Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah, tuhan semesta alam. Tuhan yang telah mengutus seorang Rasul Junjungan untuk memandu manusia ke jalan yang diredai. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta para Ulama dan para Tabiin; semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
- Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Pelancaran Sambutan Maulidur Rasul dan Majlis Penyampaian Hadiah Hafazan bagi tahun 1429 Hijrah peringkat negeri Perak Darul Ridzuan.
3. Maulidur Rasul disambut sebagai memperingati kelahiran seorang Rasul yang telah menyebarkan ajaran agama yang mulia lagi agung; agama yang pada hari ini dianuti oleh lebih 1.5 bilion ummah, merupakan 21 peratus dari jumlah penduduk dunia. Baginda telah wafat hampir 1400 tahun yang lalu. Namun Baginda terus diingati, disanjungi dan dihormati. Kepimpinan Baginda menjadi contoh – menjadi teladan. Makam Baginda di Medinah terus dikunjungi. Demikianlah keistimewaan pengiktirafan yang diberikan oleh ummah di serata dunia kepada Baginda; malah kehebatan Baginda sebagai seorang pemimpin agung turut diiktiraf oleh manusia sejagat dari pelbagai agama.
4. Seorang pemimpin bertanggung jawab menentukan arah haluan kepada para pengikutnya. Seorang pemimpin bertanggung jawab kepada mereka yang berada di bawah pimpinannya. Memimpin adalah satu tanggung jawab yang perlu disempurnakan secara amanah. Sejarah mencatatkan ramai insan yang mendapat atau diberikan peluang menjadi pemimpin, namun dari jumlah yang ramai itu sedikit sekali yang muncul sebagai pemimpin yang berjaya mencipta sejarah dan membina tamadun bangsa. Dalam erti kata lain, lebih ramai yang gagal dalam usaha pendakian untuk sampai ke puncak keagungan.
5. Keadaan ini berlaku kerana ramai yang ketika diberi peluang untuk memimpin kehilangan pedoman apabila berada dalam kegembiraan dan keasyikan memiliki kuasa. Ada diantaranya yang terleka, ada yang tersalah haluan, ada yang tersalah diberi nasihat, ada yang tersalah langkah dan ada yang tersalah perkiraan. Demikian terdapat himpunan sejarah berkaitan kepimpinan dan pemimpin yang sewajibnya dijadikan asas rujukan untuk ummah hari ini mempelajari dari kesalahan dan menjauhi dari mengulangi kesilapan yang sama.
6. Sebagai pemimpin, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam memiliki kelebihan – memiliki keistimewaan, mendapat panduan dan bimbingan secara langsung dari ILAHI. Panduan dan bimbingan ILAHI itu terkandung di dalam kitab suci al Quran al Karim. Perilaku dan sabda Baginda pula terkandung dalam himpunan Hadis yang telah berjaya dikumpulkan. Al Quran dan Hadis merupakan sumber yang wajar dijadikan rujukan, memberi panduan dan bimbingan kepada para pemimpin. Di samping itu, para pemimpin hari ini wajar mengambil pengajaran dari himpunan sejarah akan punca kejatuhan Empayar mahupun punca kejatuhan sesebuah Negara; demikian juga akan punca kejatuhan seseorang Raja mahupun seseorang pemimpin sebelum ini.
7. Risalah ajaran Islam mendapat sambutan dan sokongan bermula dari keyakinan insan terhadap seorang pemimpin yang memiliki sifat-sifat amanah, merendah diri, jujur, ikhlas, berdisiplin, berkorban dan komited; sifat kepimpinan yang menyedari bahawa dirinya juga adalah seorang hamba; sifat kepimpinan yang insaf bahawa Baginda diperhatikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan juga senantiasa dinilai oleh para pengikutnya.
8. Kepimpinan yang mengutamakan ummah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam telah menarik sokongan ummah kepada Baginda, begitu juga terhadap ajaran yang dirisalahkan oleh Baginda. Hasilnya ajaran Islam berkembang pesat dalam tempoh yang begitu singkat menembusi sempadan budaya, menembusi sempadan geografi, menembusi sempadan politik. Islam diterima secara universal dan tidak hanya terbatas menjadi agama kepada bangsa Arab, di bumi Arab sahaja. Kepimpinan Baginda juga diterima di alam sejagat dan terus diiktiraf setelah Baginda wafat sekian lamanya.
9. Setiap tahun Beta bersama rakyat berhimpun mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul. Beta disembah maklum bahawa sambutan seumpama ini turut diadakan di serata negeri. Beta bergembira dengan usaha mengadakan sambutan tersebut sebagai memperingati keagungan seorang Rasul Junjungan. Namun Beta juga senantiasa memperingatkan agar acara-acara sambutan janganlah sekadar bercorak ‘ritualistik’, sekadar mengadakan satu acara secara ‘routine’. Setiap acara sambutan yang dianjurkan, melibatkan masa, melibatkan usaha, melibatkan tenaga dan melibatkan perbelanjaan. Oleh itu acara sambutan yang dianjurkan hendaklah memperlihatkan hasil serta bersifat produktif hendaknya.
10. Sempena dengan Sambutan Maulidur Rasul ini, Beta menyeru umat Islam agar sentiasa bermuhasabah untuk menjadi umat yang terbaik. Mulakanlah bermuhasabah ke atas diri sendiri dan keluarga kerana disitulah bermulanya asas-asas kecemerlangan. Hayatilah kehidupan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam sebagai panduan untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Wabillahi Taufik, Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
**************