Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam sejahtera.
Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.
Yang Maha Mulia Paduka Bonda
Raja Permaisuri Tuanku Bainun
Paduka Adinda menjunjung kasih atas perkenan Paduka Kakanda Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sudi berangkat untuk menyempurnakan pelancaran penerbitan “His Royal Highness Sultan Nazrin Shah, Reflections and Recollections”. Sesungguhnya keberangkatan Paduka Kakanda telah mengangkat darjat kemuliaan majlis ini. Kata-kata yang dizahirkan dalam titah Paduka Kakanda merupakan pengiktirafan yang begitu tinggi ke atas batang tubuh Paduka Adinda, seorang hamba yang amat kerdil di sisi Allah Subhanahu Wata’ala. Paduka Adinda amat insaf bahawa Paduka Adinda sedang menempuh satu perjalanan yang panjang untuk merentasi laluan yang penuh dugaan – penuh cabaran, sedangkan Paduka Adinda adalah seorang hamba Allah yang serba kekurangan. Dengan ilmu panjang sejengkal dan pengajian yang belum khatam, Paduka Adinda masih memerlukan didikan serta asuhan. Oleh itu Paduka Adinda mohon mendapat nasihat bimbingan daripada Paduka Kakanda secara berterusan, memandu Paduka Adinda agar langkah tidak tersalah – agar arah tidak tersasar untuk membolehkan Paduka Adinda selamat sampai ke destinasi yang dituju.
2. Kepada Paduka Bonda Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, Paduka Anakanda amat berbesar hati atas kesudian Paduka Bonda berangkat ke Majlis ini. Kehadiran Paduka Bonda amat bermakna kepada Paduka Anakanda dan sebesar-besar hadiah kurniaan ILAHI kepada Paduka Anakanda. Setiap masa dan sepanjang hayat, Paduka Bonda adalah sumber kekuatan dalaman, sejak Paduka Anakanda masih seorang bayi yang berada di pangkuan, melangkah ke usia persekolahan, sehingga tamat pengajian di Universiti, menceburi alam pekerjaan, dan hari ini dengan penentuan ILAHI, Paduka Anakanda telah dimasyhurkan sebagai seorang Sultan. Segala kejayaan Paduka Anakanda adalah hasil daripada asuhan, bimbingan, didikan dan doa restu Paduka Bonda. Tidak ada kata-kata yang dapat Paduka Anakanda himpunkan untuk mencatatkan budi, jasa dan pengorbanan Paduka Bonda. Dalam memenuhi amanah besar sebagai Amirulmukminin Paduka Anakanda masih dan bertambah memerlukan nasihat dan doa restu berterusan dari Paduka Bonda.
Yang Maha Mulia Paduka Kakanda Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.
3. Dalam majlis ini izinkan Paduka Adinda menzahirkan ucapan terima kasih kepada para hadirin yang telah meruang masa untuk hadir bersama meraikan pelancaran penerbitan yang khusus didedikasikan sebagai satu memori sempena Istiadat pertabalan Paduka Adinda. Setiap hadirin mempunyai hubungan langsung dan hubungan peribadi dalam hidup Paduka Adinda, terdiri daripada kaum keluarga, rakan sekolah, rakan Universiti dan rakan di tempat bekerja, orang besar serta pemimpin organisasi, pemimpin negeri dan pemimpin negara. Kebanyakan mereka telah Paduka Adinda kenali begitu lama. Pada hari ini setiap mereka yang hadir telah memberikan peluang yang membolehkan Paduka Adinda bertemu semula dengan mereka, mengimbas peristiwa lama yang telah Paduka Adinda alami bersama mereka; di kalangan mereka Paduka Adinda merasa amat dimuliakan dengan kehadiran Tun Musa Hitam, Tun Zaki Azmi, Dato Seri Diraja Tan Sri Mohamad Tajol Rosli, Puan Sri Maimun Jahidin, Dato’ R Yogeswaran, Dato’ Dr. Sharifuddin Abdul Wahab, Dato’ Dr. SHANmugalingam, Dato’ Dr. Dato Timothy Ong (dari Brunei Darussalam), Dr. Farhan Nizami dari Oxford dan ramai lagi yang jika mahu disebut satu persatu akan mengambil masa yang terlalu panjang.
4. Penerbitan ini memiliki keistimewaan – mempamerkan keunikan – menampilkan identiti tersendiri. Paduka Adinda berterima kasih dengan kata-kata pujian yang diungkapkan oleh para penulis. Kata-kata pujian tersebut membisikkan peringatan kepada diri Paduka Adinda akan pesanan orang-orang tua, ‘mati semut kerana gula’. Barang dijauhkan Allah hamba-Mu ini daripada terjerumus bersifat riak, jadikanlah hamba-Mu ini mengikut resmi padi, semakin berisi – semakin tunduk. Sesungguhnya segala yang baik datangnya dari Allah Subhanahu Wata’ala, dan kesempurnaan itu hanyalah sifat mutlak milik ILAHI.
5. Esei-esei yang dihasilkan turut mengandungi analisis berkaitan relevansi institusi Raja dalam era modenisasi, pada era tahap literasi rakyat sudah semakin tinggi dan sumber pengetahuan sudah bertambah luas, dalam persekitaran demokrasi yang menuntut kepada amalan ketelusan dan keterbukaan, menegaskan pentingnya sifat integriti yang tidak memberikan sebarang imuniti kepada perbuatan salah laku, salah guna kuasa dan korupsi oleh sesiapa sekalipun. Secara halus dan terhormat para penulis dalam tulisan masing-masing, seiring dengan kata-kata pengiktirafan mereka, mengharapkan Paduka Adinda dapat memenuhi peranan untuk menyuntik nafas dinamik kepada institusi Raja agar institusi ini diterima sebagai institusi yang kekal relevan lagi berfungsi dalam era modenisasi yang berteraskan amalan demokrasi.
6. Ulasan, pandangan, unjuran dan saranan yang terkandung dalam esei-esei yang dihimpunkan di dalam penerbitan ini, akan Paduka Adinda jadikan cermin untuk melihat ketidaksempurnaan yang masih ada, baik atas diri peribadi begitu juga kepada institusi agar langkah pembetulan dan tindakan penambahbaikan dapat dirintis. Harapan yang disuarakan amat tinggi – amanah yang diletakkan amat berat. Ia tidak mungkin dapat Paduka Adinda penuhi secara bersendirian. Paduka Adinda percaya dengan perkenan dan peranan bersama Paduka Kakanda yang jauh lebih berpengalaman dan tinggi hikmahnya, pelbagai harapan dan hasrat yang dirintis itu boleh diusahakan secara kolektif bersama Yang Maha Mulia Raja-raja di negara ini.
7. Paduka Adinda menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada tiga puluh orang penulis yang telah memberikan sumbangan masing-masing, begitu juga kepada barisan penyunting, penerbit dan pencetak dan setiap pihak yang telah secara berpasukan dan bersama menghasilkan penerbitan ini. Paduka Adinda amat menghargai segala pemikiran, usaha, tenaga dan masa yang telah diberikan oleh Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini untuk menghasilkan penerbitan ini. Segala jasa dan usaha beliau akan kekal abadi dalam memori, sepanjang hayat Paduka Adinda.
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.
8. Pada saat dan ketika dikurniakan oleh ILAHI dengan kemuliaan dan kejayaan, Paduka Adinda tidak dapat melupakan peranan dan jasa mereka yang telah membimbing Paduka Adinda hingga mencapai kejayaan ini; para guru di sekolah dan para maha guru di universiti, para ulama dan orang-orang tua, rakan-rakan sekolah, rakan-rakan universiti dan rakan-rakan di tempat bekerja, para orang besar dan pegawai negeri, dan paling utama keluarga Paduka Adinda, terutama Paduka Adinda Raja Permaisuri, Paduka Bonda dan Almarhum Paduka Ayahanda. Sebagai menghargai jasa dan budi mereka yang telah tiada lagi bersama kita, terutama ketiadaan Paduka Ayahanda yang amat dirasai, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Paduka Adinda memohon dengan segala keikhlasan untuk sama-sama dibacakan surah Al-Fatihah agar apa juga ganjaran yang dikurniakan oleh ILAHI daripada bacaan tersebut disampaikan kepada roh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, serta roh-roh Sultan terdahulu, para keluarga dan para guru yang telah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.