Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Segala puji milik Allah Subhanahu Taala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke 154 dapat diadakan.
3. Pada hari Jumaat 18 Oktober 2013, Orang Besar 32, Yang Di Hormati Toh Jana Pahlawan, Tuan Haji Abdul Tharim bin Ngah Osman, P.M.P., berusia 67 tahun, telah kembali ke Rahmatullah di kediaman didik Allahyarham di Seri Iskandar. Tuan Haji Abdul Tharim (Allahyarham) diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dilantik sebagai Toh Jana Pahlawan mulai 1 Februari 2003. Mesyuarat Dewan Negara pada pagi ini mengambil maklum berita sedih akan pemergian Tuan Haji Abdul Tharim menyahut panggilan ILAHI dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham Tuan Haji Abdul Tharim mendapat rahmat dan ihsan daripada ILAHI, ditempatkan di kalangan roh para solihin. AL-FATIHAH.
4. Alhamdulillah, berserta doa dari ahli-ahli Dewan Negara, keadaan kesihatan, Paduka Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah semakin bertambah baik. Namun Baginda diperlukan terus dan banyak berehat. Baginda dinasihatkan oleh para doktor tidak menerima terlalu banyak lawatan dan kunjungan, kerana itu lawatan dibatasi kepada ahli-ahli keluarga terdekat.
5. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan menitahkan agar disampaikan salam Baginda kepada ahli-ahli Dewan Negara serta apresiasi Baginda kepada ahli-ahli Dewan Negara yang senantiasa mengambil berat dan mendoakan kesejahteraan Baginda. Baginda menghargai peranan dan tugas yang dilaksanakan oleh ahli-ahli Dewan Negara memastikan Institusi Pemerintahan dan Institusi Istana dapat terus berfungsi seperti biasa meskipun dalam keadaan Baginda menghadapi kegeringan dan masih perlu melalui rawatan.
6. Peranan ahli-ahli Dewan Negara yang senantiasa memberikan sokongan kepada Beta dalam menyempurnakan amanah sebagai Pemangku Raja amat Beta hargai. Beta juga amat sedar bahawa sebahagian dari ahli-ahli Dewan Negara telah mencecah usia tua dan ada pula yang turut mengalami pelbagai keuzuran. Namun ahli-ahli Dewan Negara telah mempamerkan dan membuktikan sifat taat setia yang tinggi dan senantiasa tampil ke hadapan memberi sokongan serta membantu meringankan tugas-tugas yang perlu Beta sempurnakan.
7. Semangat muafakat telah berjaya membina jalinan kerjasama yang erat di kalangan ahli-ahli Dewan Negara. Semangat muafakat dicerminkan melalui sikap saling membantu di antara satu sama lain. Ia merupakan sumber kekuatan kepada Institusi Raja. Mengamalkan permuafakatan, dianjurkan dalam ajaran Islam demikian juga menjadi kunci kerukunan dalam amalan budaya bangsa. Oleh itu, semangat muafakat hendaklah terus dipupuk serta disuburkan kerana kekuatan akan terbina kukuh melalui permuafakatan.
8. Pada pagi Jumaat yang berkat ini, kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala dipohonkan supaya setiap hati kita dilimpahkan nur dan kejernihan untuk membina permuafakatan. Kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala di pohonkan agar menyuburkan hubungan dan keakraban silaturahim di kalangan ahli-ahli Dewan Negara, membolehkan sama-sama berusaha mencari dan menemui mutiara kebaikan.
Wabillahi taufik, walhidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.