Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Ya Bashiir! Ya Sami’iI! Ya Syahiid! Ya Mujiib! Engkau jua Yang Maha Melihat, Yang Maha Mendengar, Yang Maha Menyaksikan, Yang Maha Mengabulkan akan perjalanan hamba-Mu ini sepanjang Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV; bermula dari istiadat meletak kerja pada 14 Rejab 1436 (3 Mei 2015) sehinggalah istiadat menutup kerja pada hari ini, 28 Rejab 1436 (17 Mei 2015).
2. Dalam tempoh Istiadat Pertabalan ini, hamba-Mu berpeluang menziarahi makam-makam, bermula dengan Makam Tok Temong pada pagi Jumaat 19 Rejab (8 Mei) dan berakhir dengan Makam Marhum Durian Sebatang, Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah 1, Sultan Perak kedua puluh dua pada 24 Rejab (13 Mei). Dengan izin daripada Mu jua Ya Allah, hamba-Mu ini telah berpeluang menziarahi 44 makam kesemuanya; di samping makam Sultan terdahulu, hamba-Mu turut menziarahi makam-makam Raja Muda, Raja Dihilir, Raja Bendahara, Raja Bergelar dan pembesar tertentu yang tercatat dalam sejarah mempunyai peranan penting dengan institusi Kesultanan Perak; dan selepas menjejakkan kaki di Beting Beras Basah pada pagi 25 Rejab (14 Mei), dalam perjalanan ke Istana Iskandariah, hamba-Mu turut menziarahi makam Paduka Nenda Toh Puan Khatijah dan makam Paduka Ayahanda Raja Baharom Shah di Batu Gajah.
3. Diriwayatkan oleh Al-Tirmidhi akan sabda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam,
“Ziarahlah kubur, kerana sesungguhnya ia mengingati akhirat ”.
Di dalam Kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mengingatkan bahawa menziarahi kubur digalakkan untuk mengingati mati dan mengambil iktibar; malah menziarahi kubur orang yang soleh lebih lagi digalakkan untuk mendapat iktibar dan tabaruk.
4. Menziarahi makam adalah sebahagian daripada istiadat yang telah diamalkan turun temurun oleh Sultan yang baru ditabalkan. Tiga puluh empat (34) Sultan telah memerintah Kerajaan Perak sebelum ini. Jasad dua puluh sembilan Sultan telah disemadikan di negeri Perak. Makam-makam Sultan Perak keenam, ketujuh dan kesembilan terletak di Sumatera sementara makam Sultan Perak kedua puluh lima terletak di Skudai Johor. Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah dilaporkan hilang ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Lama Kanan kerana itu tidak mempunyai makam; tetapi dengan titah Sultan Idris Murshidul Adzam Shah batu peringatan telah diletakkan di dalam masjid tersebut.
5. Pengalaman menziarahi makam-makam telah menginsafkan hamba-Mu ini kepada tiga perkara:
Pertama: darjat dan jawatan di dunia adalah sementara sifatnya, setiap insan akan dikembalikan kepada asal usul kejadiannya oleh ALLAH yang Maha Pencipta, dari tanah kita dicipta kepada tanah kita kembali.
Kedua: setiap seorang Sultan terdahulu telah berjasa dan masing-masing mencipta sejarah pemerintahan. Oleh itu, Sultan yang terkemudian tidak wajar bersifat membesar diri, membelakangi mereka, tetapi wajib mengambil pengajaran dari pengalaman Sultan terdahulu untuk dijadikan pedoman; selaras dengan contoh teladan mulia yang diperlihatkan oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam yang bersedia menerima pandangan nasihat Rasul-Rasul terdahulu semasa peristiwa Israk Mikraj, agar Baginda menghadap berulang kali Allah Subhanahu Wata’ala memohon pertimbangan dan ihsan ALLAH Subhanahu Wata’ala untuk mengurangkan perintah mengerjakan solat wajib daripada lima puluh waktu kepada lima waktu sehari semalam.
Ketiga: Pengalaman menjejak kaki di Beting Beras Basah dan pengalaman menziarahi makam-makam membawa minda hamba-Mu mengimbas peristiwa silam, betapa susah payah Sultan-sultan terdahulu dengan kemudahan yang sangat terbatas, mengasaskan sebuah negeri dan sebuah pemerintahan. Kejayaan Marhum-marhum itu membangunkan sebuah negeri berdaulat, negeri beraja-rakyat bersultan yang warganya terdiri daripada segala lapisan rakyat yang begitu pelbagai tetapi hidup bersatu di bawah payung naungan pemerintahan seorang Sultan. Jasa bakti Marhum-marhum itu tidak harus dimusnahkan. Pada hari ini adalah menjadi tanggung jawab besar hamba-Mu ini untuk memberikan payung naungan pemerintahan yang dapat menyatukan rakyat yang berbilang agama, berbilang kaum, berbilang budaya dari pelbagai latar belakang sosial, ekonomi, politik dan usia agar terus kekal bersatu, hidup dalam harmoni dan saling bekerjasama memakmurkan negeri Perak Darul Ridzuan.
6. Ya Fattaah! Ya Aliim! Ya Baasith!, Ya Muqiit! dengan sifat-sifat kebesaran Mu yang Maha Pembuka, Maha Mengetahui, Maha Meluaskan, Maha Mencukupkan, hamba-Mu ini bersyukur di atas pengajaran yang Hamba-Mu peroleh daripada pengalaman melawat makam dan menjejakkan kaki di Beting Beras Basah.
7. Hari ini selesailah segala acara istiadat pertabalan. Beta menzahirkan penghargaan kepada Paduka Ayahanda Raja Muda dan Paduka bonda Raja Puan Besar serta kepada Paduka kakanda Raja Di Hilir dan Raja Puan Muda yang telah bersama mempamerkan semangat bersama untuk memulihara kedaulatan takhta Kerajaan Perak Darul Ridzuan; penghargaan turut dizahirkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kepada Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri yang telah memberikan pimpinan berkesan kepada ahli-ahli Jawatankuasa yang terdiri dari Orang Besar Negeri dan kakitangan kerajaan menguruskan pelbagai acara. Kepada setiap ahli jawatankuasa dan kepada setiap pihak yang terlibat Beta menzahirkan ucapan terima kasih. Ahli-ahli Jawatankuasa dan setiap pihak yang terlibat telah menunjukkan komitmen memenuhi tanggung jawab dengan penuh dedikasi. Ia membuktikan jalinan kerjasama yang tinggi antara pelbagai jabatan, agensi dan individu dalam semangat berat sama dipikul untuk mencapai satu matlamat yang sama, menghasilkan yang terbaik. Semangat kerjasama dan kesatuan matlamat ini hendaklah terus dipupuk dan dihidupkan sepanjang masa. Semangat kerjasama dan kesatuan matlamat ini hendaklah diterapkan sebagai budaya kerja untuk memajukan negeri Perak Darul Ridzuan. Sebarang kekurangan – sebarang kecacatan adalah sebahagian daripada sifat semula jadi kelemahan insan untuk membuktikan bahawa hanya ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan.
8. Beta dan Raja Permaisuri amat menghargai kehadiran rakyat jelata yang telah keluar beramai-ramai, bersedia menahan panas matahari – bersedia dibasahi hujan menyambut keberangkatan Beta di sepanjang perjalanan darat dan sungai, di setiap tempat Beta berdua berziarah dan di setiap majlis yang diadakan; ada di antara mereka mendukung bayi kecil dan ada di kalangan mereka terdiri dari warga tua yang sudah uzur. Kehadiran rakyat jelata adalah hadiah amat berharga kepada Beta dan Raja Permaisuri. Kepada Allah Subhanahu Wata’ala hamba-Mu pohonkan rahmat pertolongan untuk membolehkan kasih sayang rakyat itu dibalas dengan limpahan rezeki dari Mu kepada mereka dan negeri ini dianugerahi kemakmuran serta Sultannya senantiasa mendapat keberkatan dan petunjuk dari Mu jua Ya Allah.
9. Beta dengan ini mengisytiharkan bahawa dengan izin ALLAH Subhanahu Wata’ala, segala kerja-kerja berkaitan Pertabalan Sultan Perak XXXV telah selamat disempurnakan.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.