“RAJA BERTAKHTA – RAKYAT BAHAGIA”
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan yang Maha Arif lagi Maha Mengetahui, lalu menentukan darjat kemuliaan serta peranan di kalangan makhluk Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian; demikian juga kepada ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya; seterusnya kepada para tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh kegelapan. Semoga memperoleh ihsan dari Allah Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan limpah rahmat dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah utama bertemakan ‘Raja Bertakhta – Rakyat Bahagia’ di Simposium Budaya Melayu Perak anjuran Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
3. Sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja adalah sebahagian dari budaya Melayu. Institusi Raja adalah sistem berkerajaan yang mempunyai landasan sejarah dan tradisinya sendiri. Institusi Raja telah lama berakar di bumi Melayu dengan sistem pemerintahan yang didukung oleh pentadbiran yang cekap lagi tersusun; berjaya menyatukan warga – berupaya memelihara keamanan – bertenaga mencetus kemakmuran.
4. Sebuah negeri bernama Melaka telah dibangunkan oleh Raja Iskandar Shah. Apa yang dikenali sebagai Melaka, pada asalnya hanyalah sebuah perkampungan nelayan dengan penduduk di sekitar 200 orang[1]. Dengan kebesaran daulat Baginda, kampung nelayan tersebut akhirnya berkembang pesat; diiktiraf sebagai pusat maritim di rantau ini, terkenal sebagai pelabuhan dan pusat persinggahan, berperanan sebagai pusat perdagangan. Melaka berfungsi sebagai pusat penyebaran Islam, dihormati sebagai pusat pemerintahan yang mempunyai hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa besar, diiktiraf sebagai sebuah empayar yang agung. Melaka agung kerana di sinilah berputik dan berkembangnya budaya, penulisan, kesusasteraan, sosialisasi dan tamadun bangsa. Semuanya dicapai melalui sistem pemerintahan yang cekap, dengan hierarki pembahagian tanggung jawab yang tersusun antara Raja dan rakyat.
5. Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan, merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Raja berperanan utama menguruskan rutin harian negara dengan dibantu oleh barisan pembesar negeri. Bahawa sistem kerajaan berteraskan Raja ketika itu lagi, tidak pernah bersifat mutlak dalam erti kata sebenar. Struktur pemerintahan begitu tersusun dengan lapisan pembahagian tugas dan perwakilan kuasa di antara Raja dengan pembesar negeri. Raja, setelah disembah maklumkan maklumat dari rakyat, mengamalkan sistem perundingan, bermesyuarah untuk memperoleh nasihat dan pandangan dari pembesar negeri. Sistem perundingan dan mesyuarah amat diutamakan, dijadikan amanat penting kepada pewaris takhta seperti yang terkandung dalam wasiat Sultan Alauddin Shah kepada anakanda Baginda Sultan Mahmud Syah,
Petikan,
“ Hai anakku, ketahui olehmu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya….melainkan iman….. Adapun peninggalku ini hendaklah anakku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong; jikalau teraniaya ia hendaklah segera engkau periksa baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya lehermu….Syahadan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang besar-besar, kerana raja-raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan adilnya; rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya tiada akan dapat berdiri. Adapun segala anak Melayu, jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh, melainkan yang patut pada hukum Allah, ….jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa.”[2]
(Petikan dari Sulalat-al-Salatin)
6. Di bawah pentadbiran Inggeris, orang-orang Melayu masih belum memiliki institusi politik secara tersusun hatta tidak mempunyai saluran perwakilan secara formal lagi berkesan. Raja-Raja Melayu secara kolektif berperanan sebagai juru bicara, menzahirkan suara Melayu. ‘Durbar’ adalah mesyuarat pertama yang menghimpunkan empat Raja Melayu dari negeri-negeri bersekutu di Kuala Kangsar pada tahun 1897. ‘Durbar’ merupakan forum Raja-Raja menyuarakan nasib dan kepentingan Melayu.
7. Rejimen Askar Melayu Di Raja, The Malay College Kuala Kangsar, Sultan Idris Training College, Kolej Tunku Kursiah, Pegawai Tadbir Melayu, agama Islam, penggunaan Bahasa Melayu dalam pentadbiran, milik tanah, pendidikan bangsa, bidang kuasa penghulu dan kadi, emansipasi wanita Melayu, adalah antara tuntutan yang disuarakan oleh Raja-Raja Melayu melalui ‘Durbar’. Melalui ‘Durbar’, Raja-Raja melahirkan kebimbangan terhadap sektor perlombongan yang meminggirkan orang Melayu sedangkan sektor pertanian yang merupakan sumber ekonomi utama orang Melayu, begitu diabaikan. Penubuhan tabung pendidikan dan biasiswa di setiap negeri adalah atas titah Raja-Raja Melayu.
8. Kebimbangan tentang kemasukan kaum imigran secara besar-besaran dizahirkan. Raja-Raja Melayu memberikan saranan kepada pentadbiran Inggeris supaya tenaga kerja turut diambil dari kalangan orang-orang Jawa, demi memastikan orang Melayu tidak akan menjadi minoriti di bumi dan tanah air warisan pusaka bangsanya. Raja-Raja Melayu menzahirkan kebimbangan terhadap pelantikan Sir Henry Gurney sebagai Pesuruhjaya di Tanah Melayu pada tahun 1948 berasaskan apa yang pernah dilakukan terhadap penduduk Arab, ketika Henry Gurney bertugas sebagai Setiausaha Negara di Palestin.[3] Raja-Raja Melayu turut menegur rancangan penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.[4]
9. Malayan Union merupakan kerangka pertama yang menampilkan perkumpulan formal kesemua sembilan orang Raja Melayu dalam tahun 1946[5]. Tentangan terhadap Malayan Union digerakkan atas sentimen mempertahankan kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Gerakan menentang Malayan Union mematahkan usaha pecah – perintah pentadbiran Inggeris untuk memisahkan Raja dengan rakyat. Malah gerakan menentang Malayan Union mengembalikan hubungan erat – menjalinkan semula kerjasama antara Raja dengan rakyat. Raja bersama rakyat, bertutur dalam satu bahasa – bersuara dalam satu nada, menyampaikan tuntutan memerdekakan warga – menggemakan hasrat memerdekakan negara. Gerakan menentang Malayan Union turut merintis kesedaran bangsa akan pentingnya penyatuan, lalu lahirlah institusi politik Melayu secara formal lagi tersusun.
10. Apabila orang Melayu mencapai kata sepakat menubuhkan UMNO, Raja-Raja Melayu bukan sekadar memberikan restu perkenan, malah secara langsung berada di belakang usaha tersebut. Pada 11 Mei 1946, UMNO secara rasmi ditubuhkan di perhimpunan yang berlangsung di Istana Besar Johor Baru. Di usia awal penubuhannya, beberapa perjumpaan dan mesyuarat UMNO, berlangsung di persekitaran istana; di hadapan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar; di Balai Rong, Arau; di Istana Besar, Johor Baru; di Balai Besar, Alor Setar; di Balai Besar, Kota Baru.
11. Malah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar serta Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Negeri Sembilan turut berangkat mencemar duli di Mesyuarat Agong UMNO di Kelab Seremban pada 1 Mac 1947, sementara Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat mencemar duli, berkenalan dengan wakil-wakil di Mesyuarat Agung UMNO pada 2 September 1947 di Istana Besar, Johor Baru. Dalam usaha pertama UMNO mengadakan kutipan derma, sejumlah sembilan belas ribu,dua ratus enam puluh enam ringgit, tujuh puluh lima sen (Ringgit:19,266.75) berjaya dipungut. Sebanyak enam ribu ringgit atau satu pertiga dari jumlah derma tersebut adalah sumbangan dari Raja-Raja Melayu.[6]
12. Peranan Raja di belakang penubuhan organisasi politik Melayu itu diberikan pengiktirafan secara simbolik tetapi amat signifikan. Ketika Dato’ Onn meminta anak saudaranya, Syed Muhammad Naquib al-Attas (kini bergelar Profesor), melukis bendera UMNO, Dato’ Onn meminta Syed Muhammad Naquib menggabungkan warna-warna Hang Tuah, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kekuatan pengaruh Islam dalam dunia Melayu.[7] Mengambil panduan Dato’ Onn itu, Syed Naquib lalu meletakkan bulatan berwarna kuning di antara jalur merah putih, melambangkan penyatuan Raja-Raja Melayu.[8] Keris, melambangkan alat kebesaran Raja-Raja Melayu, diwarnakan hijau, selaras dengan tanggung jawab Raja-Raja mempertahankan Islam.[9]
13. Sokongan Raja-Raja Melayu di belakang penubuhan UMNO tidaklah bermakna Raja-Raja terlibat aktif dalam kegiatan politik berparti. Sokongan tersebut adalah sebahagian dari pendirian Raja-Raja, secara simbolik – secara semangat, menyokong usaha untuk warga dan negara memperoleh kemerdekaan. Kerana itu juga Raja-Raja Melayu memberi perkenan untuk diwakili menyertai rombongan kemerdekaan ke London. Pendirian tegas dan sekata oleh wakil-wakil Raja-Raja Melayu kepada Kerajaan Inggeris adalah antara faktor utama yang tidak membolehkan Kerajaan Inggeris berlengah dari memenuhi tuntutan kemerdekaan.
14. Dalam usaha menuntut kemerdekaan, rakyat digerakkan melalui organisasi politik. Gerakan politik berjaya menyusun barisan rakyat, bangkit secara aktif menyuarakan tuntutan kemerdekaan. Rakyat ketika itu memiliki pilihan untuk menentukan rupa bentuk dan kerangka kerajaan. Rakyat di Tanah Melayu telah memilih untuk mengekalkan institusi Raja, lalu dimaktubkan secara perundangan dalam ‘Perlembagaan Merdeka’. Maka lahirlah sebuah negara merdeka yang berpegang kepada prinsip Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kuasa Raja dan kuasa rakyat digabung dan diimbang, dalam semangat mengekal yang dikendong sementara berusaha mencipta yang baru.
15. Pengiktirafan tinggi kepada Raja tertera pada bendera Persekutuan Tanah Melayu. Bulan bintang yang melambangkan status agama Islam di dalam negara, diwarnakan kuning, simbol peranan Raja sebagai ketua agama Islam; di samping warna yang menjadi lambang daulat payung negara. Lirik lagu kebangsaan negara, diakhiri dengan kata-kata ‘Raja kita selamat bertakhta’. Bahawa Raja itu kekal dinobatkan menjadi simbol kedaulatan negara.
16. Pemilihan mengekalkan Institusi Raja, memberi kesinambungan kepada amalan tradisi negara beraja. Institusi Raja diperlengkap dengan institusi rakyat melalui amalan demokrasi berparlimen. Sistem demokrasi yang diputuskan oleh pimpinan politik Melayu merumuskan untuk tidak mengambil alih kesemua peranan Raja. Kedudukan Raja berdaulat tidak berubah, malah diselaraskan, diinstitusikan secara legal di dalam ‘Perlembagaan Merdeka’. Peranan Raja telah dikanunkan secara perlembagaan dengan menggaris bidang dan pembahagian kuasa. Pendekatan tersebut bukan sahaja meneruskan kesinambungan tamadun dan sejarah, malah turut menyuntik roh – membentuk wajah kepada kerangka negara, meletakkan identiti, terutamanya, lambang mengekalkan warisan sejarah kerajaan Melayu di bumi ini. Sistem demokrasi yang menjadi pilihan, mengujudkan mekanisme semak dan imbang, bertujuan untuk menjamin kestabilan negara yang lebih utuh lagi diyakini.
17. Pengekalan Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa. Kehadiran Raja sebenarnya sangat membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan institusi-institusi lain ciptaan demokrasi. Raja memenuhi satu keperluan perlembagaan secara simbolik – secara fungsi. Selaku ketua negara – Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan, teras perpaduan – payung penyatuan; lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi, berakarkan doktrin pengasingan kuasa.
18. Institusi Raja telah melalui proses evolusi secara dinamik, dibina semula dan mentafsir semula kewujudannya sejajar dengan perkembangan semasa. Penghayatan akan semangat Raja berperlembagaan amatlah penting. Amatlah perlu bagi Raja untuk memenuhi amanah dan memenuhi harapan tersebut berlandaskan semangat perlembagaan, mengisi ruang-ruang yang dipertanggungjawabkan, menurut yang diperuntukkan oleh undang-undang. Raja hendaklah arif memenuhi peranan supaya kata dan laku, tidak disalah lihat dan tidak disalah tafsir sebagai bercanggah dengan semangat demokrasi. Raja perlu mengamalkan kebijaksanaan, bersifat tidak memihak – tidak partisan – tidak berkepentingan, demi menjamin keadilan kekal berlaku di dalam negara dan di kalangan warga. Dalam memenuhi tanggung jawab melindung hak orang Melayu, Raja juga perlu mencerminkan pendirian saksama, menjamin penghidupan sejahtera warga berbagai kaum.
19. Ketika negara melangkah masuk tahun kedua belas mencapai kemerdekaan, warga menghadapi ujian getir. Pilihan raya umum tahun 1969, disusuli dengan peristiwa perselisihan kaum di antara orang Melayu dengan bukan Melayu. Peristiwa yang dikenali sebagai 13 Mei itu, merupakan satu ujian kepada perjalanan sebuah negara yang mengamalkan formula perkongsian kuasa politik di antara kaum. Orang Melayu berasa resah apabila kuasa politik Melayu kelihatan tergugat. Institusi Yang Dipertuan Agong berperanan penting menyelamatkan keadaan. Dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, institusi parlimen digantung; kuasa pentadbiran negara diserahkan kepada sebuah badan yang dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara. Isu-isu sensitif antara kaum ditegah dari dibincangkan secara terbuka. Perundingan secara tertutup dilakukan dalam usaha merangka pendekatan yang dapat menjamin berlakunya pembangunan lebih seimbang di antara kaum, sebagai prasyarat menjamin kestabilan politik.
20. Bahawa politik negara tidakkan stabil, sekiranya orang Melayu merasakan kedudukan mereka, ibarat anak diriba mati tak makan, ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Pendekatan pembangunan dengan matlamat menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan secara agihan ekonomi yang lebih saksama diperkenalkan melalui Dasar Ekonomi Baru. Dasar tersebut pada tafsiran Raja-Raja Melayu adalah selaras dengan semangat yang terkandung dalam Perkara 153, Perlembagaan Negara, sebagai satu perekayasaan dasar untuk membela nasib Melayu. Apabila Parlimen dipulihkan dalam tahun 1971, ‘Rukun Negara’ diperkenalkan sebagai piagam pegangan warga. ‘Kesetiaan kepada Raja’ merupakan salah satu komponen dalam piagam ‘Rukun Negara’.
21. Nyatalah dalam urutan sejarah negara, institusi Raja melalui proses evolusi yang dinamik berhubung peranannya. Amatlah penting bagi Raja memenuhi peranannya bersandarkan semangat yang termaktub di dalam perlembagaan, peka terhadap pengharapan yang diletakkan oleh rakyat, arif mentafsir dinamik yang sedang dan terus berlaku. Raja perlu melengkapkan diri untuk memenuhi peranan dan tanggung jawab yang telah diperuntukkan. Raja harus mempunyai kedudukan yang kukuh untuk membolehkannya berpendirian tegas – bersikap berani, adil lagi saksama. Dalam memenuhi peranan berasaskan nasihat, Raja sama sekali tidak harus merasakan tekanan dan tidak semestinya memberikan perkenan, jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan semangat perlembagaan dan bertentangan dengan undang-undang. Raja sama sekali tidak boleh memihak kepada perbuatan dan tindakan yang tidak mencerminkan keadilan.
22. Sebagai lambang perpaduan negara, Raja perlu berada di atas politik kepartian. Kerana itu, setelah UMNO ditubuhkan dan setelah negara mencapai kemerdekaan, Raja melangkah ke belakang, tidak lagi kelihatan terlibat secara zahir dan tidak lagi berangkat hadir dalam kegiatan-kegiatan yang dianjurkan atas nama parti politik. Berada di atas politik menjadi bertambah penting kerana dalam amalan membentuk kerajaan berasaskan pilihan rakyat, banyak kumpulan yang bersaing dalam gelanggang politik. Raja hendaklah berada di luar gelanggang politik dan tidak seharusnya terlibat dalam persaingan tersebut. Raja perlu berada di atas politik kepartian, di atas setiap instrumen kerajaan, di atas pasukan keselamatan dan angkatan pertahanan, di atas cabang perundangan, cabang eksekutif dan cabang kehakiman.
23. Keberkesanan peranan amat bergantung kepada daya usaha yang dirintis oleh Raja. Integriti institusi Raja amat bergantung kepada disiplin yang diamalkan oleh Raja untuk tidak memperlihatkan cacat dan cela. Raja perlu berada di atas segala hierarki, tidak terbendung dengan mana-mana gerakan politik, dengan mana-mana persukuan atau dengan mana-mana kumpulan agama. Apabila Raja, sama ada secara perkataan mahupun perbuatan, membuka ruang, membolehkan berlakunya kritikan dilakukan kepada institusi Raja secara berlebihan, maka orang Melayu akan turut menanggung kesan jangka panjangnya di masa hadapan. Raja Melayu yang tercalar kedudukannya adalah pembuka laluan kepada tercabarnya kedudukan bangsa.
24. Pada umumnya, demokrasi dianggap sebagai sistem kerajaan yang terbaik; tetapi sistem demokrasi semata-mata belum pasti menjamin kesempurnaan. Bahawa di era ini, masih belum wujud sistem kerajaan yang dapat dianggap sempurna sepenuhnya. Demikian juga dengan sistem demokrasi. Dunia menjadi saksi, melihat wajah buruk betapa sistem demokrasi di dunia ini ada kalanya boleh disalahgunakan. Dengan semangat untuk memperelok amalan demokrasi, dalam proses untuk menyempurnakan sistem demokrasi, Institusi Raja berkedudukan untuk mengisi ruang-ruang kosong yang masih terdapat. Raja yang berada di atas politik kepartian perlu dimanfaatkan bagi mengisi ruang yang kosong, sebagai penjamin kepada perlaksanaan undang-undang secara adil, sebagai pengawas memastikan bahawa instrumen kerajaan tidak disalahgunakan, sebagai pelindung terakhir kepada orang Melayu, sebagai pemelihara kesucian Islam, sebagai payung pelindung kepada warga dan negara.
25. Untuk itu institusi Raja kekal relevan. Perubahan yang berlaku hanyalah dari mekanisme dan kaedah memenuhi peranan. Raja mempunyai ruang berperanan secara proaktif. Raja harus menguasai pengetahuan serta mempunyai barisan pakar-pakar dalam bidang-bidang yang relevan. Raja perlu disembah nasihat dengan maklumat yang tepat, secara objektif – secara rasional, berasaskan data – berasaskan fakta, untuk membolehkan Raja berada dalam kedudukan terbaik memenuhi peranan secara arif – secara bijak, secara adil – secara saksama.
26. Peranan dan pengaruh Islam di rantau ini dan di kalangan orang Melayu berkait rapat dengan Raja dan istana, bermula dari era Kesultanan Melayu Melaka. Keputusan Sultan Melaka memeluk Islam menjadi pemangkin kepada berlakunya kegiatan dakwah Islamiah yang hebat. Peringkat demi peringkat, pembesar dan isi istana, membawa kepada penduduk di bandar dan di desa menerima Islam sebagai agama. Islam tidak sekadar menjadi pegangan kepercayaan beragama kepada batang tubuh Raja. Islam mempengaruhi dan mengubah corak pemerintahan, beralih dari pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan undang-undang.
27. Undang-undang Melaka[10] menjelaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan itu dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab. Terkandung di dalam Kanun bahawa seseorang Raja perlu mengamalkan sifat-sifat perkasa lagi tegas, adil lagi saksama, pengampun lagi belas kasihan. Sifat mengampun dan belas kasihan adalah antara sifat yang diutamakan di dalam Islam. Allah itu Maha Pemurah – Maha Mengasihani sifat Nya, seperti yang terkandung dalam kalimah ‘Bismillahi Rahmani Rahim”; diulang sebanyak 114 kali di dalam Al Quran, ditempatkan pada permulaan setiap surah di dalam Al Quran melainkan surah ‘At Taubah’; kalimah ‘Bismillahi Rahmani Rahim, diulang dua kali dalam surah ‘An-Namli’ Hukum syarak, hukum kanun, undang-undang laut Melaka, adat, resam dan fahaman, yang dijadikan sandaran melakukan pemerintahan, saling lengkap melengkapi. Raja berperanan sebagai penaung kepada sistem pemerintahan yang berpaksikan undang-undang.
28. Islam juga telah membawa Raja Melayu kepada dua konsep murni, adil dan muafakat. Konsep adil dapat dibuat tafsiran lanjutan kepada perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan ‘magna carta’ orang Melayu. Konsep keadilan politik Melayu dibayangkan oleh kata-kata ‘Raja adil Raja disembah – Raja zalim Raja disanggah’. Konsep taat setia rakyat kepada Raja tidak bererti bahawa Raja boleh melakukan apa sahaja menurut sesuka hati. Konsep muafakat menekankan kepada semangat bermesyuarah.
29. Istana terlibat secara langsung dalam mengembangkan Islam dan menempatkannya sebagai agama resmi negara. Ajaran Islam begitu sebati dengan Institusi Kesultanan Melayu kerana terkandung perselarian nilai dan amal antara yang dianjurkan oleh Islam dalam sistem pemerintahan kesultanan Melayu. Sejarah tentang peranan dan hubungan Raja dengan Islam, memberikan kelebihan yang memihak kepada Raja dalam urusan Islam. Peranan Raja sebagai ketua agama tetap kekal. Raja telah berjaya membawa penyatuan, menyeru kepada kebaikan, meluaskan penerimaan. Peranan Raja Melayu sebagai payung agama dapat dilihat melalui usaha menegak, menyebar, menyubur dan mempertahankan Islam.
30. Islam menyeru kepada penyatuan – kepada perpaduan. Islam itu adalah persaudaraan. Perkataan dan perbuatan atas nama Islam hendaklah memperlihatkan persaudaraan, hendaklah bermatlamatkan penyatuan dan hendaklah membawa perpaduan. Persaudaraan, penyatuan dan perpaduan adalah komponen-komponen penting, menjamin warga hidup dalam aman dan muafakat, makmur lagi sejahtera. Penggunaan Islam dalam apa jua bentuk yang tidak menghasilkan persaudaraan, penyatuan dan perpaduan amatlah bercanggah dengan semangat Islam itu sendiri.
31. Dalam memenuhi tanggung jawab yang diamanahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, ke atas bahu Beta sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Beta berpegang teguh bahawa kegiatan-kegiatan atas nama Islam hendaklah dikawal kesuciannya – hendaklah dipertahankan kemurniannya. Kesucian Islam tidak harus dicemari – kemurnian Islam tidak harus dinodai oleh sebarang muslihat dan agenda terselindung bertopengkan Islam. Untuk itu amatlah penting bagi anggota Majlis Agama Islam Perak, demikian juga para pegawai dan kakitangan Majlis, berada di atas sebarang pengaruh politik dan pengaruh kumpulan. Jabatan dan pejabat agama Islam hendaklah membina integriti hingga diterima dengan keyakinan tinggi sebagai tempat yang dapat melakukan timbang tara secara adil kepada mana-mana pihak yang bertelagah dan kepada apa-apa konflik yang berlaku di kalangan umat Islam.
32. Masjid dan surau hendaklah menjadi tempat perhimpunan untuk seluruh umat Islam memperlihatkan semangat persaudaraan yang tinggi, menjalin hubungan silaturahim, menaut persahabatan – mengukuh perpaduan. Masjid dan surau adalah pusat kemasyarakatan – tempat pertemuan membina tamadun dan menjayakan ummah. Sekolah-sekolah agama dan institusi latihan Islam adalah tempat untuk mengasuh anak-anak muda Islam, tempat menyemaikan benih kemanusiaan, saling kasih mengasihi antara satu sama lain, tapak pertumbuhan ukhuwah Islamiah – lalu dibangunkan menjadi insan berilmu; teguh iman – bijak akal.
33. Dalam hasrat menjamin kestabilan negara dan dalam usaha memupuk hidup rakyat yang sejahtera, amatlah penting bagi generasi muda dan generasi muka memahami salasilah dan falsafah sesebuah institusi di dalam negara. Kejayaan masa lampau perlu dijadikan gagasan membina masa hadapan yang lebih gemilang. Institusi yang telah membina tamadun bangsa di masa lalu hendaklah dipelihara secara bersama. Iklim politik yang sihat pada masa hadapan amat bergantung kepada harga dan nilai yang diletakkan kepada sejarah bangsa di masa lalu. Memahami yang terdahulu, berusaha ke arah memperbaikinya, lalu diamanahkan pula kepada generasi di hari muka, harus dilakukan demi menjamin kesinambungan dan penerusan identiti bangsa.
34. Minda generasi muda jangan sekali-kali diracun. Institusi Raja ada kalanya dimomokkan dengan istilah feudalisme. Istilah sedemikian adalah istilah yang dipelopori oleh mereka yang terpengaruh dengan fahaman kiri; dari kalangan mereka yang kurang arif mendalami sejarah; dari kalangan mereka yang gagal membezakan sinar intan dari cahaya kaca. Feudalisme bukan perlakuan yang dilakukan oleh institusi. Feudalisme berlaku kerana perlakuan individu, hingga manusia takjub dan taksub kepada individu; berlaku pendewaan terhadap individu, dan manusia berasa takut yang melampau kepada individu. Dalam niat mahu menggembirakan individu yang didewakan, manusia sanggup mengorbankan prinsip, berpura-pura, berkata putih pada yang hitam, berkata hitam pada yang putih. Dalam mengemis kasih – dalam menagih belas dari individu, manusia sanggup membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar. Budaya feudalisme pernah berlaku dalam istana – pernah berlaku dalam institusi Raja, tetapi budaya feudalisme tidak terbatas berlaku dalam istana dan dalam institusi Raja semata-mata. Budaya feudalisme turut berlaku dalam sistem demokrasi, dalam sistem komunisme, dalam sistem republik, dalam sistem pemerintahan berpaksikan tentera, malah dalam kegiatan-kegiatan berlandaskan agama.
35. Untuk itu bangsa perlu bijaksana. Akal biar jauh – fikiran biar panjang. Jangan seluruh ladang dimusnahkan kerana sebatang pokok yang ada penyakit. Atas fahaman tersebutlah, Hang Tuah terpaksa melakukan pilihan paling getir. Hang Tuah tidak berhasrat membunuh sahabat tersayangnya Hang Jebat; yang dibunuh adalah penderhakaan dan perebutan kuasa. Hang Tuah bukan mempertahankan Raja, tetapi mempertahankan kerajaan. Tanpa kerajaan apalah ertinya sebuah negara.[11]
36. Untuk itu amatlah penting faktor sejarah dikenali secara mendalam – dihalusi secara teliti; difahami – dihayati. Jangan terlalu ghairah mendengar guruh di langit hingga air tempayan dicurahkan. Takut nanti yang dikendong keciciran – yang dikejar entah di mana. Ketika mendapat teduh di bawah pohon rendang, janganlah perdu mahu ditebang.
37. Beta menghargai usaha yang dilaksanakan oleh Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak bersama Kerajaan Negeri Perak menganjurkan Simposium bertemakan ‘Raja Bertakhta – Rakyat Bahagia’ ini. Usaha seperti ini, amatlah relevan untuk meningkatkan kefahaman yang lebih dalam dan kerjasama yang lebih erat di antara rakyat dan Raja, di antara istana dengan kerajaan. Demi masa hadapan negara yang lebih gemilang, demi kestabilan dan keharmonian, ikatan Raja dan rakyat biarlah terikat kuat, bagaikan rambut disimpul mati.
Semoga Raja kita selamat bertakhta.
Semoga rakyat hidup bahagia.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
****************
- Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail, Zaini Othman, ‘Kenegaraan Malaysia’, Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 2005, ms 26. ↑
- Tun Seri Lanang, ‘Sulalat al-Salatin’, Dikaji dan diperkenalkan oleh Muhammad Haji Salleh, Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1997, ms 151- 152 ↑
- Kumar Ramakrishna, ‘Emergency Propaganda, The Winning of Malaysian Hearts and Minds 1948 – 1958’, Curzon Press, Surrey, 2002, ms 56. ↑
- Ibid ms 93. ↑
- Abdul Aziz Bari, ‘Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan Malaysia’, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, ms 23. ↑
- Mohamed Abid, ‘Imbasan Peristiwa-Peristiwa Sebelum Kemerdekaan’, petikan ucapan Dato Onn Ja’afar, Pelanduk Publications, Subang Jaya, 2003, ms 218. ↑
- Ibid, ms 146 ↑
- Ibid ms 151 ↑
- Ibid. ↑
- Teks Abad ke 14. ↑
- Petikan dari pusi hasil nukilan Zurinah Hassan, ‘Korban Hang Tuan’, 1989. ↑