Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahir Rahmanir Rahim
Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga, para sahabat Baginda, para Tabiin, para ulama dan kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan inayat dari Nya jua, Beta dapat berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam bersama-sama dengan warga Perak, Universiti Sains Malaysia.
3. Para mahasiswa dan mahasiswi khususnya, laksana pepohon muda yang sedang berada di taman ilmu. Namun lelangit pengetahuan itu amat tinggi dan paling luas. Lelangit pengetahuan tidak terbatas kepada taman ilmu yang bernama Universiti Sains Malaysia. Alam semesta yang luas ini adalah universiti kehidupan yang perlu difahami – perlu didalami – perlu diharungi – perlu diselami.
4. Kemajuan teknologi komunikasi telah merangkaikan maya ini. Globalisasi tidak sekadar satu istilah. Ia adalah satu realiti, satu hakikat, satu kenyataan yang perlu dihadapi secara cekal – perlu difahami secara jelas, ditafsir secara tepat, ditangani secara bijak. Apa juga peristiwa penting yang berlaku, di mana jua tempat di dunia, sama ada dalam bentuk persengketaan atau perdamaian, perpecahan atau penyatuan, bencana atau penyakit hinggalah kepada kegiatan politik, perubahan kepimpinan dan ekonomi yang mengembang atau menguncup, begitu mudah menjadi wabak mencetuskan cabaran, melimpahkan kesan hiliran kepada kehidupan hampir setiap insan.
5. Apabila peperangan tercetus di Iraq dalam tahun 2003, suhu politik dunia bertambah panas. Tahun 2003 yang merakamkan bertambahnya kejadian keganasan yang dilakukan oleh kumpulan berani mati telah meningkatkan ketegangan hubungan antara agama dan antara kumpulan etnik di seluruh dunia, lalu konflik antarabangsa semakin kusut jadinya. Tahun 2003 yang dilanda wabak SARS telah memberi kesan negatif kepada iklim ekonomi dunia yang ketika itu sedang merangkak untuk kembali pulih.
6. Tahun 2004 telah lima minggu berlalu. Wabak selesema burung menjadi ancaman baru kepada kehidupan ramai pihak, dari penternak, kepada pembekal, pengusaha restoran, pemilik hotel malah menjejas secara langsung industri pelancongan, sektor pengangkutan, perkhidmatan perubatan dan kesihatan. Dalam tempoh lima minggu tahun 2004, saban hari berita memaparkan lebih banyak nyawa terkorban akibat kegiatan keganasan. Tahun 2004 juga bakal menyaksikan proses pemilihan kerajaan dan pemimpin di banyak negara, antaranya di Amerika Syarikat, di Australia, di Jepun, di Taiwan, di Filipina, di Indonesia, di Thailand dan juga di Malaysia. Proses pemilihan kerajaan dan pemimpin negara mempengaruhi secara langsung iklim politik dan iklim ekonomi setempat, serantau malah dunia apabila ia melibatkan negara yang mempunyai pengaruh besar lagi luas. Keputusan sesuatu proses pemilihan dan reaksi rakyat kepada keputusan tersebut amat penting dalam menentukan sama ada akan berlaku keadaan yang lebih stabil atau menjadi pencetus kepada konflik baru dan perbalahan yang lebih besar.
7. Globalisasi juga memungkinkan peningkatan peranan syarikat-syarikat multinasional dalam mencorakkan landskap ekonomi dunia malah secara tersendiri turut mempengaruhi topografi politik dunia . ‘Multi national companies’ atau ‘MNC” merupakan satu entiti kuasa dengan autonomi tersendiri, bebas dari pengaruh mana-mana kerajaan di dunia. Perangkaan memaparkan MNC hari ini menyediakan pekerjaan kepada 90 juta manusia di seluruh dunia. MNC membayar gaji 5.7 trilion ringgit setahun, menyumbang 25 peratus Keluaran Kasar Dunia serta membayar cukai sejumlah 4.5 trillion ringgit kepada kerajaan-kerajaan tempat mereka beroperasi. 1,000 buah MNC bertanggung jawab ke atas 80 peratus pengeluaran industri dunia. Dari 100 ekonomi terbesar dunia, 47 di catatkan terdiri dari negara bangsa yang berdaulat sementara 53 lagi adalah MNC.
8. Secara lebih spesifik, pengaruh MNC tidak terbatas kepada menentukan skrip ekonomi dan mewarnakan senario politik di kawasan operasi mereka, malah turut memperlihatkan pengaruh dalam pembentukan nilai dan budaya. Umpamanya 46 juta manusia setiap hari menjadi pelanggan di 30,000 lokasi McDonald di seluruh dunia, memperlihatkan kejayaan pengaruh membina budaya hidup baru di kalangan warga dunia terutama sekali di kalangan remaja. MNC juga boleh menjadi satu tenaga yang boleh mengenakan kawalan ke atas sumber pengeluaran serta melumpuhkan mana-mana kerajaan jika mahu dijadikan sasaran melalui penguasaan bahan keluaran. Syarikat-syarikat Dole Foods, Chiquita Brands dan Del Monde umpamanya, bertanggung jawab terhadap lebih 70 peratus eksport pisang dunia melalui pengeluaran secara komersial di Amerika Latin.
9. Gambaran-gambaran ini mencabar saudara-saudari untuk berani berfikir di luar kotak dalam usaha memastikan supaya negara kekal dapat bersaing dalam menghadapi gelombang globalisasi. Ketika ini Malaysia adalah negara dagang ke 17 terbesar di dunia. Kelebihan kompetitif masa lalu Malaysia dari segi tenaga buruh yang murah sudah berlalu. Pelaburan langsung dari luar atau FDI ke Malaysia sangat terjejas apabila Cina membuka negaranya. Dengan potensi pasaran 1.7 bilion manusia, Keluaran Dalam Negara Kasar melebihi 7.6 trilion ringgit dan jumlah dagangan melebihi 4.6 trilion ringgit, Cina bagaikan mempunyai daya tarik magnetik kepada semua pihak dari seluruh dunia. Kerana itulah dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, FDI berjumlah 760 bilion ringgit mencurah masuk ke negara Cina. Dengan dasar semakin terbuka di Vietnam, Laos dan Kampuchea, negara pastinya menghadapi cabaran yang lebih sengit di rantau ini.
10. Hakikat ini disedari oleh kepimpinan negara. Malaysia kini mengubah paradigma, beralih dari industri berintensif buruh kepada industri berteknologi canggih. Koridor Raya Multimedia dirancang sebagai pemangkin, menjadi paksi – menjadi tapak percambahan sumber manusia berpengetahuan yang menguasai teknologi canggih. Namun perlu diperhatikan bahawa Koridor Raya Multimedia perlu berupaya menandingi Lembah Silicon di California dan Bangalore di India.
11. Senario yang dibentangkan ini bertujuan untuk mencuit minda saudara-saudari supaya dapat melayari benua peluang yang lebih luas. Dunia hari ini adalah pentas luas yang menyediakan peluang besar kepada kumpulan manusia berilmu – manusia berpengetahuan, barisan tenaga kerja yang memiliki kemahiran – memiliki kepakaran, menguasai bahasa – menguasai komunikasi. Namun begitu, pentas luas itu boleh menjadi sempit jika saudara-saudari gagal mempersiapkan diri dengan kekuatan yang diperlukan. Oleh itu jangan sama sekali disia-siakan kesempatan ketika berada di taman ilmu ini untuk meneroka seluas dan setinggi mungkin lelangit pengetahuan.
12. Beta meletakkan harapan tinggi dan mendoakan kejayaan saudara-saudari.
Wabillahi taufik, walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
**********************