TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
MUZAKARAH SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
TARIKH: 26 SYAABAN 1446 / 25 FEBRUARI 2025 (SELASA)
MASA: 10.00 PAGI
TEMPAT: CASUARINA@MERU, BANDAR MERU RAYA,
IPOH, PERAK
“PEMERKASAAN INTEGRASI ANTARA FIQAH
DENGAN TASAWUF”
Muzakarah kali ini bertemakan ‘Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqah Dengan Tasawuf’. Dalam memperkatakan pentingnya integrasi fiqah dengan tasawuf, sebaiknya kita menziarahi kata-kata yang diungkapkan oleh Imam Malik bin Anas:
“Jika sesiapa mempelajari ilmu fiqh tanpa tasawuf, maka dia menjadi fasik. Jika sesiapa mempelajari ilmu tasawuf tanpa ilmu fiqah, maka dia menjadi zindik. Manakala, jika sesiapa menghimpunkan kedua-dua ilmu tersebut, maka itulah sebaik-baik dan sesempurna-sempurna perkara.”[1]
2. Kamus Dewan Perdana mentakrifkan, fiqah atau fiqh ialah ilmu berkaitan hukum dalam agama Islam yang boleh dirumuskan sebagai perundangan atau jurispruden Islam;[2] bermaksud ilmu yang menerangkan segala hukum syarak berlandaskan al-Quran dan As-Sunah, dirumuskan melalui penelitian mendalam, secara ijtihad dan istinbat.[3] Fiqah sering disifatkan sebagai kefahaman manusia terhadap syariat Islam sebagaimana yang diwahyukan dalam al-Quran dan yang diambil pengajaran daripada amalan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Secara kiasan, fiqah bermaksud ilmu tentang ketetapan hukum Islam daripada sumbernya. Fiqah mengembangkan dan memajukan syariah melalui tafsiran (ijtihad) al-Quran dan as-Sunah oleh fuqaha (ulama) Islam, dilaksanakan dengan ketetapan fatwa fuqaha terhadap persoalan yang dikemukakan kepada mereka.
3. Ilmu tasawuf merupakan salah satu khazanah keilmuwan Islam yang diwariskan. Berpandukan takrifan Kamus Dewan Perdana, tasawuf ialah ilmu yang mendidik manusia kaedah untuk lebih mengenali dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan memahami, mendalami dan mengamalkan segala suruhan serta meninggalkan segala larangan-Nya, sehingga berasa diri begitu hampir dengan Allah Subhanahu Wata’ala, dengan membersihkan jiwa daripada sifat-sifat tidak baik.[4] Ilmu tasawuf membantu diri seseorang memelihara seluruh pancaindera untuk tunduk kepada iman serta takwa dan menjauhi ikutan hawa nafsu.[5] Abdul Wahab Al-Sha’rani (dilahirkan pada tahun 898 Hijrah; wafat pada tahun 973 Hijrah), tokoh tasawuf yang berjaya memurnikan semula aliran kesufian daripada segala tanggapan negatif, mentakrifkan tasawuf sebagai ilmu yang terhasil dalam hati para wali apabila mereka mengamalkan al-Quran dan As-Sunah.
4. Tasawuf bertujuan mendekatkan manusia kepada Allah, dan menghindarkan manusia daripada godaan hawa nafsu duniawi. Tasawuf juga diertikan sebagai pencarian jalan rohani, kebersatuan dengan kebenaran mutlak dan pengetahuan mistik. Tasawuf ialah daya upaya melatih jiwa dengan kegiatan-kegiatan yang dapat membersihkan diri manusia daripada pengaruh kehidupan dunia yang bersifat negatif sehingga tercermin akhlak mulia. Ilmu tasawuf penting kerana membantu membersihkan hati, mendidik nafsu, dan memperbaiki akhlak.
5. Oleh itu, amatlah bertepatan ungkapan kata Imam Malik bin Anas akan pentingnya kedua-dua cabang ilmu fiqah dan tasawuf diintegrasikan. Fiqah telah menyediakan pelbagai komponen perundangan, merangkumi ibadah, muamalah, kekeluargaan, jenayah dan pelbagai perkara lagi; malah turut merangkumi pemeliharaan ibadah, akhlak serta peraturan sosial dan politik. Pelbagai kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang melanda dunia pada hari ini hendaklah dilihat sebagai bukti yang menunjukkan, bahawa sekadar memiliki undang-undang dan perundangan, tidak membawa sebarang makna. Lihatlah apa yang sedang berlaku di persekitaran kita. Kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang berlaku, penipuan, perlakuan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, penindasan, penyeksaan, persengketaan, pertelingkahan, perebutan kuasa, peperangan, pembunuhan semakin berlaku, bukan kerana kita tidak mempunyai cukup undang-undang. Segala-galanya berlaku kerana manusia sudah kehilangan adab. Apabila manusia merasakan akal fikirannya terlebih pintar, dan apabila manusia sedang mabuk dilambung gelombang kuasa, manusia mula beranggapan mereka berupaya melakukan pelbagai helah untuk menguasai dunia dan mendominasi manusia lain; mereka beranggapan memiliki kekebalan, bebas dan terlepas daripada hukum dunia, lalu undang-undang dipersenda, dimanipulasi dan akhirnya disisihkan, tanpa sedikit pun merasa gentar terhadap alam kubur, terhadap kewujudan Mahkamah Rabul Jalil pada hari kebangkitan, dan wujudnya pembalasan di akhirat.
6. Dalam fanatisme manusia menghirup kelazatan duniawi, kehadiran ilmu tasawuf ibarat ‘oasis’ atau wahah dalam kekeringan kehidupan dunia moden yang fatamorgana. Terbukti ilmu tasawuf berhasil membimbing manusia untuk senantiasa membersihkan jiwa (tazkiyatun nafs) dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala (taqarah Ilallah) sehingga muara daripada kehidupan manusia akan terselamat di dunia dan di akhirat. Kehadiran ilmu tasawuf merupakan respons atau tindak balas menyelamatkan umat Islam yang sedang ditenggelami kesesatan, menikmati penyimpangan duniawi, sehingga rohani manusia menjadi gersang; lalu manusia menjadi semakin lali, semakin alpa dan semakin memandang ringan terhadap akhirat, lantas tidak lagi berasa gentar terhadap hari pembalasan ataupun takut kepada pembalasan Ilahi.
7. Sejak terpinggirnya didikan ilmu tasawuf di bangku sekolah, manusia kini seakan-akan jasad yang hilang rohnya, bagaikan pohon yang hilang sumber airnya. Ummah kini sudah tidak lagi mementingkan rohani, sebaliknya dibelenggu dengan habuan kebendaan dan keduniaan. Pada waktu yang sama, turut terdapat gerakan membenci tasawuf sehingga melahirkan generasi yang tidak beradab malah ke peringkat bersifat biadab, menderhakai ibu bapa dan guru, generasi yang tidak malu menghina umara dan ulama, juga menyanggah dan mencabar ulul amri dengan mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang Mukmin.
8. Adab daripada kaca mata Islam begitu juga dalam budaya Melayu merujuk kepada tatacara atau tingkah laku yang berpekerti, akhlak yang baik, sopan, tertib, berbudi bahasa, jujur dan ikhlas, sifat menghormati dan berperikemanusiaan; ia itu komponen-komponen yang membentuk nilai dan watak murni insani. Kepentingan adab sebelum menuntut ilmu ditegaskan oleh para ulama. Para ulama lebih mendahulukan adab daripada ilmu. Seseorang yang menguasai ilmu tanpa memiliki adab, akan berakhir sebagai ilmuwan yang tempang, dibimbangi akan mendakyah masyarakat dengan ilmu yang songsang.
9. Kebelakangan ini semakin diperlihatkan perjalanan tempang dalam kalangan yang merasakan diri mereka telah bertaraf ilmuwan atau ulama; kebelakangan ini semakin kedengaran suara-suara yang menyampaikan dakyah songsang. Tazkirah, kuliah dan diskusi agama semakin bertukar kandungan dengan selitan bahan-bahan cercaan dan fitnah, berkecenderungan memihak atau menentang kabilah politik tertentu. Masjid dan surau yang dibangunkan bertujuan sebagai tempat untuk menyatupadukan ummah, semakin dijadikan gelanggang untuk menyebarkan dakyah dan fitnah. Beta disembah maklumkan sudah ada khatib yang memilih tidak mahu membaca teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak yang diperakukan oleh Jabatan Mufti.
10. Perbuatan sebegini sudah keterlaluan dan sama sekali tidak boleh didiamkan. Berdiam diri terhadap perbuatan keterlaluan sebegini, laksana membiarkan barah menular lebih luas yang bakal menimbulkan perpecahan dalam kalangan ummah. Khatib yang dikurniakan tauliah bertugas di mimbar, dan individu yang dikurniakan tauliah mengajar agama di masjid dan surau, diperkenankan tauliah lantikan dan mengajar oleh Raja Pemerintah setelah disembah nasihat oleh Jabatan Mufti yang berpuas hati dengan sifat dan watak serta ilmu dan pengetahuan calon-calon yang berkaitan. Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti, bersama Orang Besar Jajahan, Jawatankuasa Masjid dan Surau serta ahli kariah hendaklah melakukan pemantauan yang rapi, mengenal pasti pihak-pihak yang berselindung di sebalik jubah agama, berjalan tempang dan berperangai songsang. Masjid dan surau wajib dibersihkan daripada kegiatan-kegiatan orang yang tempang menyebarkan dakyah yang songsang.
11. Pihak-pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan, sewajarnya melakukan siasatan secara adil dan saksama, meneliti fakta dan kesahihan terhadap perbuatan-perbuatan yang dilaporkan telah melanggar adab bekerja. Penemuan dan apa juga ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa kepada mana-mana pihak yang terlibat, setelah selesai melalui proses rayuan, hendaklah diangkat sembah laporannya beserta perakuan untuk pertimbangan Raja Pemerintah sewajarnya.
12. Semoga muzakarah yang penuh dengan ilmu ini mendorong ummah untuk terus beramal dengan ilmu dan berilmu dengan penuh adab secara istiqamah. Maka, amalnya sahih, ilmunya bermanfaat dan akhlaknya luhur. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan tema Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqh dengan Tasawuf.
- Aḥmad Zarrūq al-Fāsī. 2025. The Foundations of Sufism – An Annotated Translation of Qawāʻid al-Taṣawwuf by Shaykh Aḥmad Zarrūq al-Fāsī (d. 899/1493). ed.: Ghulan Shams-ur-Rehman. Leiden: Brill. hlm. 48. ↑
- Kamus Dewan Perdana, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2021; hlm 600. ↑
- Wikipedia. ↑
- Kamus Dewan Perdana, hlm 2266. ↑
- Ibid. ↑