Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam; demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda; seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan pada hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Batu Gajah untuk menyempurnakan perasmian sebuah masjid, ia itu sebuah RUMAH ALLAH, pada petang Ramadhan yang penuh berkat ini.
3. Sebaik bertapak di Medinah semasa peristiwa Hijrah, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam bersama rombongan bergotong royong membina masjid. Baginda tidak sekadar membina masjid tetapi telah membangunkan sebuah pusat kegiatan untuk usaha-usaha menyebar dan mengembangkan risalah Islam. Masjid berfungsi sebagai institusi asas lagi utama untuk mendukung peranan mengembangkan syiar Islam. Masjid tidak sekadar pusat untuk melakukan ibadah solat, malah masjid telah dan hendaklah terus berfungsi sebagai pusat perkembangan ilmu – perkembangan budaya dan turut berperanan sebagai pusat membangunkan masyarakat. Masjid telah memenuhi peranan dan hendaklah terus berperanan sebagai tapak semaian mencanai minda berilmu dan membina sahsiah insan solihin. Masjid telah pernah dan hendaklah terus berupaya menjana tamadun Islam yang agung.
4. Masjid yang akan dirasmikan ini, memiliki sejarah yang panjang. Dalam tahun sembilan belas tiga puluhan (1930an), sebuah masjid diperbuat daripada kayu telah dibina di atas tapak asal; tanah tapak asal tersebut adalah milik nenda Beta, Toh Puan Besar Hatijah, diwakafkan oleh Allahyarhamah untuk membolehkan sebuah masjid dapat dibina. Masjid kayu tersebut kemudiannya dirobohkan, lalu digantikan dengan masjid yang dibina berasaskan batu bata dalam tahun sembilan belas tujuh puluhan (1970an).
5. Pada akhir tahun 2006, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah menitahkan agar masjid ini dibina semula. Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 9 Oktober 2008. Duli Yang Maha Mulia telah memberikan penuh perhatian, secara langsung memantau dan mengawas kerja-kerja pembinaan semula masjid ini. Duli Yang Maha Mulia telah memberi sentuhan peribadi kepada reka bentuk, hiasan dalam dan komposisi kompleks Masjid ini, malah sering kali berangkat melakukan lawatan tapak.
6. Sepanjang hayat, Almarhum terlibat secara langsung dan tidak langsung menasihati, mengawasi dan memantau pelbagai projek membina bangunan, merangkumi Istana, Mahkamah, Stadium, Institusi Pendidikan, galeri dan rumah kediaman. Projek pembinaan masjid ini, pembinaan sebuah Rumah ALLAH, merupakan projek pembinaan terakhir yang Almarhum telah memberikan tumpuan dan terlibat secara langsung.
7. Paduka Ayahanda Beta, Raja Azlan Shah diputerakan di Batu Gajah. Batu Gajah adalah tempat Raja Azlan Shah menempuh alam persekolahan, mendapat bimbingan agama, melalui proses sosialisasi bermasyarakat sehingga ke usia remaja sebelum menyambungkan pelajaran ke Malay College Kuala Kangsar dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Nottingham di United Kingdom. Sejauh mana Almarhum merantau dan setinggi mana Almarhum mencapai kejayaan, Almarhum senantiasa mencari masa untuk kembali memijakkan kaki di bumi Batu Gajah untuk menyedut udara daripada atmosfera Batu Gajah. Sepanjang hayat Almarhum, Raja Azlan Shah senantiasa menghargai dan terus mendampingi rakan-rakan sepermainan dan rakan-rakan sepersekolahan semasa di Batu Gajah; rakan-rakan yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, agama dan kaum. Demikian mendalamnya ingatan Almarhum kepada bumi dan alam persekitaran Batu Gajah. Rumah Allah ini adalah hadiah kenangan daripada Almarhum kepada masyarakat Batu Gajah yang sangat nostalgik dalam ingatan Almarhum.
8. Rumah Allah ini diperkenankan oleh Almarhum dinamakan MASJID TOH PUAN BESAR HATIJAH; melambangkan satu pengabadian penghargaan seorang putera kepada seorang bonda. Sebagai pengabadian ingatan kasih sayang Almarhum kepada seorang kakanda, Dewan Serba Guna masjid ini telah diperkenankan oleh Almarhum dinamakan DEWAN RAJA BAHARUM BAHA’UDDIN SHAH.
9. Manusia boleh merancang, Allah Subhanahu Wata’ala juga yang Maha Mengetahui serta menentukan segala-galanya. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah mangkat pada 28 Mei 2014; Almarhum tidak sempat untuk bersolat di masjid yang telah dibina semula ini. Almarhum telah meninggalkan wasiat, agar Masjid ini dirasmikan sempena Ramadhan 1435 Hijrah, dan majlis berbuka puasa pertama Sultan bersama rakyat pada tahun ini hendaklah diadakan di masjid ini.
10. Demikian usaha dan jasa Almarhum dalam urusan pembinaan Rumah Allah ini. Hari ini, kemuliaan untuk merasmikan Rumah Allah ini dianugerahkan ILAHI untuk disempurnakan oleh anakanda Almarhum. Rumah Allah, ia itu masjid ini merupakan bangunan pertama yang Beta menyempurnakan perasmian, sejak Beta dimasyhurkan mewarisi takhta pemerintahan sebagai Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan ketiga puluh lima. Demikian perancangan seorang ayahanda; demikian pula penentuan ILAHI yang Maha Mengetahui atas segala-galanya.
11. Semoga segala usaha Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah membangunkan semula Rumah Allah ini akan diberikan setinggi-tinggi ganjaran oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Semoga usaha Almarhum membangunkan kemudahan fizikal ini akan disambut dan dilengkapi oleh ahli-ahli qariah dengan menganjurkan pelbagai aktiviti, agar masjid ini menjadi masjid yang hidup, diimarahkan setiap masa – sepanjang waktu.
12. Menjunjung wasiat Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta mengisytiharkan Masjid ini dinamakan MASJID TOH PUAN BESAR HATIJAH, dan Dewan Serba Guna Masjid dinamakan DEWAN RAJA BAHARUM BAHA’UDDIN SHAH. Ya ALLAH! YA RAHMAN! YA RAHIM! hamba-Mu memohon agar Engkau limpahkan segala rahmat dan keberkatan kepada masjid ini, agar senantiasa hidup dan diimarahkan; jadikan ia antara tempat mulia yang Engkau akan anugerahkan pengampunan dan memakbulkan doa dari para Hamba-Mu yang berkunjung dan beribadah di sini. Amin Ya Rabul Alamin.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.