Majlis Penyampaian Derma Kepada Tabung Bantuan Mangsa Banjir Dan Pelepasan Sukarelawan Negeri Perak Dan Sukarelawan Universiti Malaya Ke Negeri Johor

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Sejahtera.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Dengan segala kerendahan diri – dengan penuh hormat takzim, dengan rasa kasih – rasa sayang, anakanda merafak sembah menghadap Paduka Bonda, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak.

Ampun Tuanku,

Sembah Anakanda mohon di ampun.

3. Anakanda merafak sembah junjungan kasih Kebawah Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, begitu juga Kebawah Paduka Bonda kerana telah bermurah hati, memberikan perkenan membolehkan anakanda dan rakyat Kebawah Duli Tuanku, tumpang bernaung – dapat berteduh, berhimpun, melangsungkan Majlis di Istana Perak, pada pagi ini. Anakanda menjunjung setinggi kasih atas perkenan Paduka Bonda, mencemar duli, sama berangkat di majlis ini. Keberangkatan Paduka Bonda sekali gus mengangkat darjat dan martabat Majlis yang berlangsung pada pagi ini.

4. Niat mengadakan kutipan derma ini tercetus ketika anakanda menunaikan solat Hari Raya Aidil Adha pada pagi 31hb. Disember lalu. Dalam gema takbir dan kesucian tahmid di pagi Aidil Adha itu, anakanda terasa hiba, mengenangkan kesusahan yang ditanggung oleh mangsa banjir di beberapa negeri di negara ini. Anakanda terasa, bagaikan ada suara yang berbisik ke hati anakanda, untuk anakanda melakukan sesuatu atas nama kemanusiaan. Anakanda terfikir mendapatkan perkenan Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda supaya Yayasan Sultan Azlan Shah bersama Yayasan Tuanku Bainun merintis usaha amal atas nama kemanusiaan. Pada masa yang sama, selaku Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan, anakanda turut menzahirkan hasrat supaya Majlis Agama Islam Perak memperuntukkan sejumlah wang untuk didermakan kepada Tabung Mangsa Banjir.

5. Pada pagi 8hb. Januari lalu, hati anakanda sekali lagi terpanggil apabila membaca berita akan rayuan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang memerlukan tenaga sukarelawan. Anakanda langsung menghubungi Mamanda Menteri Besar, bertanyakan kemungkinan rakyat Paduka Bonda dari negeri Perak Darul Ridzuan, menyahut rayuan yang disuarakan oleh Menteri Kerajaan Persekutuan itu. Alhamdulillah, dengan sokongan Mamanda Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, ramai rakyat Paduka Bonda, menawarkan diri sebagai sukarelawan untuk membantu mangsa banjir di negeri Johor Darul Takzim. Amatlah menggembirakan, apabila hasrat anakanda turut diberikan sambutan oleh warga Universiti Malaya dan warga Pusat Perubatan Universiti Malaya. Kedua institusi tersebut yang turut menawarkan sukarelawan, memperlihatkan sokongan mereka kepada anakanda selaku Pro Canselor Universiti Malaya.

6. Anakanda percaya niat yang baik lagi ikhlas, insyaAllah mendapat pertunjuk dan keredaan ILAHI. Tanpa melakukan publisiti, beberapa badan, organisasi dan individu di negeri Perak Darul Ridzuan dan juga di sekitar Kuala Lumpur turut melahirkan hasrat untuk sama-sama melakukan amal. Pagi ini, jumlah derma yang terkumpul melalui inisiatif yang dilakukan dalam tempoh satu minggu lalu, mencapai angka satu juta ringgit. Sebelum ini, anakanda gembira membaca berita akhbar, bahawa Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dan UMNO negeri Perak, merupakan antara kumpulan terawal menghulurkan bantuan, masing-masing menghulurkan sumbangan 100,000 ringgit kepada Tabung Bantuan Mangsa Banjir. Anakanda menjunjung kasih Kebawah Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak atas perkenan baginda membolehkan Yayasan Sultan Azlan Shah terlibat dalam usaha amal ini. Demikian juga junjungan kasih anakanda kepada Paduka Bonda atas perkenan Paduka Bonda mengizinkan penglibatan Yayasan Tuanku Bainun bagi tujuan yang sama. Anakanda merakamkan penghargaan dan terima kasih, kepada setiap penderma, kepada setiap sukarelawan dan kepada setiap seorang yang terlibat secara terbuka mahupun secara terselindung, menjayakan usaha amal ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala menerimanya sebagai amal baik yang mendapat ganjaran dunia dan ganjaran akhirat.

7. Hari Raya Aidil Adha, dikaitkan dengan amalan korban. Setiap tahun ramai umat Islam melaksanakan amalan korban. Korban adalah satu amalan yang dituntut di dalam Islam. Pada hemat anakanda, ibadah korban tidak harus terbatas kepada melakukan penyembelihan pada hari-hari tasyrik, empat hari dalam setahun sahaja. Amalan korban perlulah ditafsirkan secara lebih meluas, dijadikan amalan – dijadikan budaya, dilaksanakan sepanjang masa – sepanjang hayat, dalam bentuk harta, wang ringgit, juga amalan sedekah dalam bentuk masa, tenaga dan ilmu pengetahuan. Perhimpunan pada pagi ini berlangsung dalam ‘semangat korban’, yang dicerminkan dengan pengorbanan yang dilakukan oleh setiap seorang pacal Paduka Bonda.

8. Anakanda mengambil iktibar dan pengajaran, bahawa bala dan bencana, diturunkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai ujian kepada umat manusia dan alam semesta. Kepada yang menjadi mangsa, ia dugaan menguji ketabahan dan kesabaran, ketakwaan dan keimanan; meningkatkan keinsafan akan prinsip tauhid dan ketuhanan. Bahawa sesungguhnya, ada kuasa yang Maha Besar – Maha Agung, berada lebih tinggi mengatasi segala kebijaksanaan dan kekuatan insan. Pada masa yang sama Tuhan juga menguji gelagat dan sifat mereka yang tidak ditimpa bala; ketika berada dalam kesenangan dan kemewahan. Semoga akan dilimpah nikmat dan kasih ILAHI, di kalangan umat yang mengamalkan sifat kemanusiaan yang tinggi, tampil ke hadapan menghulur bantuan – menghulur pertolongan, secara ikhlas mengambil tanggung jawab sosial, membahagikan sebahagian kemewahan dan kesenangan kurniaan ILAHI, sebagai tanda syukur kepada Tuhan yang melindungi mereka dari mala petaka.

9. Anakanda juga mentafsirkan, bahawa bala dan bencana adalah juga peringatan Tuhan kepada manusia. Mungkin dalam kerakusan manusia yang merasakan telah begitu berkuasa, manusia telah banyak melakukan kezaliman kepada alam semula jadi. Mungkin dalam kesombongan manusia yang merasakan begitu bijak, manusia telah melakukan perancangan alam kehidupan secara mendadak, tanpa berfikiran jauh, tanpa melihat implikasi jangka panjang, dalam bentuk menghadapi pencemaran alam, pemanasan global dan pelbagai perkara yang menentang hukum alam secara keterlaluan.

10. Generasi hari ini mungkin terpaksa membayar dengan harga mahal kesilapan generasi terdahulu. Oleh itu, pada hemat anakanda, amatlah penting untuk generasi hari ini mengambil iktibar dengan tidak mengulangi kesilapan masa dahulu, demi menjamin generasi masa hadapan tidak akan menderita kerana terpaksa menanggung dosa kesilapan yang dilakukan oleh generasi hari ini. Untuk itu, dengan penuh insaf anakanda mengingatkan diri sendiri untuk melihat bala bencana yang begitu sering berlaku pada masa ini, sebagai suara ILAHI, memperingatkan hamba Nya untuk tidak melakukan kezaliman, tetapi hendaklah alam semesta dan isi dunia, diuruskan secara adil lagi saksama, berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi lagi mulia.

11. Kepada para sukarelawan, izinkan anakanda mengingatkan bahawa mereka di hantar ke Johor untuk bertugas – untuk berkerja; untuk bermandi keringat – untuk bergelumang lumpur. Tugas perlu dilaksanakan dengan tekun – dengan tabah; berdisiplin lagi mesra. Misi ini bukan misi lawatan untuk berseronok. Para sukarelawan hendaklah bersedia memperlihatkan pengorbanan, dengan semangat memberi dan tidak mengharapkan balasan. Ketika berada di Johor, pakar sukarelawan hendaklah menjadi aset dan bukan liabiliti kepada penduduk di persekitaran kawasan operasi masing-masing; jangan sama sekali menganggap diri sebagai tetamu yang mahukan layanan. Jagalah kedaulatan dan kemuliaan nama Paduka Seri Sultan Perak, peliharalah nama baik dan kehormatan Canselor Universiti Malaya. Anakanda mengucapkan selamat bertugas dan mendoakan semoga diberikan perlindungan oleh Allah jua.

Ampun Tuanku.

12. Sekianlah adanya akan titah yang dapat anakanda zahirkan dalam tutur kata yang kurang arif dan dalam bahasa yang kurang sempurna.

**********************

%d bloggers like this: