Majlis Penyampaian Tauliah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam dan Sijil Pelantikan Kehakiman Syarie Negeri Pulau Pinang

“MUHAMMAD ADIB: WIRA TERBILANG”

 

 

 

Salam Sejahtera

 

Saudara tua Beta, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas.

 

Hadirin yang dirahmati ALLAH.

 

YA HAKAM, YA HAKIM, YA ‘ADL, YA SHAHID, dengan keagungan Asmaul Husna, dengan niat mendapat keberkatan dari MU jua Ya ALLAH, berpedoman sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, hamba-Mu memilih, hari Jumaat, penghulu kepada segala hari, untuk melangsungkan Majlis Pengurniaan tauliah pelantikan ahli Majlis Agama Islam, dan sijil pelantikan kehakiman syarie negeri Pulau Pinang.  Dipohonkan, agar setiap seorang daripada mereka yang telah diperkenankan untuk diberikan amanah, pada setiap masa, mendapat rahmat bimbingan dari Mu jua, untuk menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh jujur lagi berintegriti.  Semoga Engkau anugerahkan kepada mereka, kekuatan iman agar senantiasa berpendirian tegas dan bersuara ikhlas menyembahkan sebaik-baik nasihat kepada hamba-Mu yang daif ini, untuk membolehkan hamba-Mu menyempurnakan tugas seorang Amirulmukminin dengan adil lagi saksama, berteraskan Kitabullah dan Sunah Rasul.

 

  1. Syura atau permuafakatan, dan keadilan, merupakan dua elemen yang sangat diutamakan dalam Islam. Majlis Agama Islam dan Mahkamah Syarie, ialah dua buah institusi penting dalam sistem pentadbiran berlandaskan Islam; satu berperanan sebagai dewan permuafakatan, dan satu lagi berperanan untuk memastikan berlakunya keadilan.

 

  1. Majlis Agama Islam, ialah institusi bukan politik, institusi yang bertanggungjawab secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong, atas peranan Baginda sebagai ketua agama negeri. Majlis Agama Islam ialah pihak berkuasa utama mengenai hal ehwal Islam selepas Yang di-Pertuan Agong.  Oleh itu, Majlis Agama Islam dalam memenuhi peranannya, hendaklah bebas daripada pengaruh dan campur tangan politik berparti; agar berupaya menyembahkan perkara-perkara kepada Raja Pemerintah secara tidak partisan,  membantu Baginda memperkenankan sesuatu keputusan secara objektif lagi bijaksana.

 

  1. Majlis Agama Islam, berada dalam kedudukan yang boleh memenuhi dua peranan:

 

Pertama:    Dalam perkara yang tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, dan dalam perkara yang tidak menderhakai tujuh wasiat Raja-raja Melayu, MAJLIS sewajarnya memenuhi peranan pelengkap, bekerjasama dengan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Kedua:       Dalam perkara yang bercanggah dengan semangat asal Perlembagaan, dan berunsur menderhakai tujuh wasiat Raja-raja Melayu, MAJLIS berlandaskan prinsip, wajib secara tegas, menolak serta menentang, dan segera menyembahkan kepada perhatian Yang di-Pertuan Agong, demi mempertahankan syiar Islam – demi menjamin ummah tidak berakhir dengan nasib berdagang di bumi sendiri.

 

  1. MAJLIS sewajibnya berfungsi sebagai sebuah ‘DEWAN PEMIKIRAN DAN PENTADBIRAN ISLAM’, di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan langsung Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong; berperanan sebagai jambatan penghubung antara umat Islam dengan Raja Pemerintah, antara umat Islam dengan kerajaan pilihan rakyat, dan antara umat Islam dengan warga bukan Islam. Oleh itu, kesetiaan ahli-ahli Majlis yang telah diperkenankan lantikan, ialah kepada takhta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan titah perkenan Baginda wajib diperoleh sebelum sesuatu dasar, arahan dan kegiatan mengenai Islam mahu dilaksanakan.

 

  1. Ahli-ahli MAJLIS wajib melakukan perekayasaan, membawa minda keluar, merangka rancangan dan tindakan yang lebih substantif demi kemuliaan sinar Islam, dan demi membela martabat umat Islam. Peranan MAJLIS wajib diluaskan, dimerdekakan daripada minda lama yang dengan sengaja disempitkan oleh Inggeris.[1]  Peranan MAJLIS hendaklah ditakrif secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran, dan tenaga pelaksana berwibawa, untuk menghasilkan idea bernas dan program dinamik.[2]  Walau apa pun senario politik yang berlaku di dalam negara, selagi tindak tanduk MAJLIS tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, negara hendaklah mengiktiraf MAJLIS sebagai sebuah institusi yang berperanan penting untuk menjamin kelangsungan Islam dan survival ummah.

 

  1. Dalam suasana umat Islam kelihatan berterusan berselisih pendirian, dan dalam senario ukhuwah sesama umat Islam terbayang semakin retak, MAJLIS hendaklah mengambil tanggungjawab, sebagai instrumen penyatuan ummah; bebas daripada sebarang agenda politik kepartian, yang dianggap berpihak dan berat sebelah, supaya peranan MAJLIS dilihat neutral, lantas dapat diterima tanpa prejudis – tanpa prasangka oleh majoriti umat Islam.

 

  1. Berpandukan ayat-ayat yang terkandung dalam Al-Quran, begitu juga sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, nyatalah Islam meletakkan satu fardu, untuk mewujudkan institusi kehakiman dalam sesebuah negara; sebagai contoh, firman ALLAH dalam ayat 26, surah Al-Shaad bermaksud:

 

“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana itu akan menyesatkan kamu dari jalan ALLAH…”[3]

 

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:

 

“Jika seseorang hakim telah berijtihad semasa menjatuhkan hukuman dan ijtihadnya itu tepat, maka ia akan mendapat satu ganjaran”[4]

 

  1. Islam menekankan aspek pemerintahan berlandaskan undang-undang. Institusi kehakiman, berperanan sebagai badan penegak keadilan, memenuhi fungsi untuk menyelesaikan pertikaian sesama manusia, sama ada dituntut oleh individu, kumpulan atau sesuatu kaum terhadap hak, harta, darah dan nyawa.  Tanpa institusi-institusi kehakiman yang berwibawa lagi adil, masyarakat akan menjadi tempang, ketidakadilan akan berlaku, kemungkaran akan bertebaran, dan kezaliman akan berleluasa.

 

  1. Piagam Madinah atau Sahifah Al-Madina, dipersetujui secara bersama oleh semua golongan, terdiri daripada umat Islam dan orang Yahudi yang menjadi warga negara Madinah, di bawah pimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, berperanan sebagai kompas rujukan mengurus tadbir negara kota Madinah. Piagam Madinah, perlembagaan bertulis yang pertama di dunia, menjadi bukti bahawa sistem pemerintahan Islam, disandarkan dengan undang-undang.

 

  1. Negara kita juga ditetapkan tadbir urusnya, bersandarkan Perlembagaan yang dipersetujui oleh rakyat daripada pelbagai agama – pelbagai kaum. Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, ialah dua prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.  Negara akan berada dalam keadaan aman, dan rakyat dapat hidup dalam suasana yang harmoni, selagi undang-undang dipatuhi dan dihormati.  Tetapi, apabila undang-undang dipinggirkan, dan manusia memilih menunjukkan kekuatan atau kelebihan, melalui kaedah-kaedah lain, seperti menggunakan jawatan, kekayaan, kekerasan, rasuah, nafsu dan tipu helah, akan tergelincirlah keadilan, akibatnya yang lemah, yang tidak berdosa, semakin ramai menjadi mangsa.

 

  1. Negara Malaysia, diasaskan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) sebagai negara yang rakyatnya, walaupun terdiri daripada pelbagai penganut agama dan kaum, memiliki sifat kemanusiaan dan perasaan keinsanan yang saling menyayangi – saling menghargai. Tetapi pada pagi 27 November 2018, sifat kemanusiaan dan perasaan keinsanan tersebut bagaikan lenyap (disappear) dan menyejat (evaporate), dengan berlakunya rusuhan di sebuah kuil yang terletak di Seafield, Subang Jaya.  Undang-undang telah disisihkan, oleh manusia-manusia yang bertindak ganas kerana dipengaruhi prasangka dan emosi.

 

  1. Negara bertanya, apakah yang sudah terjadi kepada warga di negara ini? Apakah yang telah mempengaruhi fikiran warga kita?, warga yang selama ini terkenal dengan sifat menghargai kedamaian dan mengutamakan keharmonian, warga yang pada biasanya mengamalkan sifat bertoleransi antara kaum – antara agama. Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra, serta barisan pemimpin seangkatan, telah berusaha dan berjaya menyatukan kita sebagai satu rumpun warga dalam sebuah negara, pertama kali pada 31 Ogos 1957, ketika negara menjadi sebuah Persekutuan yang merdeka lagi berdaulat; dan kali kedua, pada 16 September 1963 melalui penubuhan Malaysia.

 

  1. Sekam prasangka yang dihidupkan bara, dan api sengketa yang dinyalakan oleh pihak tertentu, telah mencetuskan peristiwa buruk yang tidak sepatutnya berlaku. Pertikaian milik tapak tanah, antara jawatankuasa kuil dengan pemaju hartanah, telah mendorong beberapa pihak untuk mengetepikan proses undang-undang (ignoring the rule of law); di sebaliknya, tanpa bertanggungjawab, bereksperimen dengan kaedah penyelesaian yang mengumpan kepada berlakunya malapetaka.

 

  1. Firman ALLAH dalam ayat 32, Surah Al-Maa’idah bermaksud:

 

“…, bahawa: barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya…”[5]

 

  1. Muhammad Adib bin Mohd. Kassim, seorang anggota bomba dan penyelamat, yang memenuhi tugas negara, telah menjadi korban dalam peristiwa hitam yang berlaku di tapak kuil Seafield, Subang. Dilaporkan, Muhammad Adib, telah ditarik keluar daripada kenderaan, lalu diserang dan dipukul oleh para perusuh.  Muhammad Adib mengalami cedera parah.  Beta berpeluang berangkat menziarahi Muhammad Adib, di Institut Jantung Negara dan menzahirkan rasa dukacita dan simpati Beta kepada kedua-dua ibu bapa beliau, Mohd. Kassim Abdul Hamid dan Azma Aziz pada pagi Jumaat, 30 November, sambil mendoakan, bersama seluruh rakyat Malaysia, agar Muhammad Adib dapat diselamatkan.  Meskipun para doktor menjalankan segala usaha yang terdaya, ALLAH jua yang Maha berkuasa, penentu kepada segala-galanya.  Pada jam 9.41 malam, 17 Disember 2018, Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir, kembali menemui Penciptanya, ketika baru berusia 24 tahun.

 

  1. Seluruh negara, tanpa mengira kaum dan pegangan agama, daripada rakyat biasa, pemimpin, termasuk istana, sama-sama berduka dengan nasib yang menimpa keluarga Muhammad Adib. Demi memastikan undang-undang didaulatkan, demi memastikan keadilan tidak tercicir, segala usaha hendaklah dilaksanakan, untuk mencari tangan-tangan yang bergelumang dosa, melakukan jenayah yang sungguh kejam, hingga mengakibatkan Muhammad Adib menemui ajal, dan kaum keluarga Muhammad Adib dilanda duka nestapa.

 

  1. Demi menegakkan kebenaran, mereka yang menyaksikan kejadian yang berlaku, ada tanggungjawab agama, tanggungjawab moral, dan tanggungjawab undang-undang untuk tampil, membantu kerja-kerja siasatan Polis Diraja Malaysia. Jenayah sekejam ini, sama sekali tidak boleh dilindungi.  Kepada ALLAH kita pohonkan, akan berlaku keadilan setimpal (poetic justice), memastikan pihak yang bersalah, dan dalang-dalang yang bertanggungjawab di sebalik peristiwa ini, tidak terlepas daripada dihukum kerana dosa yang telah dilakukan.

 

  1. Pada pagi 18 Disember, jenazah Muhammad Adib, diterbangkan untuk diabadikan selama-lamanya di Kuala Kedah, empat hari sebelum tarikh yang ditetapkan, untuk beliau diijabkabulkan dengan Nurul Najihah Mohd. Rodzi. Negara dihujani gerimis hiba.  Atas nama negara, Beta menzahirkan rasa dukacita serta ucapan takziah kepada Encik Mohd. Kassim Abdul Hamid, Puan Azma Aziz dan Cik Nurul Najihah, serta seluruh keluarga, atas pemergian Muhammad Adib secara tragik.  Sesungguhnya MUHAMMAD ADIB IALAH SEORANG WIRA TERBILANG; BERANI, CEKAL LAGI BERWIBAWA, telah terkorban untuk negaranya.  Semoga ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja Muhammad Adib dianugerahi ILAHI dengan ketabahan dan kesabaran menghadapi peristiwa pahit ini.  Pada pagi Jumaat yang berkat ini, sama-sama kita pohon kepada ILAHI, agar roh Muhammad Adib mendapat dakapan ihsan dan kasih ILAHI; kita pohonkan agar ALLAH Subhanahu Wata’ala menerima rohnya dalam kalangan roh-roh yang dimuliakan sebagai syahid.  Sama-sama kita bacakan Surah Al-Fatihah, semoga apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut, disampaikan kepada roh Allahyarham Muhammad Adib bin Mohd. Kassim.  Al-Fatihah.

 

Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan kita petunjuk menemui jalan yang lurus,

[1] Raja Nazrin Shah, Majlis Agama Islam: Pemacu Transformasi Ummah, (Titah di Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia, 26 September 2011, (Kuala Lumpur: RNS Publications, 2013),  21.

[2] Ibid.

[3] Al-Quran, Surah Al-Shaad, (38:26)

[4] Al-Bukhariy 1994/1414H, Sahih al-Bukhari. (T.tp): Dar al-Fikr, Juzu 8, 198.

[5] Al-Quran, Surah Al-Maa’idah (5:32)

%d bloggers like this: