Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Keenam Puluh Enam Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah

Maka bagi ALLAH jualah segala pujian. Dan milik Allah jualah kerajaan langit dan bumi; dan hanya kepada Allah jualah tempat kembali (seluruh makhluk),[1] Dialah Allah Yang Menciptakan sekalian makhluk, Yang Mengadakan (daripada tiada kepada yang ada), Yang Membentuk rupa (makhluk Nya menurut yang dikehendaki Nya), bagi Nya nama-nama yang paling baik dan mulia, segala yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.[2] Maka, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhan Mu Yang Maha Besar.[3]

YA MALIK, YA AZIZ, YA KHALIQ, YA RAFI’,

2. Dengan kebesaran Asmaul Husna, sifat-sifat mulia Mu, hamba-Mu melafazkan kalimah syukur atas anugerah rahmat Mu, memungkinkan hamba-Mu menyambut ulang tahun hari keputeraan kali ke-66. Dengan ihsan Mu jua, hamba-Mu dianugerahkan keafiatan, dikurniakan darjat – dikurniakan daulat, bersemayam di takhta pemerintahan. Dengan rahmat Mu, negeri Perak Darul Ridzuan berada dalam keadaan sentosa lagi sejahtera. Dipohonkan daripada Mu, Ya ALLAH akan hidayah, membolehkan hamba-Mu yang serba daif ini, menyempurnakan sebaik mungkin tanggungjawab yang diamanahkan sebagai seorang Amirulmukminin. Dipohonkan daripada Mu jua, Ya ALLAH, agar hamba-Mu diperlengkap dengan para wazir, pembesar, ulama dan umara yang bersifat amanah lagi beriman, jujur lagi ikhlas, berilmu lagi berpengetahuan, berani menyembahkan seelok nasihat – secantik pandangan, agar hamba-Mu berupaya melaksanakan pemerintahan secara adil – secara saksama, berteraskan hukum – bersendikan adat. Lindungilah hamba-Mu ini Ya ALLAH, daripada terseret bersubahat, dengan sebarang muslihat, khilaf dan salah laku para wazir, para pembesar, para ulama dan para umara.

3. Beta hargai lafaz taat setia yang dizahirkan oleh Raja Muda, demikian juga ikrar taat setia yang dipersembahkan oleh Menteri Besar. Istiadat sambutan ulang tahun hari keputeraan Raja Pemerintah, telah diwarisi sejak zaman berzaman. Istiadat yang dilangsungkan ini, melambangkan citra mendaulatkan institusi raja, satu perlanjutan adat – satu kesinambungan budaya, kekal dihidupkan dalam era modenisasi; betapa keindahan adat – betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi negara bangsa, sekali gus mengekalkan identiti pemerintahan, negeri beraja – rakyat bersultan. Adat bernegara, dan budaya berkerajaan berpayungkan Raja, adalah sebahagian daripada adat – sebahagian daripada budaya bernegara dan berkerajaan, yang telah sekian lama berakar di bumi ini, diwarisi, dan kekal diterima oleh warga daripada pelbagai kaum – pelbagai agama.

4. Pilihan Raya Umum ke-15, telah berlangsung pada 19 November 2022, dalam suasana tertib dan aman serta diuruskan dengan baik. Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15, sama ada di peringkat Persekutuan begitu juga di peringkat negeri Perak Darul Ridzuan sekali lagi mengejutkan ramai peramal politik. Tidak ada kabilah politik memiliki majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan secara bersendiri. Negara untuk seketika menghadapi keadaan ketidaktentuan. Perbincangan dan rundingan diadakan dalam kalangan calon yang telah dipilih oleh rakyat, mencari formula penyelesaian, untuk meyakinkan Raja Pemerintah, bahawa seorang ahli Dewan Rakyat pada pendapat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan tersebut; sementara di peringkat negeri, seorang ahli Dewan Negeri yang pada timbangan Paduka Seri Sultan boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar ahli-ahli Dewan Negeri.

5. Suasana negara ditenangkan sebaik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, berpandukan Perlembagaan Persekutuan, memperkenankan Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh, mengangkat sumpah jawatan, pada petang Khamis 24 November 2022. Beta telah memperkenankan Ahli Dewan Negeri Kota Tampan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar pada petang Isnin 21 November 2022, disusuli dengan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan pada pagi Selasa 22 November 2022.

6. Sesungguhnya pemimpin politik dan rakyat negara ini, sekali lagi membuktikan kepada dunia, bahawa amalan demokrasi di Malaysia semakin matang. Lima belas perpuluhan tiga juta (15,341,705) pemilih, mencecah hampir 73 peratus pemilih telah turun mengundi. Peratus tinggi yang turun mengundi, membuktikan rakyat meletakkan kepercayaan kepada amalan demokrasi dan pilihan raya yang ditadbir urus seadil mungkin. Semoga pohon demokrasi akan terus berakar kukuh – berdahan rendang – merimbun subur. Semoga budaya politik semak dan imbang berjaya diperteguhkan agar rakyat mempunyai opsyen semasa berlangsungnya pilihan raya, sama ada, mahu terus mengekal atau menukar sesebuah kerajaan, berdasarkan prestasi.

7. Demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun lagi harmoni, dalam hasrat membina sebuah negara yang stabil lagi aman, dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur lagi sejahtera, para pemimpin perlu membaca mesej rakyat secara tepat. Setelah 65 tahun mencapai kemerdekaan, dan setelah 15 kali pilihan raya umum diadakan, rakyat kini menuntut kepada menu baharu dan resipi baharu, dalam persekitaran politik yang baharu. Rakyat yang semakin celik huruf, mengutamakan faktor-faktor integriti, amanah dan ketelusan. Rakyat mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengari. Rakyat semakin lantang mendedahkan isu rasuah, dan semakin gigih menolak pemimpin yang berimej rasuah, pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, atau pemimpin yang mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga, atau pemimpin yang menjadi instrumen kepada ahli perniagaan.

8. Rakyat sudah terlalu lemas dan berasa amat jijik melihat perlakuan rasuah. Rasuah ialah barah yang menjadi punca kepada berlakunya keruntuhan moral, penindasan, kezaliman, pencemaran, bencana alam, pengangguran dan kemiskinan. Forum Ekonomi Dunia tahun 2019, menamakan rasuah sebagai cabaran paling besar yang anak muda hadapi. Generasi muda merupakan mangsa yang telah digelapkan masa hadapan mereka kerana perbuatan pemimpin yang rasuah. Rakyat mengharapkan akan muncul suria yang melimpahi sinar baharu. Amalan-amalan perolehan yang mencetuskan banyak tanda tanya, dan skandal-skandal kewangan yang dilapor berlaku, telah mencontengkan arang di wajah negara; keaibannya ditanggung dengan harga yang mahal oleh setiap warga yang berurusan dengan negara luar. Baca, tafsir, fahami dan hadam suara rakyat yang disampaikan melalui kertas undi. Jangan diulangi kesilapan mereka yang terdahulu, jangan sama sekali dihampakan harapan rakyat dengan mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk.

9. Rakyat mengimpikan sebuah kerajaan yang secara berani dan tegas menunjukkan kesungguhan memerangi rasuah. Rakyat mengimpikan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, peluang pekerjaan yang lebih terjamin, taraf hidup yang lebih baik, tadbir urus yang lebih telus, dan pemimpin yang lebih amanah. Rakyat mengimpikan pemerintahan yang adil lagi saksama, pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, melalui badan kehakiman yang berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak – tidak gentar, serta bebas daripada campur tangan politik. Rakyat mengimpikan pemerintahan yang bersifat keterangkuman atau inklusif.. Rakyat mengimpikan perkhidmatan-perkhidmatan sosial yang penting seperti kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan, kemudahan kesihatan yang mudah diakses, kemudahan pengangkutan awam yang meringankan perbelanjaan, serta program perumahan mampu milik yang dilengkapi dengan kemudahan rekreasi dan sosial; dan rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan, agar warganya hidup dalam harmoni – saling menghormati – saling bekerjasama, tanpa dipisahkan oleh tembok prejudis agama dan prasangka kaum. Kerajaan yang menjadi pilihan rakyat dan kerajaan yang akan terus mendapat sokongan rakyat ialah kerajaan yang dapat memenuhi impian majoriti rakyat. Pemimpin hendaklah bijak membaca mesej rakyat dan secara bijaksana mentadbir urus negara secara berhikmah dengan daya tadbir yang bijak, dilaksanakan melalui mekanisme yang berkesan, cekap lagi telus; mekanisme tadbir urus yang tidak menyeleweng serta jauh daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

10. Dinamik yang sedang berlaku, menuntut kepada budaya ketelusan dan keterbukaan. Oleh itu, teramat penting untuk takhta juga berupaya mentafsir dinamik yang sedang berlaku dengan hikmah dan kebijaksanaan, selanjutnya melakarkan ruang peranan dan menetapkan paksi baharu, yang lebih bertepatan dalam era yang sudah berubah. Tadbir urus yang pincang akan merosakkan negara dan akhirnya turut melemahkan takhta. Justeru, menjadi tanggungjawab takhta, memerhati, mengawasi dan memiliki kekuatan untuk menzahirkan teguran dan nasihat secara berterus terang kepada para pemimpin agar mentadbir urus negara secara amanah, telus, ikhlas dan jujur; memastikan kestabilan kerajaan, memakmurkan kekayaan negara, dan menjamin kesejahteraan warga. Tanpa warga tidak akan terbina sebuah negara, tanpa negara tidak akan ada kedaulatan takhta.

11. Takhta juga perlu menghargai harapan tinggi rakyat yang memohon agar takhta berperanan sebagai penimbang tara, secara adil – secara saksama, tidak memihak dan kekal mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian. Takhta perlu bertenaga, memenuhi peranan sebagai payung penyatuan, memenuhi harapan rakyat, sebagai pemangkin, mengharmonikan hubungan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa. Peranan takhta sebagai payung penyatuan dalam kepelbagaian perlu difahami, dilaksanakan dan kelihatan dilaksanakan. Takhta juga wajib memperlihatkan sebaik contoh dalam memenuhi amanah ILAHI, dan dalam memenuhi harapan rakyat, agar kemuliaan takhta tidak tercemar, dan kedaulatan Raja tidak dipersenda.

12. Keberkesanan sesebuah pemerintahan memerlukan tanggungjawab yang dilaksanakan secara bersama dalam semangat berat sama dipikul – gunung sama didaki – laut sama diselami. Sembahkan nasihat yang benar secara ikhlas, jujur lagi bertanggungjawab kepada Raja Pemerintah. Raja Pemerintah jangan dikhayalkan dengan cerita-cerita penghibur telinga hingga Raja berada dalam alam tersendiri, jauh daripada realiti keadaan kesusahan hidup yang dialami rakyat. Raja Pemerintah wajib memahami denyut jantung dan denyut nadi rakyat jelata, satu tanggungjawab yang berat. Tanggungjawab berat ini, insya-Allah dapat diringankan dengan adanya semangat nasihat menasihati, bantu-membantu dan saling memelihara nama baik dan kemuliaan takhta, melalui peranan bersama Raja Muda, Raja Di Hilir, kesemua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, ahli Dewan Negara dan Orang Besar negeri.

13. Begitu juga seruan Beta kepada Menteri Besar berserta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, agar kepercayaan Beta, dan amanah rakyat tidak dikecewakan. Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan, sedangkan janji tidak berisi. Harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang adil lagi saksama berlandaskan undang-undang, hendaklah direalisasikan secara bersama oleh ahli-ahli Dewan Negeri, para hakim, para ulama, para umara, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, yang masing-masing turut diberikan amanah untuk membantu, supaya negeri ini terus dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera. Demikian jua seruan Beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan serta rakyat keseluruhannya, agar saling bekerjasama memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta.

14. YA WAHHAB, YA ALIM, YA AZIM, YA JALIL, hamba-Mu ini, memohon ihsan dari Mu, agar dikurniakan hikmah, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah, untuk mengupayakan hamba-Mu ini melaksanakan pemerintahan secara adil lagi saksama, memiliki ketegasan menegakkan yang makruf – memiliki keberanian mencegah yang mungkar. Semoga negeri dan rakyat Perak Darul Ridzuan senantiasa mendapat lindungan daripada Mu jua, dan dilimpahi segala keberkatan fid-dunia wal akhirat.

Termaktub di Istana Iskandariah

Kuala Kangsar

4.3.2023

  1. Al-Quran, An-Nur (24:42)
  2. Al-Quran, Al-Mulk (59:24)
  3. Al-Quran, Al-Waqiah (56:74)
%d bloggers like this: