MESYUARAT DEWAN NEGARA PERAK KE-173

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

MESYUARAT DEWAN NEGARA PERAK KE-173

TARIKH: 5 RAMADAN 1445 / 16 MAC 2024 (SABTU)

JAM: 3.00 PETANG

TEMPAT: ISTANA ISKANDARIAH KUALA KANGSAR.

Alhamdulillah, dengan izin dan rahmat ALLAH Subhanahu Wata’ala, Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-173 dapat dilangsungkan dalam bulan Ramadan yang penuh barakah.

2. Antara tempoh Dewan Negara Perak mengadakan mesyuarat kali ke-172 dan kali ke-173, dua orang penyandang gelaran Orang Besar Negeri, telah kembali ke Rahmatullah. Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-173, merakamkan ucap takziah kepada keluarga Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Abdullah Fadzil bin Che Wan (Allahyarham), penyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja, yang kembali ke Rahmatullah pada 6 September 2023, begitu juga kepada keluarga Yang Dihormati Encik Ismail bin Harun (Allahyarham), penyandang gelaran Toh Amar Pahlawan yang kembali ke Rahmatullah pada 21 Ogos 2023.

3. Sesungguhnya setiap yang bermula akan berakhir. Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”[1]

Dari Allah kita datang kepada ALAH kita dikembalikan. Semoga ahli-ahli keluarga kedua-dua Allahyarham itu, diberikan ketabahan menerima penentuan dan ujian ILAHI, kehilangan anggota keluarga yang dikasihi, dan semoga mereka terus dilimpahi rahmat dan petunjuk Ilahi.

4. Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti mereka berdua yang telah memenuhi peranan semasa menyandang gelaran dan melaksanakan tugas ketika diamanahkan tanggungjawab. Semoga segala khidmat bakti mereka diterima sebagai amal makruf yang dikurniakan ganjaran dunia – ganjaran akhirat.

5. Sama-sama kita bacakan surah Al-Fatihah memohon rahmat daripada ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA untuk disampaikan apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut kepada roh Abdullah Fadzil bin Che Wan dan roh Ismail bin Harun; semoga roh mereka dilimpahi rahmat ihsan Ilahi, ditempatkan dalam kalangan roh para solihin. Al-Fatihah.

6. Beta mengalu-alukan kehadiran buat pertama kalinya Yang Berbahagia Dato’ Ab. Wahab bin Dato’ Seri Azizul Hassan dalam mesyuarat Dewan Negara. Semoga melalui peranan berkesan beliau, akan terjalin hubungan dan persefahaman yang baik antara institusi raja dengan rakyat jelata di Jajahan Kinta.

7. Bulan Ramadan ialah bulan umat Islam meningkatkan amal ibadah secara berkumpulan melalui pelbagai kegiatan. Memandangkan Agama Islam dan institusi yang mengendalikan Agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah, Orang-orang Besar Negeri terutama Orang Besar Jajahan perlu berperanan aktif membantu memantau aktiviti-aktiviti yang berlangsung di masjid dan surau, memberikan nasihat bimbingan yang sewajarnya demi memastikan masjid dan surau terus diimarahkan dengan kegiatan-kegiatan yang dapat menyatupadukan ummah, bebas daripada sebarang kegiatan, pengaruh dan campur tangan politik kepartian.

8. Tarikh rasmi Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, ditetapkan dalam takwim pada Jumaat pertama bulan November. Pada tahun ini tarikh tersebut jatuh pada Jumaat, 1 November 2024, sehari selepas perayaan Deepavali yang jatuh pada 31 Oktober 2024. Mengambil ingatan tarikh 1 November berada dalam suasana masyarakat Hindu sedang merayakan Deepavali, dan masyarakat di Malaysia secara umumnya akan bercuti, dan dijangka keadaan lalu lintas yang sesak di seluruh negara, Beta mengambil ketetapan untuk Istiadat Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran dilewatkan seminggu, dilangsungkan pada hari Sabtu, 9 November, disusuli dengan acara larian Sultan Nazrin Shah pada pagi Ahad, 10 November 2024. Setiausaha Dewan Negara hendaklah segera memaklumkan secara rasmi ketetapan ini kepada Kerajaan Beta melalui Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri.

9. Semoga Mesyuarat Dewan Negara kali ke-173 mendapat petunjuk dan hidayat Ilahi mencapai penemuan dan merumuskan keputusan yang bermanfaat. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan kita dengan rahmat dan pelindungan serta petunjuk dan hidayah menemui jalan yang mendapat keredaan Nya juga. Amin Ya Rabbulalamin.

  1. Al-Quran, Al-Anbiyaa (21:35)
%d bloggers like this: