Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan rahmat darinya juga Beta dapat berangkat ke istiadat meletak kerja sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan kali ke lapan puluh lima, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Semoga Paduka Ayahanda Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Paduka Bonda Raja Permaisuri Tuanku Bainun dilimpahkan rahmat ILAHI berada dalam kesejahteraan serta sihat wal-afiat.
3. Ulang tahun sambutan hari keputeraan seorang Raja Pemerintah itu tidak peribadi bentuknya; sambutannya tidak hanya terbatas di kalangan ahli-ahli keluarga; tetapi dijadikan satu acara rasmi kerajaan, disambut secara bersama oleh negeri dan rakyat. Pelbagai acara disusun untuk membolehkan Raja Pemerintah sampai ke sejauh mungkin jajahan pemerintahan dan bertemu dengan seramai mungkin rakyat di bawah naungan pemerintahan Baginda.
4. Ulang tahun hari keputeraan Raja Pemerintah yang disambut secara bersama dengan negeri dan rakyat, adalah satu tradisi – satu kesinambungan adat. Sempena ulang tahun hari keputeraan, menjadi lazim bagi Raja memperlihatkan sifat ihsan terhadap rakyat sementara rakyat pula mempamerkan semangat kesetiaan. Raja Pemerintah akan mengurniakan anugerah dan memperkenankan keampunan kepada rakyat Baginda. Demikian sejarah dan tradisi peranan institusi Raja yang diwarisi sejak turun temurun; dijadikan rujukan – dijadikan pedoman ketika memformulasikan sistem berkerajaan dan bernegara di bumi ini yang berteraskan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Fungsi Raja sebagai Ketua Negara atau Negeri terbahagi kepada tiga fungsi utama; pertama: fungsi secara termaktub di dalam Perlembagaan, kedua: fungsi ceremonial memenuhi adat istiadat, ketiga: fungsi simbolik sebagai lambang negara atau negeri.[1]
5. Raja yang ditabalkan bersemayam di takhta pemerintahan, hendaklah mendapat ketaatsetiaan dari segenap lapisan rakyat, merentasi agama, kaum, budaya, status sosial – status ekonomi dan kumpulan politik. Oleh itu institusi Raja dan takhta pada setiap masa wajib berada di atas politik kepartian, memisah dan menjauhkan diri dari terlibat secara langsung dalam urusan dan kegiatan politik kepartian. Takhta pemerintahan wajib terus dipelihara berpendirian berkecuali, berada di atas politik kepartian agar dapat berperanan secara saksama sebagai payung negeri serta dapat diterima tanpa ragu sebagai institusi penyatuan dalam kepelbagaian, terutama untuk menangani sebarang pertentangan dan pertelagahan yang berlaku di kalangan rakyat Baginda.
6. Institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa. Kehadiran Raja sebenarnya sangat membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuh cabang-cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman di dalam negara. Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan, teras perpaduan – payung penyatuan, berperanan mengukuh dan mengekalkan amalan demokrasi agar dapat ditingkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan, berteraskan amalan demokrasi, berpandukan doktrin pemisahan kuasa. Raja memerintah dan tidak mentadbir. Raja berada di atas segala urusan politik dan urusan pentadbiran harian. Dengan berada di strata yang lebih tinggi, Raja hanya terlibat pada waktu dan ketika yang diperlukan.
7. Raja Pemerintah mempunyai tanggung jawab luas dalam memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang digubal serta kepentingan lebih besar negara dan warga perlu senantiasa dilindungi. Pada pertengahan abad kesembilan belas, Walter Bagehot memperkenalkan konsep triniti klasik, dengan menggariskan bahawa Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak; pertama: hak untuk dirunding, kedua: hak untuk memberi nasihat, ketiga: hak untuk memberi peringatan.[2]
8. Mengambil pedoman dari triniti klasik tersebut, Beta melalui sesi tertutup atau sesi terbuka, tatkala perbincangan atau melalui titah, telah dari masa ke semasa menzahirkan kupasan dan ulasan berbentuk nasihat dan pandangan, galakan dan dorongan begitu juga peringatan dan teguran, secara umum – secara menyeluruh akan perkara-perkara menyentuh kepentingan rakyat, penambahbaikan pelbagai jabatan, agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan sukarela, kebajikan dan sukan. Dari masa ke semasa Beta menzahirkan ulasan menyentuh perkara-perkara berkaitan Agama Islam, perpaduan warga, keselamatan negara, pembangunan sosioekonomi, kewangan, pendidikan, kebebasan kehakiman, penyalahgunaan kuasa, rasuah, urus tadbir yang cekap lagi telus dan pelbagai subjek lagi, atas hasrat untuk memastikan bahawa negara terus kukuh dan aman – warga terus sejahtera dan makmur.
9. Beta telah disembah maklum bahawa kebelakangan ini terdapat perbuatan oleh pihak tertentu memanipulasi kandungan serta mesej bersumberkan titah-titah yang pernah Beta zahirkan, diolah semula dalam nada dan bentuk yang memberi implikasi bahawa kata-kata yang telah diolah semula itu telah dizahirkan secara langsung oleh Beta sendiri, bertujuan untuk meningkatkan pengaruh kumpulan politik tertentu dan merendahkan lawan politiknya.
10. Perbuatan tersebut telah memberikan gambaran tidak betul dan boleh menimbulkan salah faham di kalangan sebahagian rakyat; seolah-olah Beta secara langsung telah menzahirkan sokongan terbuka kepada kumpulan politik tertentu dan pada masa yang sama telah memperkecilkan kumpulan politik lain. Sebarang perbuatan yang mengaitkan nama dan batang tubuh Beta untuk meraih sokongan politik, sebenarnya boleh disifatkan telah mengheret istana ke dalam kancah politik kepartian serta boleh dianggap telah melanggar tatasusila serta kesopanan adab dan tertib berpolitik secara berhemah.
11. Pilihan raya umum ketiga belas akan berlangsung dalam tempoh terdekat. Seyogia diingatkan bahawa dalam keghairahan untuk mendapat sokongan politik, jangan sampai adat dan resam budaya bangsa dicemarkan. Beta menegaskan bahawa Raja dan takhta kekal berada di atas politik kepartian, bersifat berkecuali dan tidak memihak mana-mana kumpulan politik. Malah dalam Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke 151 yang berlangsung pada 12 Mac yang lalu, Beta turut menzahirkan peringatan kepada Orang Besar-Orang Besar di negeri Perak supaya berwaspada dan berhati-hati dalam perkataan dan tindak tanduk supaya tidak memberikan gambaran salah akan peranan institusi Raja dan takhta. Orang-Orang Besar telah diperingatkan supaya mencerminkan sifat berkecuali dan tidak terlibat secara langsung dalam program-program yang dianjurkan atas nama parti politik dan bermatlamatkan politik kepartian. Senario politik semasa yang semakin terbahagi, memerlukan Orang Besar bijak melakukan tafsiran dan bijak melakukan tindakan supaya institusi istana dan institusi Orang Besar dapat mempertahankan imej berkecuali dan kekal berada di atas politik kepartian. Bahawa Raja Pemerintah tidak sama sekali pernah menzahirkan sebarang kenyataan menyokong atau menentang mana-mana parti politik dan Beta juga telah menitahkan Orang Besar mengambil peranan sebagai orang tua yang memiliki hikmah berupaya berperanan sebagai orang tengah untuk membantu merungkai kekusutan jika berlaku di kalangan ummah.
12. Negara sedang menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran, terkini dalam menangani pencerobohan yang sedang berlaku di bumi Sabah di negara kita. Beberapa wira negara telah gugur dalam melaksanakan tugas mempertahankan kedaulatan negara. Atas tanda menghargai pengorbanan para perwira negara mempertahankan kedaulatan negara, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Yayasan Sultan Azlan Shah akan memberi sumbangan seratus ribu (100,000) ringgit kepada Tabung Ops Daulat. Di samping itu, Ahli-ahli Dewan Negara Perak semasa mesyuarat yang berlangsung pada 12 Mac lalu, setiap seorang telah bersetuju menghulurkan sumbangan lima ratus (500) ringgit kepada tabung yang sama.
13. Setiap kumpulan politik dan setiap warga jangan melakukan perkara sehingga menambah beban kerja pasukan keselamatan. Keamanan dan ketenteraman negara adalah tanggung jawab bersama. Hormatilah undang-undang dan peraturan yang ada, bertindaklah secara berhemah dan beretika dan berhentilah dari melakukan manipulasi hingga ke peringkat mencemar kemuliaan takhta pemerintahan.
14. Beta dengan ini mengisytiharkan Istiadat Meletak Kerja Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Kelapan Puluh Lima, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dimulakan dan berikutan dengan ini dimulakan segala persiapan untuk mengendalikan upacara-upacara sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.