Perutusan Aidilfitri 1 Syawal 1435 Hijrah / 2014 Masihi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR! WALILLAH ILHAM.

Berpuasa di bulan Ramadhan adalah salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Alhamdulillah, dilafazkan kalimah syukur ke hadrat ILAHI yang telah melimpahkan rahmat membolehkan umat Islam di negara ini menyempurnakan ibadah puasa dalam suasana aman.

2. Keamanan adalah satu nikmat. Hari ini, keamanan di kalangan umat Islam di negara tertentu, tinggal dalam impian. Rakyat di Palestin terus menanggung derita akibat perbuatan kejam lagi zalim Israel. Ketika umat Islam di negara ini, menghias rumah menjelang Aidilfitri, ramai umat di bumi Palestin, tidak pasti, sama ada mereka masih mempunyai rumah pada hari esok. Ketika umat Islam di negara ini, membeli belah pakaian baru anak-anak untuk menyambut Syawal; ibu dan ayah di bumi Palestin, tidak pasti, sama ada anak mereka masih bernafas pada hari esok. Penderitaan yang sedang ditanggung oleh rakyat di bumi Palestin, wajib mencetuskan rasa insaf; mereka wajib diberikan bantuan – dihulurkan pertolongan.

3. Keamanan hendaklah dipelihara. Dalam negara Malaysia yang komposisi warganya terdiri daripada pelbagai kaum – pelbagai agama, hubungan harmoni di kalangan warga adalah prasyarat kepada hidup yang rukun dan aman. Suara kedamaian ini hendaklah dipupuk dan terus disuburkan.

4. Aidilfitri adalah anugerah ILAHI kepada para hamba Nya yang telah berjaya menyempurnakan ibadah berpuasa. Ia, hari kemenangan kepada insan yang berjaya memerangi nafsu. Suasana riang dilimpahkan sebaik Syawal muncul diufuk; ia hendaklah disambut dengan takbir dan tahmid menandakan kemenangan.

5. Aidilfitri adalah salah satu hari kebesaran umat Islam; disambut dengan budaya mengadakan rumah terbuka, kunjung mengunjungi sesama anggota keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga. Umat Islam dianjurkan saling bermaaf-maafan, meningkatkan silaturahim – memperkukuhkan ukhuwah. Nilai-nilai murni Islam menjalinkan hubungan harmoni dicerminkan melalui kesediaan umat Islam mengadakan rumah terbuka, turut menerima tetamu dari pelbagai kaum – pelbagai agama.

6. Suasana riang Aidilfitri, semoganya dapat dinikmati oleh setiap ummah. Fakir miskin, warga tua, anak yatim, balu dan ibu tunggal wajib diberikan perhatian dengan menghulurkan sedekah dan bantuan, terutama dari kalangan mereka yang telah dilimpahkan dengan pelbagai keistimewaan nikmat dan kesenangan rezeki.

7. Ketika majoriti warga riang menyambut Aidilfitri bersama famili, terdapat di kalangan warga yang diperlukan bertugas; di antara mereka, anggota Pasukan Keselamatan, Polis dan Tentera, para petugas yang diperlukan mengendalikan perkhidmatan-perkhidmatan kritikal, antaranya kakitangan Bomba, Penjara, Hospital, petugas-petugas sektor pengangkutan, bekalan elektrik dan air, petugas-petugas di Lebuh Raya, di Stesen Minyak, di hotel dan restoran, begitu juga kakitangan media, siar raya serta telekomunikasi. Pengorbanan yang dilakukan oleh mereka, telah membolehkan majoriti warga dapat merayakan Aidilfitri dengan keriangan. Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada mereka; demikian juga kepada anggota keluarga mereka yang turut melakukan pengorbanan.

8. Semoga melalui sambutan Aidilfitri, warga akan terus mengukuhkan nilai-nilai keluarga serta menyuburkan hubungan harmoni antara kaum – antara agama.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.

ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR! WALILLAH ILHAM.

%d bloggers like this: