaduan dan kerjasama, di samping kepimpinan yang adil lagi berhikmah telah menjadi kekuatan utama membangunkan tamadun Islam. Nyatalah kejayaan sesebuah negara amat bergantung pada kesediaan rakyatnya untuk bekerjasama, saling menghormati dan hidup dalam suasana harmoni walaupun terdapat perbezaan daripada segi latar belakang kaum, budaya dan agama, di samping berada di bawah naungan pimpinan pemerintahan yang adil lagi berhikmah.

16. Pengajaran keempat: Tawakal kepada pertolongan Allah.

Tawakal ialah sikap menyerahkan sepenuh kebergantungan kepada Allah Subhanahu Wata’ala setelah melakukan segala usaha yang termampu. Tawakal bukan bermaksud pasrah tanpa usaha; tawakal menggabungkan ikhtiar yang bersungguh-sungguh dengan keyakinan bahawa segala keputusan berada dalam kekuasaan Ilahi.

17. Peristiwa Hijrah merupakan contoh terbaik sifat tawakal. Walaupun Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam yakin akan pertolongan Allah, Baginda tetap merancang perjalanan dengan teliti, bersembunyi di Guar Thur, dan menggunakan khidmat pemandu jalan yang mahir. Setelah melakukan segala usaha, Baginda bertawakal sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

18. Sesungguhnya tawakal merupakan sumber kekuatan rohani yang menjadikan seseorang lebih tenang, tabah, yakin dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran kehidupan. Tawakal merupakan kunci kejayaan yang menggabungkan usaha manusia dengan kebergantungan kepada Ilahi.

19. Maal Hijrah yang kita sambut pada hari ini bukan sekadar memperingati satu tarikh baharu dalam takwim, atau nostalgia ke atas satu peristiwa yang berlaku lebih empat belas abad lalu, tetapi sambutan Maal Hijrah hendaklah dijadikan detik untuk melakukan muhasabah, mengimbas segala kesilapan yang berlaku, dalam hasrat mahu menyuntik kesedaran, mengingatkan manusia akan sifat alpanya sewaktu manusia dibimbangi semakin ditenggelami gelombang kehidupan duniawi semasa.

20. Ketika melangkah kaki ke tahun hijrah 1448, sebaiknya kita mengambil ingatan akan firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah al-Hasyr, ayat 18, bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok”

21. Ayat ini sebaiknya mengingatkan kita untuk melakukan muhasabah terhadap perjalanan hidup, mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki supaya kita tidak terlalu selesa dan kadangkalanya lalut dan lemas dalam lautan kata-kata pujian yang palsu.

Semoga kita diberikan petunjuk menemui صِرَاطُ الْمُسْتَقِيْم

Dengan lafaz بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ , Beta merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijri.

%d bloggers like this: