Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji diangkat ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan Pemerintah semesta alam – lalu menetapkan dari kalangan makhluk Nya untuk diamanahkan menjadi khalifah. Hamba-Mu berdiri dengan kerendahan sifat – kelemahan kudrat, dengan hati yang bening – ingatan yang hening, melafazkan seikhlas tutur dari denyut nadi – menzahirkan setulus kalam dari pancaran hati, kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya, atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya Allah, melanjutkan usia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, lalu memungkinkan dapat dilangsungkan, istiadat menyambut ulang tahun keputeraan Baginda, kali ke tujuh puluh sembilan.
2. Selawat kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian; demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk yang mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu WaTa’ala sehingga ke hari kebangkitan.
Ya Rafi’udd Darajat
Daulat Tuanku Syah Alam.
3. Dengan segala kekurangan serta ketidaksempurnaan diri – anakanda merafak sembah, menghadap Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Di Pertuan dan Raja Pemerintah yang bersemayam dengan penuh daulat dan darjat, kebesaran dan kemuliaan di atas singgahsana Takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Dengan segala rasa kasih – rasa sayang, anakanda merafakkan sembah menghadap Paduka Bonda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.
4. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Karim, hamba Mu memohon ihsan dari kemuliaan nama-nama Mu, dari kebesaran Asmaul Husna, semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa berada dalam perlindungan Mu, bersemayam di takhta kerajaan dalam keafiatan, berupaya menyempurnakan pemerintahan secara adil lagi saksama, arif lagi bijaksana, memenuhi amanah sebagai Amirulmukminin; memimpin negeri – menaungi warga, berpandukan petunjuk dari Mu jua, bersandarkan ajaran yang dibawa oleh Rasul Junjungan Mu. Semoga dengan rahmat Mu juga Ya Allah, negeri dan warga di bawah naungan pemerintahan Paduka Seri Ayahanda, menikmati kesejahteraan – menikmati kemakmuran; sejahtera lagi sentosa. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa dikasihi rakyat dan turut pula melimpahkan kasih dan sayang kepada rakyat jelata. Amin, Ya Rabul Alamin.
Ampun Tuanku
5. Di istiadat ini, Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar taat setia, sedia menjunjung titah – melaksanakan perintah Paduka Seri Ayahanda, bersandarkan hukum – berlandaskan adat. Anakanda bersama Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, semua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, berazam memelihara kemuliaan pemerintahan Paduka Seri Ayahanda, dan pada setiap masa memastikan bahawa tradisi negeri bersultan – rakyat beraja terus mendapat penerimaan dan penghormatan rakyat. Sistem negeri bersultan – rakyat beraja telah diwarisi turun temurun; bahawa Raja yang adil lagi saksama adalah payung tempat rakyat dapat bernaung; bahawa Raja yang arif lagi bijaksana adalah sumber inspirasi untuk kemakmuran dan kesejahteraan negeri.
6. Selama tempoh 23 tahun bersemayam di takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Paduka Seri Ayahanda berjaya meletakkan mercu tanda akan peranan seorang Sultan dalam sistem kerajaan berasaskan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Bahawa Raja Berperlembagaan itu bukannya satu simbol yang kaku. Paduka Seri Ayahanda dengan hikmah dan bijaksana telah membentuk jiwa dan menyuntik roh akan sifat dan rupa, peranan dan tanggung jawab Raja Berperlembagaan; memberikan tafsiran akan peranan Raja sebagai pengimbang tara, untuk memastikan keadilan dan kedamaian adalah terjamin. Paduka Seri Ayahanda berjaya memberikan keselesaan kepada setiap warga yang merasakan bahawa mereka akan mendapat perlindungan yang adil lagi saksama. Sesungguhnya dari sejarah Kesultanan Melayu Melaka, Raja Melayu itu telah melihatkan sifat adil lagi saksama kepada rakyat jelata dan dagang senteri yang pelbagai agama – pelbagai bangsa, hingga membolehkan Melaka di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu menjadi kota metropolitan, tempat pertemuan pedagang timur dan barat, serta kota yang menjodohkan budaya timur – budaya barat.
7. Sepanjang perjalanan tujuh puluh sembilan tahun usia, Paduka Seri Ayahanda telah melalui pelbagai tahap evolusi negara ini, melalui proses transformasi dari sebuah tanah jajahan kepada sebuah negara merdeka. Generasi seangkatan Paduka Seri Ayahanda telah berjaya merumuskan formula kemerdekaan secara bijak hingga Kerajaan British tidak mempunyai alasan untuk menolak mahupun melengah-lengahkan kemerdekaan negara.
8. Anakanda diputerakan setahun sebelum negara merdeka. Anakanda dan generasi seangkatan anakanda, merupakan generasi yang didewasakan dalam persekitaran negara merdeka. Anakanda dan generasi anakanda melalui proses pendidikan, pekerjaan dan kedewasaan dalam suasana warga yang berpijak di bumi merdeka, menyedut udara di negara merdeka, berpanas dengan sinaran matahari di negara merdeka, dibasahi hujan dari awan di negara merdeka. Anakanda dewasa di negara merdeka yang warganya menganuti pelbagai agama, berlatar belakangkan pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa. Namun anakanda dididik dan diasuh, baik oleh Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda, begitu juga institusi sekolah dan institusi masyarakat akan nilai-nilai murni kemanusiaan sejagat, akan pentingnya menjalin silaturahim sesama insan, akan kebaikan membina jambatan persaudaraan dan ikatan persahabatan sesama insan. Fikiran anakanda tidak pernah dicemari dan emosi anakanda tidak pernah diracuni untuk mempunyai prasangka negatif kepada insan lain, hanya kerana mereka berlainan agama atau berlainan kaum. Begitulah sifat dan amalan barisan pimpinan dari kalangan generasi seangkatan dengan Paduka Seri Ayahanda; sama ada mereka pemimpin agama – pemimpin kaum, pemimpin politik – pemimpin masyarakat, pemimpin agensi – pemimpin institusi.
9. Negara yang telah dibina dengan falsafah kenegaraan yang begitu baik, sedang berada diambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali kelima puluh. Bahawa negara yang melangkah masuk ke usia lima puluh tahun merdeka, kini sedang di uji dengan perkembangan yang boleh mengancam perpaduan warga. Kalimah-kalimah ekstrem atas nama agama dan suara-suara rasialis atas nama kaum mula digemakan. Pada hemat anakanda, kalimah dan suara sedemikian, laksana bara yang mula menyalakan puntung, menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung, akan menyemarakkan api keagamaan – api perkauman yang boleh memusnahkan negara.
10. Di banyak negara, pertentangan ideologi, perselisihan kaum – konflik mazhab dan pertikaian agama telah mencetuskan peperangan saudara yang berpanjangan, telah menjadi sebab menghalalkan campur tangan kuasa asing dalam urusan sesebuah negara, hingga kedaulatan kemerdekaan sudah tidak dapat dipertahankan lagi.
11. Betapa Vietnam yang mengalami kesengsaraan pada tahun-tahun enam puluhan ke tujuh puluhan kerana perang, kini sedang memuncak pembangunannya, merupakan negara pilihan para pelabur di rantau ini, berbanding dengan penderitaan yang sedang ditanggung oleh warga Iraq; akibat kehadiran kuasa asing, perselisihan mazhab, konflik kaum, serta ketidakstabilan politik. Letupan bom, dentuman peluru, pembunuhan dan penderitaan kini menjadi fenomena harian di Iraq, sebuah negara yang kaya dengan sumber bumi, sejarah peradaban dan khazanah tamadun.
12. Ketika anak-anak di bumi Vietnam kini riang menikmati pelajaran di bilik darjah, anak-anak di Iraq menghadapi risiko letupan bom dan dentuman peluru setiap hari. Penderitaan yang pernah dilalui oleh anak-anak di Vietnam dan kini di Iraq, barang dijauhi Allah dari berlaku kepada anak-anak di negara ini. Oleh itu tanggung jawab memelihara keamanan adalah satu kewajipan yang tidak boleh diringankan. Negara tidak boleh berkompromi atau melengah-lengahkan tindakan menangani perkara-perkara yang boleh mencetuskan konflik yang boleh menjejaskan keamanan.
13. Atas kesedaran tersebutlah, dengan perkenan Paduka Seri Ayahanda, anakanda secara aktif melibatkan diri dengan dialog di pelbagai forum baik di dalam mahupun di luar negara untuk memperingatkan warga di negara ini dan warga di serata dunia, akan bahaya mengupas isu agama dan isu kaum secara sempit dan secara sensasi.
14. Sesungguhnya bumi ini akan menjadi lebih subur dan negara ini akan bertambah sejahtera, dengan terjalinnya hubungan harmonis di kalangan warga yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Bahawa negara Malaysia akan menjadi taman yang indah kerana diperkaya dengan pohon-pohon yang pelbagai rupa, tumbuh-tumbuhan yang beraneka bentuk, bunga-bunga yang pelbagai warna – kembang-kembang yang pelbagai keharuman, tiap satunya secara harmonis saling melengkapi. Dengan khazanah pengalaman Paduka Seri Ayahanda, Anakanda pohonkan kebijaksanaan dan kearifan Paduka Seri Ayahanda memberikan kompas panduan supaya bahtera negara merdeka ini tidak terpesong haluannya untuk sampai ke pangkalan kesejahteraan. Bahawa warga seangkatan dan selepas generasi anakanda, tanpa mengira agama dan kaum, diberikan jaminan perlindungan yang adil lagi saksama oleh kerajaan di bawah naungan Paduka Seri Ayahanda.
Ampun Tuanku
15. Ya Allah, Ya Malik, Ya Jabar, Ya Latif, Hamba Mu sekali lagi memanjatkan doa, agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun berada dalam kerukunan, dikurniakan keafiatan, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah. Semoga di bawah naungan pemerintahan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, rakyat berbilang kaum – berbilang agama, berbilang budaya – berbilang bahasa, kukuh bersatu – cekal berpadu, hidup dalam harmonis – saling menghormati antara satu sama lain. Semoga negeri Perak Darul Ridzuan mencapai kesejahteraan dan kemakmuran serta dilindungi dari mala petaka dan sebarang bencana. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa mendapat lindungan ILAHI, bersemayam di atas takhta singgahsana dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.
Wabillahitaufik, walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Termaktub di Istana Iskandariah
Kuala Kangsar.
19. 4. 2007