Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik & Cybernics Perkeso

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI

ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH

AL-MAGHFUR-LAH

MAJLIS PERASMIAN

PUSAT REHABILITASI NEURO-ROBOTIK & CYBERNICS PERKESO

TARIKH: 30 ZULHIJJAH 1447 / 16 JUN 2026 (SELASA);

JAM: 10.00 PAGI

TEMPAT: PUSAT REHABILITASI NEURO-ROBOTIK & CYBERNICS PERKESO, BANDAR MERU RAYA,

IPOH, PERAK DARUL RIDZUAN.

“MEREALISASI WAWASAN DAN HASRAT NEGARA”

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Dengan rahmat dan izinnya juga Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics PERKESO berjaya dibangunkan di negeri Perak Darul Ridzuan. Pusat ini telah dibangunkan dengan perancangan yang sangat rapi lagi teliti; mengandungi kemudahan dan peralatan rawatan rehabilitasi yang sangat moden lagi canggih; dirumahkan dalam sebuah kompleks yang memiliki seni bina yang sangat unik lagi istimewa, seni bina yang berjaya merangkaikan unsur-unsur estetik tradisi budaya Melayu setempat (TEKAT TIMBUL BENANG EMAS), dijelmakan dalam rangkaian bangunan berteknologi tinggi.

2. Idea membangunkan pusat ini di negeri Perak dicetuskan oleh ahli Parlimen Ipoh Barat, Yang Berhormat M. Kulasegaran ketika beliau diamanahkan tanggungjawab sebagai Menteri Sumber Manusia pada tahun 2018 sehingga 2020. Yang Berhormat M. Kulasegaran telah menghadap, menyembahkan cadangan, di samping memohon perkenan Beta membantu mendapatkan sebidang tanah yang strategik di negeri Perak. Meskipun beliau hanya memegang jawatan Menteri Sumber Manusia selama 21 bulan, Yang Berhormat M. Kulasegaran sangat instrumental membawa satu program pembangunan mega yang sangat signifikan ke negeri Perak. Peranan beliau membuktikan bahawa jika ada wawasan, dan jika ada kesungguhan, sumbangan yang bererti dapat dilaksanakan tanpa perlu menduduki sesuatu jawatan dalam tempoh yang lama. Usaha awal Yang Berhormat M. Kulasegaran telah diteruskan oleh Yang Berhormat ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan; acara pecah tanah berlangsung pada 11 Jun 2022, ketika beliau menjawat jawatan Menteri Sumber Manusia. Kerja-kerja pembinaan terus berlangsung semasa portfolio Menteri Sumber Manusia disandang oleh ahli Parlimen Batu Gajah, Yang Berhormat V. Sivakumar, pada tahun 2022 hingga 2023, diteruskan pada era ahli Parlimen Bukit Mertajam, Yang Berhormat Steven Sim Chee Keong yang menjawat jawatan Menteri Sumber Manusia pada tahun 2023 hingga 2025; sehinggalah sampai ke majlis perasmian pusat pada hari ini, Kementerian Sumber Manusia kini berada di bawah pimpinan Yang Berhormat Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan. Pembangunan pusat ini dipermudahkan, dan dapat dilaksanakan dengan cepat melalui sokongan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad serta bantuan juga kerjasama rapat daripada pelbagai jabatan dan agensi di peringkat negeri.

3. Pusat ini bukan sekadar kompleks yang dilengkapi peralatan moden lagi canggih; tetapi dihebatkan dengan tenaga pakar dalam bidang-bidang perubatan dan kesihatan, teknologi bantuan, fisioterapi, serta terapi pekerjaan dan vokasional, bimbingan sosial dan sokongan psikologi, yang diadun dalam ekosistem yang bersepadu. Pusat ini tidak sekadar sebuah kemudahan kesihatan, tetapi melambangkan satu penghijrahan pemikiran – penghijrahan pendekatan, merealisasikan wawasan dan hasrat negara mahu mencanggihkan perkhidmatan rehabilitasi ke tahap yang lebih maju dan berteknologi tinggi, diperkukuhkan dengan perkhidmatan yang mengutamakan nilai kemanusiaan dan menghayati nilai keinsanan. Wawasan dan hasrat negara ini jelas mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat khususnya warga pekerja. Pusat ini harus dilihat sebagai satu simbol bahawa negara menghargai setiap nyawa, setiap pekerja dan setiap keluarga; simbol bahawa musibah bukan noktah terakhir kepada kehidupan; simbol bahawa dengan sistem yang betul, masyarakat yang peduli dan peluang yang disediakan, seseorang insan tidak perlu hidup atas ihsan bantuan orang lain, tetapi boleh kembali membina masa hadapan yang bermaruah.

4. Dalam kehidupan seharian, setiap seorang manusia menghadapi risiko, berhadapan saat sukar yang boleh mengubah perjalanan hidup. Ada yang menghadapi kemalangan sama ada semasa perjalanan ke tempat kerja atau berlaku di tempat kerja, mengakibatkan kecacatan atau kehilangan anggota; ada yang tiba-tiba mendapat serangan jantung atau strok, dan ada yang mengalami kecederaan saraf atau tulang belakang yang menjejaskan pergerakan dan pengurusan diri. Setiap kemalangan, setiap serangan jantung atau strok, setiap kecederaan saraf atau tulang belakang, boleh mengubah seluruh kehidupan seseorang insan dalam sekelip mata. Malah kesannya, bukan hanya kepada insan yang menghadapi kemalangan atau serangan penyakit, tetapi turut ditanggung oleh seluruh keluarga ketika berhadapan dugaan baharu untuk meneruskan kehidupan.

5. Menjadi tuntutan fardu kifayah dan tanggungjawab keinsanan untuk kita berusaha membantu meringankan tanggungan, terhadap mereka yang menghadapi ujian Ilahi, ditimpa dugaan hidup. Kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui tersergamnya deretan bangunan pencakar langit, atau jejambat yang bersimpang siur, atau pelabuhan dan lapangan terbang yang besar, atau angka pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Kemajuan yang sebenar terletak pada keupayaan negara dan kesungguhan negara memperkenalkan dan melaksanakan program-program sosial untuk memelihara martabat insan, membela mereka yang lemah, dan menyediakan peluang kedua kepada sesiapa sahaja yang menghadapi nasib malang diuji dengan penyakit, kecederaan atau kehilangan upaya.

6. Semangat kemanusiaan dan semangat keinsanan hendaklah dijadikan roh menghidupkan pusat rehabilitasi yang canggih lagi moden ini. Pusat ini semestinya boleh memberikan harapan baharu kepada pesakit dan keluarga mereka. Pusat ini seharusnya boleh membina keyakinan baharu kepada pesakit dan keluarga mereka bahawa kecederaan bukanlah pengakhiran kepada kehidupan yang bermakna. Pusat ini sewajarnya boleh mencanai minda pesakit dan keluarga mereka bahawa dengan rawatan yang tepat, teknologi yang sesuai, serta semangat yang tidak patah, seseorang itu mampu untuk bangkit semula.

7. Bagi seorang pesakit strok, pusat ini mungkin tempat untuk membantu mereka belajar menggerakkan semula anggota. Bagi pekerja yang mengalami kecederaan saraf, pusat ini mungkin tempat untuk membina semula kekuatan fizikal dan mental. Bagi seseorang yang mengalami kecederaan otak traumatik, pusat ini mungkin tempat untuk melatih semula daya ingatan, pertuturan dan keyakinan diri. Dan bagi keluarga mereka, pusat ini boleh menjadi tempat untuk menyinarkan cahaya harapan.

8. Sedarilah! seseorang yang mengalami kecederaan serius bukan sahaja menanggung penderitaan fizikal, tetapi turut berhadapan rasa murung, kecewa, risau, bimbang, dan ada kalanya rendah diri untuk menghadapi masa hadapan yang dibayangkan telah menjadi kelam. Mereka memerlukan pendekatan rehabilitasi yang menyeluruh; pendekatan rehabilitasi yang tidak terbatas kepada pemulihan tubuh secara fizikal, tetapi pendekatan rehabilitasi yang turut melibatkan pemulihan emosi – pemulihan harapan; serta pembinaan minda – pembinaan keyakinan. Pemulihan emosi dan harapan, pembinaan minda dan keyakinan, tidak boleh dilakukan oleh alat robotik betapa canggih pun tahap teknologinya. Peralatan robotik menjadi lebih berkesan dan lebih bermakna apabila dilengkapi dengan sentuhan kemanusiaan – sentuhan keinsanan. Robot dan mesin boleh membantu menggerakkan tubuh, tetapi semangat untuk terus berusaha lahir daripada sentuhan kasih sayang para doktor, jururawat dan ahli fisioterapi, diperkukuhkan dengan doa berterusan para pesakit dan ahli keluarga kepada Tuhan Maha Pencipta.

9. Usaha-usaha yang dilakukan di pusat ini akan lebih berkesan dengan adanya sokongan pelbagai pihak. Kita harus menolak budaya yang melihat orang yang mengalami kecederaan atau tidak keupayaan sebagai beban. Mereka jangan disisih dan dipandang rendah sebagai beban, mereka adalah sebahagian daripada keluarga besar masyarakat Malaysia. Setiap mereka mempunyai pengalaman, kemahiran, pengetahuan, semangat serta nilai, dan masih boleh berperanan memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara. Hargailah bahawa setiap insan mempunyai nilai, bakat, maruah dan potensi. Apa yang mereka perlukan ialah sokongan, akses, latihan, peluang dan kepercayaan.

10. Masyarakat hendaklah menghapus prejudis terhadap anggota masyarakat yang telah menghadapi kecacatan fizikal. Di sebaliknya masyarakat mempunyai tanggungjawab, tampil ke hadapan turut membantu usaha-usaha PERKESO, dengan membuka ruang yang sesuai dan memberikan peluang yang selayaknya kepada mereka yang telah selesai menjalani rawatan rehabilitasi agar dapat kembali hidup berdikari. Usaha yang dirintis oleh PERKESO memeterai kerjasama dengan 7-Eleven untuk menyediakan program latihan bekerja pasca rawatan, dengan potensi ditawarkan pekerjaan merupakan satu pendekatan strategik. Semoga lebih ramai pihak swasta tampil ke hadapan menawarkan program CSR dengan pusat-pusat rehabilitasi PERKESO, menawarkan latihan vokasional dan menyediakan peluang pekerjaan pasca rawatan rehabilitasi.

11. Membangunkan kompleks sehebat ini melibatkan pelbagai pihak dan pelbagai peranan, merangkumi pemikiran, idea, lakaran, perolehan, pembinaan, bekalan, kelulusan, latihan dan pengisian. Setiap yang terlibat, daripada pakar perunding, jurubina dan jurutera, kontraktor dan subkontraktor, para pekerja dan petugas, telah secara tekun dan komited, memecahkan ruyung untuk mendapatkan sagu, melakukan khidmat cemerlang menterjemahkan wawasan menjadi realiti. Demikian juga peranan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Majlis Bandar Raya Ipoh yang telah memberikan sokongan untuk mempermudah urusan pembinaan pusat ini. Beta menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada setiap seorang daripada mereka. Semoga segala khidmat bakti mereka diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai amal makruf yang dilimpahi ganjaran dunia – ganjaran akhirat.

12. Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri dan Kementerian Sumber Manusia; begitu juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak dan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri; terima kasih khusus kepada Pengerusi, ahli lembaga pengarah, barisan pengurusan dan tenaga sokongan PERKESO. Beta sangat menghargai penghormatan yang diberikan dengan sembah cadangan untuk mengabadikan nama Beta di pusat ini. Dengan lafaz بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ , Beta merasmikan PUSAT REHABILITASI PERKESO SULTAN NAZRIN SHAH.

%d bloggers like this: