TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH IBNI
ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
AL-MAGHFUR-LAH
MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1445H
PERINGKAT NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
TARIKH: 1 MUHARRAM 1445H / 19 JULAI 2023 (RABU);
JAM: 10.00 PAGI
TEMPAT: CASUARINA@MERU, IPOH.
“PENGHIJRAHAN MINDA – PENGHIJRAHAN BUDAYA”
Istilah ‘hijrah’ secara permukaan, merujuk kepada perjalanan yang dilakukan oleh umat Islam dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada tahun 622 Masihi dari Mekah ke Madinah. Berhijrah dalam erti kata yang lebih luas bermaksud melakukan perubahan atau perpindahan kepada sesuatu yang lebih baik. Oleh itu, hijrah jangan ditafsirkan secara harfiah, dibatasi kepada peristiwa pergerakan fizikal Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Mekah ke Madinah. Pergerakan fizikal tersebut merupakan satu babak kepada tuntutan melakukan ‘hijrah’ yang lebih besar dalam hasrat dan usaha mengembangkan risalah Islam. Sesungguhnya falsafah hijrah yang tersirat itu lebih besar daripada peristiwa hijrah yang tersurat. Ummah perlu melihat hijrah dengan tafsiran yang luas, dengan lensa yang berupaya merungkaikan hikmah secara keseluruhan, menghayati semangat yang tersirat di samping yang tersurat, bahawa manusia itu diperlukan melakukan penghijrahan yang lebih luas – lebih menyeluruh, sepanjang masa – sepanjang zaman.
2. Sewaktu Malaikat Jibrail Alaihissalam diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala menyampaikan wahyu pertama kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, masyarakat Arab di Mekah dan di kawasan persekitaran, merupakan masyarakat yang berada dalam kejahilan. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diputerakan 537 tahun setelah Nabi Isa Alaihissalam diangkat ke langit pada tahun 33 Masihi; ketika umat berada dalam jahiliah yang nyata, kerosakan yang melata, dan kemungkaran yang bermaharajalela. Penyembahan berhala tersebar luas; di sekitar Kaabah sahaja mencecah jumlah 360 berhala. Wahyu pertama yang disampaikan oleh Jibrail Alaihissalam kepada Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:
‘Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menjadikan (sekalian makhluk). Dia menjadikan manusia daripada segumpal darah beku. Bacalah dan Tuhanmu jualah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya’.
3. Wahyu pertama ini secara tersirat mengandungi elemen seruan melakukan penghijrahan minda dan penghijrahan budaya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang tidak boleh membaca, diseru dan dibimbing untuk membaca; membaca dengan kemurahan Allah yang mengurniakan ilmu; Allah yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, akan perkara-perkara yang tidak manusia ketahui.
4. Hatta, tugas utama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah untuk berusaha menyeru ummah melakukan penghijrahan minda dan penghijrahan budaya, berhijrah dari manusia yang jahil menjadi manusia berilmu. Melalui wahyu, ilmu dikurniakan oleh Ilahi selama 22 tahun, 2 bulan, 22 hari, bertujuan mengeluarkan masyarakat daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya kebenaran; membebaskan manusia daripada budaya dan minda perhambaan sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah Yang Esa; risalah yang kekal relevan biarpun tamadun silih berganti.
5. Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan suatu peristiwa bersejarah yang telah berjaya membina orientasi masa depan Islam; mengandungi nilai-nilai strategik pembaharuan yang telah mengubah paradigma dan pola pemikiran ummah, membuktikan Islam memperkenalkan ajaran yang menyeluruh, menyentuh seluruh dimensi kehidupan manusia, tidak sekadar ibadat ritual, bahkan membawa visi sosial Islam dalam membangunkan peradaban manusia.
6. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam telah memperkenalkan visi dan misi Islam sebagai “rahmatan lil alamin” yang bermaksud rahmat bagi sekalian alam. Islam disebarkan dengan nilai dan sifat kasih sayang, secara harmoni dan bertoleransi, menyebarkan ilmu serta melakukan amal, berjaya memperteguh iman untuk menegakkan keadilan dan kebenaran berpaksikan hukum, lalu terbina tamadun Islam yang gemilang.
7. Konsep rahmat bagi sekelian alam mencernakan budaya hidup yang harmoni bersandarkan akhlak yang murni. Akhlak yang murni telah berjaya memberikan keyakinan dan turut berjaya membawa perubahan pemikiran manusia daripada syirik kepada tauhid. Lalu terbina masyarakat baharu di Madinah yang ditadbir urus melalui sistem pemerintahan, sistem kerajaan, sistem perundangan dan kehakiman, sistem ekonomi, perdagangan dan perniagaan yang mencerminkan elemen-elemen kemanusiaan dan keadilan yang berteraskan hukum, dan ketakwaan yang bertiangkan tauhid, lantas menjelmakan keinsafan bahawa setiap sesuatu yang dilakukan di dunia ini, akan dinilai pada hari kebangkitan, ketika manusia dihimpunkan di Padang Mahsyar.
8. Jalan untuk berhijrah telah diwahyukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala bagi membawa manusia kepada mercu tamadun hidup yang agung mentauhidkan Allah selaras dengan firman yang terkandung dalam ayat 10, Surah Az-Zumar, bermaksud:
‘Katakanlah (wahai Muhammad, firman-Ku ini, kepada orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu. (Ingatlah) bagi orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah itu luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya hanya orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka tanpa terkira banyaknya”.[1]
Kalimah bumi Allah itu luas, hendaklah ditafsirkan dengan tafsiran yang lebih luas, tidak terbatas kepada keluasan bumi secara kawasan geografi, tetapi keluasan yang merangkumi keluasan ilmu, keluasan pengetahuan, keluasan teknologi, keluasan inovasi, keluasan daya cipta dan pelbagai lagi.
9. Peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat yang berlaku 1445 tahun lalu, tidak akan berulang lagi, tetapi semangat dan kesediaan melakukan hijrah wajib terus dihayati, dijadikan sumber inspirasi, dihidupkan dan disemaikan dalam jiwa setiap insan, terutama untuk melayari bahtera kehidupan mengharungi lautan dunia yang terus bergelombang. Manusia kini berada di abad ke-21, abad yang menyaksikan pembangunan teknologi yang mengupayakan manusia merentasi dunia yang bagaikan tiada lagi sempadan. Dunia kini perlu dilihat dengan lensa yang lebih terbuka dan minda yang lebih optimis. Dunia kini memerlukan manusia yang bersedia menerima realiti semasa dan manusia yang bersedia meninggalkan tradisi yang usang dan tafsiran yang jumud, agar manusia dapat mengeluarkan diri daripada kepompong kejahilan.
10. Ummah tidak dapat lari daripada perubahan yang berlaku kerana perubahan merupakan sunnatullah. Ummah harus bersedia pada setiap masa untuk mendepani perubahan kerana perubahan merupakan ketetapan Allah yang pasti berlaku. Alam dan seisinya turut berubah, bahkan pendekatan, perspektif, wawasan, sistem, visi, misi, konsep, teori dan sebagainya akan terus berubah. Kerana itu, penghijrahan ialah suatu manifestasi tuntutan pembaharuan yang diperlukan seiring perubahan tamadun dan zaman. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengingatkan umat bahawa penghijrahan merupakan proses yang berterusan sehingga detik kedatangan kiamat, berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, bermaksud:
“Hijrah tidak akan terputus selama taubat masih diterima, dan taubat akan tetap diterima hingga matahari terbit dari barat…”[2]
11. Berubah atau berhijrah bukan semudah yang digambarkan, kerana ia perlu bersandarkan ilmu – bertiangkan pengetahuan. Pembaharuan menurut yang ditetapkan oleh Ilahi, tidak berlaku tanpa bimbingan, sebaliknya dengan rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahu Wata’ala, akan diutus seorang mujaddid yang akan membantu ummah memperbaharui kehidupan dengan nafas dan cara baharu yang bersesuaian dengan keadaan semasa, namun kekal berpaksikan al-Quran dan al-Hadis. Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, melalui riwayat Abu Hurairah Radiallahuanhu bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengutus untuk umat ini setiap penghujung seratus tahun seseorang yang memperbaharui agamanya”[3].
12. Cabaran yang semakin rencam dan rumit memerlukan perubahan minda -perubahan budaya yang dapat disesuaikan mengikut tuntutan masa, namun tetap memenuhi nilai tauhid agar manusia tidak terpesong daripada tafsiran hidup sebenar. Umat Islam hendaklah bersedia, malah wajib melakukan penghijrahan minda – penghijrahan budaya agar berupaya memahami dan mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi serta bertenaga untuk menangani dan menguasai situasi semasa, terutama revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku.
13. Penghijrahan minda memerlukan minda yang bersedia keluar daripada kepompong kejahilan dan zon keselesaan. Penghijrahan minda memerlukan minda yang berani menerokai pengetahuan baharu, kemahiran baharu, medium baharu dan kaedah baharu, dirintis selari dengan keperluan zaman. Penghijrahan minda memerlukan minda yang dahagakan kemajuan – minda bijaksana, minda yang rasional, minda merdeka yang tidak berjiwa hamba, dan minda yang tidak gentar pada perubahan. Penghijrahan budaya merupakan kesediaan meninggalkan budaya usang – budaya lapuk, digantikan dengan budaya lebih dinamik yang mencerminkan keluhuran budi, mengamalkan disiplin, memiliki maruah dan harga diri, bersifat amanah, jujur, ikhlas bertunjangkan prinsip dan nilai Islam.
14. Penghijrahan adalah suatu jihad, dan orang-orang yang berhijrah di jalan ALLAH akan memperoleh kejayaan dan kemudahan-kemudahan hidup yang lebih baik sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan mendapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan Rasul Nya, kemudian kematian menimpanya (dalam perjalanan), maka sesungguhnya pahala hijrahnya telah ditetapkan di sisi Allah…”[4].
15. Bersempena hari pertama tahun Hijrah 1445 ini, kepada Mu Ya Allah, kami yang lemah ini mohon mendapat bimbingan dan petunjuk agar ummah, khususnya ummah Mu di bumi ini, melakukan penghijrahan minda daripada budaya yang memilih untuk bermusuh kepada budaya yang memilih untuk berkawan; daripada budaya yang cenderung bersengketa kepada budaya cenderung berdamai; daripada budaya berdendam kepada budaya bermaaf-maafan; daripada budaya menabur janji kepada budaya yang mengotakan kata; daripada budaya mencari kelemahan kepada budaya menggabungkan kekuatan; daripada budaya menyemarakkan fitnah kepada budaya menegakkan kebenaran; daripada budaya berjiwa kecil kepada budaya berjiwa besar; daripada ummah yang bersifat munafik kepada ummah yang bertakwa; agar ummah di bumi ini, menjadi ummah yang dihormati lagi disegani sesama manusia, dan dipandang mulia di sisi Mu.
16. Ya ALLAH, Tuhan Penguasa langit dan bumi, kepada-Mu kami berserah, tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniai nikmat kepada mereka, berikanlah kami dan seluruh umat Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kebaikan di dunia dan akhirat, sesungguhnya Engkau-lah yang Maha Pengampun, Pengasih dan Pemilik Arasy yang terpuji.