Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke 153 dapat berlangsung pada petang ini.
3. Yang Dihormati Toh Paduka Raja, Dato’ Abdul Karim bin Haji Mohd. Jamil, ahli Dewan Negara Perak telah kembali menyahut seruan ILAHI pada pagi Sabtu, 25 Mei 2013 di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Dato’ Abdul Karim (Allahyarham) telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dilantik sebagai Orang Besar Tiga Puluh Dua dengan gelaran Toh Demang Perwira pada 1 Mac 1998, disusuli dengan lantikan sebagai Orang Besar Enam Belas dengan gelaran Toh Paduka Raja pada 1 Februari 2003. Dato’ Abdul Karim telah menganggotai Dewan Negara sebagai ahli bukan rasmi sejak 26 Januari 1999 sehingga ke saat menghembuskan nafas terakhir pada 25 Mei 2013.
4. Semasa hayatnya, Dato’ Abdul Karim (Allahyarham) telah menyempurnakan amanah dan tanggung jawab sebagai Orang Besar dan sebagai Ahli Dewan Negara, membantu memelihara nama baik institusi Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan. Dewan Negara Perak telah kehilangan perkhidmatan seorang ahli yang begitu komited lagi berdedikasi serta senantiasa mempamerkan sifat taat setia yang amat tinggi kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Dewan Negara yang bersidang pada petang ini, merakamkan setinggi penghargaan di atas segala jasa bakti Allahyarham dan memohon ihsan ILAHI semoga segala amalan dan khidmat murni Allahyarham diterima sebagai amal baik yang diberikan ganjaran dunia akhirat. Dewan Negara merakamkan ucap takziah kepada keluarga Allahyarham.
5. Dewan Negara juga merakamkan ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd. Kadir yang telah diperkenankan dilantik sekali lagi sebagai Menteri Besar Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, setelah beliau dan BARISAN NASIONAL berjaya mendapat kepercayaan rakyat untuk membentuk Kerajaan selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum kali ketiga belas pada 5 Mei yang lalu. Semoga jalinan, hubungan baik dan persefahaman di antara istana dan Kerajaan akan terus dapat ditingkatkan. Semoga melalui gandingan peranan institusi Raja dan institusi rakyat, kehidupan rakyat terus dapat disejahterakan, pembangunan negeri terus dilonjakkan dan kemakmuran negeri terus ditingkatkan.
6. Beta turut mengalu-alukan keanggotaan baru ahli Dewan Negara Bukan Rasmi, Dato’ Zainal Adzam bin Abdul Ghani, Toh Seri Bijaya Lt. Kol. (B) Dato’ Shaharudin bin Haji Nazari dan Toh Kelana DiRaja Kapt. (B) Dato’ Mohd Daud bin Shamsudin @ Dato’ Tak yang telah diperkenankan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Semoga pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh setiap seorang dari mereka akan dapat membantu meningkatkan imej, reputasi dan keberkesanan Dewan Negara dalam memenuhi peranan untuk memelihara kelangsungan institusi Raja dan sistem Raja Berperlembagaan agar kekal berdaulat dan terus dihormati warga.
7. Ramadan dijangka bermula pada 10 Julai 2013. Bulan Ramadan adalah bulan mulia, bulan kebesaran di kalangan umat Islam. Suasana Ramadan di negara ini memperlihatkan suasana penuh keceriaan. Masjid dan surau dipenuhi dengan pelbagai program yang mengimarahkan bulan Ramadan. Beta akan berangkat ke masjid-masjid di jajahan-jajahan di Negeri Perak. Beta menyarankan Orang Besar-Orang Besar Jajahan untuk meruang waktu, berbuka puasa, berjemaah dan bertarawih di sebanyak masjid yang mungkin untuk mendampingi rakyat jelata di jajahan masing-masing.
8. Dalam hasrat untuk membina jambatan perhubungan di antara istana dengan rakyat, sebagai lazimnya, beberapa majlis berbuka puasa, bersolat jemaah dan bersolat tarawih akan diadakan di Istana Iskandariah sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
9. Beta mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa, semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala mengurniakan kesihatan yang baik untuk membolehkan kita menyempurnakan ibadah puasa, dan Insya Allah untuk dapat sama-sama menyambut ketibaan Aidil Fitri.
Wabillahi taufik, walhidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.