Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta kepada para ulama dan para tabiin; semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Mesyuarat Khas Dewan Negara Perak pada petang ini diadakan dengan notis panggilan yang singkat, berikutan kembalinya ke Rahmatullah, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Yang Amat Berbahagia Tun Haji Syed Zahiruddin bin Syed Hassan pada hari Sabtu, jam 11.40 malam, 20 April 2013.
3. Tun Haji Syed Zahiruddin dilahirkan di Pondok Tanjung Perak pada 11 Oktober 1918; mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pondok Tanjung, meneruskan pendidikan Menengah di Malay College Kuala Kangsar; kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Tadbir Melayu dalam tahun 1938 dan selanjutnya di hantar oleh Kerajaan Negeri Perak untuk melanjutkan pelajaran ke Raffles College Singapura di antara tahun 1938 ke tahun 1941.
4. Semasa pemerintahan Jepun di antara tahun 1941 hingga 1945, Syed Zahiruddin berkhidmat sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah di Gerik, Tapah dan Tanjung Malim. Di antara tahun-tahun 1945 hingga 1972, Syed Zahiruddin telah diamanahkan dengan pelbagai jawatan baik di peringkat negeri begitu juga di peringkat Persekutuan, antaranya Pegawai Daerah, Pengarah Tanah dan Galian Perak dan Setiausaha Kerajaan Perak di peringkat negeri, sementara di peringkat Persekutuan, Syed Zahiruddin pernah menjawat jawatan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Syarikat Kerajaan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran dan bersara pada tahun 1972 sewaktu menyandang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
5. Selepas mencapai usia persaraan, Syed Zahiruddin telah dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kereta Api Tanah Melayu dan Pegawai Yang Mentadbir Negeri Pulau Pinang. Dalam tahun 1974 hingga Mei 1975, Syed Zahiruddin telah menyandang jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom dan Republik Ireland. Mulai 23 Mei 1975 hingga 30 November 1984, Syed Zahiruddin telah diberikan amanah sebagai Yang Di Pertua Negeri Melaka. Mulai 10 September 1984, Tun Syed Zahiruddin dilantik sebagai Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja.
6. Tun Syed Zahiruddin adalah lambang kejayaan anak bangsa, yang berasal dari sebuah kampung Melayu hingga diangkat ke martabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Pesuruhjaya Tinggi, Yang Dipertua Negeri dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja. Tun Syed Zahiruddin dalam memenuhi pelbagai tugas telah melaksanakannya dengan penuh dedikasi dan menjunjung amanah yang telah diberikan dan meninggalkan legasi untuk dijadikan contoh teladan.
7. Dengan pemergian Tun Syed Zahiruddin menyahut seruan ILAHI, Dewan Negara Perak telah kehilangan seorang Orang Besar Negeri dan ahli Dewan yang dihormati lagi disegani. Dewan Negara Perak merakamkan penghargaan setinggi-tingginya atas perkhidmatan Tun Syed Zahiruddin selaku Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan sebagai anggota Dewan ini. Dewan Negara Perak merakamkan ucap takziah kepada Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Hajah Halimah binti Haji Md. Noh dan seluruh keluarga di atas pemergian Tun Syed Zahiruddin. Di doakan semoga Toh Puan dan seluruh keluarga dapat menerima penentuan ILAHI ini dengan segala keredaan dan ketenangan. Semoga roh Allahyarham Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan dilimpahkan rahmat dan diletakkan di kalangan roh para solihin. AL-FATIHAH.
8. Jawatan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja adalah jawatan penting dalam struktur institusi Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan. Oleh itu, jawatan tersebut tidak boleh dibiarkan kosong dan amatlah penting diisi segera. Mesyuarat Khas Dewan ini diadakan, khusus untuk membincangkan satu agenda penting, untuk Dewan Negara mencapai kata persetujuan melantik Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja yang baru.
9. Semoga mesyuarat ini mendapat bimbingan dan petunjuk dari ALLAH Subhanahu Wata’ala.
Wabillahi taufik, walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.