Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Tugas merancang dan kerja-kerja persiapan Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV bermula sebaik sahaja Jawatankuasa Induk Istiadat Pertabalan ditubuhkan dalam Mesyuarat Dewan Negara Perak ke 159 pada 20 Jun 2014. Tarikh Tabal Adat, telah Beta perkenan untuk dilangsungkan pada 17 Rejab 1436 bersamaan 6 Mei 2015, susulan sembah nasihat yang Beta terima akan tarikh terbaik berpandukan perkiraan ahli-ahli falak. Istiadat Pertabalan telah dimulai dengan istiadat meletak kerja pada 14 Rejab 1436 (3 Mei 2015) dan berakhir dengan istiadat menutup kerja pada 28 Rejab 1436 (17 Mei 2015).
2. Dengan izin dan rahmat ILAHI, segala-galanya berjalan secara tersusun lagi teratur. Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh jentera Kerajaan yang telah mengusahakan yang terbaik untuk menjayakan pelbagai acara sepanjang berlangsungnya istiadat pertabalan. Beta menzahirkan ucapan terima kasih secara khusus kepada Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi bersama Jawatankuasa Induk Pertabalan yang telah memberikan pimpinan berkesan kepada ahli-ahli Jawatankuasa yang terdiri dari Orang Besar Negeri dan kakitangan kerajaan, menyelaras dan menguruskan pelbagai acara. Ahli-ahli Jawatankuasa dan setiap pihak yang terlibat telah menunjukkan komitmen memenuhi tanggung jawab dengan penuh dedikasi. Kepada setiap ahli jawatankuasa dan kepada setiap pihak yang terlibat Beta menzahirkan ucapan terima kasih.
3. Beta amat menghargai peranan pelbagai agensi dan petugas media yang telah memberikan liputan meluas kepada seluruh acara. Media telah melaksanakan peranan amat penting menguar-uarkan acara-acara yang dianjurkan dalam semangat untuk mendidik dan meningkatkan kefahaman dan apresiasi masyarakat umum terhadap peranan dan relevansi institusi Raja dalam sistem berkerajaan dan bernegara yang berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Penyertaan golongan pelajar dan belia secara aktif dengan acara-acara berbentuk intelek, keilmuan serta membina elemen-elemen kenegaraan berpegang kepada prinsip Rukun Negara; ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’, amatlah menggalakkan dan sewajarnya terus dihidupkan dan berkesinambungan. Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam, RELA dan pelbagai badan beruniform telah bertugas dengan berkesan membolehkan acara berjalan secara tertib, teratur dan terkawal. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu, Jabatan Agama Islam, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Kesihatan, Pejabat dan Majlis Daerah, dan pelbagai jabatan dan agensi lain telah sama-sama memenuhi peranan masing-masing. Demikian juga peranan pelbagai pihak swasta yang telah tampil memberikan pelbagai tajaan termasuk membiayai dan menaja pembinaan ‘bill board’, iklan ucapan tahniah, pakaian dan peralatan, memasang sepanduk serta mengibarkan bendera. Begitu pula peranan rakyat jelata yang hadir menyambut keberangkatan Beta dan Raja Permaisuri.
4. Jalinan kerjasama yang tinggi antara pelbagai jabatan, agensi, pihak swasta dan individu dalam semangat berat sama dipikul untuk mencapai satu matlamat yang sama telah berjaya menghasilkan yang terbaik. Semangat kerjasama dan kesatuan matlamat ini hendaklah terus dipupuk dan dihidupkan sepanjang masa. Semangat kerjasama dan kesatuan matlamat ini hendaklah diterapkan sebagai budaya kerja untuk memajukan negeri Perak Darul Ridzuan. Sebarang kekurangan – sebarang kecacatan adalah sebahagian daripada sifat semula jadi kelemahan insan untuk membuktikan bahawa hanya ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan.
5. Majlis pada petang ini diadakan atas hasrat Beta untuk menzahirkan secara langsung ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat. Beta sedar bahawa ramai lagi yang tidak berpeluang dijemput atau tidak berpeluang hadir di majlis ini, tetapi turut berperanan menjayakan acara-acara sempena istiadat pertabalan Beta. Mereka adalah ‘petugas tidak bernama’, membina ‘bill board’, merentang sepanduk, menggantung bendera, memasang lampu, mengecat jalan dan bangunan, mendirikan khemah, menanam pokok – memotong rumput, menambat bot – membersihkan kubur, menyusun kerusi – meja, menghidangkan makanan dan minuman dan pelbagai tugas lagi. Mereka ‘petugas tidak bernama’; ‘petugas tidak bernama’ ini, meskipun berada di belakang tabir, telah melaksanakan tanggung jawab asas dan tugas penting secara berkesan lagi sempurna, lalu memberikan segala keselesaan bukan sahaja kepada Beta tetapi kepada para tetamu yang hadir di setiap acara. Merekalah petugas-petugas yang telah melakukan kerja-kerja berat tanpa minta dipuji; mereka bermandi keringat, dibakar pancaran terik matahari, dibasahi hujan, didingini titisan embun malam. Merekalah petugas-petugas yang penuh ikhlas – penuh dedikasi, ‘petugas tidak bernama’ ini, meskipun tidak bersama kita di majlis ini, wajib dihargai dalam memori kita semua. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala menganugerahkan setiap seorang daripada mereka keberkatan hidup dunia akhirat. Kepada semua mereka, Beta dan Raja Permaisuri amat terhutang budi.
6. Beta sukacita disembah maklumkan bahawa titah nasihat Beta untuk meminimumkan perbelanjaan telah dipatuhi. Acara sambutan telah diaturkan bukan berbentuk pesta tetapi untuk mengisi makna dan pengertian akan relevansi institusi Raja dalam sistem bernegara dan berkerajaan. Budaya mengutamakan outcome hendaklah diutamakan daripada output, demi memastikan dalam acara-acara yang dianjurkan oleh negeri, hasil dapat dioptimumkan sementara perbelanjaan dapat diminimumkan, sekali gus mengelakkan pembaziran.
7. Setelah tiga puluh tahun berlalu, Sungai Perak sekali lagi menjadi saksi kepada kenderaan air Diraja yang menyusurinya, dikenali sebagai Balai Gambang, dinamakan Cempaka Sari. Kenderaan air tersebut telah Beta gunakan ketika memenuhi perjalanan dari Pasir Salak ke Teluk Intan. Dalam semangat yang tidak mahu melihat berlakunya sebarang pembaziran kepada sumber, kenderaan air Diraja ini, Balai Gambang yang dinamakan Cempaka Sari, akan Beta serahkan kepada Kerajaan Negeri untuk digunakan kepada maksud dan tujuan yang sesuai lagi produktif dalam industri pelancongan di negeri Perak.
8. Beta mengucapkan selamat menyambut kedatangan Ramadhan.
Wabillahi taufik, walhidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.