Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-161

1. Dewan Negara yang bermesyuarat pada hari ini merekodkan Duli Yang Teramat Mulia Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa, telah mengangkat sumpah jawatan Raja Muda Perak dan Duli Yang Amat Mulia Raja Iskandar Zulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah telah mengangkat sumpah jawatan Raja Di Hilir Perak pada 1 Julai 2014; Yang Teramat Mulia Raja Azlan Muzzaffar Shah ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah mengangkat sumpah jawatan Raja Kechil Besar Perak dan Yang Teramat Mulia Raja Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah telah mengangkat sumpah jawatan Raja Kechil Sulung Perak pada 6 September 2014; memenuhi keperluan Fasal-Fasal yang berkaitan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan. Kesemua istiadat mengangkat sumpah jawatan telah disempurnakan di hadapan Beta.

2. Nama baik Institusi Raja wajib dipelihara pada setiap masa. Tanggung jawab ini hendaklah dipenuhi secara bersama dan secara kolektif. Apa juga perlakuan dan perkataan yang boleh mencemarkan nama baik institusi Raja perlu dijauhi. Institusi Raja tidak sama sekali harus dibenarkan untuk disalah gunakan oleh mana-mana pihak.

3. Beta sering kali menerima pelbagai undangan untuk menjadi penaung kepada organisasi dan kepada pelbagai acara yang dianjurkan, termasuk jemputan untuk berangkat ke pelbagai Majlis. Beta senantiasa berhati-hati dan menolak menghadiri sesuatu undangan atau jemputan demi memelihara nama baik institusi Raja dan istana; jika Beta ragu akan integriti pihak penganjur yang berkemungkinan boleh mencemarkan nama baik Raja Pemerintah, terutama untuk acara-acara bertujuan mengutip dana.

4. Beta pula tidak mahu berlaku keadaan setelah undangan tertentu Beta tolak, pihak penganjur menghadap dan menjemput sama ada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri, atau Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda atau Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar, atau Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir atau Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda.

5. Oleh itu perlu ada mekanisme penyelarasan dalam menimbangkan sesuatu jemputan. Beta menetapkan bahawa sebelum diberikan apa-apa perkenan kepada sesuatu jemputan untuk menjadi Penaung atau berangkat ke mana-mana acara, adalah baik untuk Pejabat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda begitu juga pejabat Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir membuat rujukan secara rasmi bagi mendapatkan nasihat daripada Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan.

6. Beta telah disembah maklum akan keuzuran Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja, Dato Seri Yeop Junior bin Haji Yeop Adlan yang pada masa ini sedang mendapat rawatan di Negara China. Sama-samalah kita berdoa semoga beliau dan keluarga memiliki ketabahan menghadapi ujian ILAHI, semoga rawatan yang diberikan akan berjaya memulihkan beliau segera sihat dan selamat kembali ke Tanah Air. Dalam tempoh keuzuran beliau, Beta telah memberi perkenan untuk Yang Dihormati Toh Paduka Indera, Dato Haji Zubairi bin Tajuddin menanggung tugas-tugas Orang Besar Jajahan Batang Padang sehingga ke satu tempoh yang akan Beta tentukan.

7. Beta telah meneliti kekerapan mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal di setiap Jajahan. Beta tidak berpuas hati dengan peranan beberapa Jawatankuasa Baitulmal di daerah tertentu. Beta telah menetapkan Jawatankuasa Baitulmal Daerah perlu mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Beta dapati ada Jawatankuasa Baitulmal daerah yang tidak mengadakan mesyuarat mengikut jadual. Perkara ini tidak harus berulang dan tanggung jawab ini wajib disempurnakan sepenuhnya oleh semua Orang Besar Jajahan.

8. Ketika ini istana di Kuala Kangsar dinamakan Istana Iskandariah, Istana tempat Sultan bersemayam di Ipoh dinamakan Istana Kinta, dan Istana tempat Sultan bersemayam di Kuala Lumpur dinamakan Istana Perak (Changkat). Selaras dengan perubahan jawatan dan kedudukan yang berlaku, nama-nama istana tempat bersemayam Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir perlu dinamakan semula.

9. Salutation. Beta memerhatikan salutation yang diamalkan dalam acara-acara rasmi oleh pengacara Majlis dan orang-orang yang menyampaikan ucapan terlalu panjang dan berjela-jela. Ia mengambil masa dan menjemukan. Amalan ini hendaklah diubah serta-merta di Majlis-Majlis yang Beta berangkat. Beta menitahkan Bahagian Istiadat dan Protokol mengemukakan kepada Beta format baru salutation yang perlu disesuaikan dan lebih menepati dengan keadaan semasa.

10. Beta menitahkan supaya semua acara yang dianjurkan atas nama Kerajaan, Jabatan dan agensi Kerajaan untuk tidak lagi perlu mempersembahkan apa-apa cenderamata kepada Beta dan Raja Permaisuri ketika Beta dan Raja Permaisuri berangkat menghadiri acara. Pendirian ini hendaklah disampaikan kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri dan surat memaklumkan pendirian ini diedarkan kepada semua Ketua Jabatan di peringkat Negeri dan daerah.

11. Dengan perkenan Beta, sejak satu tahun yang lalu, Yayasan Karyawan telah mengusahakan penerbitan semula MISA MELAYU, karya agung yang telah dihasilkan oleh Raja Chulan mengenai Kesultanan, Raja dan negeri Perak. Draf yang telah Beta beri perkenan dalam proses percetakan. Karya Agung tersebut akan dilancarkan dalam tahun ini. Bersempena pelancaran Karya tersebut, Yayasan Karyawan, bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pejabat Sultan Perak akan menganjurkan seminar khusus membincangkan karya agung tersebut. Beta menitahkan semua orang Besar Negeri, dari kalangan Orang Besar Empat hingga Orang Besar ketiga puluh dua berserta semua Toh Muda dan ahli-ahli tidak rasmi Dewan Negara untuk menghadiri seminar tersebut, agar dapat menghayati salah silah Raja dan Negeri Perak.

12. Beta juga baru-baru ini memperoleh naskhah asal “ADAT LEMBAGA ORANG MELAYU DI DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN” diterbitkan cetakan pertama dalam tahun 1935. Di samping itu, Beta turut memperoleh naskhah asal tulisan Sultan Iskandar dalam tahun 1928 bertajuk ‘TASAWUF, FIKAH DAN TAUHID’. Tulisan tersebut memperlihatkan ketinggian ilmu agama Sultan Iskandar yang dapat mengarang sebuah buku menyentuh ilmu-ilmu tasawuf, fikah dan tauhid. Kandungan tulisan Sultan Iskandar turut memperlihatkan peranan penting Islam sebagai sumber rujukan pemerintahan dalam sistem Kerajaan Raja Melayu. Beta akan meminta Jabatan Mufti untuk menyemak dan menasihatkan Beta akan kandungan tulisan tersebut.

13. Imej istana dan takhta pemerintahan sebagai sumber ilmu dan mengutamakan ilmu dapat dijelmakan melalui usaha generasi semasa untuk menerbitkan semula hasil penulisan bahan-bahan ilmu yang dihasilkan oleh Raja-Raja pada zaman silam. Beta amat mengalu-alukan jika di kalangan ahli-ahli Dewan Negara dapat menyerahkan bahan-bahan cetak dan dokumen berharga untuk dapat dilakukan kajian dan jika sesuai diterbitkan semula.

%d bloggers like this: