Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta para tabiāin, para ulama dan para syuhada. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat menghadiri Kongres Tahunan, Persatuan Bola Sepak Negeri Perak Darul Ridzuan kali ke 48.
3. Beta ucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Majlis, para perwakilan dan badan gabungan atas kehadiran bagi menjayakan Kongres Tahunan ini. Ucapan terima kasih juga dirakamkan kepada kakitangan urus setia yang telah menguruskan segala persiapan untuk membolehkan Kongres ini dapat dilangsungkan.
4. Kongres ini merupakan forum untuk para perwakilan mencambahkan fikiran, meneliti dan menganalisis prestasi yang telah dicapai oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Perak sepanjang satu tahun yang telah berlalu; dari segi program pembangunan, latihan, penyelidikan, pertandingan; merangkumi prestasi pegawai, pasukan dan pemain. Bahawa masih banyak ruang penambahbaikan yang boleh dibincangkan dalam hasrat dan usaha mahu mencipta kejayaan yang lebih gemilang.
5. Walau apa sekalipun pencapaian yang telah diperoleh, prestasi Pasukan Perak dalam pertandingan-pertandingan utama seperti Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia, merupakan perkara yang paling diberikan perhatian. Kejayaan pasukan bagaikan sinonim dengan pencapaian Persatuan. Prestasi Pasukan Perak menjadi kayu penentu kepada kejayaan Persatuan. Oleh itu, prestasi Pasukan amatlah perlu diberikan keutamaan sepanjang masa.
6. Pasukan Perak berada di tangga paling bawah di kalangan lapan pasukan yang bertanding di peringkat liga super, selepas tamat pusingan kedua. Keadaan tersebut bukan sahaja mencemaskan pasukan malah turut menjejaskan imej Persatuan. Lebih buruk lagi, bilangan penonton merosot dan pemain pula mendapat liputan media yang negatif. Di kalangan penyokong yang merasa terlalu kecewa, mereka mula merentang sepanduk mengkritik pasukan secara terbuka. Keadaan sedemikian amatlah tidak sihat. Moral pasukan jatuh, penyokong hilang, pendapatan Persatuan menurun.
7. Beta bersyukur bahawa langkah-langkah pemulihan segera yang diambil memperlihatkan kesan positif. Persatuan amat berterima kasih atas perhatian berat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak, mengadakan pertemuan secara khusus dengan para pemain pada 16 Mei 2005. Mesyuarat Majlis pada 24 Mei 2005 turut memutuskan beberapa langkah untuk dilaksanakan secara tegas. Kesedaran atas kelemahan serta tindakan segera memperbaiki kelemahan telah memberikan hasil positif. Pasukan Perak selepas itu mencatatkan rekod kemenangan berturut-turut untuk enam perlawanan. Tiga perlawanan di peringkat Piala FA dan tiga lagi di peringkat Liga Super. Kini Pasukan Perak melayakkan diri ke suku akhir Piala FA dan berada di tangga kelima Liga Super. Bilangan penyokong yang membanjiri stadium kembali meningkat. Beta rakamkan ucapan terima kasih kepada para pegawai dan para pemain atas segala usaha yang telah dirintis.
8. Usaha-usaha bersepadu haruslah diteruskan bagi menggalakkan lebih banyak pertandingan dilangsungkan di peringkat daerah. Jawatankuasa Pertandingan perlu memikirkan sebaik-baik format supaya pertandingan berbentuk lebih kompetitif dan melibatkan lebih ramai pemain dapat dianjurkan. Penglibatan lebih ramai pemain akan membolehkan lebih banyak bakat diketengahkan untuk penilaian panel pemilihan.
9. Semoga Kongres ini dapat menghasilkan idea-idea bernas untuk manfaat Persatuan Bola Sepak Perak Darul Ridzuan.
10. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini merasmikan Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Perak Darul Ridzuan kali ke 48.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
****************