Titah Perutusan Aidilfitri Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

ALLAHU AKBAR!   ALLAHU AKBAR!   ALLAHU AKBAR!

ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.

 

Alhamdulillah, umat Islam di negara ini, dapat menyempurnakan ibadah puasa dalam suasana aman dan damai; menikmati pelbagai juadah berbuka dan bersahur, bersama keluarga di rumah, atau bersama ahli-ahli kariah di surau dan di masjid.  Insaflah! akan nasib malang lebih enam puluh juta umat Islam, yang kini sedang berada di khemah-khemah pelarian di serata dunia, tanpa tempat berteduh yang sempurna, tanpa juadah berbuka dan bersahur semewah kita.

 

  1. Setelah menempuh dugaan berpuasa, semoga kita ditingkatkan keinsafan akan besarnya nikmat ILAHI yang dianugerahkan kepada kita, berbanding penderitaan yang dialami oleh begitu ramai insan di dunia, hidup dalam kelaparan – dalam kehausan, kerana kesukaran mendapat makanan dan minuman.

 

  1. Islam mensyariatkan ummah menyambut Aidilfitri; Kalimat fitri bermaksud fitrah, ia itu kejayaan manusia kembali kepada fitrah yang asal; dilahirkan bersih daripada dosa dan noda; lalu ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA menganugerahkan satu hari istimewa yang dilimpahkan keriangan.

 

  1. Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassalam menyeru, agar Aidilfitri dijadikan hari untuk bekerjasama, hari untuk mengeratkan perpaduan ummah. Baginda mengisytiharkan Aidilfitri sebagai hari kedamaian – hari kegembiraan – hari keriangan.  Sambutlah Aidilfitri dalam suasana gembira yang dapat mengeratkan silaturahim sesama anggota keluarga dan sanak saudara; sambutlah Aidilfitri dalam suasana riang yang dapat  meningkatkan semangat perpaduan sesama insan.

 

  1. Pamerkan sifat terbuka – sifat persahabatan – sifat perdamaian yang dianjurkan oleh Islam dengan membuka pintu rumah, menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai agama dan pelbagai kaum, agar terpupuk semangat persaudaraan, rasa kasih sayang dan budaya saling menghormati sesama insan. Pancarkan sifat persaudaraan dan sifat kemanusiaan bersama fajar Aidilfitri.

 

  1. Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, insaflah! di sekeliling kita terdapat golongan yang berada dalam kemiskinan; berkongsilah kemewahan rezeki yang ALLAH limpahkan kepada kita dengan membanyakkan amalan sedekah. Dalam keriangan kita menyambut Aidilfitri, sama-sama kita hargai pengorbanan oleh pelbagai pihak  menyediakan pelbagai perkhidmatan, untuk membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah; anggota Pasukan Keselamatan, Polis dan Angkatan Tentera, anggota Bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam; kakitangan hospital, sektor pengangkutan dan sektor perkhidmatan, begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen.  Kepada mereka dan anggota keluarga mereka, Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan.  Semoga pengorbanan mereka diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala, sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa berada di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika berada di alam barzakh, dan diberatkan timbangan amal ketika berada di Padang Mahsyar.

 

  1. Semoga rakyat Beta menyambut Aidilfitri dalam semangat bersyukur ke hadrat ILAHI. Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, menurut yang diriwayatkan oleh Tabrani, Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam telah bersabda yang bermaksud:

 

“Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir”

 

Perbanyakan bertakbir dan bertahmid tanda kesyukuran kepada ALLAH YANG MAHA BESAR.

 

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

ALLAHU AKBAR!  ALLAHU AKBAR!  ALLAHU AKBAR!

ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.

 

In the News:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/06/438017/jadikan-aidilfitri-mengeratkan-perpaduan-ummah-sultan-nazrin

https://www.thestar.com.my/news/nation/2017/06/24/aidilfitri-serves-to-respect-cultural-diversity-sultan-nazrin/

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sambut-aidilfitri-dengan-sifat-terbuka-sultan-nazrin-178191

%d bloggers like this: