Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke bahagian keempat Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya bagi tahun 2007.
3. Seramai 6,655 graduan telah memenuhi kriteria untuk dianugerahkan ijazah dan diploma dalam konvokesyen tahun 2007. Dari jumlah tersebut, 1,524 graduan dianugerahkan ijazah tinggi, sementara 5,131 graduan dianugerahkan ijazah pertama dan diploma. Pada petang ini seramai 619 graduan dari Fakulti Kejuruteraan akan menerima ijazah Sarjana Muda masing-masing.
4. Jumlah graduan akan terus meningkat dari tahun ke tahun kerana masyarakat kini semakin sedar tentang pentingnya meningkatkan penguasaan ilmu dan kepakaran. Perkembangan positif ini memerlukan Institut Pengajian Tinggi mempunyai kapasiti menyediakan ruang pengajian yang dapat menampung permintaan yang semakin bertambah. Universiti Malaya kini terus mempelbagaikan program pengajian dalam pelbagai bidang. Yang lebih penting, program pengajian yang disediakan perlu relevan dengan perkembangan semasa dan keperluan masa hadapan.
5. Universiti Malaya telah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan. Sebagai universiti penyelidikan, Universiti Malaya diperuntukkan geran sebanyak 128 juta ringgit setahun untuk tempoh tiga tahun bagi melaksanakan aktiviti penyelidikan. Jumlah ini berupaya membiayai penyelidikan dalam pelbagai bidang. Geran ini wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bagi melahirkan penyelidik dan melahirkan hasil penyelidikan yang dapat memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan negara.
6. Dalam usaha mempertingkatkan fungsi sebuah universiti berteraskan penyelidikan, beberapa strategi telah dan sedang dilakukan. Lebih banyak pusat penyelidikan dalam bidang teknologi baru telah diwujudkan; kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan pihak industri telah ditingkatkan; usaha penyelidikan asas bagi meningkatkan pengetahuan dan aplikasi teknologi sedang diteruskan; lebih banyak harta intelek yang dipatenkan telah dihasilkan dan lebih ramai felo pasca doktoral telah dilantik. Langkah-langkah tersebut berperanan menyemarakkan aktiviti penyelidikan dan berjaya menghasilkan pelbagai penemuan yang bermanfaat.
7. Kini negara sudah lima puluh tahun merdeka. Ini bermakna, sudah lima puluh tahun dasar dan sistem pendidikan negara direncanakan oleh warga kita sendiri. Telah banyak kaedah dilaksanakan oleh kerajaan demi memastikan lebih ramai warga berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Peluang warga untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi dan di peringkat lanjutan semakin terbuka; program pengajian pasca siswazah terus bertambah dan semakin pelbagai.
8. Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan pada 27 Ogos lalu mengandungi cadangan penubuhan Universiti Apex. Universiti Apex akan diberikan lebih kebebasan dalam tadbir urus universiti, termasuk dari segi pengambilan lebih ramai pensyarah dan pelajar asing. Universiti Malaya hendaklah berusaha dan menjadikan sasaran supaya ia akan menjadi antara universiti yang pertama terpilih mencapai taraf Universiti Apex.
9. Beta mengucapkan tahniah kepada semua graduan kerana berjaya memperoleh ijazah masing-masing. Sikap dan semangat untuk menguasai ilmu di peringkat yang lebih tinggi hendaklah diteruskan. Dunia hari ini bergerak dengan begitu pantas dan memerlukan penyegaran ilmu sepanjang masa. Oleh itu, langkah para graduan menyambung perjalanan mencari ilmu sehingga tahap yang setinggi-tingginya amatlah bertepatan. Gunakanlah ilmu yang diperoleh sebaik-baiknya demi agama, negara, dan bangsa. Sesungguhnya ilmu adalah anugerah daripada Allah Subhanahu Wata’ala untuk dimanfaatkan dengan cara yang diredai-Nya. Sebagai khalifah di muka bumi, martabat insan adalah yang tertinggi antara sekalian makhluk, dan hendaklah martabat ini dipelihara dengan sebaik-baiknya agar manusia kekal berada pada kedudukan yang mulia lagi dihormati.
10. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan rahmat dan memberikan petunjuk dan perlindunganNya. Amin Ya Rabul Alamin.
Wabillahi Taufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*****************