Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
- Menzahirkan titah takziah kepada balu dan keluarga:
- Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja, Dato’ Seri Yeop Junior bin Yeop Adlan, Orang Besar Lapan merangkap Orang Besar Jajahan Batang Padang yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari Jumaat, 28 Rejab 1437 bersamaan 6 Mei 2016.
- Yang Dihormati Toh Paduka Raja, Dato’ Haji Zubairi bin Tajuddin, Orang Besar Enam Belas, mantan ahli Dewan Negara Perak (Bukan Rasmi) dan mantan Orang Besar Jajahan Kampar yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari Isnin, 1 Ramadan 1437 bersamaan 6 Jun 2016.
- Yang Dihormati Toh Amar Di Wangsa, Tuan Haji Hashim @ Nazri bin Pandak Bahak, Orang Besar Tiga Puluh Dua yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari Isnin, 26 Jamadil Akhir 1437 bersamaan 4 April 2016.
Dari Allah kita datang kepada ALLAH kita dikembalikan. Semoga ahli-ahli keluarga setiap seorang Allahyarham diberikan ketabahan menerima penentuan ILAHI dan semoga mereka terus mendapat limpah rahmat dan ihsan ILAHI.
Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti setiap seorang daripada mereka yang telah memenuhi peranan semasa menyandang gelaran dan melaksanakan tugas semasa diamanahkan tanggungjawab. Semoga segala khidmat bakti setiap mereka diterima sebagai amal yang turut dilimpahkan rahmat ketika mereka melalui kehidupan di alam barzakh.
Marilah sama-sama dibacakan surah Al-Fatihah memohon rahmat daripada ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA untuk disampaikan apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut khusus kepada roh setiap seorang Allahyarham. Al-Fatihah.
- Solat Sunat Tarawih dan Tazkirah di Masjid.
- Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak pada 25 Syaaban 1437 (bersamaan 1 Jun 2016), telah mengedarkan kenyataan menguar-uarkan titah Beta agar setiap masjid di negeri Perak menganjurkan dua puluh rakaat Solat Sunat Tarawih. Titah tersebut dizahirkan demi memastikan setiap masjid menyediakan imam dan bilal untuk memenuhi keperluan dan niat para penduduk kariah yang berhajat mahu menunaikan dua puluh rakaat Solat Sunat Tarawih. Titah tersebut bukan mewajibkan setiap jemaah melakukan dua puluh rakaat Solat Tarawih kerana para jemaah yang berhasrat melakukan kurang daripada dua puluh rakaat, boleh berbuat demikian mengikut pilihan masing-masing.
- Beta telah disembah maklumkan bahawa pada masa lalu ada masjid yang mengadakan tazkirah yang terlalu panjang dan lama hingga menimbulkan kegelisahan makmum yang bertujuan ke masjid untuk bersolat tarawih. Oleh itu Beta telah turut menitahkan tazkirah tidak diadakan:
- Di antara Solat Sunat Rawatib (mengiringi Solat Isyak) dengan Solat Sunat Tarawih.
- Di antara rakaat-rakaat semasa mengerjakan Solat Sunat Tarawih.
- Ketika berangkat ke Majlis-majlis Berbuka Puasa mewakili Paduka Seri Sultan, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir boleh menggunakan budi bicara untuk mengikuti Solat Sunat Tarawih menurut keupayaan diri masing-masing.
- Majlis Berbuka Puasa.
- Beta telah memberi perkenan untuk dianjurkan 11 Majlis Berbuka Puasa Rasmi yang akan berlangsung di daerah-daerah dengan satu Majlis Nuzul Al-Quran yang perbelanjaannya dibiayai oleh Kerajaan. Beta akan berangkat bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir menghadiri sambutan Nuzul Al-Quran pada 16 Ramadan bersamaan 21 Jun. Beta akan berangkat ke empat Masjid di daerah-daerah Kampar, Muallim, Manjung dan Batang Padang. Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda akan mewakili Beta di daerah-daerah Larut, Matang dan Selama, Perak Tengah dan Kerian, sementara Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir akan mewakili Beta di daerah-daerah Hilir Perak, Hulu Perak dan Kuala Kangsar.
- Daripada empat Majlis Berbuka Puasa yang dianjurkan di Istana Iskandariah, hanya Majlis yang diadakan petang ini, yang melibatkan ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan yang dibiayai oleh Kerajaan; tiga lagi Majlis dibiayai oleh Beta sendiri.
- Demi menghargai langkah berjimat cermat Kerajaan, Majlis Berbuka Puasa atas pembiayaan Kerajaan hendaklah dibatas kepada apa yang telah ditetapkan. Oleh itu tambahan perbelanjaan Kerajaan tidak harus dipohon jika ada sebarang hasrat mahu mengadakan acara tambahan mengatasi apa yang telah ditetapkan.
- Ramadan dan Syawal.
- Beta mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa yang dilengkapi dengan pelbagai amalan sunah Ramadan. Semoga kita sama-sama diberikan kesihatan dan usia untuk dapat menyambut Aidil Adha 1437.