Salam Sejahtera
Maha suci ALLAH yang menguasai segala Kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.[1] Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.[2]
- Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak, bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, pada 10 Mei 2018 telah mempersembahkan kepada Beta keputusan Pilihan Raya Umum keempat belas bagi 59 kerusi Dewan Negeri Perak. Surat tersebut memaklumkan, gabungan empat parti politik, yang bersepakat menggunakan nama PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR) di dalam Pilihan Raya Umum keempat belas, berjaya memenangi 29 kerusi, BARISAN NASIONAL (BN) memenangi 27 kerusi, dan PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) memenangi 3 kerusi.
- Perkara XVI (2) (a), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Bahagian Pertama, mencatatkan,
“Duli Yang Maha Mulia hendaklah mula-mula sekali melantik sebagai Menteri Besar pada mengetuakan Majlis Mesyuarat Kerajaan itu seorang ahli Dewan Negeri yang pada timbangannya boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri itu;”
- Berpandukan PKR memenangi kerusi terbanyak, Beta telah menitahkan Ketua PKR Negeri Perak menghadap Beta, pada 10 Mei 2018, memberikan PKR opsyen pertama, untuk menubuhkan Kerajaan, dan bertanya sama ada PKR menguasai cukup bilangan kerusi untuk membentuk Kerajaan. Beta disembah maklumkan bahawa PKR kekurangan satu kerusi daripada mempunyai majoriti mudah (simple majority). Beta kemudiannya menitahkan Ketua BARISAN NASIONAL Negeri Perak menghadap Beta, bertanyakan sama ada BARISAN NASIONAL memiliki majoriti mudah untuk menubuhkan Kerajaan. Kedua-dua ketua parti, menyembah maklumkan kepada Beta, mereka tidak mempunyai majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan dan meminta tempoh.
- Pada jam 12.00 tengah hari 12 Mei 2018, Ketua PKR Negeri Perak, Encik Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, bersama 30 ahli Dewan Negeri Perak telah menghadap Beta, membuktikan PKR memiliki majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan.
- Berpandukan peruntukan yang terkandung di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Beta memberi perkenan Encik Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu dilantik sebagai Menteri Besar kepada Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
- Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada Encik Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu yang telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Negeri untuk selanjutnya mendapat perkenan Beta, diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar kepada Kerajaan Beta. Beta juga mengucapkan tahniah kepada semua calon daripada semua parti yang telah berjaya mendapat kepercayaan rakyat, dipilih menjadi ahli Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan.
- Setiap seorang calon yang dianugerahkan kejayaan dan mendapat kepercayaan rakyat, mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan amanah yang wajib dipenuhi. Laksanakan tanggungjawab dan penuhi amanah tersebut secara berintegriti selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 27, Surah al-Anfal:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) ALLAH dan Rasul Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepada mu, sedang kamu mengetahui”[3].
- Rakyat telah membuat pilihan dan memberikan amanah baru di setiap kawasan pilihan raya. Hormatilah keputusan rakyat, dan hargailah kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat, dengan mengabadikan diri untuk berkhidmat kepada rakyat.
- Daripada perspektif Islam, politik tidak terbatas kepada urusan pemerintahan, tetapi turut berperanan penting dalam urusan-urusan pendidikan, kerohanian, membangkitkan kesedaran, menyemai kefahaman insan, serta penyebaran nilai dan prinsip.[4] Islam menganjurkan untuk mencapai matlamat-matlamat berkaitan secara aman, secara nasihat yang ikhlas, secara pujukan dan secara kepimpinan melalui teladan.[5] Islam menganjurkan politik yang memandu insan melakukan kebaikan dan menahan diri daripada melakukan keburukan, ia itu, amar makruf – nahi mungkar. Islam menegaskan elemen-elemen integriti, kejujuran dan amanah wajib dijunjung dalam budaya berpolitik dengan keinsafan bahawa pertimbangan kepada segala perbuatan tidak terbatas semasa kehidupan dunia, tetapi akan berlanjutan ke alam barzakh, akan diadili pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar, akan dijadikan penentu untuk menemui jalan ke syurga. Oleh itu, amalkan budaya politik yang selaras dengan nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Islam, semoga mendapat keredaan ILAHI.
- Alhamdulillah, Pilihan Raya yang telah berlangsung, memberi kemenangan kepada setiap warga, yang memperlihatkan kematangan menggunakan hak politik masing-masing, lalu membolehkan proses memilih kerajaan, proses menubuhkan kerajaan dan proses peralihan kuasa dapat dilangsungkan secara aman dan tenteram. Beta menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah memberikan komitmen membolehkan segala proses yang berkaitan dapat berlangsung dengan aman dan tenteram.
- Pilihan Raya telah selesai. Cabaran utama pasca Pilihan Raya adalah untuk kembali menyatukan warga dalam semangat biduk berlalu, kiambang bertaut. Jauhilah daripada sifat yang menang, menang semua; sementara yang kalah, kalah semua. Amalkan sifat yang senantiasa bersedia mendengar suara rakyat dengan minda terbuka, serta bersedia mengaku kesilapan dan bersedia membetulkan kesilapan.
- Semoga Kerajaan Beta yang telah mendapat amanah daripada rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar yang lantikannya telah diperkenankan oleh Beta, akan berusaha membangunkan Negeri Perak Darul Ridzuan sebagai sebuah negeri yang sejahtera dan mendapat keampunan ILAHI seperti mana digambarkan dalam ayat 15 Surah Saba’ yang bermaksud;
“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan ILAHI) yang terdapat di tempat tinggal mereka; ia itu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Lalu dikatakan kepada mereka): ‘Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada Nya. (Negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun”.
- YA ALLAH, YANG MAHA BESAR LAGI MAHA MENGETAHUI, kepada Mu jua kami berserah dan memohon keredaan.
[1] Al-Quran, Surah Al-Mulk (67:1)
[2] Al-Quran, Surah Ali Imran (3:26)
[3] Al-Quran, Surah Al-Anfaal (8:27)
[4] Mohamed Azam Mohamed Adil, “Political Lessons From Prophet Muhammad”, New Straits Times, 27.4.2018, pg 16.
[5] Ibid.