Majlis Konvokesyen Ke-11 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang, Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera.

Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat dan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat hadir untuk menyempurnakan acara penyampaian sijil serta hadiah di Majlis Konvokesyen Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia.

2. Dengan penganugerahan Sijil Amalan Guaman ini, para graduan telah diiktiraf memenuhi kriteria akademik dan keperluan ikhtisas untuk menyertai profesion undang-undang. Profesion undang-undang mula bertapak di Malaysia sejak kurun kelapan belas. Sejak itu, para peguam telah diberi keistimewaan dan hak eksklusif untuk hadir dan berhujah bagi pihak klien di Mahkamah yang juga telah ditubuhkan secara formal. Setiap profesion mempunyai tanggung jawab tertentu. Pengamal undang-undang secara khusus mempunyai tanggung jawab terhadap klien, tanggung jawab terhadap mahkamah, tanggung jawab menjamin undang-undang didaulatkan, tanggung jawab memastikan proses keadilan berlaku.

3. Sebagai pengamal undang-undang, mereka yang terlibat perlulah mempamerkan contoh teladan sebaik-baiknya dengan meletakkan satu tahap piawaian integriti diri yang tinggi. Falsafah yang tersirat di sebalik undang-undang yang tersurat perlu difahami secara mendalam. Undang-undang digubal untuk menjamin tatacara hidup yang tersusun, membantu membina masyarakat yang beradab lagi bertamadun. Undang-undang digubal dengan tujuan memberi perlindungan dan keadilan secara saksama kepada setiap warga dan kehidupan di muka bumi, di samping membolehkan kelangsungan hidup masyarakat yang sejahtera, supaya dunia dan kehidupan berada dalam harmoni dan rukun.

4. Keadilan itu sejagat sifatnya. Untuk itu perlaksanaan undang-undang hendaklah menggunakan pendekatan yang sama serta bahasa yang sama walaupun menghadapi kumpulan yang berbeza. Undang-undang untuk yang miskin dan yang kaya, untuk yang berkuasa dan yang tidak berkuasa, untuk yang kuat dan yang lemah adalah sama. Undang-undang hendaklah dilaksanakan berlandaskan prinsip keadilan sejati supaya setiap pihak merasakan diri mereka dilindungi dan mendapat pembelaan. Jika prinsip-prinsip asas ini diketepikan, maka akan menjadi tempanglah perlaksanaan keadilan. Apatah lagi jika prinsip yang murni ini dinodai di kalangan pengamal undang-undang, maka akan tergelincirlah proses keadilan, menandakan titik permulaan akan kemungkinan tercetusnya anarki kepada kelangsungan kehidupan.

5. Kestabilan negara kita turut dilandaskan kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang merupakan salah satu prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara. Negara Malaysia dibina atas gagasan undang-undang yang kukuh. Perlembagaan Negara adalah dokumen undang-undang tertinggi di dalam negara. Demi menjamin urusan negara dapat dijalankan secara adil dan saksama, Perlembagaan Negara telah menggariskan satu mekanisme semak dan imbang, memisahkan kuasa legislatif, kuasa eksekutif dan kuasa kehakiman; masing-masing memiliki kebebasan dari pengaruh yang lain dan bertanggung jawab kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong termaktub di dalam Perlembagaan sebagai institusi tertinggi berperanan menjadi payung naungan di atas ketiga-tiga kuasa tersebut. Baginda melambangkan sumber keadilan, mengurniakan keampunan, menawarkan keistimewaan, tunggak keutuhan, gerbang kebebasan dan payung kehormatan, memberi perlindungan kepada setiap warga di negara ini.

6. Prinsip-prinsip asas ini perlulah difahami setiap masa untuk dijadikan pedoman dan pegangan dalam melaksanakan keadilan. Sistem perundangan yang adil dan saksama bukan sahaja akan meningkatkan sokongan warga kepada kerajaan, malah turut meningkatkan keyakinan dunia luar kepada negara ini. Para pengamal undang-undang berperanan penting untuk memastikan bahawa profesion undang-undang kekal dihormati serta perlu memperlihatkan amalan yang jujur lagi telus, bersandarkan undang-undang. Dalam menegakkan keadilan, para pengamal undang-undang hendaklah membebaskan minda dari sebarang prejudis, prasangka, emosi dan kepentingan peribadi. Sifat berani kerana benar hendaklah dijadikan pegangan. Mahkamah jangan sama sekali dijadikan gelanggang atau forum untuk berpolitik atau medan mencari pengaruh. Kepentingan umum dan kepentingan awam serta kepentingan profesion hendaklah senantiasa diutamakan.

7. Pada masa yang sama, pengamal undang-undang hendaklah senantiasa peka kepada cabaran yang perlu dihadapi baik di dalam mahupun di luar ruang mahkamah. Undang-undang yang baik adalah undang-undang yang mudah difahami dan dapat diterima oleh semua pihak; dan pengamal undang-undang yang bijak adalah dari kalangan mereka yang berupaya mentafsir kegunaan undang-undang secara objektif tanpa meninggalkan keraguan.

8. Untuk itu, para pengamal undang-undang hendaklah arif dan bijaksana memahami sensitiviti-sensitiviti yang berada di persekitaran sesebuah negara dari segi agama, budaya, hubungan kaum dan adat resam. Undang-undang yang digubal, bertujuan untuk memberi perlindungan yang saksama demi menjamin hidup yang rukun, damai lagi harmonis. Jika terdapat sebarang masalah dari segi fahaman dan tafsiran bagi sesuatu perundangan, terutama yang melibatkan warga dari budaya, agama dan suku kaum yang berlainan, perkara tersebut tidaklah boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan hingga memungkinkan tercetusnya masalah yang lebih besar di kemudian hari.

9. Realiti hidup dalam negara yang komposisi warganya terdiri dari pelbagai agama, pelbagai budaya, pelbagai kaum dan pelbagai bahasa perlu diakui – perlu diterima – perlu difahami. Usaha ke arah merapatkan jurang pemahaman perlu dirintis dengan bijak supaya

keharmonian hidup yang rukun lagi damai kekal terjamin. Perkara-perkara yang menyentuh emosi warga hendaklah dibincangkan dengan dada lapang dan minda terbuka, dalam suasana percambahan fikiran yang saling menghormati hingga mencapai satu kata sepakat dan satu persefahaman yang dapat diterima oleh semua pihak. Perbezaan pandangan dan tafsiran akan berlaku – kerana manusia itu telah dicipta oleh Ilahi dari lelaki dan perempuan, dari berbagai bangsa dan bersuku puak – tetapi Tuhan menyeru untuk mereka berkenalan antara satu dengan yang lain. Yang penting adalah untuk mencari titik pertemuan dan titik persefahaman.

10. Beta mengucapkan tahniah kepada para graduan. Sedarilah! bahawa kejayaan yang dimiliki ini adalah atas usaha dan pengorbanan secara bersama yang dilakukan oleh ibu bapa serta kaum keluarga, juga para pengajar, pembimbing dan pendidik yang tidak mengenal lelah untuk mencurahkan ilmu. Bersyukurlah atas kejayaan ini dan berterima kasihlah kepada mereka yang berjasa untuk memungkinkan kejayaan ini. Semoga kejayaan hari ini dijadikan tangga untuk mendaki kejayaan yang lebih tinggi.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

*************

%d bloggers like this: