Perutusan Aidilfitri 1 Syawal 1437 (6 Julai 2016)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!

ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.

Aidilfitri adalah hari kemenangan kepada Muslimin dan Muslimat, meraikan kejayaan melawan dan menundukkan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda yang maksudnya:

“Bersungguh-sungguhlah kamu semua pada Hari Raya Aidilfitri dengan bersedekah dan amalan-amalan yang baik, yang bagus daripada solat, zakat, tasbih, tahlil kerana sesungguhnya hari ini ALLAH Subhanahu Wata’ala mengampuni dosa kamu, mengabulkan doamu dan melihat kamu semua dengan kasih sayang.”

2. Rayakan sambutan Aidilfitri dalam semangat ketakwaan dan keimanan dengan mencerminkan sifat-sifat insaf dan tawaduk ke hadrat ALLAH Subhanahu Wata’ala yang telah mengurniakan rahmat dan nikmat Nya kepada kita. Lafazkan kalimah kesyukuran ke hadrat ILAHI yang telah menganugerahkan kita usia dan keafiatan, membolehkan kita menunaikan ibadat puasa, bersolat tarawih, mendampingi Al-Quran secara bertadarus serta melimpahkan kita dengan rezeki untuk membolehkan menganjurkan iftar serta melakukan zakat, fitrah dan sodakah.

3. Ketika menyambut Aidilfitri, umat Islam diseru melakukan amalan terpuji yang dapat memperkukuh perpaduan ummah, dengan bermaaf-maafan, ziarah-menziarahi, menyambung dan mengeratkan silaturahim sesama kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga. Semangat silaturahim ini sebaiknya dijadikan contoh untuk membuktikan bahawa Islam adalah agama yang mengamalkan perdamaian, keharmonian, persahabatan dan hubungan baik. Oleh itu, sambutan Aidilfitri hendaklah dijadikan ruang untuk umat Islam menunjukkan sifat penerimaan, sifat terbuka, sifat toleransi dan sifat bersedia menjalinkan hubungan serta sifat kesediaan umat Islam memupuk perpaduan di kalangan warga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya.

4. Dalam keriangan kita menyambut Aidilfitri, sama-sama kita hargai pengorbanan yang dilakukan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai pihak hingga membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah. Ketika majoriti warga Malaysia bercuti dan bergembira, terdapat di kalangan rakyat Beta yang melaksanakan pelbagai tugas penting; para anggota Pasukan Keselamatan, Polis dan Angkatan Tentera, begitu juga mereka yang diperlukan mengendalikan perkhidmatan 24 jam sehari; merangkumi anggota Bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam; kakitangan hospital, sektor pengangkutan dan perkhidmatan, begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen. Kepada mereka dan anggota keluarga mereka Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan. Semoga pengorbanan mereka diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala, sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa berada di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika berada di alam barzakh dan diberatkan timbangan amal ketika berada di Padang Mahsyar.

5. Semoga rakyat Beta akan dirahmati oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana riang lagi meriah, dan dalam semangat bersyukur ke hadrat ILAHI. Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, menurut yang diriwayatkan oleh Tabrani, Nabi Sallallahu Alai Wassalam telah bersabda yang bermaksud,

“Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir”

Perbanyakan bertakbir dan bertahmid tanda kesyukuran kepada ALLAH YANG MAHA BESAR.

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!

ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.

%d bloggers like this: