Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Tahun 1430 Hijrah) Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda; seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana telah dipanjangkan usia dalam keafiatan, membolehkan Beta melangkah ke tahun 1430 Hijrah, serta dapat berangkat bersama Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan ke Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak.

3. Awan ekonomi pada Tahun 1430 Hijrah diramalkan berarak mendong dan muka bumi berkemungkinan gersang jika semata-mata bergantung harapan kepada turunnya hujan rahmat. Dunia diramal menyaksikan pertumbuhan ekonomi paling lemah dalam tempoh 25 tahun sejak 1982. Ekonomi dunia bukan sahaja dianggarkan menghadapi pertumbuhan lembap malah diramalkan ekonomi Kumpulan Tujuh (7) Negara Maju akan menguncup dengan pertumbuhan negatif.

4. Aktiviti pengurangan kredit yang sedang dilaksanakan akan mengakibatkan persekitaran ekonomi global yang muram sekali gus memberi tekanan kepada perbelanjaan pengguna dan perbelanjaan koperat. Ini akan mengakibatkan pelaburan baru dari luar dan dalam negara menjadi sangat terbatas. Permintaan domestik juga akan turut menurun.

5. Permintaan rendah terhadap barangan eksport telah menjejaskan sektor pembuatan. Sektor pembuatan elektronik dan elektrik di negara ini memperlihatkan penurunan 14.6% eksport ke Amerika Syarikat. Bahawa 62% eksport dan 43% pekerjaan dalam sektor pembuatan di negara ini disumbangkan oleh sektor elektronik dan elektrik. Permintaan terhadap komoditi prima juga terjejas dengan berlakunya penurunan permintaan terhadap kelapa sawit yang juga sedang menghadapi harga yang menurun.

6. Bahawa Negara kita tidak terlepas dari menghadapi kesan negatif dari suasana ekonomi yang muram ini. Berapakah peluang baru pekerjaan yang dapat diwujudkan dan bagaimanakah nasib para graduan yang akan meninggalkan kampus universiti dan anak-anak yang akan tamat pengajian di sekolah. Bagaimana pula dengan nasib mereka yang mungkin terpaksa menelan pahit menghadapi realiti terpaksa diberhentikan kerja. Bagaimana perit yang perlu ditanggung di kalangan mereka yang berada dalam kemiskinan.

7. Segala yang berlaku meletakkan beban tanggungan lebih berat kepada negara, kepada Kerajaan dan kepada bahu para pemimpin. Dalam menghadapi suasana begini, pemimpin wajib meletakkan keutamaan rakyat, mencapai kata sepakat, mencari pendekatan yang selari untuk menangani masalah dan cabaran yang memerlukan penyatuan pendekatan dan persefahaman pelaksanaan. Tahun 1430 Hijrah hendaklah ditumpukan kepada gerak kerja pembangunan, membebaskan negara secepat mungkin dari kemelut dan krisis ekonomi yang sedang melanda dunia. Tahun 1430 Hijrah hendaklah dijadikan tahun yang para pemimpin kurang berpolemik dan kurang berpolitik; kurang bercanggah dan kurang bertelagah. Pada hemat Beta, ada kalanya kegiatan politik yang berketerlaluan bukan sahaja tidak produktif tetapi bersifat ‘counter’ produktif. Ini bukan lagi masanya untuk mencari salah, ini adalah masa untuk melakukan pembetulan.

8. Kemelut ekonomi ini berpunca dari himpunan pelbagai aktiviti yang telah sekian lama berunsur destruktif, dari segi salah pengurusan, dari segi pecah amanah, dari segi salah keutamaan menyalurkan sumber kekayaan anugerah ILAHI. Dunia menyaksikan bagaimana sumber kekayaan lebih banyak dibelanjakan bagi tujuan membina kekuatan persenjataan dan kekuatan ketenteraan untuk membolehkan negara kaya dan negara maju melakukan serangan terhadap negara lain, berselindung atas topeng demokrasi – berselindung atas hasrat melaksanakan keadilan.

9. Suasana ekonomi yang muram ini adalah peringatan ILAHI kepada umat manusia. Betapa manusia terutama mereka yang diamanahkan kuasa, wajib menginsafi akan tanggung jawab utama menyempurnakan tugas terhadap manusia dan melaksanakan keadilan terhadap alam. Betapa sebahagian mereka yang berkuasa dan berjawatan terlalu asyik dan mabuk dengan kuasa, bersifat tamak berlagak angkuh, sehingga kuasa sering kali disalahgunakan hingga menjadi punca kepada berlakunya pelbagai bencana.

10. Amatlah perlu bagi negara memiliki instrumen berkesan yang berupaya memantau sebarang penyalahgunaan kuasa. Negara juga perlu mengambil langkah-langkah tepat memenuhi tuntutan warga yang berkehendakkan tadbir urus yang telus dan sifar rasuah, dengan didukung oleh sistem kehakiman yang adil, yang akan dicapai jika para hakim terdiri dari kalangan mereka yang berintegriti tinggi. Apa juga instrumen perundangan dan penguat kuasaan yang diperkenalkan hendaklah secara bersungguh diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Jika tidak terbukti satu kesungguhan di peringkat tindakan, maka apa juga instrumen perundangan dan penguat kuasaan yang diperkenalkan, tidak dapat memberikan keyakinan kepada warga.

11. Oleh itu amatlah penting untuk Tahun 1430 Hijrah dimulakan dengan gerakan membina keyakinan. Tahun 1430 Hijrah hendaklah dimulakan dengan azam untuk membuktikan kesungguhan negara membina warga yang bermaruah dan berintegriti tinggi. Tahun 1430 Hijrah hendaklah merupakan tahun yang mencerminkan negara memiliki kekuatan untuk bertindak tegas memerangi rasuah. Tahun 1430 Hijrah hendaklah dijadikan tahun keramat membuktikan keberanian negara melaksanakan keadilan – menjatuhkan hukuman kepada mereka yang telah menodai amanah, kepercayaan dan tanggung jawab. Tahun 1430 Hijrah juga hendaklah tahun bagi setiap rakyat membuktikan kejujuran dan keikhlasan dan selaras dengan ajaran Islam, bersedia melakukan sifat bermuhasabah, memperlihatkan semangat ‘self accountability’ yang tinggi dengan secara rela mengundurkan diri dari memegang amanah – secara rela meletakkan jawatan apabila nama baik telah tercalar atau tercemar. Jadikanlah Tahun 1430 Hijrah sebagai tahun negara dan warga melakukan penghijrahan minda, penghijrahan budaya, penghijrahan sikap dan penghijrahan niat untuk secara bersungguh membina sebuah negara bangsa yang gemilang, negara bangsa yang berintegriti, negara bangsa yang dihormati.

12. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak bagi tahun 1430 Hijrah.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh .

******************

%d bloggers like this: