Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – Exxon Mobil 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Sejahtera.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam yang telah mencipta manusia dan menganugerahkan kitab ilmu mengandungi pengajaran tidak ternilai, disampaikan dalam seindah bahasa dan secantik kalam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat ke Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – Exxon Mobil tahun 2006. Beta disembah maklumkan, sejak anugerah ini diperkenalkan dalam tahun 1985, lebih 110 judul karya telah diterbitkan dan sejumlah 400,000 naskhah bagi lima kategori anugerah telah dicetak.

3. Tahun ini, negara menyambut ulang tahun kemerdekaan kali kelima puluh. Kemerdekaan itu adalah puncak pencapaian perjuangan politik bangsa yang dilandaskan kepada keinsafan, kecekalan, kesungguhan dan kegigihan. Lalu membaralah puntung-puntung perjuangan – terhimpun – menyalakan api kesedaran – semarak membahang – meluapkan lahar semangat bangsa. Lalu bangsa sepakat bertindak dan bergerak.

4. Kemerdekaan itu mencipta sejarah baru, membentuk landskap politik baru dalam sistem berkerajaan dan bernegara, meletakkan tanggung jawab baru kepada pemimpin dan memberikan harapan baru kepada warga. Meskipun perjuangan kemerdekaan itu adalah perjuangan politik, namun kemerdekaan yang dicapai dihasilkan dari himpunan pelbagai tenaga dan kumpulan. Sejarah memperakui bahawa diserata dunia golongan sasterawan berperanan penting mempelopori gerakan kemerdekaan.

5. Para sasterawan adalah insan-insan yang dianugerahkan keistimewaan. Para sasterawan memiliki kederiaan luar biasa. Karya yang dihasilkan adalah cetusan dari rakaman hati nurani insan yang begitu halus serta memiliki daya kepekaan yang mudah tersentuh. Setiap frasa dihasilkan dari suara hati, memberi wajah kepada roh yang tidak dapat dilihat secara zahir, disusun dalam bahasa yang indah dan diolah dengan ungkapan yang cantik. Kekuatan dalaman sasterawan dizahirkan secara halus, secara sopan, secara emotif, secara lembut; membayangkan ketinggian budi dan kekayaan pekerti, ada kalanya menghiris hati, ada masanya menggetarkan jiwa. Kehebatan dan kekuatan tersebut telah membantu membina kekuatan dalaman, mencabar emosi dan menyuntik semangat bangsa untuk bangun memperjuangkan kemerdekaan.

6. Namun peranan sasterawan tidak berakhir dengan pencapaian kemerdekaan. Setelah kalimah ‘MERDEKA’ dilaungkan, sasterawan di serata dunia terus menjadi suara dan lidah, terus menjadi juru bicara menuntut keadilan – menentang kezaliman. Sasterawan terus bersifat gelisah sekiranya masih berlaku ketidakadilan, masih terdapat kemiskinan, masih wujud kepincangan dan masih ada ketempangan. Perjuangan sasterawan kekal berpanjangan. Perjuangan sasterawan tidak memerlukan modal yang besar; sekeping kertas, sehelai daun, selembar kain, seruang dinding telah cukup menjadi medan untuk sasterawan melakarkan dakwat melaungkan suara perjuangan mereka. Peranan para sasterawan tidak ada hujungnya dan tidak mungkin bertemu noktah. Bahawa tulisan-tulisan sasterawan agung terus menjadi bahan rujukan dan kekal menjadi sumber inspirasi, meski para karyawannya telah lama menyahut seruan ILAHI. Demikian hebatnya peranan sasterawan.

7. Beta bergembira disembah maklumkan bahawa penulis-penulis bukan Melayu telah berjaya dilahirkan melalui sayembara yang dianjurkan ini. Ini amatlah menggembirakan sebagai penunjuk tentang penguasaan bahasa Melayu yang lebar menyerap di kalangan warga Malaysia pelbagai kaum. Kejayaan menarik minat penyertaan pelbagai kaum ini hendaklah ditingkatkan. Penentuan masa hadapan sebuah negara bangsa yang warganya terdiri dari pelbagai kaum amat bergantung pada perpaduan yang berjaya dipupuk di antara kaum.

8. Sastera dan kegiatan sastera hendaklah diterokai sepenuhnya untuk menjadi instrumen yang dapat mengerat dan memperkukuhkan perpaduan warga. Sastera dan kegiatan sastera boleh menjadi jambatan penghubung merapatkan jurang di antara kaum. Kumpulan Utusan berada dalam kedudukan yang boleh merintis dan menjuarai usaha tersebut. Melalui usaha yang dirintis oleh Kumpulan Utusan, bahasa dan sastera Melayu telah mendapat apresiasi dari kaum bukan Melayu. Kumpulan Utusan harus bersedia bergerak ke hadapan setapak lagi dengan bersedia memberikan penghormatan mengundang tetamu kehormat dari kaum bukan Melayu dalam acara seumpama ini di masa hadapan.

9. Beta mengucapkan tahniah kepada para peserta yang telah berjaya dipilih menerima anugerah. Semoga kejayaan saudara-saudari akan menjadi tangga untuk membawa saudara-saudari mencapai kejayaan lebih gemilang hingga mendapat pengiktirafan di peringkat antara bangsa. Semoga kejayaan saudara-saudari juga akan menjadi sumber inspirasi melahirkan lebih ramai sasterawan tersohor di negara ini.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***************

%d bloggers like this: