Majlis Konvokesyen Kelima Belas Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2009 Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang, Malaysia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Konvokesyen kali kelima belas, Peperiksaan Sijil Amalan Guaman.

2. Dengan memiliki sekeping sijil yang akan dianugerahkan sebentar lagi, Saudara-saudari, pada dasarnya diiktiraf sebagai seorang profesional untuk berkhidmat dalam profesion perundangan. Namun perlu disedari bahawa dari hari pertama saudara-saudari menyertai perkhidmatan perundangan, tahap pencapaian profesionalisme seseorang individu tidak semata-mata boleh disandarkan kepada sekeping sijil. Sijil yang bakal diterima hari ini akan menjadi sekeping kertas tidak bernilai jika saudara-saudari gagal memenuhi dugaan dan cabaran serta tuntutan dan harapan profesion.

3. Dugaan dan cabaran yang dihadapi, tidak terbatas kepada tugas profesion yang memerlukan kekuatan minda dan kekuatan intelek. Dugaan dan cabaran lebih besar terhadap apa juga profesion adalah disiplin diri untuk mengawal nafsu dan naluri; demikian juga kekuatan untuk mengimbangkan antara tuntutan dan harapan yang bergelora di dalam diri individu dengan tuntutan dan harapan profesion yang memiliki etika-etika khusus untuk menjamin tahap kawalan piawaian profesion yang tinggi terus dipertahankan.

4. Keadilan tidak dapat dilaksanakan dalam masyarakat mahupun negara, jika undang-undang yang digubal mengandungi elemen-elemen penindasan; memberi keistimewaan kepada yang kuat menguasai yang lemah serta yang kaya menindas yang miskin. Malah ketidakadilan akan berlaku, apabila jentera perundangan berjalan tempang. Suasana sedemikian akan mengakibatkan tiang masyarakat menjadi senget dan tunggak negara akhirnya roboh.

5. Saudara-saudari akan terlibat secara langsung dalam usaha mewujudkan masyarakat yang hidup rukun dan damai bersandarkan undang-undang; serta negara yang aman dan makmur kerana mendaulatkan undang-undang. Bahawa kedaulatan sesebuah negara bergantung pada kesungguhan negara mendaulatkan undang-undang yang dicerminkan secara ketegasan yang tidak sama sekali berkompromi terhadap amalan-amalan yang tidak menghormati undang-undang; serta pendirian sama sekali tidak bertoleransi terhadap perlakuan-perlakuan penyelewengan, pecah amanah, salah guna kuasa dan rasuah. Undang-undang akan dapat didaulatkan jika semangat menegakkan keadilan dan memuliakan kebenaran dijadikan amalan dan budaya hidup.

6. Sepanjang perjalanan kerjaya, saudara-saudari akan berhadapan dengan dilema antara hasrat menegakkan keadilan dan memuliakan kebenaran dengan pengaruh negatif yang boleh mengorbankan keadilan dan mengetepikan kebenaran. Sebagai peguam bela, saudara-saudari mempunyai obligasi memenuhi harapan dan kepercayaan klien. Mahkamah adalah tempat suci untuk menegakkan keadilan dan menentukan kebenaran. Saudara-saudari akan menghadapi keadaan tidak mungkin memenangi semua kes yang dibela. Menjadi naluri biasa seseorang insan, bahawa secara peribadi saudara-saudari akan berasa kecewa; namun secara falsafahnya saudara-saudari telah melakukan yang terbaik untuk membela, demi memastikan yang tidak bersalah tidak akan teraniaya. Pada hakikatnya, apabila klien saudara-saudari disabitkan, kerana bukti di pihak pendakwaan begitu kukuh, sesungguhnya telah terlaksana satu keadilan undang-undang kerana yang disabit sewajarnya dijatuhkan hukuman setelah pendakwaan benar-benar membuktikan jenayah yang telah dilakukan. Di sebaliknya, jika peguam bela berjaya menimbulkan pelbagai keraguan terhadap tuduhan dan kliennya tidak dapat disabit dengan tuduhan, keadilan telah juga dilaksanakan, dan hendaklah dijadikan pengajaran kepada pihak pendakwaan dan juga agensi penyiasatan supaya melaksanakan tugas-tugas siasatan secara lebih teliti, terperinci, lengkap dan cekap. Kedaulatan undang-undang dapat dijamin selagi proses keadilan dalam mahkamah tidak dicemari oleh amalan-amalan tidak beretika yang dilakukan dari luar mahkamah untuk mempengaruhi keputusan.

7. Mengurus keadilan memerlukan peranan kolektif pelbagai pihak. Setiap kes yang dibicarakan di mahkamah telah melalui pelbagai proses dan melibatkan pelbagai pihak. Bermula dari aduan, melangkah kepada siasatan, membawa kepada pertuduhan dan pendakwaan, sampai kepada perbicaraan dan pembelaan, sehingga kepada hukuman dan rayuan. Mengurus keadilan memerlukan persefahaman profesional serta sifat menghormati etika setiap agensi dan individu yang terlibat.

8. Jika pegawai penyiasat gagal memperlihatkan kualiti kerja yang profesional, jika di peringkat pendakwaan gagal memiliki kualiti profesionalisme yang tinggi, jika di peringkat pembelaan melanggar etika profesion dan jika di peringkat penghakiman mengorbankan prinsip kebenaran, maka akhirnya akan tempanglah perjalanan keadilan.

9. Apabila keadilan gagal diuruskan secara profesional lagi berkesan, maka masyarakat dan negara sebenarnya mula berada diambang keruntuhan, laksana pohon kayu yang mula dimakan anai-anai, semakin sehari semakin reput – semakin sehari semakin lemah. Jenayah akan berlaku dengan bilangan yang lebih banyak dan kadar yang lebih tinggi. Jentera penguat kuasa undang-undang dilihat semakin kurang upaya kerana kepentingan diri mungkin telah mengatasi kepentingan profesion; dan jika pun ada yang masih mengutamakan kepentingan profesion, mereka merupakan kumpulan minoriti yang disisihkan dari arus utama atau diketepikan dari diberikan peranan utama dalam organisasi. Mekanisme tertinggi untuk melaksanakan keadilan juga menjadi semakin lemah dan tidak berdaya, hingga masyarakat menganggap bahawa mahkamah hanyalah satu pentas lakonan yang skripnya ditulis oleh pengarah tertentu; lalu warga dan masyarakat hilang hormat – hilang percaya.

10. Senario demikian bukan satu fiction atau cerita rekaan. Senario demikian adalah precursor dalam babak kejatuhan kebanyakan negara dunia ketiga. Akhirnya negara hancur, rakyat menderita dan pemimpin tertinggi melarikan diri malah menjadi buruan hingga menjadi orang buangan di negara luar.

11. Undang-undang berperanan penting untuk memastikan kelangsungan dan kredibiliti sesebuah pemerintahan, sesebuah kerajaan dan sesebuah negara. Perlembagaan Negara adalah undang-undang paling utama di dalam negara. Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang adalah dua prinsip yang jelas termaktub dalam Rukun Negara.

12. Sebagai pengamal undang-undang, saudara-saudari wajib memperlihatkan sebaik contoh membimbing masyarakat untuk memastikan undang-undang terus didaulatkan. Cita-cita peribadi harus dipenuhi berlandaskan prinsip yang tidak sampai ke peringkat menodai undang-undang; jangan sama sekali undang-undang dipersendakan, dirujuk dan dijunjung apabila menguntungkan diri tetapi diketepikan atau disisih apabila dilihat merugikan diri. Tahap kegemilangan dan kemuliaan saudara-saudari dalam profesion perundangan dan di kaca mata masyarakat di masa hadapan, bergantung kepada kebijaksanaan dan amalan disiplin saudara-saudari mulai dari sekarang. Saudara-saudari wajib meletakkan garis sempadan yang jelas serta memperlihatkan kebijaksanaan untuk tidak menodai profesion kerana pengaruh nafsu haloba dan kepentingan diri.

13. Binalah pengalaman, binalah kematangan, binalah kebijaksanaan, berbekalkan ilmu yang sudah ditimba dan pendedahan yang baru menjelma. Semaikan semangat untuk belajar dan terus belajar, melayari lautan ilmu yang lebih dalam supaya akhirnya Saudara-saudari berjaya menjadi nakhoda yang bijak membaca angin, cekap menilai tinggi gelombang, supaya bahtera tidak akan karam dan akhirnya dapat berlabuh dengan selamat di pangkalan perjalanan.

14. Beta mengucapkan setinggi tahniah kepada setiap lulusan, demikian juga Beta merakamkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang yang telah sekali lagi memenuhi tanggung jawab mereka untuk membantu melahirkan barisan peguam yang berkualiti. Semoga segala usaha dan cita-cita mendapat rahmat dan petunjuk ILAHI.

Wabillahi taufik, walhidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

1049 perkataan

*****************

%d bloggers like this: