TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
TIMBALAN YANG DI-PERTUAN AGONG
ISTIADAT MENGUCAP SELAMAT BERANGKAT
TARIKH: 25 OKTOBER 2021/18 RABIUL AWAL 1443 (ISNIN)
JAM: 11.00 PAGI.
TEMPAT: DEWAN SERI BENDAHARA
ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR.
“MENGHAYATI SEMANGAT KELUARGA MALAYSIA”
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan kesejahteraan ke atas Rasul junjungan, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.
2. Dengan penentuan Allah Subhanahu Wata’ala, berpandukan Perkara 33, Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa Sabtu, 11 Safar 1443 bersamaan 18 September 2021, hamba-Mu ini, diamanahkan dengan tanggungjawab untuk menyempurnakan tugas-tugas Kepala Utama Negara bagi Persekutuan.
3. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebaik diamanahkan memimpin negara, memilih pendekatan pimpinan berasaskan konsep kekeluargaan lalu mengetengahkan istilah Keluarga Malaysia. Perkataan ‘keluarga’, mempunyai konotasi saling membantu, saling menghormati, saling berkunjung, saling berinteraksi, saling berhubung, saling berdialog, saling memberi dan saling menerima serta saling bermaaf-maafan dalam suasana mesra dan berkasih sayang; komponen-komponen yang melukiskan keharmonian.
4. Semakin besar saiz keluarga, semakin kompleks cabaran yang dihadapi, kerana bilangan ahli keluarga yang ramai semestinya dikembari dengan suara yang semakin banyak, selera yang semakin rencam dan keperluan yang semakin pelbagai. Keluarga Malaysia ialah keluarga yang besar. Menjadi ketua kepada sebuah keluarga besar memerlukan kesabaran, keupayaan, tumpuan dan kegigihan untuk melaksanakan seadil-adil perimbangan kepada seluruh ahli keluarga secara bijaksana.
5. Orkestra yang besar mengandungi pelbagai instrumen yang memiliki pelbagai bunyi. Lebih besar orkestra, lebih banyak instrumen dihimpunkan. Setiap instrumen memiliki bunyi tersendiri, dengan gaya mengeluarkan bunyi yang berlainan, sama ada secara tiupan, gesekan, petikan, tekanan atau pukulan. Tidak ada instrumen yang dianggap tidak penting, malah setiap instrumen dilihat sebagai aset tambahan yang akan memperkayakan orkestra. Pemimpin orkestra yang hebat menghargai setiap bunyi daripada setiap instrumen, lebih banyak instrumen, lebih banyak bunyinya, lebih hebat pula melodinya jika berjaya diharmonikan. Pemimpin yang bijaksana boleh mengambil pengajaran daripada kejayaan seorang pemimpin orkestra, berupaya menggabungkan instrumen yang pelbagai bunyi dalam simfoni yang harmoni. Amalan yang menghargai setiap insan sebenarnya telah lama ada dalam budaya Melayu, terserlah dalam bidalan yang tidak menyisihkan sesiapa:
Yang pekak pelepas bedil
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh penghuni rumah
Yang kuat pembawa beban
Yang bingung disuruh-suruh
Yang cerdik lawan berunding
Yang bisu penyimpan rahsia
Yang setia pemegang amanah.
.
6. Bermakna konsep keluarga, bukan konsep asing bagi kita. Konsep keluarga telah sedia berakar dan subur meranting dalam budaya bangsa. Konsep keluarga merupakan konsep yang terkandung dalam ajaran Islam, selaras dengan ayat 10, surah Al-Hujurat, bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudara mu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”[1]
7. Firman Allah Subhanahu Wata’ala diperlengkap dengan Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bermaksud:
“Seorang Muslim adalah bersaudara bagi Muslim yang lain, dia tidak boleh menzalimi saudaranya, tidak boleh menipunya, tidak boleh memperdayanya dan tidak boleh meremehkannya. Takwa itu ada di sini (Nabi memberi isyarat pada dadanya tiga kali). Termasuk perbuatan tercela adalah menghina saudaranya yang Muslim. Setiap Muslim atas Muslim yang lain haram darah, harta dan dirinya”[2]
8. Masyarakat Melayu turut mengutamakan ikatan persaudaraan dalam semangat kekeluargaan seperti yang terserlah dalam bidalan Melayu, “Biduk berlalu kiambang bertaut”, “Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga”, “Air dicencang tidakkan putus”.
Semangat kekeluargaan turut membentuk budaya menghargai orang-orang terdahulu yang pernah berjasa, dan budaya tidak bersifat kacang lupakan kulit, berpandukan ungkapan:
Kalau sudah menuai, ingatlah pada beliung;
Kalau nasi sudah ditanak, ingatlah tunggul di ladang;
Kalau gulai sudah terhidang, ingatlah lukah yang berendam.
Kalau makan ikan bakar, ingatlah pemanggang yang hangus.
9. Budaya menghargai pemimpin terdahulu diserlahkan melalui sifat kekeluargaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika bertemu Rasul-rasul terdahulu semasa peristiwa Israk Mikraj; meskipun Baginda berstatus penghulu segala Rasul, Baginda memperlihatkan sifat rendah diri, menghormati pandangan Rasul-rasul terdahulu yang menasihatkan Baginda untuk memohon ihsan Ilahi, mengurangkan kewajipan mendirikan solat daripada lima puluh waktu kepada lima waktu sehari semalam.
10. Kesediaan Rasulullah bermusyawarah dengan para Rasul terdahulu, telah meringankan beban ummah pada hari ini. Bermusyawarah dan bersyura ialah sebahagian daripada amalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, serta sangat dianjurkan oleh Islam; dan merupakan budaya yang lazim diamalkan dalam keluarga untuk mencapai kata sepakat, ketika menguruskan hal ehwal keluarga daripada urusan pra kelahiran, kelahiran, perkahwinan, kematian dan pasca kematian. Bermusyawarah dan bersyura juga merupakan tradisi dan amalan takhta dan kerajaan Raja-raja Melayu, terutama ketika menghadapi situasi yang belum ada duluan. Dalam semangat bermusyawarah dan bersyura itulah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong daripada masa ke masa mempersilakan kehadiran Raja-raja Melayu berangkat ke Istana Negara pada waktu Baginda berhasrat mendapatkan nasihat dan pandangan, apatah lagi jika sesuatu urusan itu boleh menyentuh kuasa Raja Pemerintah di negeri; dengan kesedaran bahawa Yang di-Pertuan Agong itu secara harfiahnya bermaksud ‘Dia Yang Terulung Di Kalangan Kami’ ia itu, ‘primus inter pares’. Baginda bersemayam di takhta Kerajaan Persekutuan, mewakili Raja-Raja Melayu.
11. Dalam hasrat menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia, amatlah penting diberikan keyakinan bahawa setiap warga ada tempat dalam keluarga besar ini; amalkan budaya terbuka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan kelainan pandangan, begitu juga menghargai perbezaan pendekatan dan perbezaan kaedah, agar tercapai nanti secara konsensus pendapat, pandangan, pendekatan dan kaedah terbaik untuk manfaat negara dan warga. Suara yang berbeza sewajarnya diberi ruang untuk boleh diluahkan kerana rintihan hati yang dikurung berpotensi menyalakan bara marah dan mengalirkan lava dendam yang lebih volkano sifatnya.
12. Jadikan iktibar hikmah kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, tanpa perlu menggunakan kekerasan, tetapi melalui contoh teladan yang baik, telah berjaya mengubah pendirian Sayidina Umar ibni Khatab, Khalid ibni Walid dan Abu Sufyan daripada seteru menjadi sahabat, yang sedia berkorban harta dan nyawa berjuang bersama Baginda.
13. Dalam tempoh memenuhi amanah Kepala Utama Negara, selain daripada sesi menghadap sebelum berlangsungnya mesyuarat Jemaah Menteri, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut mengadakan beberapa sesi menghadap, untuk menyembah maklum, berbincang, bertukar pandangan dan memohon panduan juga nasihat mengenai urusan-urusan negara. Sesi menghadap tersebut berlangsung dalam semangat kekeluargaan.
14. Pada detik 12.00 tengah malam nanti, berakhirlah tempoh tanggungjawab yang diamanahkan kepada Beta menjalankan tugas-tugas Ketua Utama Negara. Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kerana dalam kesibukan tugas, masih bersedia meruang masa meraikan Beta untuk mengadakan istiadat selamat berangkat dalam semangat pergi berkhabar – pulang berberita. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala senantiasa melimpahkan nur penyuluh membantu Yang Amat Berhormat melakukan yang makruf, dan mendirikan dinding penghalang daripada dipengaruhi melakukan yang mungkar; semoga Yang Amat Berhormat dikurniakan hidayah dan kekuatan ketika dihempas badai ujian dan disemaikan rasa syukur dan takwa ketika berada di puncak kejayaan. Memandangkan isteri Yang Amat Berhormat ialah rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, intai-intailah kami di negeri Perak, kalau ada kupang yang lebih, hendaknya ada juga bahagian untuk negeri Perak.
15. Sampaikan salam terima kasih kepada ahli-ahli Jemaah Menteri yang telah memberikan perhatian kepada titah-titah yang Beta zahirkan melalui Perdana Menteri. Beberapa orang Menteri telah mengambil tindakan susulan; ada yang menghadap Beta untuk menyembah maklum balas. Beta menzahirkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai kerajaan yang membantu Beta dengan membekalkan maklumat serta menyembah nasihat sebelum Beta memperkenankan sesuatu keputusan, begitu juga kepada para pegawai dan petugas Istana Negara yang telah memudahkan Beta menyempurnakan tugas dalam tempoh masa Beta diamanahkan tanggungjawab Kepala Utama Negara.
16. Semoga hubungan harmoni terus terjalin antara Istana Negara dan Putrajaya dalam semangat saling memahami – saling menghormati.
17. Kepada Allah Subhanahu Wata’ala, hamba-Mu yang kerdil ini mohon keampunan sekiranya hamba Mu ada melakukan kealpaan dan kesilapan ketika menyempurnakan amanah ini; hamba-Mu mohon dilepaskan daripada menghadapi persoalan berat ketika berhadapan dengan Mu Ya Allah di Padang Mahsyar nanti. Ya Allah! Ya Rabul Alamin! Bimbinglah para hamba-Mu yang lemah ini menemui Siratulmustakim.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.