Pengumuman Pembubaran Dewan Negeri Perak Kedua Belas

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga serta para sahabat Baginda, begitu juga kepada para ulama dan para tabiin; semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.


2. Mamanda Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir telah memohon perkenan untuk membubarkan Dewan Negeri Perak Kedua Belas. Setelah menimbangkan permohonan tersebut, berpandukan Fasal (2), Perkara XXXVI, Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Beta telah memberi perkenan untuk Dewan Negeri Perak Kedua Belas dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

3. Paduka Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan juga diri Beta, menzahirkan penghargaan di atas perkhidmatan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, begitu juga kepada semua ahli Dewan Negeri Perak Kedua Belas yang telah menyempurnakan tugas dan tanggung jawab masing-masing.

4. Selaras dengan Perkara 113(1) Perlembagaan Persekutuan, penentuan tarikh mengadakan pilihanraya adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihanraya.

5. Beta menyeru kepada semua pihak dan setiap warga untuk membantu menjamin berlangsungnya proses pilihan raya dalam keadaan aman dan tenteram berteraskan semangat meluhurkan Perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang. Ketenteraman awam wajib dipelihara pada setiap masa. Pihak penguatkuasa undang-undang perlu mengambil tindakan tegas lagi segera terhadap sebarang perbuatan dari mana-mana pihak yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Integriti pihak penguatkuasa undang-undang hendaklah dipelihara dengan mempamerkan penguatkuasaan undang-undang secara adil dan saksama tanpa partisan.

6. Ketenteraman awam hendaklah senantiasa diutamakan dengan memberikan sepenuh kerjasama kepada Suruhanjaya Pilihanraya, pihak-pihak berkuasa berkaitan dan juga pasukan keselamatan. Tugas-tugas Pasukan Keselamatan jangan sama sekali disulitkan dan ditambahkan bebanan dengan mencetuskan perkara-perkara yang boleh menjejas ketenteraman awam.

7. Pilihan raya adalah satu proses yang memberikan hak dan peluang kepada warga untuk memilih kerajaan dan wajib dihargai. Oleh itu, warga wajib mempamerkan kebijaksanaan berpolitik melalui amalan demokrasi yang matang. Parti-parti politik terutama barisan pimpinan politik hendaklah mencerminkan sifat penuh bertanggung jawab dengan senantiasa mengutamakan aspek-aspek keselamatan, ketenteraman awam dan perpaduan warga. Dalam usaha untuk mendapatkan sokongan, perkara-perkara yang berpotensi mengguris perasaan warga berhubung sensitiviti agama, kaum, budaya dan bahasa hingga ke peringkat yang boleh menjejaskan hubungan harmoni dan perpaduan hendaklah dijauhkan sama sekali. Justeru itu, wajib dipelihara dan wajib dipastikan tidak diucap sebarang perkataan dan tidak dilakukan sebarang perbuatan yang boleh menghalang kelancaran perjalanan pilihan raya.

8. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala terus melimpahkan rahmat, kesejahteraan dan perlindungan untuk kelangsungan sebuah negara Malaysia yang merdeka lagi berdaulat dan warganya hidup dalam rukun dan damai serta dilimpahkan kemakmuran dan kesejahteraan. Amin, Ya Rabul Alamin.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

%d bloggers like this: