Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris Kali Ke Tujuh Belas Sidang Pertama – Sesi Pertama

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan sekalian alam yang menyeru manusia untuk membaca dengan menyebut nama Tuhan yang menciptakan manusia daripada segumpal darah dan mengajar manusia dengan perantaraan kalam; Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui oleh manusia.[1] Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda begitu juga kepada para tabiin dan para ulama, semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

  1. Konvokesyen UPSI kali ketujuh belas akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada dua belas ribu tiga ratus dua puluh lima (12,325) orang graduan. Tujuh ribu satu ratus dua puluh tiga (7,123) orang graduan akan menerima ijazah dan diploma dalam sidang pertama sementara lima ribu dua ratus dua (5,202) orang graduan akan menerima ijazah dan diploma dalam sidang kedua yang akan diadakan pada 24 hingga 26 November 2015.
  2. Daripada jumlah tujuh ribu satu ratus dua puluh tiga (7,123) orang graduan yang akan dianugerahkan ijazah pada sidang pertama ini, seramai lima ribu enam ratus lapan puluh dua (5,682) orang graduan adalah guru-guru di bawah Program Pensiswazahan Guru yang julung kalinya akan menerima ijazah masing-masing setelah berjaya mengikuti pengajian secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ); manakala sembilan ratus tujuh puluh sembilan (979) orang graduan daripada program kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan Universiti Sains Malaysia (UPSI-USM) dan empat ratus enam puluh dua (462) orang graduan daripada program kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan Kirkby International College (UPSI-KIC). Sesi pagi ini akan menyaksikan lapan ratus (800) orang graduan Program Pensiswazahan Guru – Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) menerima ijazah sarjana muda.
  3. Kejayaan memperoleh ijazah adalah hasil daripada semangat kesungguhan dan komitmen para guru untuk meneruskan usaha melakukan penerokaan ke alam ilmu pengetahuan yang lebih luas walaupun masing-masing sedang menjalankan tugas dan tanggung jawab harian di sekolah. Semangat yang ditunjukkan ini telah memenuhi hasrat negara untuk menyemai di kalangan warga, budaya pembelajaran berterusan dan pengajian sepanjang hayat.
  4. UPSI telah berjaya memenuhi peranan penubuhannya menghasilkan graduan pendidikan dalam pelbagai disiplin ilmu untuk memenuhi keperluan negara. UPSI kini sedang giat berusaha untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam bidang pendidikan dan latihan perguruan tinggi. Usaha-usaha kini sedang giat dirintis untuk meningkatkan bilangan kemasukan pelajar antarabangsa. Dalam usaha meningkatkan imej dan reputasi di persada antarabangsa, UPSI tidak mungkin dapat melakukannya secara sendirian. UPSI sedang meningkatkan jaringan kerjasama (networking) dengan universiti-universiti di luar negara melalui pemasaran program pengajian, penghasilan penyelidikan berkualiti serta penulisan dan penerbitan jurnal berimpak tinggi. UPSI juga sedang menggerakkan pelbagai usaha meneroka bidang-bidang baru yang relevan dengan perkembangan semasa, antaranya memperluaskan dimensi pendidikan itu sendiri dengan mempelopori bidang-bidang yang berpotensi seperti pendidikan pondok moden dan pendidikan warisan.
  5. Di samping semangat kesungguhan dan ketekunan para graduan, kejayaan ini adalah kejayaan yang turut memberikan keriangan kepada pelbagai pihak; kejayaan ini juga dihasilkan melalui peranan dan usaha secara kolektif oleh pelbagai pihak, merangkumi tenaga pengajar, kaum keluarga yang senantiasa memberikan sokongan moral dan material, dasar pendidikan negara serta infrastruktur pendidikan yang disediakan oleh negara. Para graduan wajib mencerminkan rasa kesyukuran dengan mengamalkan budaya berterima kasih kepada semua pihak yang telah membolehkan kejayaan ini dicapai.
  6. Beta mengucapkan tahniah kepada para graduan dan kepada keluarga para graduan. Beta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah secara kolektif memenuhi amanah menyempurnakan tanggungjawab untuk menghasilkan para graduan terutamanya ibu bapa dan anggota keluarga, pengurusan universiti, tenaga pengajar, staf sokongan dan semua pihak yang telah memberi sumbangan yang membolehkan saudara saudari berjaya menerima ijazah pada hari ini. Semoga segala usaha murni yang telah dilaksanakan akan diberkati serta dirahmati oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

  1. Al-Quran, Al ‘Alaq (96:1-5)
%d bloggers like this: