Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1 Syawal 1433h / 2012m

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillah ilham.

Alhamdulillah, sewajibnya kita melafazkan kalimah kesyukuran ke hadrat ILAHI yang telah melimpahkan rahmat membolehkan umat Islam di negara ini menyempurnakan ibadah di bulan Ramadhan dalam suasana negara yang aman lagi sejahtera; dan sama-sama pula menyambut Syawal dalam suasana riang bersama kaum keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan.

2. Keamanan adalah nikmat besar anugerah ILAHI. Hari ini terdapat warga di negara tertentu yang telah ditarik nikmat keamanan. Keamanan kini tinggal menjadi impian dan harapan di kalangan sebahagian besar warga di negara tertentu sedangkan pemimpin tertinggi negara berkenaan menghadapi ancaman keselamatan. Penderitaan yang terus dialami oleh penduduk di bumi Palestin adalah contoh perbandingan untuk dijadikan peringatan. Anugerah ILAHI dalam bentuk keamanan di bumi ini wajib disyukuri. Keamanan wajib dipelihara melalui usaha meningkatkan hubungan silaturahim di kalangan warga berasaskan semangat ukhuwah kemanusiaan sejagat.

3. Di negara ini, Syawal disambut dengan mengadakan rumah terbuka. Ini adalah satu keistimewaan – satu keunikan. Sifat terbuka dan persaudaraan umat Islam dicerminkan dengan kesediaan umat Islam membuka pintu rumah mereka meraikan kunjungan tetamu. Lebih istimewa lagi, apabila Aidilfitri turut disambut oleh warga bukan Islam, berkunjung ke rumah orang Islam, mengucapkan selamat hari raya kepada umat Islam, lalu terjalin ikatan silaturahim secara ‘natural’ di antara warga yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum dan budaya di negara ini. Hubungan demikian telah dapat meningkatkan fahaman terhadap kesucian Islam serta pantang larang di dalam agama Islam yang perlu dihormati. Persefahaman di antara warga pelbagai agama dan menghormati amalan serta pantang larang agama lain adalah penting untuk menjamin kelangsungan masyarakat yang harmoni dan negara yang aman. Hubungan harmoni antara warga pelbagai agama, kaum dan budaya adalah kunci penentu kepada keamanan negara ini.

4. Ketika majoriti warga Malaysia bercuti berhari raya, terdapat di kalangan warga Beta yang diperlukan bertugas terutama di kalangan mereka yang memenuhi amanah melaksanakan pelbagai tugas kritikal. Di antara mereka adalah anggota Pasukan Keselamatan, terdiri dari anggota Polis Diraja Malaysia dan angkatan tentera Malaysia, demikian juga mereka yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan kritikal yang perlu mengendalikan perkhidmatan 24 jam sehari; merangkumi anggota bomba, kakitangan penjara, kakitangan hospital, kakitangan sektor pengangkutan, petugas di Lebuh Raya, kakitangan radio dan televisyen, kakitangan hotel dan restoran serta pelbagai lagi. Mereka telah melakukan pengorbanan tinggi, menyempurnakan amanah ketika orang lain sedang riang berhari raya bersama keluarga. Kepada mereka, Beta dan Raja Puan Besar menzahirkan penghargaan yang amat tinggi. Demikian juga penghargaan Beta berdua kepada anggota keluarga mereka yang turut melakukan pengorbanan menyambut Hari Raya tanpa kehadiran suami, isteri, ayah, ibu, abang, kakak, adik atau anak tersayang. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala merahmati mereka.

5. Beta turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dari Paduka Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan juga Paduka Bonda Beta, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, yang pada tahun ini ditakdirkan ILAHI tidak dapat menyambut Aidilfitri di Tanah Air.

6. Semoga rakyat yang Beta kasihi akan dirahmati Allah menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana bersyukur, riang dan gembira. Semoga rakyat Beta akan terus mengukuhkan nilai-nilai keluarga, mempererat silaturahim sesama jiran tetangga serta rakan kenalan. Semoga melalui sambutan Aidilfitri, persefahaman di kalangan warga Malaysia dari pelbagai agama, pelbagai kaum dan pelbagai budaya akan dapat ditingkatkan.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.

Wabillahi taufik walhidayah,

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

%d bloggers like this: